Manusia tidak dapat lari dari sifat terburu-buru atau tergesa-gesa. Sifat ini perlu dihindarkan dari menguasai diri seseorang. Ini kerana kita telah disarankan oleh al-Quran dan juga Hadith agar sentiasa tenang dalam satu-satu perkara. Kita perlu sabar menghadapi satu-satu keadaan, kerana kemungkinan, ketidak sabaran kita itu akan menyebabkan kita membuat satu keputusan yang terburu-buru. Hati yang penuh sabar adalah hati yang putih bersih dan mulia. Sentiasa memandang mulia juga kepada orang lain. Tidak mudah melatah melihat kesilapan orang lain yang mungkin jika kita di tempat orang tersebut, mungkin lebih dahsyat lagi keadaannya. Bila kita memandang kesilapan orang lain kita tidak sabar, bahkan kita rasa hinanya perbuatan tersebut, sebenarnya kita telah meletakkan diri kita terlalu mulia, sedangnya kita merasa demikian adalah dari hati kita yang sangat kotor. Sifat sabar, akan membuat kita menyangka baik keadaan tersebut, di samping mendoakan dan bertungkus lumus mengkaji keadaan tersebut, untuk mencari punca dan penyelesaiannya. Namun tidak menyimpan prasangka-prasangka buruk terhadap diri seseorang yang tidak di ketahui latar belakangnya.
Sabar menurut bahasa berarti menahan dan mengekang. Di antaranya disebutkan pada aL-Quran S.Al-Kahfi [18]: 28
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ
“Dan tahanlah dirimu bersama dengan orang-orang yang menyeru Rabbnya di pagi dan di senja hari dengan mengharap keridhaanNya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka.”
Lebih-lebih di jalan agama, terlalu besar ujian dan mehnahnya. Jika kita tidak sabar mendidik anak kita, mudah sangat kita mengeluar kata-kata yang melukakan hati anak kita, apakah kita dulu terlebih baik dari mereka?. Mereka mahu juga duduk di jalan agama, sedangkan kita telah melalui macam-macam noda dan dosa. Kali ini, kita inginkan hasil yang cepat dengan 'push' anak-anak secepat mungkin menerima perubahan tersebut. Tidak cukup menekan anak, kita saling menuding jari pada guru dan pendidik agama, jika tidak dapat merubah mereka, kita katakan tidak berkesan pusat didikan tersebut. Sikap terburu-buru ini terlalu buruk kesannya kerana ianya dari kesyaitanan hati yang penuh keluh kesah.
Kebalikan dari sifat sabar adalah jaza’u (sedih dan keluh kesah), sebagaimana di dalam firman Allah QS. Ibrahim [14]: 21,
سَوَاء عَلَيْنَا أَجَزِعْنَا أَمْ صَبَرْنَا مَا لَنَا مِن مَّحِيصٍ
“…sama saja bagi kita mengeluh ataukah bersabar. Sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri.”
Sikap terburu-buru ini hasil dari sifat malas. Malas untuk melakukan sesuatu. Malahan sering berlengah-lengah. Kebanyakkan mereka yang mengalami masalah anak-anak bermasalah ketika remaja kerana asalnya ibubapa malas mendidik untuk anak mengaji Quran, menyuruh bangun sembahyang lebih-lebih di waktu subuh atau hari-hari cuti. Bahkan sifat malas ini membuatkan tidur yang melampau-lampau di hari cuti. Bila masa tidur terlalu panjang, banyak perkara tidak dapat di bereskan. Sedangkan jiran sebelah sudah siap berbagai perkara yang telah di lakukan bahkan kesegarannya mengikuti solat jemaah subuh dan kuliah di pagi hari membuat jiwanya sungguh ceria menghadapi kehidupan. Sifatnya tenang, jika ia hendak berbaring barang sebentar untuk kegunaan malam, pastinya sangat menyegarkan.
Ada pun Islam, maka ia menganjurkan sikap yang dipertengahan antara malas dan tergesa-gesa. Sikap tersebut ialah tenang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ.
Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan
Syaitan mempengaruhi kita dengan sikap negatif seperti malas, tidak berminat dan tiada semangat, maka sebaliknya syaitan juga mampu mempengaruhi kita dengan sikap terburu-buru atau tergesa-gesa. Akhirnya berlaku apa yang berlawanan, seperti terlebih bersemangat (over excited), melampaui batas, terlalu mengharapkan hasil serta-merta dan kelam-kabut jadinya. Kemudian apabila apa yang diinginkan tidak menjadi, sikap tergesa-gesa di atas beralih kepada kecewa dan berputus asa, merungut-rungut, menuduh orang lain atas kegagalan diri sendiri dan sebagainya.
Tergesa-gesa /gopoh-gapah (terburu-buru) adalah pembawaan syaitan sebagaimana yang disebutkan dalam hadith di atas, kecuali dalam 5 perkara berikut :
1. Mengahwinkan anak perempuan jika memang sudah tiba waktunya.
2. Menjelaskan hutang sesuai dengan batas waktu yang telah dijanjikan.
3. Memelihara / menguruskan jenazah.
4. Menghormati tetamu.
5. Bertaubat.
Allahu a'lam
No comments:
Post a Comment