Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Wednesday, May 05, 2010

SEBUAH HARAPAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Hancur berkecai hati seorang ibu apabila mengharapkan anak-anak menjadi insan berguna, namun dipersiakan oleh anak tersebut. Ibu menatang anak bagai minyak yang penuh. Sanggup berkorban apa sahaja demi melihat anak-anaknya gembira dan bahagia. Sewaktu kecil anak di jagai dengan penuh ketelitian, kesempurnaan hingga seekor nyamuk hinggap pun menjadi buruan.

Namun bila anak mulai dewasa ia telah menampakkan belangnya. Dia telah mulai memberontak jika tidak mendapat apa yang diingini. Merajuk bukan kepalang lagi. Puaslah si ibu tadi memujuknya. Bila melihat anak tersenyum kembali, rasa puas di hati.

Itulah seorang ibu. Menanti-nanti kebahagiaan sejati pada anaknya. Ada waktu anak inginkan sesuatu, sedang si ayah membantah, si ibu menyorok-yorok untuk memberi si anak tadi apa yang diidami. Saat itu ibu tidak lagi memikirkan kesan dari tindakan demikian, yang ibu itu tahu keinginan anaknya harus dipenuhi. Walaupun dia lupa, mengingkari suami itu sangat besar dosanya di sisi Illahi.

Tanpa peduli, ibu terus menerus memanjai dan memenuhi si anak. Sayangnya tidak semua menyedari bahawa anak tersebut perlu di penuhi dari segi rohani. Bila kerohaniannya kosong, dan tidak berisi, pasti akan mendatang masalah besar pada suatu hari nanti. Meskipun ada sebilangan kecil tidak begini. Mereka sentiasa mementingkan didikan rohani untuk mencari redha Illahi.

Inilah kunci kebahagiaan sejati. Namun ramai yang tersedar lewat dari masa yang sepatutnya. Bila anak tadi sudah kekeringan ilmu agama, pecampurannya melata tak terkira, akhlaknya cukup mengecewa, saat itu sesalan sudah tidak berguna. Ketika ini, ibu tadi mula teraba-raba mencari satu pelita, yang boleh menyuluh kembali kegelapan yang menyelubungi anaknya.

Lantas, jalan mudahnya barulah mencari pusat-pusat pengajian agama. Anak pergi dalam keadaan terpaksa. Tidak hairanlah datangnya ia dengan tabiat lama. Pastinya bila bersama mereka-mereka yang benar-benar ingin mendapat didikan yang sempurna, tergugat juga dengan wadah yang dihidangkan mereka. Saat ini, pastinya guru-guru sangat besar tugasnya mengendali seribu satu macam angkara yang terjadi tak kira masa.

Namun pengorbanan guru yang penuh keikhlasan tetap menerima dengan harapan mendidik anak-anak demikian menjadi insan yang berguna di sisi agama. Susah payahnya pastilah tidak terkira. Sayangnya tidak semua ibubapa dapat merasa kepayahan dan keperitan mendidik masalah besar yang ditinggalkan oleh mereka. Tugas didikan yang perlu diselesaikan diperingkat awal oleh ibubapa, beralih kepada guru yang terpaksa melurut segala noda untuk melahirkan permata.

Tidak cukup dengan itu, sebahagian ibubapa mudahnya menyalahkan guru-guru yang telah berkorban sedemikian rupa bila timbul satu-satu perkara yang melibatkan anaknya. Mereka hanya menanam di dalam kepala, bila sudah menghantar anak tadi ke didikan agama, anak tadi pastinya sudah menjadi insan berguna di kotak fikiran mereka. Sebarang kesalahan laku anaknya, sudah pasti tidak dapat diterima. Oh… mudahnya..

Gitu ker…. Inilah permasalahan ibubapa dewasa ini. Tugas dan amanah yang diberi oleh Allah kepadanya telah di ingkari. Bila anak sudah membawa masalah, mudah pula menuding jari. Bila masalah akan selesai…, kalau beginilah caranya..

Perlu di akui… kalau ibubapa sendiri gagal mendidik anak saat di beri peranan dan tugas demikian, jangan di salah orang lain, jika anak sendiri sukar menerima perubahan. Kadang-kadang kita lupa, peranan orang lain yang sanggup memikul bebanan demikian. Sanggup berkorban segala demi melihat anak menjadi insan yang mendapat redha Tuhan.

Sebak juga, hati bila melihat sesetengah pengorbanan insan, yang menatang seseorang bagi anak yang dilahirkan. Setelah berkorban sedemikian, hancur hati , berkecai perasaan, musnah harapan, hingga titisan airmata mengalir tanpa sekatan, bila segala usaha dan kesungguhan demikian dipermain-mainkan. Apapun, pada insan mulia seperti kalian, juga guru-guru yang ikhlas memberi didikan, moga Allah permudahkan jalan semua kita kearah mencari sebuah keredhaan, keredhaan Allah yang menjadi impian di akhir penghidupan.
Pasti sebuah harapan akan mencapai kejayaan dalam usaha bersama kita dalam mencari redha Tuhan, melepasi setiap ujian yang dihadapkan dengan penuh ketabahan dan membawa nilai kasih sayang untuk semua anak-anak didikan bagi memenuhi harapan masa depan dengan rahmat dari Tuhan. Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment