Kuliah dhuha mingguan di Masjid Sungai Tua sebelum ini Ustaz menerangkan kepada jemaah bahawa iman bertambah dengan ibadat dan berkurang dengan maksiat. Seseorang beramal mengikut ilmu yang dia ada, maka kurangnya ilmu membuatkan kita kurang untuk beribadat. Ustaz menasihatkan jemaah agar banyakkan beribadat jangan sekali-kali buat maksiat. Berhentilah dari membuat maksiat. Orang yang mengaku beriman pasti boleh tinggalkan maksiat. Bila rasa nak buat, fikirlah duduk dalam kubur nanti seorang diri, ujar ustaz. Anak-anak pun tidak dapat menolong apalagi orang lain. Teman di dalam kubur adalah ilmu dan amal. Carilah ilmu, agar amal yang kita buat bertepatan dengan yang dikehendaki oleh Allah.
Maksiat akan menyusahkan kita di dalam kubur nanti. Jika tidak mahu susah, tinggalkanlah maksiat perbuatan, pandangan, pendengaran, makanan dan minuman haram dan dari sumber yang haram, kerana makanan dan minuman ini akan mendarah daging menumbuhkan daging-daging yang haram dan kita akan terikat dengan dosa. Untuk mengenal kita dalam dosa, cuba teliti diri kita, adakah kita seorang yang rajin atau malas dalam ibadah. Adakah kita rajin membuka kitab-kitab ilmiah (agama), rajin tidak membaca al-Quran, rajin tidak berzikir. Kerana jika kita di sibukkan mengejar perkara-perkara yang akan tinggal di dunia saat kita mati, sedangkan matinya kita, benda-benda tersebut tidak dikapankan bersama dengan kita. Tinggallah di dunia. Jangan kita bergaduh dan disibukkan dengan perkara-perkara yang hendak kita tinggalkan di dunia. Biarlah kita sibuk mencari bekalan yang akan di bawa bersama mati kita.
Ingatlah kita, harta dan anak-anak adalah ujian. Nabi mengingatkan kita;
يَتْبَعُ الْمَيِّتَ ثَلَاثَةٌ، فَيَرْجِعُ اثْنَانِ وَيَبْقَى مَعَهُ وَاحِدٌ: يَتْبَعُهُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَعَمَلُهُ، فَيَرْجِعُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ، وَيَبْقَى عَمَلُه
"Yang mengiringi jenazah ke kuburan tiga, maka yang balik semula dua dan yang tinggal satu; yang ikutnya ke kubur ialah anak isterinya, hartanya dan amalnya' MAKA balik semula anak isterinya dan hartanya, dan tinggal bersamanya hanyalah amalnya".
Pesan ustaz tadi, janganlah sekali-kali kita khianat, dengki pada orang kerana perbuatan tersebut membuatkan kita susah ketika di dalam kubur.
Banyak sangat perkara yang kita sudah tahu dan belajar tidak di amalkan kata ustaz. Kalau yang sudah belajar pun tidak amalkan, apalagi yang tidak belajar. Umpama dalam pergaulan kita bebas bercampur. Pakaian pula lelaki ada yang memakai atas lutut. Perempuan pula, memakai macam dibalut nangka. Perempuan jangan memakai pakaian yang menampakkan 'body' kata ustaz.
Musim kenduri ni, jangan tangan berlaga tangan lelaki perempuan kata ustaz. Dah tu pula ada yang berlaga body. Tuan rumah yang nak buat kenduri, asingkan khemah lelaki dan perempuan. bukan tidak boleh buat. Buatlah.. jaga hukum, jangan main langgar semua hukum. Melanggar hukum ibarat haiwan ternakan. Perangai demikian boleh membawa dan bakal ke neraka.
Para anbiya' mata lena tetapi mata hati tidak lena. itu yang iman mereka bertambah. Berbanding kita, mata tidak lena, tetapi hati lena, walaupun mulut bercakap. Hati tidak boleh mengingati, Allah...Allah...Allah... hatta masa makan, lupa Allah. Para anbiya' iman mereka bertambah sehingga mereka mati.
Seru ustaz, perbanyakkan beri salam kepada rasulullah .. 'assalamualaika ya rasulullah..' di muka bumi ini ada malaikat yang mencari-cari orang yang memberi salam kepada rasulullah, sebaik habis salam, salam dah sampai pun kepada rasulullah dan di jawab oleh rasulullah s.a.w. Di masjid Nabawi, salam terus sampai kepada baginda, di tempat lain, malaikat yang akan bawa. Barang siapa yang sering beri salam kepada Rasulullah, maka mereka akan mendapat syafaat nabi. Syaratnya, segala solat yang telah di tinggalkan telah di Qada' kan. jangan abaikan solat-solat tertinggal.
Diantara banyak pakaian, nabi paling kasih mereka yang memakai serba putih. Barang siapa yang mengaku mengasihi nabi, maka ikutlah ajaran rasulullah s.a.w. untuk meraih tingkat-tingkat ketaqwaan. Bumi ini dibelit oleh ular yang besar. Apabila ekor dan kepala ular bertembung, saat itu kiamat akan menjelma. Sempatkah kita mengumpul bekal, jika kita masih dibuai alam kelekaan dan kelalaian.
اُغْدُ عَالِمًا اَوْ مُتَعَلِّمًا اَوْ مُسْتَمِعًا اَوْ مُحِبًّا وَلاَ تَكُنْ اَلْخَامِسَةَ فَتَهْلَكَ ؛
- رواه البزار و الطبرانى-
- رواه البزار و الطبرانى-
Artinya: “jadilah orang yang alim (mengajar), atau orang yang belajar, atau orang yang mendengarkan, atau orang yang menyukai, dan jangan engkau menjadi orang yang kelima, maka niscaya engkau binasa.
(hadist riwayat Al bazzar dan At thabroni dengan kedudukan hasan).
(hadist riwayat Al bazzar dan At thabroni dengan kedudukan hasan).
Akan binasa bagi orang yang membenci golongan alim, orang yang belajar, orang yang mendengarkan dan orang yang menyukai pada yang demikan itu. Sama-samalah kita menyibukkan diri mencari bekalan yang akan dibawa bertemu Allah. Jangan nanti bila tiba-tiba ajal menjelma, saat itu penyesalan sudah tidak berguna... Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment