بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Hadith 21:
Daripada Abu Sa’id Sa’di bin Malik bin Sinan Al-Khudri ra bahawasanya Nabis.a.w bersabda, pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Kemudian ia ingin bertaubat. Dicarinya seorang yang paling alim. Lalu ditunjukkan kepadanya seorang ahli ibadah. Ia menyatakan bahawa dia telah membunuh 99 orang. Apakah ia boleh bertaubat? Jawab ahli ibadah itu," Tidak", lalu dibunuhnya pula ahli ibadah itu. Kini jumlah orang yang dibunuhnya berjumlah seratus orang. Kemudian ia mencari orang yang paling alim maka ditunjukkan kepadanya. Maka beliau menyatakan kepada orang alim itu bahawa ia boleh bertaubat? Jawapnya (orang alim)" Ya, sesiapa berhajat bertaubat tiada sesiapa yang boleh menghalangnya berbuat demikian. Pergilah kamu ke suatu tempat (diterangkan sifatnya dimana terdapat orang-orang yang taat kepada Allah). Beribadatlah bersama mereka dan janganlah kembali ke negeri mu kerana negeri itu tempat penjahat". Maka orang itu pun menuju kesana. Di dalam perjalanannya itu ia telah mati mengejut.
Kemudian berlakulah pertengkaran antara Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Kata Malaikat Rahmat," Dia telah datang untuk bertaubat kepada Allah dengan sepenuh hatinya". Kata Malaikat Azab pula," Sesungguhnya dia belum pernah langsung melakukan amal kebajikan". Lalu datang kepada mereka Malaikat yang berupa seorang manusia sebagai hakim diantara mereka. Lantas hakim ituberkata," Ukurlah antara dua negeri itu, manakah yang lebih dekat kepadanya maka ia adalah untuknya, maka mereka pun mengukurnya dan didapati bahawa yang hampir kepadanya adalah negeri yang dituju. Lantas Malaikat Rahmat menyelamatkan ruhnya.
(Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam satu riwayat yang sahih (dari Muslim) ia lebih dekat ke negeri yang baik sekadar sejengkal lalu ia dikeluarkan menjadi ahli negeri itu. Dalam satu riwayat yang sahih Allah S.W.T memerintahkan negeri yang penuh kejahatan supaya menjadi jauh daripada orang itu dan kepada negeri yang penuh kebaikan supaya menjadi dekat kepadanya kemudian hakim memerintahkan," Ukurlah diantara kedua-dua negeri itu. Didapati bumi yang penuh kebaikan lebih dekat kepada orang itu sekadar sejengkal lantas diberi keampunan kepadanya". Dalam satu riwayat yang lain lagi menyatakan bahawa ia bangun dengan cenderung dadanya kearah negeri yang ditujunya.
Pengajaran Hadith:
i. Seseorang yang telah melakukan dosa sebesar mana pun masih berpeluang untuk bertaubat dengan menumpukan sepenuh hatinya kepada Allah.
ii. Seseorang yang mati ketika sedang berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan syarat-syarat taubatnya walaupun belum selesai ia akan diampuni Allah.
iii. Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sentiasa mengawasi perbuatan seseorang hamba Allah.
iv. Seseorang yang berazam bersungguh-sungguh untuk membuat kebaikan akan diberi ganjaran pahala walaupun ianya belum sempat malakuknya.
v. Seseorang yang tidak mengetahui hukum hendaklah bertanya kepada orang yang ahli yang benar-benar mengetahui.
Dipetik daripada Kitab Riyadhus Solihin, Jilid 1.
Karangan Sheikh Imam Nawawi dan diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
No comments:
Post a Comment