Belum masuk bulan puasa, masing-masing sudah heboh dengan persiapan raya. Tidak dapat di sangkal lagi inilah amalan dari kebanyakkan manusia. Heboh dengan kuih rayanya, baju raya, langsir raya, seolah-olah ianya satu kemestian yang mesti ditunaikan. Berlambak-lambak 'sample' atau contoh-contoh kuih raya di pejabat-pejabat dan di gerai-gerai telah mula mempromosinya. Tak kurang mengambil kesempatan, mempromosi tawaran hebat harga kereta sempena raya. Tabiat manusia yang telah dikenali oleh peniaga ini, walaupun gawat ekonomi, pasti peruntukkan raya itu telah di ketepi, dapat dihidu dan dicium oleh peniaga yang menanti-nanti keuntungan besar yang keberangkalian dapat di kaut sempena raya. Jadi... Raya.. itu apa sebenarnya?
Kekeliruan tanggapan terhadap Sambutan Aidil Fitri di kalangan umat Islam menyebabkan hari ibadah sudah bertukar menjadi adat dan tradisi, hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka. Biasanya, penganut agama lain mengadakan pesta hari raya, bersukaria dengan berbagai acara hiburan dan pesta makan minum dan majlis tari menari. Jadi, apa kurangnya dengan kita. Bahkan sambutan raya melampau-lampau, lebih-lebih mereka yang heboh dengan persembahan-persembahan yang telah dirancang seawalnya.
Sayangnya , bila takbir di baca dan bergema di hari raya, seolah-olah menghargai dan memahami konsep hari raya dengan mendalamnya, malah ada yang menitiskan air mata mendengar alunan suara takbir hari raya yang begitu menyentuh perasaan dan timbul rasa kesayuan di hati. Malangnya air mata yang mengalir itu bukan lahir dari keinsafan atas kefahaman sebenar konsep takbir itu dibacakan. Ia tidak lain hanyalah disebabkan alunan takbir yang setahun 2 kali dialun dan didengar itu mempengaruhi perasaan dan mencuit emosi seseorang. Tidak dinafikan ada manusia ada yang perasaannya mudah tersentuh dengan alunan turun naik irama lagu dan suara seseorang, tetapi bersikap tidak peduli apa yang terkandung di dalam lafaz takbir itu.
Lafaz-lafaz yang mulia yang kita kumandangkan bagi menyerikan hari raya. Kalimah Tauhid yang diucapkan, kita luahkan, kita keluarkan dari hati yang tulus ikhlas. Lafaz-lafaz yang mulia ini akan terus kita gemakan saat-saat menjelma hari raya. Kerana kita sedar kalimah Tauhid yang kita ucapkan boleh memberi daya kekuatan kepada diri kita, boleh mengecas bateri kepada kehidupan kita.
Ucapan kalimah Tauhid mengingatkan kita sentiasa "bahawa sesungguhnya yang maha besar itu hanyalah Allah SWT, yang lain kecil belaka". Yang kita sembah, Yang kita Agungkan, yang kita junjung setinggi-tinggi dan buat selama-lamanya hanyalah Allah. Tidak ada ketaatan secara mutlak kecuali kepada Allah SWT, manakala ketaatan kepada makhluk hanya dalam ruang lingkup dan kerangka mentaati Allah SWT jua.
Kalimah Tauhid yang diulang-ulang, dengan rela hati kita menyatakan kita sedia mengagungkan sesuatu yang diagungkan Allah SWT, dan kita bersedia merendahkan sesuatu yang direndahkan Allah SWT. Kita bersedia bermusuhan dengan sesiapa yang dimusuhi Allah SWT. Kita hanya bersedia mendukung dan mendaulatkan Agama Allah SWT, biarpun dibenci dan tidak disenangi oleh musuh-musuh Allah.
Jika beginilah konsep hariraya yang sebenar, maka apakah kita sebenar-sebenar membina ketaatan yang hakiki berterusan dari ibadah puasa yang kita lakukan. Apakah kita benar-benar dapat merasakan ibadah tersebut diterima dan dinilai di sisi Allah s.w.t..?
Tanpa niat yang ikhlas untuk menjadikan puasa di Bulan Ramadhan sebagai tarbiyah diri untuk kemudian selepas Bulan Ramadhan kita menjadi orang yang bertaqwa dalam erti kata yang sebenarnya, tentulah puasa kita tak bernilai apapun di sisi Allah s.w.t.
Rasulullah telah bersabda :
"Berapa banyak orang yang puasa tidak mendapat dari puasanya kecuali lapar dan dahaga." (HR Nasai dan Ibnu Majah).
Puasa adalah bukti ketaatan seorang hamba dengan Khaliqnya. Balasan dan ganjaran sangat besar itu lah syurga. Semudah itukah Allah hendak memberinya pada mereka yang bermain-main di bulan puasa..?
Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya:Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam surga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk seorangpun kecuali mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya”. (Riwayat Bukhari-Muslim)
Hasil puasa yang benar, akan membuang sifat-sifat keji dan permusuhan sebelumnya. Itulah konsep sambutan hari raya di mana di saat itu segala permusuhan bertaut kembali antara dua saudara islam, bermaaf-maafan sangat-sangat dituntut agar penyatuan umat islam kita padu dan kukuh. Disebutkan dalam sebuah hadis yang memberi maksud :-
“Mahukah kalian aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan tsaum (puasa)?” Sahabat menjawab, “Tentu saja!” Rasulullah pun kemudian menjelaskan, “Engkau damaikan orang yang sedang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menyatukan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan.” (H.R. Bukhari-Muslim).
Memang mudah memohon maaf, tapi adalah sukar untuk memaafkan. Mudah memohon maaf sekalipun, sukar di temui mereka yang benar-benar ikhlas memohon maaf. Pastinya hanya mampu berkata maafkan semua salah dan silap saya. Untuk menyebut kembali tiada siapa yang mampu, semampu melakukannya. Disebabkan itu jua lah, kesalahan tersebut akan berulang-ulang kembali. Dan menunggu lagi hari raya untuk memohon maaf atas semua kesalahan. Sedangkan belum tentu kita dihidupkan lagi selepas ini, untuk menikmati ramadhan dan raya yang akan datang.
Walaubagaimanapun keadaannya sangat-sangat di tuntut kita memaafkan orang lain. Contohi Nabi s.aw. junjungan yang sangat mulia.
sabda Rasulullah s.a.w dalam kitab bimbingan mukminin, karangan Imam Ghazali :
Maksudnya : "Orang yang paling gagah di antara kamu ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya semasa marah dan orang yang paling bersopan santun pula ialah orang yang memberikan maaf, sedangkan ia berkuasa untuk membalasnya.
1- Apabila marah hendaklah mengucap "A'uzubillahiminassyaitanirrajim" (aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam).
2- Apabila marah itu muncul ketika berdiri, maka hendaklah segera duduk, jika duduk hendaklah segera berbaring.
Hari raya InsyaAllah akan menyatupadukan kembali dua saudara yang berkelahi, dua hati yang terluka, dan mempertautkan kasih sayang yang hilang sebelumnya. Moga hari raya yang akan di sambut, benar-benar menyerlahkan konsep yang telah di bina dibulan puasa ini. Menjadi hamba yang bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa.
No comments:
Post a Comment