Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Thursday, April 08, 2010

USTAZ BASRI (PERHEBAT) : Peliharalah Allah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

PETIKAN KULIAH DI SURAU MARA 8/4/2010

Jam 1.00 tengahari, jiwa semakin kencang untuk ke tingkat 11. Semalam ana MC, serasa satu kerugian besar bila tidak mendengar kuliah. Majlis ilmu sangat memberi ketenangan dan keberkatan. Itulah janji Allah, yang telah terbukti dan banyak yang telah ana kecapi. Semakin hari, terasa hidup makin indah. Rezeki datang mencurah-curah. Peluang semakin bertambah-tambah. Alhamdulillah, beberapa kali ke Baitullah, berziarah juga makam Rasulallah, membuat hidup ini terasa amat indah. Walaupun semalam terpaksa MC namun sakit bulanan itu satu anugerah Allah untuk menghapus dosa, atau mungkin memberi pahala.

Apapun, hari ini tatkala sampai, Alhamdulillah, ustaz belum mula. Biasa ustaz menunggu jemaah. Terfikir juga, ustaz dah maklum sangat pukul berapa patut bermula di surau MARA ini. Apapun bermula sahaja ustaz mengeluar kata-kata, sudah serasa lapang dan segar di dada. Memulai kuliah, Ustaz, membuka dengan sebuah hadis yang diajarkan oleh baginda Rasulallah s.a.w. .

Sayyidina Umar r.a. pernah berdoa kepada Allah yang bermaksud :
"Wahai Tuhanku, peliharalah aku dengan Islam sewaktu aku berdiri, peliharalah aku dengan Islam waktu aku duduk, peliharalah aku dengan Islam waktu aku tidur. Janganlah Engkau biarkan terhadap diriku menuruti musuh dan orang-orang yang dengki terhadap diriku."

Marilah kita menyata dan memanjatkan kesyukuran kerana ditemu dan diisi nikmat waktu hidup dan hati kita bahawa kalimah-kalimah ubat hati yang terdapat dalam dada-dada kamu. Dalam waktu yang terbatas, ustaz mengajak kita memahami intipati doa yang diajar nabi s.a.w. kepada Sayyidina Umar al khattab. Dimana di situ ada satu kalimah yang sinonim iaitu ‘PELIHARA’.

Ketika Nabi mengajar, doa ini merupakan satu kesinambungan dalam satu hadis

Diriwayatkan oleh Tirmidzi Abu Abbas, Abdullah bin Abbas berkata :

Saya pernah berada di belakang Nabi pada suatu hari. Beliau bersabda,

” Wahai anak saya hendak mengajarimu beberapa kalimat, Jagalah Allah niscaya Allah menjagamu, jagalah Allah niscaya engkau mendapatiNya bersamamu, jika engkau meminta, mintalah kepada Allah , jika engkau minta tolong, mintalah kepada Allah. Ketahuilah bahwasanya, jika umat manusia bersatu untuk memberimu manfaat dengan sesuatu, mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu, dan jika mereka bersatu untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah mengering (tintanya)."


SYARAH AL HADIS :

Nabi hendak menekankan bahawa, …

Peliharalah Allah, nescaya (Dia) akan memelihara kamu.Maksudnya: Kita hendaklah sentiasa memelihara hukum hakam Allah, hak Allah, perintah Allah dan larangan Allah. Iaitu dengan mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.Amalan wajib yang paling utama agar dipelihara ialah ibadah solat. Dan juga termasuk kedalam makna pemeliharaan ini ialah kita mesti memelihara anggota badan kita daripada melakukan perkara perkara haram.

Sayyidina Umar hendak mengajar, kita peliharalah Allah. Bagaimana nak pelihara Allah. Di sana Ulama’ Salaf menyebut , apabila seseorang itu berada dalam keadaan Sakarat… Sakarat al maut.. dalam bahasa kita nazak. Sebelum Alam barzakh, alam transit, sementara datangnya kiamat. Bila berlaku kiamat itu, Allah mengatakan tiada siapa yang tahu melainkan Allah.

Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui’.” (Al-A’raaf: 187)

Kiamat itu dahsyat. Tidaklah ia datang melainkan dengan tiba-tiba. Bagaimana dengan kiamat yang sebenarnya? Tentu saja lebih dahsyat, lebih besar, dan lebih mengerikan. Dan Al quran banyak menyebutkan tentang kejadian di hari kiamat. Terjadinya kiamat adalah hal yang ghaib. Hanya Allah saja yang tahu. Tidak satu pun dari makhlukNya mengetahui bila berlaku kiamat, baik para nabi maupun malaikat.

Allah SWT. Berfirman, “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat.” (Luqman 34).

Jadi bila seseorang dalam Sakaratul maut, Ulama’ Salaf mengatakan, bila hampir ajal seseorang, Allah memerintah malaikat, ciumlah kepalanya. Lantas malaikat berkata dikepalanya ada al-Quran. Al-Quran berada di kepalanya.

Allah perintah lagi ciumlah hatinya. Malaikat mengatakan di dadanya ada puasa.

Allah memerintahkan lagi ciumlah di dua tapak kakinya. Malaikat mengatakan di kakinya ada sembahyang. Bila kita akan mati, Allah akan memerintah perkara yang sama.

Dalam riwayat di katakan, malaikat mengatakan bahawa orang ini memelihara dirinya, maka Allah akan peliharanya.

Lalu muslimin muslimat yang dirahmati Allah, berdasarkan ayat ini, ada 3 perkara pokok. Apakah maksud semua yang dinyatakan itu.

Mengikut struktur badan, memanglah kepala tempat yang paling mulia, paling tinggi, kedudukan yang boleh lanskap dunia. Cerdik pintar, semua di sini. MARA menghantar pelajar berbagai bentuk pengajian kerana kecerdikan kepala ini.

Menurut Ustaz, beliau mendapat berita, Dalam internet hari ini, dahsyat.. pelajar –pelajar doktor al –Azhar buat majlis makan malam lebih hebat dari barat. Di sediakan hotel bagi pasangan terbaik. Bumi para nabi dan para rasul dilakukan begini.

Lihat sendiri macam mana mereka menyambut makan malam … kalau ini dibentuk, kalau tiada otak al-Quran, cerdik pintar semata-mata, tetapi kepala yang tiada Quran, inilah akibatnya, bumi anbiya’ dicemari. Memang benar kata nabi s.a.w. “ akan datang kepada kamu satu saat/masa, Quran jadi perkara yang tinggal hanya tulisan-tulisan. Rasmi-rasmi…

Quran dijadikan hantaran. Sedangkan waktu membawa , mengusung entahkan ada air sembahyang atau tidak. Entah uzur entah tidak. Nasihat ustaz , tak payahlah buat Quran sekadar hantaran. Di samakan macam hantaran bersama kasut aje. Lantas ada yang bawa Quran, kemudian berjoget lambak di lakukan dalam perkahwinan.

Awal surah al-baqarah, Allah letakkan Quran. Kitab yang tiada keraguan bagi kamu. Tapi hari ini, bagaimana kita perlakukan Quran. Secara jelas Quran sebut, peminum arak di sebat.

Kita pandai-pandai tukar boleh buat kerja-kerja sosial. Soalnya….Boleh ke tak boleh. Bukan untuk menghina instituisi Sultan, tidak… tapi untuk menyebut bahawa hukum dan undang-undang dalam islam menyebut arak bukan di bawah hukum takzir.

Ada 3 bentuk undang-undang Islam. Hudud, Qisas dan Takzir. Hudud: di antara kesalahan arak hukumnya di sebat. Zaman kita jadi 6 sebat kemudian di tukar kerja sosial. Walaupun menteri kata ‘jangan mempertikaikan, ini hak mutlak sultan.

Ini buka hak mutlak manusia. Tapi hak mutlak Allah. Nak sebutnya…. itulah contoh yang jelas berlaku. Kesan dan akibat bila dikepala tiada Quran. Arak adalah satu kesalahan boleh merubah manusia jadi jahat, arak boleh merubah manusia jadi binatang dan arak boleh merubah manusia berbuat kerosakan.

Arak, Mencuri dan seumpamanya di bawah hudud.

Itu yang hendak disebut, bila menghadapi sakarat malaikat cium di kepala. Jika ada Quran, maka mereka adalah mereka yang memelihara hukum hakam Allah.

Maksud di dada/ hati pula ada puasa. Bukan maksud tahan lapar dahaga. Maksud di sini orang yang memelihara Allah, menjaga diri dari nafsu . hati yang mengajak manusia ke jalan yang benar. Hati di letak pada Allah. Tidak ikut nafsu yang tidak mengambil kira halal haram. Berbuat segala dengan Menghalalkan cara.

Memelihara hukum hakam yang berhubungan dengan amalan-amalan hati seperti keimanan (akidah), keikhlasan, rasa takut, cinta, harap dan sebagainya. Begitu juga seperti memelihara hati dari daripada segala jenis penyakitnya. Maka memelihara amalan hati ini adalah lebih penting dari memelihara amalan yang tidak bersangkutan dengan hati. Memelihara hukum hakam yang bersangkutan dengan amalan anggota yanq zahir. Apakah amalan itu membawa kepada kebaikan agamanya seperti solat, menutup aurat dan sebagainya atau yang dapat membawa kepada kebaikan dunianya iaitu muamalat atau aktibiti yang mendatangkan faedah.


Bila solat, kita Qiam. Berjalan, bergerak atas tapak kaki. Surah mukminuun. Orang-orang yang memelihara sembahyang, hebat di sisi Allah, datang pemeliharaan Allah ke atasnya, mereka di jamin dengan syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Maknanya mereka menjaga prinsip-prinsip sembahyang, hakikat-hakikat sembahyang yang mengajar segala bentuk ketaatan, di dalam dan diluar sembahyang. Tapi kebanyakan lepas sembahyang tak jaga. Aurat tidak jaga.

Bila malaikat mencium semua itu, malaikat menyatakan orang ini telah menjaga Allah. Solat bukan menjaga waktu sahaja. Tapi penyerahan sepenuhnya kepada Allah. Justeru itulah hadis mula tadi di ajar oleh nabi kepada sayyidina Umar.

Agar segala ketika terjaga dengan islam.

Imam Nawawi mengatakan , bila Allah pelihara seseorang, Allah pelihara 2 perkara.

Pertama : Urusan hidupnya
Kedua: Urusan akhiratnya.

Penjaga bergilir-gilir depan, belakang, dia tidak akan melangkah ke tempat-tempat yang tidak baik. Kadang-kadang pada pandangan mata, satu musibah, tapi Allah hendak mengangkat makam kebaikan padanya.

Lalu antara yang disebut, Allah pelihara, badan, harta, keluarga. Dirinya tidak pergi ketempat maksiat. Dia melangkah ke rumah Allah.

Terjaga dari sesuatu yang haram. Akhirat nanti Allah menerima siapa yang paling baik amalan.

Kesimpulan,
Kata-kata ringkas “Peliharalah Allah” memberikan pengertian yang cukup mendalam. Ia bermaksud memelihara dengan sebaik-baiknya batas, hak, perintah dan larangan Allah Taala. Beriltizamlah dengan perintah Allah, jagalah batas hukum Allah, jangan kamu menghampirinya dan jangan sekali-kali cuba untuk melampauinya. Memelihara perintah Allah dengan melaksanakannya dan memelihara larangan Allah dengan manjauhinya.
Firman Allah di dalam surah Qaaf ayat ke-32 hingga 35 memberikan penghormatan yang tinggi kepada hamba-hambaNya yang memelihara segala hukum dan peraturan Allah.

Allah menjamin orang yang memelihara Allah, mendapat rahmat dan barakah, rezeki halal anak-anak yang sejuk mata memandang.
Itulah sedikit sebanyak ilmu yang di sampaikan oleh ustaz. Ana cuma memetik dan memanjangkan kepada semua saudara islam yang lain. Apa yang baik itu, dari Allah s.w.t yang tidak itu adalah kelemahan diri ana sendiri. Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment