Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Monday, September 13, 2010

PANAHAN PANDANGAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Didalam Kitab Hadith Sahih al Bukhari ~ # 72. Kitab Izin – Halaman 968 – Bab 5. (Apa yang dikatakan mengenai penzinaan anggota tubuh badan selain alat kelamin?)

Hadith # 2061. Di riwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu (diatas perwakilan Abu Huraira Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam telah bersabda : ” Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menulis untuk anak Adam bahagian penzinaan yang ia lakukan secara sedar ataupun tidak. Penzinaan mata adalah pandangan (memandang sesuatu yang diharamkan), penzinaan lidah adalah percakapan (yang mendorong kepada maksiat) dan nafsu dalaman dan keghairahan didalam jiwa yang di perakui atau dibantah alat kelamin seseorang!”

Dari huraian hadith tersebut di atas, jelaslah sudah bahawa perbuatan manusia yang memandang sesuatu yang diharamkan bagi kita menurut garis panduan dilarang kita memandang aurat mereka yang tidak halal bagi kita.

Melihat dari kaca mata al-Quran dan Sunnah, zina bermula dengan panahan pandangan mata yang tidak dikawal oleh iman dan takwa. Bermula dengan melihat aurat wanita, ia membawa seseorang lelaki terbayang-bayang dan melayan baik seseorang serta berasa ingin berkenalan dengan lebih rapat, menjalin hubungan, seterusnya berlaku perzinaan dan berakhir dengan pembuangan bayi. Syaitan pula memainkan peranan siang dan malam mengelorakan jiwa anak Adam dan menanti peluang menghanyutkan mereka ke lembah dosa.

Semua ini telah di tegaskan di dalam Islam dengan menyediakan garis panduan untuk umat manusia agar mereka dapat menyelamatkan diri daripada terjerumus ke kancah yang menjuruskan kepada perzinaan. Dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan kaum lelaki menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang haram. Firman Allah SWT

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.. (Surah An-Nur : 30-31).

Diikuti pula suruhan supaya memelihara kemaluan daripada melakukan perbuatan yang terkutuk iaitu zina. Oleh kerana itulah setiap ayat al-Quran yang memerintahkan lelaki memelihara kemaluan bertujuan menyuruh mereka menjauhi zina. Kesan dari pandangan akan mengelelorakan perasaan si lelaki. Bahkan lelaki tersebut tidak segan silu melihat perkara yang lain, bahkan boleh terus memandang sehingga tahu barang apa dan berapa yang di bawa di tangan wanita dengan terus melihatnya. Tahu wanita memakai baju apa, warna apa, mengenakan barang kemas ker , bahkan matanya mengekori wanita tersebut, dan tanpa di sedari wanita itu bercerita ketawa, tersenyum, dalam diam dan tanpa perasan oleh diri mereka sendiri, mereka turut terikut dengan senyum tawa tersebut. Mungkin tanpa di sedari, namun pasti di sedari oleh mereka-mereka yang sangat beringat dan takutkan peringatan-peringatan Allah. Malahan kesan ini sangat memalukan, hasil dari panahan pandangan tersebut, hati akan berkata-kata. Biasalah yang kita dengar tentang kalimah 'cinta pandang pertama', ' dari mata turun ke hati'. untuk menjelaskan lagi, betapa panahan mata itu meruntunkan jiwa, hingga akhirnya peringatan Allah, perlunya menjaga kemaluan seseorang. Dahsyat sekali, kerana panahan mata itu adalah panahan syaitan, jika tidak di gunakan dengan penuh ketaqwaan.


Beberapa panduan nabawi juga ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk kaum lelaki. Dalam sebuah hadis, daripada Jabir bin Abdillah berkata:
“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai hukum melihat wanita ajnabi (bukan mahram), lalu baginda mengarahkanku mengalihkan pandangan.” (hadis riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menyebut tidak menjadi kesalahan bagi lelaki Muslim melihat wajah wanita jika tidak disengajakan tetapi pandangan kali kedua dan seterusnya tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan yang dibenarkan seperti meminang wanita, menjadi saksi perbicaraan dan urusan jual beli.

Lelaki biasanya di kaitkan dengan kuat. Namun lelaki akan menjadi lemah dengan wanita. Tidak hairannya seseorang wanita jika tujuannya untuk memperaga akan mencapai maksudnya. kerana mereka sedar kelemahan lelaki tersebut. Yang penting mereka rasa kepuasan bila di pandang, di puji bahkan diakui akan kecantikan yang ingin di tonjolkan. Mereka sedar, kelemahan lelaki demikian akan membuatkan mereka di layan dengan kelembutan, itulah kepuasan bagi insan-insan yang mendahagakan demikian.

Atas dasar yang demikian lah kita sering mendengar lelaki keluar pintu depan, perempuan ikut pintu belakang. Biasalah hari ini kita mendengar kes khalwat bukan setakat membabitkan yang bujang. Bahkan isteri dan suami orang. Masing-masing berlumba-lumba mencari kepuasan tanpa memikirkan akibat dari perbuatan. Bila terperangkap, tidak tergambar pun kesalan atas perbuatan yang meninggalkan dosa di sisi Tuhan. Apa yang mereka pentingkan mereka berjaya membuat pasangan merasa marah dan geram.

Tidak di nafikan, ada di kalangan isteri yang bila di nasihat menutup aurat mereka tidak mahu sama sekali, atas alasan, selagi suaminya memandang perempuan lain, memuji perempuan lain dia tidak ingin menutup aurat. Bagi nya dia ingin tonjolkan pula aurat dan bentuk badannya kepada lelaki lain. Biar suami dia rasakan. Itulah hujahnya yang tanpa di dasarkan oleh al-Quran.

Jelas di sini, ramai melakukan sesuatu kerana terikat dengan jiwa yang tidak tenteram. Bukan melakukan sesuatu atas dasar hukum Tuhan. Tergamakkah kita memilih jalan-jalan ke neraka semata-mata atas dasar geram?. Apakah kita melakukan sesuatu untuk orang atau sebetulnya mencari redha Tuhan..? Beginilah kekalutan yang berlaku dalam kehidupan. Masing-masing berlumba-lumba mencari kepuasan. Kerana tindakan, baik lelaki atau perempuan tidak istiqamah dalam pegangan keimanan.

Selagi ada perempuan yang ingin mempamirkan, dan selagi ada lelaki yang tidak menjaga pandangan, sememangnya berbagai maksiat tidak dapat di elakkan. Justeru kerana itu jua lah, maka al-Quran telah di turunkan sebagai panduan, segala perkara tidak tertinggal pun telah di sebutkan, dan dilengkapi lagi dengan rahmat seluruh alam, ajaran dari rasul junjungan yang menjadi Uswatun Hasanah bagi setiap yang merindukan mencari redha Tuhan. Allah sangat pengasih lagi penyanyang, sayangnya panduan-panduan ini sering kali di lupakan.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Ali: “Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain. Sesungguhnya untukmu pandangan yang pertama dan bukan untukmu pandangan kali kedua.” (hadis riwayat Abu Daud, dinilai Hasan oleh Albani)

Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian anak Adam untuk terjadinya zina, tiada siapa yang dapat mengelak daripadanya. Zina kedua-dua mata ialah penglihatan dan zina lidah ialah kata-kata dan hati berkehendak dan ingin merasai (zina). Maka kemaluanlah yang menjayakannya atau mengelak daripadanya”. (hadis riwayat Abu Dawud, dinilai sahih oleh Albani)

Inilah punca dan sebab musabab bersepahnya bayi-bayi yang terbuang, isteri-isteri yang curang dan suami-suami yang kecundang. Semua berpunca dari pandangan yang tidak dipelihara dengan keimanan. Ingatlah pesan Allah di dalam al-Quran,

يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتاً لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْراً يَرَهُ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرّاً يَرَهُ

Pada hari itu manusia ke luar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka, Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Surah al-Zalzalah : 6-8)


Bersamalah kita renungi dan mengawal diri, supaya tidak terjebak dalam situasi begini. Tanpa di sedari, kita adalah penyumbang kepada perkara-perkara sebegini. Nauzubillah min zalik. Semoga Allah memberi kekuatan kepada pencinta-pencinta keimanan untuk terus teguh dan istiqamah di jalan ketaqwaan. Semoga segalanya di dalam redha dan rahmat Allah. In sya Allah.
Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment