Mengalir air mata bila seorang bapa menangis menalipon, merayu agar janganlah di kenakan tindakan ke atas penjamin-penjamin atas dasar kegagalan anaknya membayar hutang yang ratusan ribu ringgit. Merayu dalam sebak seorang bapa yang sudah berumur hujung 70 an, memberitahukan, tolonglah pak cik nak, penjamin marah dengan pak cik. Apakan daya pak cik nak, anak pak cik tu tak lagi warganegara sini, dia dah duduk menetap luar negeri. Manalah pak cik nak mampu bayar hutang dia. Begitulah keluhan seorang pak cik tua dalam telefon dalam kadar nafas yang tersekat-sekat dengan penyakit lelahnya. Sebak rasanya melihat kepiluan hati seorang ayah yang tua.
Dari segi undang-undang, pastinya penjamin-penjamin yang perlu memikul bebanan hutang tersebut atas apa-apa kegagalan dalam penyelesaian dari peminjam. Namun, tidak semua penjamin yang sanggup bertanggungjawab atas aku janji dan penurunan tandatangan secara sukarela sewaktu pinjaman di pohon. Tidak kiralah atas dasar kasihan pada bapa peminjam tersebut, atau ingin melihat kejayaan anak bangsanya. Pastinya janji tetap janji.
Begitulah, bayangkan pula penjamin tadinya sudah juga tua, tiada berwang, ibu tunggal, pesara atau siapa sahaja yang punyai masalah masing-masing. Pastinya semakin merumitkan keadaan. Atas dasar seorang anak yang tidak mengenang jasa orang tuanya, tidak mengenang budi bicara yang diberi padanya untuk melihat mereka berjaya menjadi orang berguna, maka kemudahan pinjaman diberi padanya dibiarkan tidak berbayar begitu sahaja. Tidak sekali mereka memikirkan generasi kemudian memerlukan kemudahan yang sama pula. Sayang sekali, mereka ini bukan sahaja lupa daratan, bahkan menjadi anak yang derhaka kepada orang tuanya.
Bayangkan betapa terlukanya hati seorang ayah atau ibu, bila anak sewenang-wenang menetap di negara luar dengan menukar kewarganegaraan, menukar jantina, menukar agama, dan berbagai kemungkaran lagi yang di lakukan. Sedih, menghadapi orang-orang tua yang terluka samada sebagai ibubapa atau penjamin, pada peminjam dan anak yang tidak mengenang budi dan asal usulnya. Tidak kurang ibu yang terlantar bertahun lamanya hingga di uruskan oleh jiran makan minum dan sebagainya. Selama mana jiran boleh memberi bantuan sedangkan anak lelaki tunggal yang di harapkan bekerja dengan baiknya, mendapat tajaan untuk belajar setingginya, menukar jantina menjadi perempuan yang di laknat tuhan. Ada yang menagih dadah dan macam-macam lagi kemungkaran.
Inilah yang di hadapkan di hadapan kita, bila perginya seseorang mencari ilmu tanpa bekalan agama, hingga sanggup melukai banyak pihak lebih-lebih ibubapa. Tidak cukup dengan penyeksaan demikian, meninggalkan bebanan hutang yang menjadi kesakitan tanggungan badan dan perasaan orang tua juga penjamin-penjaminnya. Bukan sedikit yang melarikan diri ke luar negara meninggalkan hutang yang tidak berbayar merisaukan hati orang tua. Hati orang tua mereka menderita dengan perangai yang derhaka demikian. Adik beradik terseksa dengan biadapnya perangai yang mementingkan diri tersebut, lebih-lebih mereka jadi sasaran untuk membayar hutang yang di tinggalkan.
Zalimnya perangai mereka yang demikian. Meski pun tidak semua, tetapi bagi yang demikian sedarlah... Kalian tetap akan menemui Allah untuk pengadilan. Kalian hidup tidak akan aman baik di dunia maupun di akhirat bila kalian menyakiti kedua orang tua kalian. Sehebat mana, sekaya mana pun kalian, pastinya jiwa kalian tidak akan tenang. Sampai hati mereka yang berkenaan membuat kelukaan yang mendalam pada ibubapa yang mendidik sepenuh kasih sayang dari kalian di lahirkan. Mereka sanggup menjaja muka mencari jaminan agar kalian dapat menyambung pelajaran. Ini balasan kalian. Kerana ego dan angkuh... jika berjaya kalian lupa daratan. Bila gagal, kalian tiada keredhaan, maka kononnya berada di luar negara dapat menenangkan hati kalian.
Zalimlah yang berkenaan, jika tindakan tersebut melukakan hati kedua orang tua kalian. Bayangkan jika menjadi anak yang tidak pula mendapat keredhaan kedua orang tua. Renungi pesanan demikian.
Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2654
Amatilah bagaimana dosa menderhaka kepada ibubapa ini diletakkan bersama dosa mensyirikkan Allah S.W.T. iaitu dosa yang paling keji di atas muka bumi ini. Di sisi lain Allah S.W.T. berfirman:
وَاعْبُدُواْ اللّهَ وَلاَ تُشْرِكُواْ بِهِ شَيْئاً وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.” – al-Nisaa’ (4) : 36
Keredhaan Allah S.W.T terhadap hamba-Nya juga bergantung kepada bagaimana seseorang itu berhubungan dengan ibubapanya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” – Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 1821.
Hadis ini membenarkan apa yang disebut sebelum ini, bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibubapanya, maka Allah juga murka kepadanya.
Bayangkan betapa murkanya ibubapa tadi dengan tindakan anak-anaknya yang mengikut perasaan dan mementingkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa hubungan dengan ibubapa ada kaitan dengan kesudahan kehidupan mereka tatkala bertemu dengan Allah s.w.t
Maka, berhati-hatilah jangan sampai menjadi anak yang derhaka. Walaupun mungkin anda merasa biasa sahaja, tapi ingatlah akan dosa yang kalian tanggung dan ibadah kalian bagaimana apabila telah merosakkan hati keduanya. Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment