Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Monday, April 05, 2010

BUSUK HATI...?

بسم الله الرحمن الرحيم


Sabda Nabi saw yang bermaksud : Akan keluar di akhir zaman lelaki yang bertaubat tipu daya dengan memakai nama agama di dunia ini. Mereka menganjurkan manusia agar berpakaian yang baik (taubat) dari bulu domba yang halus. Lidah mereka lebih manis daripada gula, sedangkan hati mereka bagaikan serigala. (Hadith riwayat Tirmizi)

Hadith di atas membicarakan mengenai hati busuk seorang manusia. Mulut manis bagai gula, tetapi hati hanya Allah yang tahu.

Saban hari, ada sahaja insan-insan yang mengalami kesedihan disebabkan oleh perbuatan rakan sekerja. Namun pada yang menghadapi demikian, sukalah ana menasihatkan, banyakkan solat dan bersabar.

Ana sering berpesan pada teman-teman yang sering di hina, diaibkan, diperli, dijatuhkan dengan cara yang salah, difitnah. Sepatutnya kalian tidak perlu bersedih hati, bahkan melahirkan rasa syukur kepada Allah s.w.t. Berkali-kali ana menasihatkan siapa sahaja yang mengalami demikian, anda adalah seorang yang sangat beruntung. Kerana anda sering mendapat pahala percuma. Bahkan jika orang yang menzalimi anda tidak cukup pahala untuk diberi kepada anda, nescaya dosa anda akan berpindah kepadanya.

Lantas, kenapa kalian harus bersedih. Orang yang diperlakukan demikian, doanya tiada hijab dengan Allah. Pokoknya anda redha dan berlapang dada. Biarlah orang melakukan kezaliman kepada kita. Jangan kita pula yang berbuat demikian.

Memang tidak dapat di nafikan, banyak orang akan mencanang segala perkara yang dilakukan. Apakah anda juga ingin melakukan demikian. Anda ingin mendapat keredhaan Allah, atau kepujian orang. Tiada guna kita dijulang manusia, kalau di sisi Allah kita diletakkan di darjah yang terhina.

Busuk hati, itu ada di mana-mana. Bukankah Allah telah mengazab orang yang busuk hati ini di dunia lagi. Jiwanya tidak pernah tenang. Mereka disibukkan untuk mengintai-intai keaiban orang. Bahkan perbuatan mereka sangat meletihkan. Penuh kejelekan. Orang yang busuk hati dengan orang lain, jiwanya sangat terseksa. Sangat terbakar, membara, tak senang dengan kelebihan sesiapapun, walaupun tiada kaitan pada dirinya.

Lantaran demikian, apa yang digusarkan. Yakinlah… semakin kita diperlakukan demikian, rezeki dan keberkatan hidup kita di sisi Allah semakin bertambah-tambah. Yang penting, kita redha dengan setiap ujian dan mehnah dalam kehidupan. Mungkin mereka tidak pernah merasa nikmat ketenangan. Ketenangan satu barang yang tidak dapat dijual beli.

Yakinlah… orang-orang demikian, jiwanya tidak pernah tenang dan tenteram. Bahkan mereka tidak dapat melepaskan diri dari dosa terhadap anak adam, jika mereka tidak dapat memohon maaf dari empunya badan, setiap apa yang diperlakukan. Anda fikir, mereka ini, mudahkah untuk menyatakan segala perbuatan yang telah mereka kerjakan untuk melakukan demikian pada seseorang. Mereka kencang melakukan, tapi mereka sangat takut untuk berhadapan dengan kebenaran. Mereka adalah orang yang sangat susah mengakui kesilapan-kesilapan dan perbuatan-perbuatan jijik yang mereka lakukan. Mereka ni biasanya bermulut manis dengan orang-orang yang berkedudukan. Mereka mencari nama dengan cara yang penuh kesalahan. Namun… percayalah sebesar zarahpun setiap perbuatan dalam perhitungan Allah, Tuhan sekelian alam.

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Surah Al-Zalzalah 1-8

No comments:

Post a Comment