Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang masih menghidupkan kita hingga ke saat ini, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. atas risalah yang dibawa yang membentuk kita memegang ketaatan dan ketaqwaan kepada yang maha Esa.
Tidak dapat dinafikan, semakin hari semakin banyak permasalahan hidup yang kita perhati, manusia sudah tidak tenang lagi. Ada yang lari, ada yang bunuh diri. Ada yang taat, ada yang maksiat. Berbagai puncalah yang menjadi kemungkinan. Soal keluarga yang kucar kacir, soal hutang, soal kemiskinan, namun semua permasalah hari ini punca utamanya tiada keimanan dan ketaqwaan yang menjadi pegangan.
Bila iman dan taqwa dibuang ke tepi, hidup tercari-cari perkara yang tak pasti. Hidup mengejari apa yang patut di hindari. kerana semua itu akan lebih membelit kehidupan yang menghalang dekatnya kita kepada Tuhan. Salah satunya, hutang. Bila banyak barang yang kita kejar. Banyak hutang terpaksa dibuat. Banyak masa terpaksa dikorbankan. Banyak kesakitan yang di tanggung badan. Banyak pengabaian yang dilakukan. Bukan setakat keluarga, bahkan Tuhan yang Esa.
Apa yang kita cari, menghabiskan masa yang begitu panjang mencari sesuatu yang akan kita tinggalkan. Penat kita mencari nilai kehidupan yang dibanding-banding dengan orang. Hingga masa kita mengumpul bekalan sangat bekurangan. Amalan terlalu minima. Bagaimana kita akan berhadapan dengan kebenaran hari yang dijanjikan.
Justeru itu, sama-samalah kita mengumpul kekuatan, tiada daya dan upaya kita tanpa pertolongan tuhan. Mari kita amalkan sebuah doa yang boleh memberi kita kekuatan :
Doa penawar dan penyejuk hati dari kesedihan, rasa malas, kebingungan, ketidak mampuan, keterlilitan hutang, dan bakhil .
اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ ُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ و الحَزَنِ, و أَعُوذ ُ بِكَ مِن العَجْزِ وَ الكَسَلِ, وَأَعُوْذ ُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَ الْبُخْلِ, وَأَعُوذ ُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَ قَهْرِ الرِّجَالِ
"Ya Allah aku berlindung kepada-Mu dari kebingungan dan keduka-citaan, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan bakhil, aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang penindasan orang-orang".
Tidak rugi mereka yang mengambil sekadarnya sahaja dalam kehidupan yang sementara ini. kerana kehidupan yang kekal abadi bukan di sini. Tidak memadai kita mengejar keseronokan yang sebentar, lebih-lebih banyak perkara mungkar yang terlanggar, untuk sampai ke kehidupan yang benar-benar kekal bergantung atas persediaan yang menjadi bekal. Sekiranya bekal baik yang kita bawa, selamatlah kita, jika sebaliknya.. moga dijauhkan oleh Allah yang maha kuasa.
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعينسبحان ربك رب العزة عما يصفونوسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
No comments:
Post a Comment