Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Tuesday, May 04, 2010

USTAZ MAZLAN : Berkerja Menurut Islam

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Konsep kerja menurut Islam adalah meliputi segala bidang ekonomi yang dibenarkan oleh syarak dan diperbolehkan menerima upah atau bayaran, sama ada kerja itu berjawatan tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, sama ada kerja itu bercorak jasmani (flzikal) seperti kerja buruh atau kontrak, perladangan atau pertanian, pertukangan atau kraf tangan dan sebagainya atau kerja bercorak aqli (mental) seperti jawatan pegawai di jabatan-jabatan, baik yang berupa perguruan, iktisas atau jawatan perkeranian dan teknikal dengan kerajaan atau swasta

Terdapat penjelasan tentang konsep kerja dari keterangan hadis-hadis Rasulullah (s.a.w), Antara hadis-hadis tersebut ialah:

"Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri".
(Riwayat al-Bukhari)

Dengan usaha tersebut, makanya ianya membawa kepada satu perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju, dan terbaik kepada cemerlang.Bagaimana yang dikatakan ianya membawa kepada kecemerlangan?


Firman Allah berbunyi :-
إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
Surah ar-Ra'd :11
Menurut Ustaz, Sejarah telah membuktikan

Rasulullah s.a.w. bukan setakat menyampaikan risalah Islam malahan baginda adalah contoh pengurusan yang begitu Unggul. Di mana baginda mempunyai keperibadian yang sangat tinggi, apabila bekerja, baginda bekerja dengan taat dan tekun. Ini dibuktikan sewaktu baginda manjalankan urusan perniagaan Siti Khadijah binti Khuwalid(isteri Nabi) dan juga bapa saudaranya Abu Talib.

Etika kerja yang melanggar syariatkan Islam seperti menipu, zalim dan menindas, maka sudah pasti dunia pekerjaan akan tercemar. Apa yang nyata, keperibadian mulia seorang pekerja dan majikan, hendaklah diberikan penanda aras paling tinggi dan utama. Ini kerana jika pekerja dan majikan bersifat amanah serta tidak menyalahguna pangkat atau kuasa dalam mentadbir; nescaya akan mendapat keredhaan Allah s.w.t., mendapat keberkatan rezeki, dipercayai oleh pekerja dan organisasi, serta membawa kemakmuran kepada organisasi.

Sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda :-

“Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat kelak ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke neraka bersama-sama hartanya.”
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari

5 cabaran sentiasa mendepani organisasi yang cemerlang iaitu perubahan minda dan sikap yang mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, pembangunan modal insan yang berilmu dan mahir, budaya kerja berasas prestasi, dan daya kepimpinan yang unggul.

Atas dasar inilah dengan berusaha bersungguh-sungguh akan menunjukkan kecemerlangan. Disamping berdoa kita di minta berusaha. Doa tanpa usaha ianya merupakan angan-angan kosong sahaja. Gabungan doa dan usaha baru sempurna untuk mendapat kekayaan yang diimpikan dengan keizinan Allah. Kejayaan dengan hasil kerja tekun dan didikasi inilah yang dimaksudkan satu jihad.
Allah s.w.t. telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam.

At-Tabrani meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya:

“Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”

Secara amnya manusia yang berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan yang ada, penghayatan dan penuh ketelitian, dan pengamalan ilmunya, serta melaksanakan tugas yang sentiasa mencapai atau melepasi ukuran cemerlang. Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku yang sentiasa berhemah tinggi, berbudi pekerti mulia, dan menerima tanggungjawab sebagai amanah.

Sebagai penjawat di sesebuah organisasi, kita tidak dapat lari daripada menerima kesan daripada perubahan ini. Jika kita tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan ini dikhuatiri kita tidak akan mampu menyampaikan perkhidmatan seperti yang dituntut oleh masyarakat luar yang telah berubah mengikut persekitaran. Bagi melahirkan organisasi yang gemilang, individu yang menggerakkan organisasi mestilah terlebih dahulu cemerlang.

Marilah bersama-sama kita bermuhasabah diri, sejauhmanakah kedudukan kita dalam dunia pekerjaan ini?. Adakah kita telah membawa perubahan kepada diri, keluarga, negara, organisasi dan kepentingan agama kita?. Dalam keadaan kemelestan ekonomi dunia sekarang, banyak pihak mengurangkan produk pengeluaran dan jumlah pekerja mereka. Namun kita sebagai penjawat awam atau swasta yang masih bekerja hendaklah bersyukur dan meneruskan usaha ke arah perkhidmatan cemerlang; bekerja dalam konteks amal soleh dan nilai-nilai murni bagi memastikan perubahan yang lebih positif terus dicapai.

Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 105:
وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah s.w.t. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah s.w.t. yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dab nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Semuga petikan Tazkirah yang disampaikan oleh ustaz membawa dan memberi menafaat pada kita semua warga pekerja begitu juga muslimin muslimat yang ingin mengambil menafaat darinya. Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment