Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Thursday, September 16, 2010

KEIKHLASAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Keikhlasan seseorang tidak dapat diukur hanya dengan penglihatan mata kasar. Ianya bergantung kepada niat seseorang dalam melakukan satu-satu perkerjaan.

Ilmu Hadith.


عن أمير المؤمنين أبى حفص عمر ابن الخطاب رضى الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: “انما الأعمال بالنيات وانما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها او امرأة ينكحها فهجرته الى ما هاجر اليه”. البخارى ومسلم.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a. katanya: Aku mendengar Rasul Allah s.a.w. bersabda: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala berdasarkan kepada apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.

Kepentingan Hadith:
Hadith ini amat penting menjadi paksi putaran Islam, ia adalah asas kepada Islam atasnya bersandar segala hukum Islam, ini berdasarkan kata Ulamak; Abu Daud mengatakan hadith ini separuh dari Islam kerana agama terdiri dari lahir dan batin, niat adalah perkara batin. Kata Imam Ahmad dan al-Syafi’i; hadith ini satu pertiga dari agama, sebab kerja manusia terdiri dari hati, lidah dan anggota, maka niat salah satu darinya. Sebab itu ulamak memulakan karangan kitab mereka dengan meletakkan hadith ini dipermulaannya, al-Bukhari memulakan dalam Kitab Sahihnya, Imam Nawawi memulakan hadith ini dalam kitab-kitabnya Riyadzu Salihin, al-Azkar dan hadith empat puluh. Gunanya dimulakan dengan hadith ini untuk meperingati kepada setiap penuntut ilmu agar mengikhlaskan hati kerana Allah ketika menuntut ilmu dan beramal soleh.


Setiap tindakan perlu kepada keikhlasan sebagaimana ibadat-ibadat lain yang dikerjakan kerana keikhlasan hati dalam mengerjakan ibadah adalah menjadi syarat penerimaan ibadah itu oleh Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu, Dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu."

Melihat zahir yang baik belum tentu membuktikan isi hati dan keikhlasan yang baik. Sebaliknya hati yang baik akan menzahirkan yang baik. Memberi makna setiap perkara baik itu di sisi Allah berdasarkan niat hati seseorang mengerjakan amalam baik tersebut.

Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amalan. Sesungguhnya sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima. Sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredhaanNya".

Keikhlasan niat seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Saad bin Muaz yang tidak mempunyai rupa kecantikan telah di jamin oleh Rasulullah s.a.w. yang mana beliau adalah penghuni syurga. Tatkala mendengar seruan jihad dari Rasulullah s.a.w “Wahai pemuda-pemuda Islam bersiap sedia segera kerana musuh sedang datang untuk menyerang kita”. Lalu Saad menukar fikiran dengan membeli kelengkapan perang dan siap sedia dengan baju perisai dan kuda untuk berperang walaupun asalnya dengan bantuan sahabat lain beliau ingin membeli keperluan perkahwinannya. Saad dengan segera pergi berbaris paling hadapan dengan sahabat-sahabat lain dengan siap berpakaian perisai perang. Kerana baju perisai yang lengkap, Saad tidak dikenali oleh sahabat-sahabat lain. Takdir Allah Saad telah syahid dalam peperangan tersebut.

Selepas perang jihad tersebut, sahabat-sahabat terkejut kerana tidak menyangka orang yang berperisai lengkap tersebut adalah Saad. Mereka sedih dan tidak menyangka kerana Saad sedang bersiap sedia untuk perkahwinannya yang pada asalnya di tolak oleh bapa si perempuan kerana rupanya. Berita syahidnya Saad ini segera disampaikan kepada Rasulullah dan Rasulullah berkata, “di saat kematian Saad, bergegar arash Allah dan menangis para malaikat di langit dan di bumi”. Saad Bin Muaz dimuliakan oleh Allah di saat kematiannya adalah seorang yang hanya 6 tahun jangka hayatnya dalam Islam.

Demikianlah kita, bagaimana keikhlasan kita dalam melakukan sesuatu agar mendapat jaminan Allah menghuni syurga dengan rahmatnya tanpa niat suci bersih melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah s.w.t. Ramai yang melakukan kebaikkan hari ini, namun dapatkah kita menjamin kebaikan tersebut ada nilainya di sisi Allah s.w.t. Bersama lah kita membuang sifat mazmumah dan mengantikan dengan mahmudah, kerana sifat mazmumah adalah sifat buruk yang banyak menghalang keikhlasan seseorang berhadapan dengan perhitungan Allah s.w.t.

Sifat ikhlas meninggalkan kepuasan dan ketenangan pada pelakunya. Mana kala sebaliknya akan membuat jiwa tidak tenteram, tidak puas hati, serasa dia sahaja yang perlu buat demikian, bahkan suatu hari mahu orang akhirnya tahu apa yang telah di lakukan. Kepuasan orang tahu dan menyebut sebenarnya tidak akan mendatangkan ketenangan, bahkan meninggalkan azab kepedihan dan kegelisahan di hati yang tiada kesudahan. Maka, hari ini ramai yang di lihat masih tidak senang dan masih tidak puas hati bilamana masih ada yang mengomen akan keterampilan dirinya.

Sering di lihat, dari bergurau jadi bertengkar bila tersentuh tentang pakaian, keterampilan, saiz badan biarpun dalam suasana hari raya yang masih terasa erti sebuah kemaafan. Pemerhatian ini, biasa berlaku di mana pun. Mengambarkan nilai sebuah keikhlasan melakukan sesuatu pekerjaan, " niat" apa sebenarnya menjadi keutamaan.

Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment