Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Wednesday, April 21, 2010

USTAZ ABDULLAH : Kematian Suatu Kepastian



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

surah Ali Imran ayat 185,

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.


Mengupas tajuk berkaitan “kematian satu kepastian” dalam tazkirah pagi di MARA pada 21/4/2010, Ustaz Abdullah Samsudin membawakan sebuah hadis dimana, Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda melalui riwayat Abu Hurairah r.a,

“Perbanyakkanlah mengingati perkara yang menghapuskan segala kelazatan(dunia)(yakni mati)“[riwayat Tirmidzi,hadis hassan]

Sememangnya kematian satu hakikat yang pasti dan saban hari kita mendengar bahkan menyaksikan ada saja kematian dalam berbagai-bagai keadaan seperti kematian datang selepas terlantar sakit, terjatuh bangunan tinggi, lemas, kematian yang tidak disangka-sangka, nahas jalan raya dan bermacam-macam cara kematian lagi. Pastinya kematian itu tetap datang pada setiap insan.

Persoalannya, kita tidak tahu bila kematian datang pada diri kita, bila nyawa kita dicabut oleh malaikat maut. Apakah kematian kita datang dalam keadaan baik, atau terbujur sejuk, ruh naik ke langit. Roh kita diterima atau tidak oleh Allah. Adakah kita akan dihimpunkan dengan para anbiya’ atau auliya’?

Hari ini kita mengusung mayat orang lain, suatu ketika orang akan mengusung mayat kita pula. Kita solatkan jenazah orang lain. Akan sampai masanya orang lain pula solatkan jenazah kita. Satu hakikat yang pasti terjadi. Namun ramai yang melupakan soal kematian atau sengaja buat-buat lupa. Tidak mahu mengingati mati.

Cuba renung dan fikir-fikirkan masa depan yang sangat jauh yang menjangkau akhirat. Pertimbangkan samada kita telah mengumpul bekalan dan ciri-ciri seorang yang akan bertemu Allah di akhirat. Fikirkan lah perjalanan kita yang akan menempuh alam kubur, masyhar, hisab untuk bertemu Tuhan Rabbul Jalil.

Sebagaimana yang pernah ana sebutkan dalam tulisan yang lepas, bila mati anak adam akan terputuslah amalannya, kecuali 3 perkara, iaitu Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”.

Terputus maknanya terputus peluang menambah amalan. Tidak dapat ditokok tambah lagi melainkan dengan 3 cara di atas. Lantas cuba renungkan

i) Banyak mana harta yang telah kita sedekah dan wakafkan. Di mana harta tersebut selama digunakan orang, selama itu mengalir pahalanya.

ii) Ilmu yang bermenafaat. Apa ilmu-ilmu yang menafaat yang kita ajar atau sampaikan pada orang lain. Pahalanya juga berterusan. Lebih-lebih kalau kita mengarang kitab yang sentiasa dibaca orang.

iii) Anak yang soleh. Apakah kita telah Berjaya mendidik anak-anak soleh yang
Bertaqwa dan berwibawa terhadap agama. Menjadi impian ibubapa memiliki anak yang soleh.

Anak soleh tidak akan berhasil dengan didikan yang toleh. Ianya memerlukan didikan yang berterusan, seperti binaan yang tersusun rapi. Ini hanya diperolehi bagi ibubapa yang menghantar anak ke pintu gerbang ketaatan.

Marilah kita fIkir-fikirkan dan renung-renungkan bersama, 3 perkara di atas. Hayati dan menafaatkanlah apa yang telah dibentangkan ini.

Inilah sedikit sebanyak ilmu yang dapat ana petik dari tazkirah pagi yang dibacakan oleh seorang ustaz pagi tadi. Apa yang baik itu dari anugerah Allah s.w.t dan yang sebaliknya itu adalah kelemahan diri ana sendiri.

Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment