بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Begitu pantas masa berlalu, hampir kita kepada pertengahan puasa. Barang siapa yang menunaikan ibadah ini dengan penuh keimanan adalah mereka yang mendapat ketinggian darjat di sisi Allah s.w.t.
Menyentuh perkara tersebut, Prof Sidek Baba membicarakan betapa orang-orang yang beriman itu ia berpuasa kerana menyahut seruan Allah sebagaimana umat yang terdahulu. Orang-orang yang percaya sahaja dia yakin ada kematian. Lanjutan dari itu, orang-orang yang yakin adalah mereka yang yakin akan adanya kematian di mana manusia akan pergi meninggalkan dunia ini dan akan di bangkitkan semula. Bagi sesiapa yang tidak yakin selepas mati ke mana, maka mereka akan meneruskan melakukan maksiat dan perkara mungkar dan mereka tidak yakin dengan kebangkitan semula.
Masuk dalam bulan ramadhan ibarat masuk ke sekolah. Bagi mendidik dan membentuk hati dan ruh. Bagi mengecas iman dan taqwa dalam sebulan ini. Sudah tentu bila Allah sebut, maka adalah kebaikan yang banyak di situ moga-moga kita berada dalam kalangan orang-orang yang mutaqqin. Di mana Allah redha kepada kita. Menandakan keadilan Allah atas terciptanya kita sebagai manusia.
5 Asas keadilan Allah pada manusia.
Allah menciptakan manusia seadilnya dengan dilengkapi dengan segala kesempurnaan.
1. Sebagai insan (hambaNya).
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. Surah Az- Dzariyat : 56
Kita diciptakan oleh Allah adalah sebaik-baik kejadian. Kita adalah hambaNya. Hamba adalah tingkat tertinggi di sisi Allah s.w.t. Bila kita mengaku kita hamba Allah, maka kita akan beribadah dengan rukuk dan sujud, dengan berpuasa, berzakat, bersedekah, berbuat baik, tidak mengumpat, tidak menzalimi, itu adalah ciri seorang hamba Allah. Sentiasa bergantung kepada Allah s.w.t. Tunduk dan akur titah perintah Allah. Maknanya ayat ini, menuntut ketundukan kita sebagai hamba. Perlu di ingat setiap perintah Allah, ada hikmah, rahsia, menafaat, rahmah dan nikmah di situ. Bila kita hamba, kedudukan kita adalah hamba.
2. Peranan.
Kita diberi peranan oleh Allah sebagai khalifah. Kita semua punyai tugas kepimpinan masing-masing. Ibu, ayah, guru, ketua dan apa saja jawatan kita, kita adalah pemimpin. Jadi menjadi tanggungjawab untuk kita melaksanakannya. Kita perlu laksanakan urusan Allah ini di muka bumi. Allah minta kita berfikir. Bila kita di beri hati, Qalbu, ruh kita boleh menimbang baik buruknya satu- satu perkara. Bila Allah ciptakan jasad kita, kita ada daya dan kita boleh bergerak lakukan amal soleh. Kita diberi akal oleh Allah untuk memiliki berbagai kebolehan dan bakat.
3. Al-Quran.
Al-Quran adalah kita panduan bagi manusia bukan untuk sekadar dan sembarangan manusia. Al-Quran hanya boleh diterima oleh orang-orang yang bertaqwa. Orang-orang yang yakin. Bukan sekadar kitab untuk dibaca, tetapi lebih kepada petunjuk jalan, merupakan cahaya sedangkan akal manusia sangat terbatas tanpa panduannya. Tanpa al-Quran, manusia tidak dapat memikirkan segala-galanya. Segala ilmu yang di dunia ini, diterangkan oleh al-Quran. Hatta bintang-bintang di langit, manusia hanya boleh meneropong dengan alat. Benda-benda yang dekat pun sangat sedikit di ketahui, apatah lagi perkara yang jauh dan ghaib. Hebat kejadian Allah. Oleh kerana itulah kita perlu tunduk, patuh, akur kepada perintah Allah. Tanpa al-Quran, macam mana nak pakai akal. Sedangkan al-Quran itulah petunjuk, penyuluh. Dalam surah Yasin ayat 2, di sebutkan.
وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ
Demi Al Quraan yang penuh hikmah.
Oleh sebab itulah, ayat-ayat Allah, fadilat, ganjaran, pahala dan apalagi kita tahu rahsia-rahsia, isinya dan tafsir al-Quran, Asbab Nuzul Quran semua itu sebagai pedoman hidup kita. Seluruh kejadian makhluk Allah baik di darat dan dilangit kita ketahui melalui ayat-ayat Allah. Al-Quran membentuk aqidah kita, syariat dan dengan nya kita tahu apa yang benar dan apa yang salah. Quran itu juga membentuk akhlak kita. Dalam al-Quran juga kita dapat tahu asas kejadian kita dan kajian sains membuktikannya.
Allah ajar kita berfikir. Allah soal kita dalam firmanNya " أَفَلاَ تَعْقِلُونَ " bermaksud, " Apakah kamu tidak berfikir". Maksud disini, adakah kamu tidak mengerti atau berakal yang diberi Allah s.w.t. Jadi, kajilah, selidiklah alam, pastinya mendapat petunjuk dan rahsia-rahsia berbagai. Bagaimana di ketahui bahawa gunung ganang bukan sekadar terpacak disitu. Ianya alah pahat bumi. Pasak perimbangan pada bumi. Ayat ini untuk kita memahami di antaranya perkara-perkara seperti ini.
Dalam surah al-Alaq pula Allah menceritakan tentang penciptaan manusia. Manusia dari darah beku. Itu yang hari ini, sains mengkaji kejadian bayi dari janin. Dari benih akhirnya ditiup ruh. Roh ini dari siapa? . Bukan dari siapa-siapa, Ruh adalah ciptaan Allah . Manusia sangat sedikit mengetahui tentang ruh. Itu adalah urusan Allah.
خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Surah al-Alaq :2
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit". Surah al-Israa' : 85
Bab-bab ghaib inilah yang memberi kekuatan. Asas kita Quran, ianya merupakan petunjuk. Jika tidak tadabbur dan mengkaji al-Quran bagaimana mungkin dapat asas-asas sains yang di pakai hari ini. Hari ini kita ada tamadun Islam. Intipati al-Quran di kaji dan dijadikan Sains.
4. Rahmat- Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w. merupakan rahmat bagi seluruh alam. Ianya membawa risalah Islam. Menyampaikan risalah al-Quran, sehingga wataknya dibentuk oleh ayat-ayat Allah. Hidup dalam peribadi baginda tingkah laku, kata-kata dan segalanya hidup dalam dirinya adalah dari akhlak al-Quran. Ini ditegaskan oleh Sadatina Aisyah r.a.ha. Dan ini diperkuat oleh pernyataan Aisyah RA,
”Akhlak beliau (Rasulullah) adalah Al-quran.” (HR Abu Dawud dan Muslim).
Untuk Kita memahami al-Quran, perlukan nabi Muhammad s.a.w. Risalah ini hanya mampu di bawa oleh seorang manusia. Gunung ganang tidak mampu membawanya. Justeru itu, manusia untuk manusia. Namun tangan-tangan manusia jugalah yang merosakkan muka bumi.
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al Baqarah: 30)
Sebagai manusia, kita mencontohi pekerti Nabi s.a.w. anak-anak mencontohi perangai dan belajar dari ibubapa. Ibubapa yang taqwa dapat membentuk anak yang taqwa. Di sekolah pelajar belajar dari guru dan rakyat mencontohi pemimpin-pemimpin mereka. Manusia perlu belajar dari manusia. Maka watak Nabi itu ada hasanah.
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ اْلآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, yaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir serta banyak berdzikir kepada Allah.” (Al-Ahzab: 21)
Memang tidak dapat di nafikan Nabi s.a.w. bersifat kasihan dan kasih sayang kepada bapa saudaranya Abu Talib. Semua ini untuk memberitahu dan supaya kita boleh faham bahawa petunjuk itu hanya datang dari Allah s.w.t. Disini kita dapat menilai, bahawa akibat budaya, tradisi, orang akan jadi ingkar kepada Allah. Mereka tidak nampak islamnya, mereka nampak bangsanya. Apakah tidak ada rasa terpanggil untuk menyeru, dan terus menyeru kelompok-kelompok tertentu yang dibenci Allah ini. Tetap kena panggil. kena seru, itu tugas kita. Allah pedomankan pada Nabi s.a.w. dakwah dengan bijaksana, dengan kasih sayang, hikmah dan ikhlas. Memberi hidayah kerja Allah. Kita laksanakan kerja kita. Tugas kita hanya menyeru dan mengajak mereka kepada Islam.
Abu Talib, Tidak mendapat hidayah. Namun semuanya dalam pengetahuan Allah. Allahu a'lam. Allah yang maha tahu. Serulah dengan hujjah yang terbaik. Yakinkan mereka. Kita dulu siapa. bagaimana tingkahlaku kita?. Pasti ada pendakwah yang mengetuk pintu hati kita yang mengajak kita dengan kasih sayangnya. Maka jadilah diri kita sekarang seperti sekarang, dengan ilmu yang ada sekarang. Dengan keimanan yang ada sekarang. Pesoalannya sekarang kita jadi apa?.
Itulah pentingnya ibubapa yang beragama. Ramai ibubapa yang tidak tahu agama. Anak-anaknya bagaimana pula lakunya?. Itu semua kelemahan yang terbuka. Kelemahan kita yang masih ada benda-benda lagha. Anak-anak tidak ikut islam. Maka, kita tentukan 'software' program kita mengikut acuan agama. Umat Islam hari ini tidak mampu punyai ilmu yang berkembang. Orang bukan islam pula yang tentukan. Tugas sebagai khalifah bukan mudah.
Justeru itu, Rasulullah s.a.w. di utus oleh Allah. Ada hikmah, rahmah dan nikmah. Jelas, sebagai khalifah, Allah bekalkan kita petunjuk berupa al-Quran dan Hadis sebagai panduan. Makhluk yang lain adalah kegunaan manusia. Maka kembalilahlah dengan penuh kesyukuran kepada nikmat Allah yang tidak terhingga. Bukan kita yang mencipta pokok di darat, ikan di laut, air dan sebagainya. Dengan berfikir demikian, maka jadilah kita orang mutaqiin, yakni orang Taqwa yang hanya menyandarkan kepada Allah.
Kita berbeza dari orang kafir iaitu orang yang tidak percaya pada Allah. Kita ada pedoman, kawalan. Sifat taqwa, kalau masa mandi kita nak teguk seteguk air, boleh... tapi kita tidak buat. Meski orang lain tidak tahu, tetapi kita yakin Allah tahu. Jika kita berpuasa kerana manusia, kita boleh bawa bekal makanan dalam beg ketika ke pejabat. Bila tiada orang, kita akan makan. Tetapi itu bukan sifat seorang yang taqwa.
Seorang khalifah yang bertaqwa, kaya dengan iman. Kerja di jadikan ibadah, kerana sedar ianya satu amanah yang wajib di pikul sebaiknya. Datang tepat pada waktunya, setiap detik dijadikan ibadah, tidak dibuat sambil lewa, berbual-bual, membaca surat khabar dan sebagainya. Kerja itu dibayar gaji, maka ia tidak sia-siakan, kerana untuk memastikan gaji yang diperolehi adalah hasil yang halal. Berjalannya masa dibuat dengan amanah. Bila zohor memanggil, tunaikan kewajipan rukuk dan sujud kepada Allah. Dalam pada itu, orang bertaqwa akan bermahasabah diri, apakah masa 4 ke 5 jam yang berlalu tadi, telah dibuat dan dipenuhi dengan sebaiknya?. Apakah fail-fail yang perlu di selesaikan telah dibuat sepenuhnya... itulah sifat serang yang taqwa.
Sayangnya hari ini anak-anak, masyarakat banyak belajar dan mendapat ilmu yang membawa musibah dan murka Allah. Semua ini menjadi fitnah dalam hidup mereka. Maka puasa mendidk kerohanian kita agar menjadi hebat. Mendapat taqwa yang kuat. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ianya merupakan kekangan nasfu yang menguasai kita. InsyaAlah. Bila batin kita berpuasa, itu yang boleh membawa perubahan yang ketara. Puasa yang sekadar menahan lapar tidak banyak memberi makna.
Dengan tadabur Al-Quran, berzikir, bersedekah, ianya adalah sesuatu yang rohani. Sesuatu yang rohani itu apa?. Itulah jawapan bagaimana hati kita melakukan proses tazkiyah. Pembersihan melalui latihan dan pembersihan. Jika sebelumnya kita pemarah, dengan puasa kita boleh bersabar, mengawal, bertolak ansur, jiwa akan memiliki sifat belas kasihan yang tinggi. Bulan puasa juga timbul soal zakat fitrah, sedekah bertujuan pembersihan harta pula.
Tidak semua orang ditakdirkan hidup senang. Jadi, jenguk-jenguk periuk nasi mereka. Jiwa yang pemurah bermatlamatkan seorang yang ingin menjadi mutaqiin. Meraikan orang miskin, tidak menghampakan mereka, tidak lah seseorang itu akan rugi. Malahan Allah limpah dengan rahmat yang berganda-ganda di datangkan. Jika tidak demikian, pastinya duit kita tetap juga keluar, semada tiub basikal bocor, kereta rosak yang memerlukan 'repair' semula. Tidak akan papa kedana para penderma atau menjadi seorang yang pemurah. Harta itu dari Allah. Rezeki itu dari Allah. Bila ada orang datang minta sedekah itu, itu adalah milik mereka. Keluarkan lah..
Banyak asnaf yang layak terima zakat. Di antaranya orang-orang miskin, anak-anak yang belajar di bantu. Paling tidak itu sebagai tanda bersyukur kita atas rezeki yang di anugerahi oleh Allah s.w.t. Bukan bersyukur itu hanya sebut di mulut. Caranya bagaimana?. Puasa bagi orang yang bersyukur juga, akan membentuk diri jadi pemurah, ianya akan mengeluarkan penyakit-penyakit hati. Puasa bukan puasa zahir sahaja. Ianya lebih kepada batiniah. Iaitu "Yang Allah Redha". Contoh buat baik, jujur, amanah sesuatu yang Allah redha merupakan sesuatu yang rohaniah. Hati yang berbuat demikian. Itulah kualiti Ihsan. Baik berihsan terhadap manusia atau haiwan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77:
Maksudnya: “ Dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”.
Sebagaimana didalam sebuah hadith yang panjang dari Abu Hurairah ra., dimana Malaikat Jibril bersoal jawab dengan Nabi s.a.w. dan disana ada menyebut mengenai maksud ihsan :-
مَا الْإِحْسَانُ ؟ قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab : Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu” [Hadith Riwayat Bukhari #50, Muslim #9].
Mereka yang dikatakan telah memperolehi Ihsan dikatakan telah mencapai kenikmatan ibadat seolah-olah dia melihat Allah ketika melakukan. Jadi tidak timbullah buat sesuatu untuk orang puji, sanjung atau orang tengok. Seorang yang berjiwa ihsan, perasaan dan jiwanya halus. Ibarat bila bersedekah, tangan kanan memberi tidak nampak oleh tangan kiri, walaupun dekat. Sebesar zarah kita buat Allah tetap nampak. Bila kita yakin, kita tidak menipu, tidak berdusta, tidak berbohong. Inilah seorang yang punyai rohaniah yang tinggi. Jiwa yang hebat.
Dengan puasa, kita kembali semula kepada fitrah tersebut. Sepanjang tahun macam-macam perkara berlaku. Kita insan yang terlupa, lalai dan lemah sekali. Banyak perkara yang tidak sengaja dan sengaja dilakukan. Maka kembalilah kepada fitrah. Kembali sebagaimana dilahirkan dahulu, ibarat kain putih. Bertahun kain telah tercorak, oleh kerana kawan, khianat, mungkir janji, belot terhadap amanah.. banyaknya titik-titik hitam dan noda tersebut. Kembali ke punca semula. Kembali kepada fitrah, dengan bertaubat kepada Allah. Dengan penuh keikhlasan, moga-moga Allah menerimanya. Kecuali yang syirik kepada Allah. Orang yang sesat dengan syirik jangan sekali-kali di buat. Tiada ampunan bagi yang syirik. InsyaAllah, lain-lain dosa ada ruang ampunan Allah. Baik dosa kecil maupun dosa besar. Masih ada. Yang sudah itu, sudah lah.... itulah seru ustaz sepenuh keikhlasan.
Kita janganlah menjadikan dimata bukan islam, menunjukkan umat islam itu malas, tidak ada usaha, tidak maju. Dulu-dulu orang belajar dari orang islam. Tapi sebaliknya hari ini, orang islam banyak belajar dari orang bukan islam.
Kenapa dalam doa kita minta "kebaikan didunia dan kebaikan di akhirat". Apa dia kebaikan di dunia yang menjadi jambatan di akhirat, yang menjauhkan kita dari neraka Allah. Bila kita kaya, adalah dari rezeki yang betul. Rezeki yang betul diberkati dengan kemurahan bersedekah kepada anak-anak yatim, pusat-pusat tahfiz pun dapat. Jika sedikit ada, beri sedikit. Infaqkan harta dengan bersedekah. Percayalah .... tidak akan rugi orang yang bersedekah. Bahkan, Allah tambah... tambah lagi...
Bila menyebut raya, Raya fitrah. Bermakna bersih dan baik. Sebelum ramadhan, bagaimana kita?. Jelek sekali. Bila melalui puasa, pastinya boleh membentuk diri, mengawal diri, mencari rezeki yang halal. Bahkan ada tekad melakukan perubahan. Jika dulu puasa duduk aje tidak mahu buat kerja, tidur aje, kita cubalah berubah. Bila raya, bermaaf-maafan lah. Pastinya kita berdosa tidak kiralah dosa kecil atau besar. Kita banyak di lalaikan. Kadang-kadang dengan jiran kita berbahasa kesat. Suka menunjuk-nunjuk menyakiti hati jiran. Tidak kurang kita, kalau meminta maaf. Bila pulang ke kampung halaman, bertekad untuk menziarahi seramai mungkin. Mungkin saudara-mara yang telah tua, suka mereka di ziarahi. Bawalah apa-apa sahaja. Bila beli, lebihkan sedikit untuk diberi pada mereka. Sejuk dan gembira hati mereka. Sebelum ini tidak siapa yang mengembirakan mereka. Dengan kehadiran kita, pastinya mereka gembira. Bayangkan kalau kita di tempat mereka sewaktu tua nanti. Suatu ketika kita mungkin jadi macam mereka. Tertunggu-tunggu orang datang menjengah, datang membantu.
Pastinya keadaan dan suasana demikian akan meninggikan ketaqwaan kita. Kita dulu pernah kecil, kini telah melonjak dewasa. Pastinya kita semakin tua, sakit-sakit itu adalah tanda-tanda. Tanda bahawa rumah kata pergi, kubur kata mari. Apapun, kita berdoalah supaya mudah menghadapi mati. Namun tidak semua dapat. Ada yang berharap mati di Makkah. Juga tidak semua dapat. Namun kita perlu redha dan biarlah dalam hidup yang sementara ini kita lakukan sebaik-baiknya.
Dengan kata-kata, senyum, itu juga sedekah. Beri keceriaan, bertanya khabar, itu juga sedekah. Dunia ini sangat sementara, Berapa tahun boleh bertahan. Segala harta, kebanggaan, kereta, duit simpanan, semuanya bakal tinggal di dunia. Jika ada anak soleh, mereka akan kendalikan dengan baik. Bahkan berdoa untuk kita.
Moga puasa kita diterima oleh Allah dan ada barakah. Ada pula manafaat untuk orang lain. Juga kita mendoakan kepada kedua ibubapa kita, kerana doa anak yang soleh itu sampai kepada orang tuanya. Allahu a'lam.