Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Saturday, April 10, 2010

PENDEKATAN DAKWAH BI AL-LISAN

بسم الله الر حمن الرحيم
Alhamdulillah hari ini kesedaran ibubapa mulai menyerlah untuk menghantar anak-anak mengaji agama. Tidak kiralah apa latar belakang mereka, mereka telah sedikit sebanyak mendapat kesedaran anak-anak perlu diselamatkan dengan agama. Menebus kesilapan diri yang banyak kekurangan dalam agama, maka langkah menghantar anak-anak adalah satu langkah yang dipuji.

Meskipun masih ada ibubapa yang belum mendapat kesedaran begini, di doakan semoga suatu hari mereka juga mendapat petunjuk Illahi ke arah ini.

Tidak di nafikan sangat susah untuk mendisplinkan anak-anak terutama yang datang dari latar belakang yang berbeza. Hingga ada yang asas fardu ain pun ‘zero’. Memang sukar untuk menjalankan dakwah dalam masa yang sangat singkat. Ianya memerlukan proses perhati dan lihat di samping dikendalikan dengan penuh hikmah serta kesabaran yang sangat tinggi. Jika para dai’ sendiri tidak sabar, apatah lagi mereka yang sedang mencari-cari ini.

Kepercayaan yang tinggi patut ada dalam setiap diri pendidik, bahawa niat murni ini akan mendapat pertolongan Allah. Dalam pada itu, kita tidak akan dapat lari dari bentuk ujian Allah kerana itu janji Allah. Allah akan menguji anak-anak tersebut, ibubapanya hatta pendidik dan pentadbirnya. Barulah keimanan kental kita di iktiraf oleh Allah s.w.t.

Namun, peringkat ketabahan masing-masing berbeza-beza. Ada yang tewas dipermulaan, pertengahan dan di akhir perjalanan. Pendidik-pendidik juga tewas dengan sifat kesabaran. Lantaran tidak dapat menyusun satu kata-kata indah yang memberi semangat dan keyakinan atas satu-satu ujian yang di hadapkan. Lantaran demikian, ada yang baru diperingkat permulaan dan pengenalan, salah faham. Walaupun niat pendidik demikian sangat murni untuk mencari kebaikan.

Namun sifat tergesa-gesa, kadang kala luar dari pengetahuan sebenar, sangat perlu diperhatikan. Kadang-kadang keputusan di buat bukan perkara yang di depan mata. Bahkan ianya semata-mata tangkapan pemikiran yang dibuat berdasar apa yang dikhabarkan. Lantaran demikian, menjaga satu perasaan, akan menghancurkan sebilangan besar perasaan yang lain.

Pastinya kita inginkan, menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus, tepungpun tidak berselerak.

Begitu juga dengan ibubapa, tidak dapat merasai semua anak-anak yang belajar bersama adalah anak-anaknya. Lantaran demikian aduan anak kandung sendiri, membuat kemarahan didada makin membara. Belum selidik, belum periksa, terus menerjah kata-kata pada pelajar lain yang diangap punya angkara. Biarlah kita bersikap menyanyangi semua anak-anak tersebut, bagai anak-anak kita. Kita Tanya secara baik dan sopan. Selidiki masalah mereka. Pertautkan kasih sayang mereka, jangan sekali merenggangkan mereka. Mereka semua anak-anak kita, menuntut ilmu yang sama, beragama yang sama, dibumbung yang sama. Semuanya berada dijalan mencari keredhaan Allah.

Perkara-perkara remeh yang merenggangkan mereka, hindarilah.. demi ihsan kita terhadap niat kita kepada Allah untuk mencari Mardotillah.

Ana tertarik dengan ungakapan, petikan dari tulisan Timbalan Mufti Selangor sedikit masa dahulu, bagi seorang para dai’e. Tulisan tersebut berbunyi..

“Di samping itu, pendakwah perlu menguasai prinsip asas yang terkandung dalam Islam yang berteraskan aqidah, syariah dan akhlak, serta dapat membezakan antara yang baik dan buruk, yang benar dan batil dengan sebaik-baiknya. Para pendakwah mempelajari perkara kebaikan untuk ia mengamalkannya serta menyeru orang lain untuk turut sama melaksanakannya. Pendakwah juga perlu mempelajari sesuatu keburukan dengan tujuan untuk memelihara atau membenteng diri daripadanya dan menyeru orang lain agar menjauhinya. Saidina Umar al-Khattab r.a. berkata, ‘Saya mempelajari kejahatan bukan untuk melakukannya, tetapi untuk menjauhinya dan sesiapa yang tidak mengetahui tentang kejahatan, maka ia akan terjebak (jatuh) ke dalamnya’.

Ini kerana, setiap individu itu, berbeza dari segi keadaan hidup dan kefahaman mereka, maka cara untuk berdakwah juga adalah berbeza. Cara berdakwah kepada orang yang berilmu berbeza dengan cara berdakwah kepada orang yang jahil. Oleh yang demikian, pendakwah perlu mendalami ilmu-ilmu kemanusiaan kerana dengan pengetahuan tersebut, pendakwah dapat mengetahui cara untuk berinteraksi dengan individu yang berbeza.

Pengetahuan tentang masyarakat juga amat penting kerana pendakwah perlu mengetahui keadaan sosio-budaya sesebuah masyarakat, termasuklah perkara yang berkaitan adat resam, cara hidup dan akhlak mereka. Pengetahuan berhubung cara untuk berkomunikasi juga amat penting dan perlu dititikberatkan oleh pendakwah agar apa yang cuba disampaikan dapat diterima dan difahami dengan mudah tanpa berlaku salah faham dan kekeliruan.”

Inilah serba sedikit yang dapat ana petik dari tulisan Timbalan Mufti Selangor tersebut. Ianya amat baik untuk di kongsikan bersama.

Lantaran demikian, benarlah firman Allah berbunyi :-
ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
Surah an-Nahl :125
Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment