السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Taklimat oleh Ustaz Mohd Ali Sudirman di Makkah, kesinambungan dari taklimat Tawaf al-Wada', antara lain menyentuh dan memberi tips mengenai tanda-tanda Haji dan umrah seseorang yang diterima di sisi Allah s.w.t. Di antara tanda-tanda Haji/Umrah yang diterima adalah seperti berikut.
Menurutnya, merujuk kepada Imam Ghazali dalam kitabnya, ada 3 tanda menunjukkan Haji/Umrah seseorang hamba Allah itu diterima.
Pertama : Masalah solat / sembahyang.
Waktu sebelum dia pergi, solat berbelang-belang. buat isyak, subuhnya hilang. tunai zohor, asarnya melayang. maghrib dibuat, isyaknya pula terbang. Maka, selepas umrah, tiada satu pun solatnya tertinggal lagi atau mungkin, solatnya hanya mingguan (jumaat), maka dia kini solat setiap waktu tanpa ketinggalan atau mungkin solatnya hanya tahunan (solat hari raya). Maka dia tidak lagi meninggalkan solat yang difardukan.
Namun, bagi yang tidak pernah solat, 1x seumur hidup sahaja dia solat. itupun di solatkan. sebelumnya tidak pernah masuk masjid, bila mati sahaja baru dia dibawa ke masjid. ini yang sangat kita takutkan. Nauzubillah.
Jadi, umrah yang diterima itu, makanya bukan sahaja solat fardunya tidak lagi ketinggalan, bahkan solat sunatnya juga jadi amalan. Samada Dhuha, tahajud dan lain-lainnya.
Kedua : Mengumpat dan Mengossip
Waktu sebelum ke Haji/ Umrah, dia sangat suka membuka keaiban orang, suka diumpatnya orang, suka difitnahnya orang, biasanya mak cik - mak cik, kini menjangkit pula pada pak cik-pak cik. menurut ustaz.
Perkara mengumpat ini, sangat dibenci oleh Rasulullah s.a.w. ini merujuk satu peristiwa di mana suatu malam, seorang sahabat dari orang afrika jumpa Rasulullah s.a.w. beliau menyatakan hajatnya dalam suasana gelap yang bertemankan lampu kecil dirumah Rasulullah s.a.w. Tatkala Aisyah keluar, berdetik dalam hatinya.. " hitamnya.."
Tatkala orang itu telah pergi, Aisyah mengeluarkan perkataan tersebut pada Rasulullah s.a.w. lantas rasulullah dengan tegas dan agak kemarahan.. muntahkan, muntahkan.., minta Aisyah memuntahkan isi perutnya. Aisyah pelik melihat ketulan daging yang berdarah, sedangkan sudah sekian lama tidak memakan daging.
Menurut rasulullah s.a.w, itu adalah daging saudaramu yang diumpat tadi. Ini lah menandakan betapa berat perbuatan mengumpat. Pastinya sahabat rasulullah itu, tidak marah, kalau dikata demikian, memang dia tahu dia hitam dah malam yang gelap itu, mungkin nampak giginya aje, menurut ustaz, namun untuk memberitakan bahawa, perkara benar pun jika aib, tidak boleh dikatakan.
menurut satu kisah yang dibentangkan oleh ustaz, suatu hari, Nabi s.a.w. bertanya sahabat, " Siapakah orang-orang yang bankrap:.. ada yang menjawab, apabila dagangan sudah habis, ada yang menjawab bagi yang bersawah berladang, hasil habis musnah di makan hama dan sebagainya, maka nabi kata,bukan itu yang dimaksudkannya. maka sahabat dalam kepelikan bertanya maksud rasulullah s.a.w. , jadi siapa yang bankrap..?
Nabi s.a.w. menjawab, orang yang mengumpat. Amal ibadahnya di pindahkan kepada orang yang diumpat. Dosa dan maksiat orang yang diumpat berpindah kepadanya.
Makanya apabila dia telah mengerjakan haji/umrah.. dia tidak lagi suka kepada mengumpat, baik mendengar dan campur sekalipun.
Ketiga : Tentang Harta.
Sebelumnya dia seorang yang bakhil. Sifatnya mewarisi sifat Qarun. Harta banyak tetapi sangat kedekut. Rasulullah s.a.w. sangat membenci sifat bakhil. seperti kisah sahabatnya sa'labah yang lupa diri apabila sudah berharta. saat diminta mengeluarkan zakat dia sangat sombong. hinggalah suatu ketika dia sedar, dia ingin mengeluarkan zakatnya, zakatnya sudah tidak diterima lagi oleh Rasulullah s.a.w.
Sedangkan nabi s.a.w. pernah tidak makan 3 hari berturut-turut. Baginda sangat lapar. Dengan malu beliau kerumah Saidina Abu Bakar, bertanya dengan lembut, Wahai sahabatku Abu Bakr... saya sekadar bertanya sahaja, ada tidak apa-apakah dirumahmu untuk di makan. Aku sudah tiga hari tidak makan.
Mendengar demikian, menangislah Abu Bakr sepuas-puasnya, Rasul yang mulia, tidak mempunyai apa untuk dimakan, sanggup berada dalam kelaparan... makanya saidina Abu Bakr pun menyatakan beliau pun sama seperti baginda Rasulullah s.a.w... maka beliau mengajak rasulullah s.a.w berangkat ke rumah Umar, manalah tahu ada apa-apa untuk di makan. Abu Bakr sahabat yang kaya sebelumnya, hartanya diinfakkan keseluruhannya untuk islam.
Sampai dirumah Umar, demikian juga dialog Abu Bakr kepada umar. Demikian juga Saidina Umar, menangis teresak-esak, menangis bersangatan. Tidak dapat dibayangkan Rasul yang mulia lagi kekasih Allah, sanggup belapar tidak makan kerana tidak ada makanan. Umar juga seorang yang dermawan. Dia juga tidak mempunyai apa lagi untuk di makan. maka beliau bercadang mengajak Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakr ke hujung kampung menuju rumah sahabat yang ada ladang kurma.
Bayangkan alangkah terkejutnya sahabat tersebut diziarahi oleh ketiga-tiga yang mulia tersebut. Dalam keadaan terperanjat, teruja bahkan sangat gembira. Tidak pernah dibayangkan nabi s.a.w yang mulia sangup menjejak kaki ke rumahnya. Langsung diajak masuk hingga dia tidak tahu apa nak buat kerana terlalu gembira.
Akhirnya apabila diketahui hajat baginda dan 2 sahabat yang mulia, dia menangis bersangatan juga, lantas terus belari keluar memanjat sendiri pohon kurma, memetik dan menghidang sendiri dalam tangisan. Dia merasa bersalah, dia punyai ladang kurma, sedang Nabi dan sahabatnya tidak makan 3 hari. dia sangat menyalahkan dirinya.
Rasul yang mulia, bila nak makan kurma pun, masih sempat berkata, 'ini juga akan ditanya oleh Allah s.w.t.".... sungguh sedih kisah tersebut... mengalir airmata, tatkala dikisahkan oleh ustaz di Makkah tersebut.
Ya... Rasulullah... Ya Khalifah Awal... Ya Khalifah Thani... sungguh mulia pimpinan kamu...
Maka, apabila umrah kita diterima oleh Allah, kita tidak lagi bersifat bakhil dan kedekut. kita pasti senang berderma, menginfakkan harta, lebih-lebih lagi ke sekolah-sekolah pengajian al-Quran.
Makanya, apabila telah diterima oleh Allah ibadah kita, ketiga-tiga perkara tersebut akan tertegak dalam diri kita. sebaliknya, jika tiada, maka perbanyakkan memohon ampun kepada Allah s.w.t.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment