Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Thursday, April 22, 2010

NIK SYUHARUL APIZO : Cara Menghadapi Musibah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

TAZKIRAH PAGI 22/4/2010 DI MARA

Memulai tazkirah pagi, Akhie Nik Syuharul memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t atas hidayah, petunjuk dan kebahagiaan anugerah islam bagi semua kita di bumi Allah ini.

Akhie Nik, melontarkan persoalan, “Mengapa kita sebagai manusia yang tidak lekang terhadap apa-apa ujian dan kejian terhadap kita di mana-mana atau di bahagian masing-masing?”

Bagaimanapun beliau mengajak kita tidak perlu risau terhadap musibah tersebut, lantaran memberi panduan bahawa Allah telah mengajar kita cara menghadapi situasi tersebut.

Sebagai perkongsian beliau menghidangkan cara-cara menghadapi musibah sebagaimana yang diajarkan oleh Allah s.w.t.

Setiap orang bila menerima musibah maka akan terkeluarlah 3 sikap di bawah :-

Pertama, PENOLAKAN: sikap ini wujud bagi yang tidak dapat menerima hakikat, semangat hilang dan tidak dapat menerima ujian atau musibah tersebut. Maka ia akan lari dari hakikat kebenaran. Maka keadaan ini akan menyebabkan jiwa lebih tertekan. Hati berasa sempit, keliru.

Islam mengajarkan : kita kena berani menghadapi hakikat, berlaku jujur kerana ianya membuat kita semakin tenang. Terimalah segala kekurangan dan kelemahan kita. Sekiranya kita tidak dapat menerima, maka tidak dapatlah kita untuk membuat perubahan kepada yang lebih baik.

Keduanya, MENGELUH: Sikap kita menerima ujian tersebut dengan keadaan marah, mendengus, salahkan orang lain. Kita harus pasrah dan tidak boleh menyalahkan taqdir, tatkala melalui saat-saat yang getir. Sedangkan mengeluh tidak akan dapat mengubah apa-apa. Jika kita melakukan demikian, maka keadaan semakin tertekan dan terhimpit.

Islam mengajarkan: kita perlu bersikap Muqarrabah. Mendekatkan diri kepada Allah, dengan selalu merasai di awasi. Kita perlu menyedari bahawa Allah melihat apa yang kita lakukan dan ada nilaian di sisi Allah jika kita buat sesuatu dengan betul dan baik. Dimana, di waktu senang kita tidak lupa kepada Allah, apatah lagi waktu susah kita bergantung harap dan penuh pergantungan kepada Allah. Barulah hati kita akan menjadi tenang dan bahagia.

Ketiganya, TERIMA APA KETENTUAN HIDUP: Sikap ini menerima dalam keadaan tidak marah, tidak angkuh. Jika salah kefahaman maka akan putus asa, hilangnya semangat, murung, tidak ceria dan kusut fikiran.

Islam mengajar kita menerima kesusahan di samping ada usaha dan tawakal kepada Allah. Setelah berusaha, kita berserah kepada Allah. Jika perniagaan atau perkerjaan yang gagal kita ubah dengan usaha baru. Rumahtangga yang goyang, kita usaha perbaiki. Apa-apa yang diluar kemampuan kita.., kita serahkan kepada Allah.

Dengan adanya konsep muqarrabah maka kita akan berasa tenang. Jika tidak, rasa bagai dihempap bukit.
Sesungguhnya manusia akan diuji. Dihujung ujian bagi mereka yang tidak putus asa, berusaha, tenang, berjuang bersungguh-sungguh, maka ia adalah pemenang dalam ujian tersebut.

Maka kefahaman kita dalam hal ini merupakan sumber kekuatan dalam jiwa dan organisasi, dan kita diseru ayuh.. bersama-sama berjuang melalui kefahaman yang kita ada ini. InsyaAllah, akan lahirlah pekerja yang berjiwa kental dan cemerlang dalam organisasi kita.
Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment