Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Thursday, December 31, 2015

LABBAIK ALLAHUMMA LABBAIK

Kategori Tetamu Allah

Saudaraku, fahamilah bahawa ibadah umrah juga adalah ibadah utama bagi yang mampu dan telah terpanggil untuk menunaikannya. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: 

“Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon kepadanya, pasti diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan kepadaNya, pasti diampunkan.” (Riwayat Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim).

Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah para tetamu Allah. Manakala kedudukan dan tahap kesempurnaan jemputannya pula dapat ditentukan berdasarkan kepada ciri-ciri keutamaan dan keadaan persiapan seseorang jemaah sebelum terpilih dan dipilih untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Secara umumnya para tetamu Allah tergolong kepada tiga kategori;

1.    Tetamu yang dijemput dengan rahmat dan keredhaanNya
2.    Tetamu yang diterima dalam keadaan kemurkaanNya.
3.    Tetamu yang diterima tetapi tidak jelas kedudukannya.

Ketiga-tiga golongan ini termasuk dalam jaminan Allah SWT, iaitu doa dan taubat mereka akan dikabulkan Allah SWT jika mereka memohon bersungguh-sungguh kepada-Nya serta memenuhi segala syaratnya. Namun terdapat perbezaan dari segi layanan Allah SWT kepada mereka setelah mana mereka tersenarai dalam jemputan-Nya itu.


Ujian adalah kifarah     
   
Namun sifat pengampunnya Allah SWT masih memberi ruang dan peluang untuk para hamba-Nya bertaubat dan menginsafi diri. Walaupun hadirnya mereka mengundang kemurkaan Allah SWT disebabkan sikap yang ada pada diri mereka iaitu memberi keutamaan kepada nafsu dan bukannya untuk menyatakan ketaatan kepada Allah SWT. Tetapi Maha Pengasihnya Allah SWT masih membuka tawaran keampunan untuk hamba-hamba-Nya bertaubat dan menginsafi diri.

Justeru kepayahan, kesakitan, tekanan yang wujud semasa, sebelum atau selepas menunaikan haji dan umrah adalah kifarat serta ujian Allah SWT untuk para hamba-Nya. Sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah dan Abu Said Al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Tidaklah seorang mukmin dilanda kecemasan, kelelahan dan kesedihan, melainkan Allah SWT akan menghapuskan segala kesalahannya.”
(Riwayat Muslim)

Inilah hakikatnya komunikasi tanpa suara antara Tuhan dengan para hamba-Nya. Ujian terkecil malah yang terbesar adalah takdir Allah SWT. Ia mempunyai maksud tertentu untuk dibuat penilaian. Bagi para tetamu Allah khususnya, ia adalah sebagai ingatan atau kifarat daripada dosa moga hamba-Nya itu akan segera bertaubat, menyedari segala kesilapan sama ada dengan Allah SWT ataupun sesama manusia. Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, sama ada di dunia ataupun di akhirat, kecuali jika kita telah bertaubat bersungguh-sungguh sehingga Allah SWT mengampuni dosa-dosa tersebut.

Ujian sebenarnya melatih kita untuk mengubah ketrampilan diri bagi mendapat sifat-sifat terpuji. Sabar, redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri kepada Allah SWT, harapkan pertolongan Allah SWT, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Semuanya ini tidak dapat kita bezakan melainkan melalui ujian yang disediakan Allah SWT mengikut tahap keimanan kita bagi mencetuskan segala sifatmahmudah dalam diri.

Natijahnya apabila mampu membuat diri terasa berdosa ianya juga adalah hasilan dari sifat terpuji yang telah kita miliki. Kadang-kala Allah SWT dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukannya untuk menghina tetapi untuk memberi ingatan agar kita segera bertaubat dan tidak meneruskan dosa itu sampai bila-bila.

Banyak kisah pengalaman dari para jemaah haji atau umrah yang bertemu dengan pelbagai keadaan manusia yang dibukakan keaibannya oleh Allah SWT.  Mungkin itulah dia kifarat yang kadang-kala sehingga mencederakan perlaksanaan ibadah haji dan umrahnya. Bagaimana pula status haji atau umrahnya itu? Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Kita hanya mampu bersangka baik dan menilai dari lahiriah perbuatannya sahaja. Bila sah pada syarak maka sahlah hajinya. Terpulanglah kepada Allah SWT untuk menentukan nilai penerimaannya berdasarkan keikhlasan yang telah ditunjukkan sepanjang proses perlaksanaan ibadah tersebut.

Bagi mereka yang dikasihi Allah SWT, di dunia lagi Allah SWT hukum, tidak di akhirat, dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan dan sebagainya. Sekiranya kita boleh sabar dan redha, tentulah ada ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, ianya hanya akan menambah dosa pada diri kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada para hambaNya, tidak mahu menghukum kita di akhirat kerana penderitaan di akhirat yakni di neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia.

Petikan2 Dari kitab Dhuyufur- Rahman…



NILAI KITA DI SISI ALLAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Ramai yang ke tanah suci melahirkan kegembiraan dan kesyukuran.  Namun tidak ketinggalan juga ada yang pergi dengan keadaan diluar dugaan. Mereka sampai dalam keadaan tidak dilayan baik oleh  Tuan yang punya rumah.  Suasana kelam kabut sentiasa menghantui.  Ada waktunya sebelum dan dalam perjalanan bermula sudah agenda-agenda kesusahan yang pelik-pelik.

Nak di kata agensi salah. Sampai juga mereka.  Ada penerbangan, ada makanan ada hotel ada lawatan dan segala yang dijanjikan.  Tetapi kesukaran yang ditempuh sangat berbeza.  Tetiba Visa tidak keluar. Tetiba jadual penerbangan terpaksa ditukar.  Tetiba ada ahli rombongan tidak ada kenderaan menyebabkan kelewatan. Tetiba terpaksa menghadapi masa transit yang lama. Tetiba jadi kelam kabut  urusan  seterusnya. Penginapan, lawatan dan sebagainya. 
 
Hotel yang sama dengan jemaah lain juga di rasa masih tidak sesuai dengan cita rasa. Ada sahaja yang dirasa tidak kena,  apakah tanggapan dan sangkaan-sangkaan yang bermain di fikiran sebelumnya terbayar cash dengan kesusahan tersebut. Allahu a’lam.

Yang mampu untuk beselesa-selesa yang membayar mahal  di saat akhir tertaqdir pergi dengan pakej biasa, melahirkan kegembiraan yang teramat… MasyaAllah… Hebat insan ini..


Hebatnya bandingan seorang dengan seorang yang lain untuk sampai ke Tanah Haramain. Moga kita tidak termasuk di kalangan mereka  yang disulitkan Allah, untuk mejadi TetamuNya. Moga  Allah permudahkan kita semua. Aamiin, ya Rabbal Alamiin.