PETIKAN KHUTBAH JUMAAT JAIS DI MASJID SUBANG JAYA 7 MAY 2010 YANG DIBACAKAN SEBAGAI TAZKIRAH PAGI DI MARA PADA 11 MAY 2010
Kerja adalah merupakan suatu ikhtiar yang dilakukan untuk mencapai tahap penghidupan yang lebih baik. Masyarakat pada hari ini, sebilangan besarnya terlibat di dalam berbagai sektor pekerjaan sama ada di dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan lain-lain lagi. Apa pun bentuk pekerjaan yang diceburi, ianya tidak lari dari dua sebab utama iaitu untuk mendapatkan keuntungan pada diri sendiri dan juga dapat memberikan keuntungan kepada orang lain.
Pekerjaan yang paling disukai di sisi Allah Subhanahu Wata'ala adalah pekerjaan yang dilakukan dengan cara yang paling sempurna. Ini bersesuaian dengan Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah amat menyukai apabila seseorang itu melakukan sesuatu kerja, ia melakukannya dengan tekun". (Riwayat Al-Baihaqi)
Profesor Dr. Hamka menyatakan bahawa setiap pekerjaan manusia itu adalah berbeza-beza menurut pembawaan masing-masing. Apa juga jenis pekerjaan yang dilakukan, kesemuanya adalah pekerjaan yang baik dan mulia asalkan ianya memenuhi garis panduan yang telah ditentukan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala.Di dalam surah At-Taubah ayat 105 Allah Subhanahu Wata'ala telah berfirman;
Maksudnya: Dan katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan".
Persoalannya, apakah pekerjaan yang telah kita lakukan setiap hari benar-benar dapat menyumbang kepada peningkatan iman dan takwa kita yang akan dilihat dan ditimbang oIeh Allah Subhanahu Wata'ala di akhirat kelak?.
Marilah kita melihat beberapa nilai penting yang dapat membentuk sifat takwa di kalangan kita khususnya yang terlibat di dalam dunia pekerjaan:
Pertama : Sifat Ikhlas Keikhlasan akan mendorong seseorang melakukan kerja dengan rasa amanah dan sepenuh hati untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala. Inilah yang akan membentuk sifat takwa di dalam diri kita. Tanpa sifat ikhlas, manusia akan menjadi malas dan tidak akan merasai nikmat dalam bekerja. Ingatlah bahawa setiap kerja yang kita lakukan pasti akan dinilai oIeh Allah Subhanahu Wata'ala di akhirat nanti. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Az-Zalzalah ayat 7 - 8:
Maksudnya:
"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat, (balasannya) pula".
Kedua: Muraqabah Pengertian muraqabah menurut sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran dan hadith ialah merasakan kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala. Pada setiap masa dan keadaan serta sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya sama ada ketika sunyi mahu pun terang-terangan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Asy-Syu'ara' ayat 218 - 219 :
Maksudnya; "Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (mengerjakan solat), dan (melihat ) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud".
Rasulullah s.a.w. ketika ditanya oIeh malaikat Jibril ‘Alaihis-Salam mengenai ihsan Baginda menjawab; "Bahawasanya engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau" .(Riwayat Muslim).
Ciri muraqabah ini sekiranya dapat ditanamkan dalam jiwa kita, maka ianya akan menjadikan kita seorang yang benar-benar bertangggungjawab terhadap pekerjaan kita. Ini kerana dengan adanya ciri muraqabah, kita akan merasa sentiasa diperhatikan sekalipun pada ketika kita sedang bekerja secara sendirian. Ingatlah bahawa kerja kita juga adalah merupakan satu ibadah sebagaimana ibadah-ibadah yang lain.
Ketiga : Mujahadah Asas bagi perkara ini adalah sebagaimana disebutkan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Ankabut ayat 69:
Maksudnya; "Orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah, bersama orang yang berusaha membaiki amalannya".
Mujahadah dalam pengertiannya yang luas ialah mengerahkan segenap daya dan kemampuan yang ada dalam diri untuk menghasilkan pekerjaan yang baik. Ini bermakna, setiap yang kita usahakan mestilah dengan penuh kesungguhan dan semangat yang jitu, dengan harapan apa yang kita lakukan pada hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam. Bermujahadah di dalam pekerjaan tidak semestinya membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan.
OIeh kerana itu, setiap yang telah kita usahakan perlu diiringi dengan doa dan tawakkal. Inilah sifat orang bertakwa yang sentiasa menyerahkan kepada Allah Subhanahu Wata'ala untuk membuat keputusan akhir atas setiap perkara yang telah dikerjakannya.
Keempat : Muhasabah Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Al-hasyr ayat 18:
Maksudnya: "Wahai orang yang beriman!, bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya).
Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat menyeluruh pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan".
Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat menyeluruh pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan".
Sebagai hamba Allah, seseorang mukmin itu seharusnya sentiasa bermuhasabah setelah selesai melaksanakan sesuatu pekerjaan; bermuhasabah tentang apakah tujuan dan matlamat kerjanya pada hari itu?. Apakah ia ada melakukan perkara yang ditegah Allah semasa melaksanakan pekerjaannya?. Apakah hak-hak Allah dan hak-hak manusia telah ditunaikannya? Dan bermacam-macam lagi. Dengan cara bermuhasabah, setiap manusia akan dapat memperbaiki diri mereka di samping meningkatkan kualiti kerja dari semasa ke semasa. Apabila kita bermuhasabah dan mendapati kekurangan pada waktu bekerja disebabkan oIeh kelalaian kita, maka kita tidak boleh mengenepikannya begitu sahaja. Ia perlu diganti atau ditambah supaya hasil pendapatan kerja kita benar-benar memenuhi waktu bekerja yang ditentukan serta mendapat keberkatan di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.Demikianlah beberapa nilai yang perlu kita terapkan dalam diri setiap insan yang terlibat di dalam apa juga bidang pekerjaan.
Penerapan nilai-nilai ini diharapkan dapat melahirkan golongan pekerja yang mampu menggalas tanggungjawab membangunkan negara kita yang tercinta ini.Kegagalan hidup sebahagian manusia pada hari ini bukanlah kerana tiada pekerjaan tetapi kerana tidak menjadikan pekerjaan mereka sebagai wasilah untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Mereka menjadikan pekerjaan hanya sebagai rutin harian untuk mendapatkan habuan dunia semata-mata. OIeh kerana itulah kita dapati pada hari ini pelbagai bentuk penyelewengan berlaku dalam pekerjaan sama ada secara sengaja atau pun tanpa disedari.
Satu contoh mudah yang selalu kita perhatikan adalah pendedahan aurat wanita yang bekerja sama ada di dalam sektor kerajaan mahu pun sektor swasta. Amat malang kerana mereka mampu menutup aurat ketika melaksanakan solat tetapi tidak mampu mengekalkannya di luar solat. Jika beginilah keadaannya, tidak mungkin sifat takwa dapat disemai ke dalam jiwa mereka kerana nilai muraqabah hanya wujud di dalam solat sahaja, kemudian sengaja dilupakan pada waktu yang lain. Berlakunya perkara-perkara rasuah atau pecah amanah pula adalah disebabkan manusia tidak meletakkan keikhlasan sebagai asas di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Mereka terlalu tamak mengejar harta dan kekayaan dunia sehingga mereka lupa bahawa setiap pekerjaan yang mereka lakukan itu pasti akan dihitung di hari akhirat kelak. Sifat rakus seperti ini tidak mungkin dapat melahirkan pekerja yang benar-benar bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Selain daripada itu, tidak kurang juga kita dapati sebahagian pekerja hanya menghabiskan waktu kerjanya dengan perkara-perkara yang kurang bermanfaat seperti melayari internet yang tiada kaitan dengan tugas, chatting, bersembang kosong dan sebagainya sedangkan tugas-tugas yang diamanahkan masih belum terlaksana sepenuhnya. Manakala waktu berehat tengah hari tidak pula dimanfaatkan untuk melaksanakan kewajipan solat dan ibadat-ibadat lain yang dapat mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Inilah di antara sifat buruk manusia yang gagal menjadikan pekerjaan mereka sebagai wasilah untuk menyemai dan meningkatkan takwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.Marilah kita menyedari hakikat bahawa apabila nilai-nilai ikhlas, muraqabah, mujahadah dan muhasabah tidak ditanamkan ke dalam hati, maka akan berlakulah pelbagai bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di dalam pekerjaan kita.
Maksudnya:"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya". (An-Najm: 39 )
No comments:
Post a Comment