بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Lapang rasanya setelah dapat menunaikan solat Subuh, Zohor dan Asar di Masjidil Haram setelah sampai sebelum subuh menjejak kaki di tanah suci Makkah fajar 18/3/2010. Waktu yang sama selepas asar, bila masuk ke ruang makan tak sangka ada satu majlis tazkirah... suatu yang sangat ana tunggu-tunggukan. Santapan kerohanian ......, jika tidak dapat pasti mengundah gulanakan hati ana. Apa tidaknya, ianya sudah sebati dengan jiwa ana, setiap waktu tengahari di pejabat dan malamnya di Masjid, InsyaAllah majlis ilmu ini pasti ada memberi makanan kerohanian bagi sesiapa yang mendahagainya.
Memasuki perkarangan ruang makan, Ustaz Mohd Ali Sudirman sebagai Pengetua Mutawif Andalusia, memulai tazkirahnya tentang Sejarah bumi Makkah dengan sebuah hadis ...
DARIPADA Anas bin Malik, katanya, Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Apabila kamu lalu di taman syurga, hendaklah kamu masuk bersiar-siar dan menikmati segala yang ada dalamnya. Dikatakan apa taman syurga itu? Sabda Baginda: Itulah majlis zikir.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Menurutnya, Dalam hadis ini, Rasulullah memberi ingatan supaya kita mengambil kesempatan daripada peluang dalam majlis zikir, ilmu atau al-Quran. Maka bila adanya majlis ini, maka kita sangat bersyukur kepada Allah menjadi hamba pilihan Allah untuk berada di Taman Syurga. Bersyukur lagi, bila kita dipilih menjadi tetamu Allah yang mulia mengunjungi Baitullah.
Apabila ada majlis seumpama itu, janganlah dipersia-siakan, sertainya. Perkara ini kerana banyak faedah yang boleh diperoleh daripada majlis ilmu. Ia sangat berguna untuk menghadapi kehidupan di dunia dan bekalan di akhirat nanti. Namun tidak semua juga Allah pilih untuk menghadiri majlis ini. Makanya,bila kita terpilih ucaplah الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Tidak kenal maka kita tidak sayang. sudah sayang pastinya kita akan cinta. Bila tidak kenal Tanah Haram, bagaimana kita hendak sayang dan cinta. Maka apa dia Tanah Haram..?
......
Pada mulanya Allah ingin menciptakan khalifah di muka bumi, Malaikat tidak bersetuju. Namun malaikat yang taat akhirnya akur dengan Allah, kerana Allah lebih mengetahui sedang mereka tidak mengetahui.
Kaabah juga dipanggil dengan nama lain 'Baitul Atiq' iaitu Rumah Keampunan. maknanya di sini, siapa yang datang ke sini, dia benar-benar minta ampun kepada Allah dengan sepenuh hati, makanya dia akan mendapat ampunan dari Allah.
Iblis, sebelum menderhakai Allah, bernama Azazil, jin yang sangat rajin beribadah hinggakan dia dihantar ke syurga dan dilantik sebagai pengajar malaikat. Jadi, apa yang menegah dia dari tak mahu sujud kepada Adam atas perintah Allah?
Tidak lain, hanya kerana dia merasa lebih mulia dari Adam. Dia diciptakan daripada api, sedang Adam dari tanah. itulah dia digelar dengan Iblis.
Makanya, sifat sombong, takabbur merupakan sifat kufur/kafir yang sangat dan paling dibenci Allah. Jadi sifat ini, jika ada di hati manusia, harus dengan segera di buang.
Setitik sifat takabbur, tidak akan memasukkan seseorang dalam syurga. Sombong yang merasa dia lebih segala-gala dari orang lain.
Sabda Rasulullah s.a.w. :“Tidak akan masuk surga orang yang hatinya terdapat rasa takabbur walau hanya sebesar biji sawi.”
Iblis pun dikeluarkan dari syurga, dan dia mengemukakan 1 permintaan kepada Allah s.w.t. Iblis memohon izin dari Allah untuk dibenarkan melihat hari kiamat. Supaya dia dapat mengoda anak adam supaya dia ada kawan di neraka. Allah mengizinkannya dengan bersyarat, bahawasanya hanya 1 yang tidak akan dapat di goda oleh iblis, iaitu, mereka yang benar-benar bertaqwa kepada Allah.
Dimana letak nilai diri kita didepan Allah. Apakah kita termasuk dalam janji Allah terselamat dari godaan iblis ini?.
Iblis sangat pandai merayu dan mengoda. mula-mula dia berjaya mengoda Adam dan Hawa. Allah telah mengingatkan kita, bahawa syaitan itu musih yang nyata bagi kita.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي الأَرْضِ حَلاَلاً طَيِّباً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."
Surah al-Baqarah : 168
Dalam berhati-hati pun, Nabi Adam dan Hawa berjaya digoda syaitan. Maka mereka bermohon keampunan Allah dengan membaca doa..
قَالاَ رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Keduanya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.
Surah al-a'raf :23
Kaabah juga dinamakan 'Baitul Makmur'. Kaabah diangkat di langit ke 7 oleh Allah. Kaabah dibina kembali oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Nabi Ibrahim, bila sudah tidak sampai memasang batu beliau berdoa kepada Allah. Maka malaikat diperintahkan Allah membawa batu Yakut, tempat pijak Nabi Ibrahim.
Jibril membawa batu Yakut putih bersih dari syurga. Cahayanya sejauh mana sampai, itulah Tanah Haram. Dari putih cahaya batu yakut inilah, yang dilekatkan di Hajarul Aswad.
Nama lain Kaabah, ialah BAITULLAH. Rumah Allah yang paling banyak diturunkan rahmat oleh Allah s.w.t. Banyak tempat-tempat yang mustajab berdoa diantaranya.
i) Multazam
ii) Rukun Yamani : Telah berdiri 70 malaikat, tugasnya mengaminkan orang-orang yang berdoa.
iii) Hajar al Aswad : 7,000 malaikat mengaminkan doa.
iv) Dibawah pancur Emas (Hijr Ismail) : bersolat di sini sama dengan solat dalam kaabah.
Mohonlah minta rezeki,kekayaan dan rahmat Allah.
v) Ketika minum air zam-zam : berdoa menghadap kaabah
Setiap hari, Allah menurunkan 120 rahmat bagi yang mengunjungi Baitullah. 60 rahmat bagi orang yang Tawaf, 40 rahmat bagi yang bersolat, 20 rahmat bagi yang memandang kaabah.
Adalah digalakkan kita memperbanyakkan tawaf sunat. Allah melipat gandakan 100,000 kali amalan kita . Begitu juga dosa yang dilakukan di tanah Haram ini, maka akan digandakan 100,000 kali. Pastinya kita sentiasa menjaga kesucian tanah haram walau dimana sahaja kita berada.
Sayugialah kita datang ke Makkah tanah mulia lagi suci ini, sebagai tetamu Allah yang mulia maka perlulah niat kita semata-mata untuk betul-betul beribadah kepada Allah s.w.t. Dengan itu, barulah kita mendapat rahmat dan keredhaan Allah. InsyaAllah.
Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment