Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Friday, August 13, 2010

USTAZ BASRI (PERHEBAT) : Sifat Orang Bertaqwa

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Selalu di sebut dan kita dengar sebutan tentang orang-orang bertaqwa, puasa yang ingin kita gapai pun untuk mendapatkan tingkat taqwa biarpun setelah selesai menjalani latihan tubi sebulan berpuasa. Namun bagaimana yang hendak dikenal pasti tercapainya tingkat taqwa tersebut. Tidak lain ianya mempunyai kriteria-kriteria yang tertentu. Di antaranya

Pertama : Sering mendampingi Al-Quran.

Orang bertaqwa menjadikan al-Quran sumber rujukan, sebagai hujjah dalam percakapan, sebagai panduan dalam tindakan dan sebagai pegangan dalam pensyariatan. Bincang apa sekalipun ianya tidak akan lari dari al-Quran. Segala bentuk tindakan, diri, negara, bangsa akan selamat bila kita memakai al-Quran. Bila kita memakai sumber utama panduan umat Islam. Maka terselamatlah islam tersebut. Bukan sekadar di julang, bahkan perlu amalkan.


Sebagaimana yang diberi tahu oleh Ustaz Basri, dalam akhbar baru-baru ini ada dinyatakan bahawa seolahnya bila berkhutbah ajak kepada benci sesama sendiri, berkuliah, bertazkirah, berceramah mengajak benci sesama islam. Ini tidak betul jelas ustaz. Mana ada islam mengajar kita berpecah belah, mengajar benci sesama saudara islam sendiri. Adakah islam dan Al-Quran yang di sampaikan mengajak demikian. Tidak sekali-kali.

Berdasarkan ilmu yang ada pada ana dari apa belajar selama ini, islam dan ajarannya sangat indah dan cantik. Sesuai untuk semua manusia. Bahkan tidak sedikit menyentuh ketenangan kita, bila kita benar-benar mengaku sebagai seorang hamba. Hamba dalam bentuk benar-benar merasa segala titik bengit kehidupan kita di dalam kekuasaanNya. Maha Suci Engkau hai Tuhanku dari segala sifat kekurangan. Mendengar kuliah, tazkirah, ceramah, khutbah sangat memberi ketenangan yang sukar untuk diceritakan.

Pastinya mereka-mereka yang bertanggpan demikian, merasa ketukan firman-firman Allah dan Hadith-hadith Rasulullah, membuatkan mereka rasa dikatakan kepada diri mereka. Begitulah, sebenarnya, firman Allah itu untuk di sampaikan kepada manusia. Jika kita tiada mengingkarinya, perlu terasa apa... perlu di takut apa. Bahkah kita pasti gembira dengan janji-janji Allah bagi orang-orang yang beriman. Sebaliknya jika ada yang masih belum di perbetulkan, kita bersemangat pula untuk bersegera kembali mengharap keredhaan Tuhan.

Kedua : Orang-orang yang membelanjakan rezekinya di jalan Allah.

Sifat orang bertaqwa, suka membelanjakan rezeki yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t, di jalan Allah. Tidak kiralah mereka mempunyai harta, tenaga dan wang, pastinya mereka berlumba-lumba untuk berbuat kebajikan semata-mata membantu di jalan Allah. Baik membantu kerja-kerja dakwah, membantu pusat-pusat yang mengajar ilmu-ilmu Allah hatta membina sesuatu yang berkait rapat dengan mendaulahkan agama Allah. Disebutkan dalam Hadis empat puluh dalam koleksi hadis-hadis yang disusun oleh Imam Nawawi di dalam kitab karangannya yang bernama Matan Arba'in

Daripada Abu Hurairah r.a : Bahawa Nabi SAW telah bersabda : " Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong sesaorang menaiki tunggangannya atau pun engkau menolong mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah. "


Menurut ustaz Basri, membahas tentang sedekah di bulan Ramadhan, jangan hanya terlintas harta sahaja dikepala kita. Sehingga kita lupa pada anggota yang hampir dengan diri kita. Tiap-tiap anggota dan gerak nadi kita itu punyai tugas-tugas tertentu yang boleh mengupayakan sedekah disitu. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. di sebutkan,

Dari Abu Dzar Al-Ghafiri r.a jua, bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Rasulullah SAW, bertanya kepada Nabi SAW : " Wahai Rasulullah ! Orang-orang kaya telah lebih banyak mendapat pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah pula dengan harta kekayaan mereka yang lebih itu." Bersabda Nabi SAW : " Bukankah Tuhan telah menunjukkan kamu cara-cara bagaimana kamu boleh bersedekah ? Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu sedekah, dan tiap-tiap tahlil itu sedekah, dan pada tiap-tiap tahmid itu sedekah dan pada tiap-tiap tahli itu sedekah, dan menyuruh berbuat kebaikan itu sedekah dan melarang membuat kejahatan itu sedekah, dan persetubuhan sesaorang dengan isteri juga sedekah. " Bertanya para sahabat : " Ya Rasulullah ! Adakah sesaorang kami yang memuaskan syahwat dengan isterinya mendapat pahala juga ? " Bersabda Rasulullah SAW : " Apakah pendapat kamu sekiranya sesaorang itu melepaskan syahwatnya pada yang haram, adakah dosa atasnya ? Demikianlah pula, jika ia melepaskan syahwatnya pada yang halal, adalah baginya pahala. "

Maka perliharalah mulut dan antara dua kaki kamu. itulah tujuan utama memahamkan kita tentang erti puasa yang sebenar. Bukan sekadar menahan makan, bahkan kata-kata. Juga menahan nafsu yang sering membawa manusia kecundang kerananya. Bila kita memelihara Allah dan tegakkan dalam diri kita, maka Allah akan pelihara kita. Allah dekat dengan kita. Sebaliknya bila kita jauh dengan Allah, yang akan dekat adalah iblis. Jadi dekatkan diri dengan kuliah, tazkirah, ceramah dengan pergi ke masjid-masjid, surau-surau. Hati pastinya menjadi tenang dan tenteram. Tidak timbullah rasa kecewa, putus asa sampai nak membunuh diri sebab putus cinta. Dosa besar tersebut, hari ini sudah tidak di pandang besar. Bukanlah membunuh diri tersebut terus mati tidak menempuh sakaratul maut, menurut ustaz. Mati cara apa sekali pun tetap ada sakaratul maut.

Saat sakaratul maut ini, yang sangat penting, pengakhiran hidup di dunia untuk ke alam yang kekal selama-lamanya. Bila di lihat al-Quran ada di kepala, puasa ada.. maka teselamatlah kita bertemu dengan yang maha Kuasa. Itulah kenapa al-Quran itu sangat penting di pertahan dan dipegangi, ianya akan menjadi hujjah pada diri orang yang sentiasa mendampinginya.

Dikisahkan oleh Ustaz tentang kisah Ibrahim bin Adham bertaubat ada 2 sebab diantaranya melalui satu kisah ini. Suatu hari, Ibrahim bin Adham keluar untuk berburu dengan menaiki kuda. Kemudian ketika duduk berehat untuk makan roti.Tiba-tiba seekor gagak menyambar roti itu lalu terus terbang ke puncak gunung. Ibrahim pun mengekorinya dengan marah. Dalam suasana tersebut, dilihatnya gagak itu singgah disamping seorang lelaki yang terikat kedua kaki dan tangannya. Ibrahim pun bertanya.."Anda Siapa?" Orang itu pun berkata,"Sebenarnya aku seorang pedagang yang dirompak dan ditinggalkan di sini selama 7 hari. Allah menolongku dengan adanya gagak ini memberi aku makan setiap hari menggunakan paruhnya menyuapkan makanan kepadaku. Sesungguhnya Allah tidak membiarkan aku kelaparan." Setelah itu.....Ibrahim bin Adham bertaubat dan mulai memakai pakaian sufi yang lusuh dan meninggalkan segala kekayaan yang ada. Memerdekakan semua budak suruhan dan mewakafkan segala harta miliknya. Beliau mengambil tongkat lalu menuju ke Mekah tanpa apa-apa bekalan dan kenderaan.Beliau tidak merasa lapar dengan kehendak Allah sehingga tiba di Kota Mekah.


Banyak para alim ulama membuat tafsiran Ibrahim bin Adham mendengar suatu suara sesungguhnya lelaki itu adalah Nabi Khidhir ‘Alaihissalam yang sengaja datang mengetuk hati raja Ibrahim bin Adham yang semakin lalai dengan tipu daya dunia.

Kegelisahan Ibrahim semakin menjadi-jadi sejak kejadian tersebut. Ia dihantui oleh bayangan dan suara lelaki itu sejak peristiwa di istananya. Akhirnya kerana tidak tahan lagi Ibrahim memerintah pengawalnya: “Persiapkan kudaku yang terbaik! Aku hendak pergi berburu. Ya, Allah! Bilakah semua ini akan berakhir?”


Ibrahim bin Adham dan rombongan terus merentasi padang pasir yang luas saujana mata memandangnya. Baginda memacu kudanya begitu laju sehingga akhirnya terpisah dengan rombongan tersebut. Dalam mencari jalan keluar baginda terlihat seekor rusa. Tiba-tiba Ibrahim ghairah hendak memburu rusa itu. Belum sempat berbuat apa-apa rusa itu berkata kepadanya: “Wahai manusia yang lalai, aku disuruh oleh Allah Subhanahu wata’ala memburumu. Engkau tidak dapat menangkapku. Bertaubatlah, untuk inikah engkau diciptakanNya?”


Ibrahim yang di dalam ketakutan itu tiba-tiba terkejut dengan kata-kata itu. Baginda langsung tidak terfikir selama ini untuk apa baginda dicipta ke dunia. Sekarang keyakinan serta keimanannya telah tertanam di dalam dadanya. Seluruh pakaian dan tubuh kudanya basah oleh cucuran air mata penyesalannya selama ini. Dengan sepenuh hati Ibrahim bertaubat kepada Allah Subhanahu wata’ala. Dalam keadaan panas terik itu, baginda meninggalkan kudanya dengan berjalan kaki yang akhirnya baginda bertemu dengan seorang penggembala yang sedang menjaga sekumpulan kambing-kambingnya.


Tiba-tiba Ibrahim meminta keizinan untuk menyerahkan bajunya yang bersulam emas serta topinya yang bertatahkan batu-batu permata yang sangat mahal harganya. Sebaliknya baginda mengenakan pakaian dan topi gembala itu yang diperbuat daripada kulit dan bulu kambing. Gembala kambing itu melihat kelakuan Ibrahim itu dengan penuh kehairanan. Semua malaikat menyaksikan perbuatan Ibrahim itu dengan penuh kekaguman sehingga salah satu malaikat berkata: “Lihat, betapa megahnya kerajaan yang diterima putera Adham sebelum ini, akhirnya telah mencampakkan pakaian dunia yang kotor dan menggantinya dengan jubah kesedaran.”


Tuntasnya Ibrahim bin Adham meninggalkan istana atas dasar ketaqwaan yang muncul atas 3 sebab pula, di antaranya disebutkan bila di tanyai, katanya


i) Beliau melihat kubur yang melata. Jiwanya tidak tenteram. Makna di sini, Ibrahim bin Adham tahu kepastian bahawa tidak boleh lari dari kematian.


ii) Menurut Ibrahim bin Adham , 'aku akan berjalan ke perjalanan yang cukup jauh, yakni akhirat, maka aku perlu berbekal.


iii) Ibrahim bin Adham mengatakan beliau akan berhadapan dengan mahkamah agung Allah s.w.t. apa yang akan menjadi dalil melainkan al-Quran akan menjadi hujjah.

Inilah sifat seorang yang bertaqwa. Sanggup meninggalkan segala kemewahan, pangkat dan harta mencari habuan yang dijanjikan oleh Allah iaitu redhaNya. Merintis jalan taqwa perlu dengan sepenuh kesungguhan. Maka carilah habuan sedemikian dengan tidak mensia-siakan ramadhan yang masih diberi peluang oleh Allah s.w.t kepada kita melaluinya selagi nafas belum terhenti. Allahu a'lam.


No comments:

Post a Comment