Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Friday, August 27, 2010

SALAH FAHAM KONSEP PUASA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Ramadhan adalah satu bulan yang sangat banyak barakahnya. Bahkan Allah menganugerahkan berbagai ganjaran kepada hamba-hambaNya yang benar-benar berpuasa dengan erti kata yang sebenar-benarnya. Namun hari ini, konsep puasa itu telah di salah ertikan. Hanya beriya-iya menahan lapar dan dahaga sahaja, sedang yang lainnya berterusan mengundang berbagai dosa.

Ini disebutkan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith yang mana ertinya “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya” (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 – Fath al-Bari).

Merenungi hadis di atas, betapa boleh di fahami bahawa bukan setakat menahan makan minum. Banyak perkara yang perlu di jaga lebih-lebih lagi hati dan lidah. Jika berpuasa di siang hari, namun masih lagi mengumpat, mencaci, menghina, melakukan zina mata, lebih mendukacitakan jika tidak menunaikan solat fardu. Alangkah dukacitanya. Sedangkan solat adalah satu tuntutan yang sangat berat. Perlu di laksanakan sebaik mungkin.

Berdosa besar bagi orang yang meninggalkannya sedangkan tahu dan mengatakan ianya fardu. Ini jelas daripada hadis:

العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة، فمن تركها فقد كفر

Maksudnya:Perjanjian diantara orang Islam dengan orang kafir adalah solat; sesiapa yang meninggalkannya maka kafirlah dia.(HR Tirmizi).

Sikap yang banyak berlaku dalam bulan ramadhan juga ialah membazir. Membazir adalah satu perbuatan yang sangat di larang. Ini kerana orang yang suka membazir itu dikatakan saudara syaitan. Perkara ini jelas di sebutkan dalam ayat :-

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُوراً

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya. Surah al-Israa : 27

Sikap yang buruk berlaku apabila terlalu berlebih-lebihan dalam makan minum. Bagai pendendam lagaknya. Tidak kira asal nampak semua menyelera semua nak di tala. Lantaran dibeli berbagai perkara dengan tidak terkira. Akhirnya bila makan berlebihan, maka badan menjadi letih. Bila badan letih, pastinya ianya menghalang untuk beribadah dengan sebaiknya. Bahkan ada yang tinggal terus untuk berbuat ibadah. Dalam menentukan perkara ini, Sikap sederhana Rasulullah s.a.w perlu di contohi.

Mengikut riwayat Anas bin Malik:
“Rasulullah s.a.w. berbuka puasa sebelum sembahyang dengan beberapa biji kurma basah jika tiada, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma kering (تمر) dan jika tiada, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Sikap yang paling rugi bila mana dalam bulan yang dituntut kita memperbanyakkan ibadah ini, ada lagi yang malas untuk beribadah. Malas menghidupkan malam-malam dibulan ramadhan dengan ibadah sunat. Belum tentu lagi kita akan bertemu dengan ramadhan yang akan datang. Begitu pula, ramai yang bersolat sunat tarawih tetapi ada yang meninggalkan solat fardu. Ini kerana terlalu terpengaruh dengan hanya untuk mencari kelebihan mendadak kekadang memakai dan merujuk hadis palsu yang menyebut kelebihan dan ganjaran bersolat tarawih. Lantaran demikian, mereka hanya nampak untuk bersolat sunat lebih utama sedangkan yang wajibnya hilang entah ke mana. Rancangan yang dihidangkan di TV juga banyak mempengaruhi sehingga solat malam diabaikan. Sedangkan kelebihan yang amat besar bagi mereka yang menghidupkan malam-malam ramadhan.

Puasa juga sering kali dikaitkan dan menjadi kebiasaan puasa di jadikan alasan kerja tidak produktif. Alasan letih berpuasa seharusnya tidak seharusnya berlaku. Sedangkan berlakunya peperangan Badar ketika umat islam berpuasa, mereka tetap juga keluar berperang. Inikan kita bukanlah kerja kita itu lebih hebat dari ujian dalam peperangan.
Sikap malas membaca al-Quran, terbawa-bawa kemalasan demikian di bulan ramadhan. Banyak juga yang menghadkan bacaan satu-satu surah sahaja. Seperti surah yassin dan sebagainya. Bukan setakat malas baca Quran, bahkan malas juga untuk berdoa. Sedangkan sebaik-baik doa dibulan ramadhan, memohon keampunan dari Allah s.w.t. Malas sungguh sedangkan doa ketika berbuka itu tidak di tolak oleh Allah s.w.t.

Jadi rebutlah peluang lebih-lebih 10 ramadhan yang terakhir kerana di sana kuat sanad yang mengatakan jatuhnya lailatul Qadr dalam tempoh tersebut. Bukanlah bermakna kita mengabaikan malam ramadhan yang lainnya. Mereka yang beriman akan merebut sepanjang bulan ini dari awalnya. Amat malanglah, tawaran tertinggi ini kita terlepas ibadah dengan mengejar perisapan hari raya. Tidak kurang yang merasa tidak sedih, tidak bimbang bakal meninggalkan ramadhan. Paling menyedihkan sikap berhibur, bercampur lelaki perempuan dan berbagai kemaksiatan yang di buat di bulan ramadhan memusnahkan puasa sebulan. Kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan boleh merendahkan ibadah puasa ramadhan itu sendiri, mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang lalai dari peringatan seumpama ini.

Barangsiapa mendirikan shalat pada malam Lailatul Qadar, karena iman dan mengharap pahala dari Allah niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa mendirikan shalat malam di bulan Ramadhan karena iman dan mengharap pahala dari(Allah), niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” An-Nasa’i menambahkan:“Diampuni dosanya, baik yang telah lalu maupun yang datang belakangan. “

Pentingnya kita berpuasa dengan penuh keimanan kerana natijahnya kita akan tergolong dalam golongan yang disebut Allah, orang-orang yang bertaqwa. Tidak lain balasan, melainkan syurga yang tiada lah Allah itu memungkiri atas janji-janjiNya.

Disebutkan dalam Shahihain sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa puasa bulan Ramadhan karena iman dan mengharap pahala dari (Allah), niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. “
Dan dalam Musnad Imam Ahmad dengan sanad hasan disebutkan: “Dan (dosanya) yangKemudian. “

Hanya beberapa hari lagi puasa akan berakhir untuk tahun ini. Jadikan baki ramadhan yang tinggal dengan melakukan ibadah yang benar-benar berkualiti di sisi Allah s.w.t. Moga kita semua mendapat rahmat, keampunan dan dijanjikan kita dengan syurgaNya dengan dijauhkan dari api neraka. Besarnya rahmat Allah memberi peluang kepada kita semua merasai nikmat hidup dalam iman dan islam, bahkan ganjaran yang tersangat besar jika berjaya memperolehi barakah lailatul Qadr yang pahalanya atas 1000 bulan yang pastinya tidak terjangkau umur kita mengapainya. Pemurahnya engkau hai Tuhan yang maha pengasih lagi penyanyang. Terima kasih ya Allah....


No comments:

Post a Comment