YA ALLAH AMPUNI LAH KAMI...بسم الله الرحمن الرحيم
Setiap kita adalah pendukung risalah islam. Dalam membawa risalah islam kita perlu kepada satu penyediaan diri yang baik agar menjadi contoh dan ikutan pada orang lain. Perlu di fahami asas akidah yang teguh dan kuat adalah akidah salimah (akidah yang lurus). Ibadah yang kita buat untuk mencari keredhaan Allah yang merangkumi kesyumulannya untuk seluruh ruang lingkup urusan kehidupan.
Karena tugas kita di dalam hidup ini ialah beribadah kepada Allah yang bererti hidup kita ini seluruhnya adalah ibadah kepada Allah: "Aku tidak menjadikan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadat kepadaKu." Az-Zariyaat: 56
Saidina Umar al-Khattab pernah menyebut, bahawa -Allah muliakan beliau kerana Islam, apabila kita meninggalkan Islam maka kita akan dihina oleh Allah.
Kita ada mendengar, sebutan akan datang satu zaman dimana kambing lebih mulia dari tuan. Bila di fahami ungkapan tersebut, baru kita faham apa yang berlaku pada hari ini adalah peringatan dari Allah atas perbuatan-perbuatan manusia. Manusia hari ini terlalu dzalim.
Bayangkan bukan setakat buang bayi kita temui hari ini. Ada yang sanggup blender bayi. Ada yang sanggup bakar bayi, untuk pastikan mereka ini mati, di cabut-cabut anggota mereka seperti kaki tangannya.
Hari ini akhlak manusia lebih hina dari binatang. Maka sebagai pendukung islam, kita seharusnya memelihara akhlak yang sejati. Akhlak Rasulullah s.a.w. sebagai Uswatun Hasanah. Kuatnya umat islam kerana akhlak sejati yang diturunkan Allah dan rasulNya yang menjadi ikutan. Kalau kita sendiri tidak dapat memiliki akhlak yang teguh, bagaimana kita untuk membawa risalah Allah.
Kita sebagai pendukung Islam, tak kira lah kita sebagai pelajar bidang keagamaan, pekerja atau apa jua. Kita tetap hamba Allah. Hamba Allah yang perlu menjaga kesucian islam, agar tidak tercedera Islam dengan akhlak kita.
Sifat dan akhlak Islamiyah yang mulia seperti yang dianjurkan kepadanya oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. segala kegiatan hidup berasaskan sumber ini. Kita perlu mempunyai akhlak muslim yang sejati supaya menjadi contoh bukan setakat teori sahaja. Akhlak mulia Rasulullah s.a.w. dan dikalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. menyebabkan ramai yang tertarik kepada Islam.
Teladan kita ialah Rasulullah s.a.w. Dan, akhlak Rasulullah s.a.w itu ialah al-Quran. Banyak hadis-hadis Rasulullah yang mendorong kita berakhlak dengan akhlak yang mulia di antaranya: "Aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."
Terlalu tinggi nilaian disisi Allah s.w.t atas sifat taqwa dan akhlak mulia dari hamba-hambanya.
Hingga disebutkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. : "Sesuatu yang paling berat dalam timbangan pada hari kiamat ialah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik."
Namun, suatu perkara yang sering kita abaikan ialah sifat marah. Marah kita, tidak lansung seperti marahnya para sahabat Nabi s.a.w. yang mana marah mereka semata-mata kerana Islam. Kita pula marah pada perkara-perkara kecil hingga membawa kepada besarnya kemusnahan hasil dari kemarahan.
Sayang sekali kalau kita yang duduk dalam suasana sebagai pendukung risalah Islam, kita tidak dapat menghalakan kemarahan kita pada tempat yang betul. Hingga, tercederanya risalah agama itu, bukan sahaja pada diri, namun ibubapa dan guru-guru kita.
Lebih menyedihkan Nama baik Islam itu termusnah gara-gara sifat marah kita.
Saidina Ali k.w pernah menyebut, “Kemarahan itu laksana api, barang siapa yang dapat menakluki api itu, maka dapatlah ia memadamkan api tersebut, tetapi apabila tidak ia akan membakar dirinya sendiri.”
Sifat hilm adalah satu sifat yang mampu menguasai dan menahan diri dari kemarahan.
Dalam perkara ini Rasulullah saw. bersabda: "Bukanlah orang yang kuat itu mengalahkan orang lain dalam satu pertarungan tetapi yang kuat itu ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah."
Mungkin anak-anak kita tidak mendapat contoh yang baik dari kita. Kerana kelalaian kita sendiri dalam perkara ini. Maka sebagai mengingati diri sendiri, dan sebagai ilmu yang bermenafaat untuk yang lainnya, maka kuasai anak kita dengan kasih sayang, bukan kemarahan. Kemarahan kita selalu nya tidak kena pada tempatnya. Hingga mereka tidak dapat membeza yang baik dan yang buruk. Kemungkinan berlakunya perkara tersebut pada anak kita adalah dosa kita. Semoga Allah memberi keampunan kepada kita semua termasuk anak-anak kita.
Hasil dari kemarahan perkara kecil boleh jadi besar, kerana marahnya mereka pada perkara yang tidak perlu. Semoga Allah banyak membantu dalam kita semua melahirkan generasi taqwa. Sebaiknya kita membaca doa ini, lebih2 bila mencecah umur 40 tahun.
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي
ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
"Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri ni'mat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".”