Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Monday, September 13, 2010

MUFLIS

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Saat pokok roselle menghijau hidup subur setelah di bajai dengan baik, terbayanglah betapa nanti pokok yang semakin membesar dan tinggi ini akan menghasilkan buah roselle yang baik. Sayang sekali, tanggapan demikian sangat meleset sehinggalah benih yang sama yang di tabur di kampung agak terkemudian jauh dari yang di tanam di rumah sendiri, baru setinggi lutut telah menampakkan hasilnya dengan buah-buah yang keluar lebat dari celahan dedaunnya. Agak terkejut juga, pokok roselle di tanam di rumah di kota yang terkenal sebagai ibu negara, tinggi dari kita, namun tiada seulas hasilnya. Termenung ana sejenak, memikirkan kehendak Allah.. SubahanAllah. Tiadalah terjadi sesuatu perkara tanpa kehendak Allah.

Begitulah hendaknya nilaian diri kita, jangan lah kita perasan bahawa amal ibadah yang kita pulun sentiasa, kita sudah merasa cukup hebat, sehingga akhirnya tanpa kita sedari, bila hasilnya di lihat di akhirat, hampa... kosong, tidak bernilai dan MUFLIS..... Nauzubillah. Apatah lagi dalam beriya memenuhi diri kita dengan pelbagai ilmu, diingatkan agar bertanggungjawab terhadap amanah keluarga iaitu isteri dan anak-anak. Lantaran sangat dibimbangi di akhirat kelak, anak isteri akan menuntut segala pertanggungjawaban yang tidak kita tunaikan kepada mereka. Samada tanggungjawab memberi mereka ilmu, pendidikan, perlindungan, makanan, kesihatan dan sebagainya akan dipersoalkan kepada kita sama ada kita laksanakan, terabai atau bagaimana keadaannya. Jika kita perhatikan realiti hari ini, tidak sedikit ibu bapa yang selalu solat berjemaah di masjid, mendengar berbagai kuliah agama, menghadiri kelas pengajian agama dan melakukan pelbagai amal kebajikan, sedangkan anak mereka terbiar tanpa mendapat pendidikan agama sempurna, bergaul bebas, tidak menutup aurat, terbabit dengan jenayah, gejala sosial, berpeleseran antara lelaki perempuan dengan bermaksiat dan kegiatan kemungkaran? Golongan ibu bapa seperti ini mengerjakan amal ibadat dengan penuh ketekunan dan kesungguhan, tetapi mereka beribadah dalam situasi yang tidak menjaga ahli keluarganya dari api neraka.

Firman Allah,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً

Bermaksud :"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka... (Surah at-Tahrim :6)

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?” Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?” Lantas Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. “Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebagaimana pohon roselle tadi, kesinambungan pula dari hadis di atas, Berdasarkan hadis itu, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis pada akhirat adalah berasal daripada orang yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadat mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati, dihina, dibunuh atau dizaliminya atau sebagainya. Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang mereka kumpul sekian lama, dengan mengerjakan bermacam kebajikan dan ibadat, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu mereka bayar disebabkan kesalahan mereka terhadap orang lain. Juga atas tuntutan-tuntutan ahli keluarga yang berbagai atas kegagalan kita menunaikan tanggung jawab mengheret kita ke tempat yang tiada kita sangkakan.

Alangkah sedihnya jika seseorang muflis di akhirat nanti. Sedangkan ketika di dunia, kita merasakan kita adalah orang yang hebat ibadahnya. Sayang sekali, ibadah tanpa ilmu, tanpa redha Allah, tanpa keikhlasan, hanya hampas sahaja yang di hasilkan. Jikalah muflis di dunia, ramai yang sudah merasa begitu hina dan malu, hingga ada yang tidak mahu keluarganya tahu, namun ianya tidak lah seteruk mana, kerana boleh mengusaha untuk sesuatu yang lain. Sedang di akhirat, tiada tukaran yang mampu di buat, kerana apa yang perlu di bawa adalah hasil pengumpulan pahala dan amalan ketika hidup di dunia. Dengan rahmat Allah, maka selamat lah kita. Namun bagi yang tidak mendapatnya.... maka kembalilah mereka dalam keadaan yang Muflis yang akan di tempatkan di tempat yang sehina-hinanya. Nauzubillah min zalik.

Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment