Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Tuesday, September 28, 2010

TERPUTUS REZEKI - Meninggalkan doa untuk ibubapa

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Pastinya ibubapa sangat gembira bila memperolehi anak. Kegembiraan mereka membuat mereka menjaga dan mendidik anak-anak dengan penuh pengorbanan. Mereka sanggup bersusah payah dan ada kala sanggup tidak makan asalnya anaknya gembira dan sempurna kehidupannya. Sehinggalah mereka memerah keringat yang keterlaluan lebih-lebih mencari sumber untuk memastikan anak-anak berjaya dalam kehidupan dan pelajaran. Meskipun kadang-kadang anak-anak tidak menghargai semua ini, lantas kecundang dipertengahan jalan.

Walau apa sekalipun, ibubapa sanggup menerima anak-anaknya, seburuk mana sekalipun laku si anak. Bukanlah mereka mengharapkan wang ringgit anak-anak bila mereka telah berjaya, tetapi kejayaan anak adalah kegembiraan mereka. Kedukaan anak adalah kegelisahan mereka. Namun kebanyakkan anak-anak hari ini, rata-rata paling tidak mempunyai rumah dan kereta masing-masing. Samada mampu atau tidak, mereka tetap berusaha dengan apa-apa kerja tambahan agar dapat mengatasi persaingan masa kini. Ibubapa yang susah dulu, tetap begitu. Walaupun anak-anak telah berada di mercu. Meskipun tidak semua yang melupai ibu bapa, namun ramai yang tidak mementingkan lagi kedua orang tua, lebih-lebih dalam mengejar kehidupan berupa mata benda.

Makan atau tidak orang tua, jarang di tanyai. Sakit atau deman orang tua, tidak di lawati. Bahkan untuk mengangkat tangan berdoa untuk kedua orang tua, pun tidak mampu dijadikan satu tindakan yang perlu di buat setiap hari. Lantaran itulah hari ini, kita selalu melihat, sehebat mana pun kehidupan anak-anak di mata dunia ada juga masalahnya. Ada juga berbagai kegelisahannya. Bahkan semakin hebat di mata, semakin terikat dengan hutang yang melata. Jiwa sudah tidak lagi ceria. Hidup pun tidak tentu hala. Suami isteri tidak sekata. Anak-anak mempunyai akhlak yang sangat tercela.

Rezeki mempunyai harta yang berkat, anak yang soleh, rumah tangga yang bahagia, semua telah hilang entah kemana. Tidak lain kerana masing-masing kini lupa... Lupa....lupa... BERDOA UNTUK ORANG TUA KITA.....

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.

Baginda s.a.w. juga bersabda: "Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya. " (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

Allahu a'lam.

Sunday, September 26, 2010

SEKADAR SEMANGAT

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Siapa yang tidak bahagia sekiranya umat islam berlumba-lumba mendaulahkan sebuah perjuangan islam demi meneruskan perjuangan Nabi s.a.w. junjungan yang mulia. Namun amatlah malang bagi mereka-mereka yang bersemangat tinggi mengharapkan ianya terjadi dan terbentuk dalam ruang lingkup yang besar, sedangkan dalam ruangan yang kecil pun tidak mampu menegakkannya di dalam diri.

Kita semua mengetahui dan menyedari bahawa Institusi Keluarga merupakan asas untuk melahirkan generasi yang soleh lagi bertaqwa. Tertegaknya Islam di dalam keluarga berkait rapat dengan kualiti kepimpinan ketua keluarga tersebut. Kita sedia maklum, Islam meletakkan bapa adalah pemimpin dan ketua dalam sesebuah keluarga yang bertanggungjawab mempastikan agar mereka yang berada di bawah jagaannya mengikut landasan dan batasan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Tanggungjawab dan peranan ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang berbunyi:


"كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، اَلإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِى أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُوْلَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا."

Bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin ia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya.”

Apa yang ingin ana perkatakan sebagaimana hadis di atas, ialah bahawa setiap kita adalah pemimpin. Masing-masing akan dipertanggunjawabkan terhadap pimpinannya. Bagi seorang ketua keluarga, mereka pimpinan rumah tangga, ibu pemimpin tugasan rumahnya, pengarah bertanggung jawab terhadap pekerja bawahannya, pemimpin negara terhadap rakyatnya. Sayang sekali, kita terlalu mendongak terus ke atas, dengan semangat yang tinggi, menuding kepimpinan yang tinggi sedangkan kepimpinan kecil pun kita gagal memenuhi. Justeru kerana itulah, kenapa islam masih belum dapat tertegak di muka bumi, lantaran kerana ramainya pejuang-pejuang yang cakap tidak serupa bikin, kata sesetengah orang.

Samada kita suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat dan realiti sebenar, begitulah kita hendaknya. Cubalah kita bayangkan, dalam kita melaungkan untuk memertabatkan islam di muka bumi, dalam masa yang sama, rokok tercacak di tangan. Satu perkara yang jelas menurut kajian sains sekalipun suatu benda yang merosakkan dan membinasakan. Anak-anak, tidak menutup aurat, berpeleseran dengan kawan-kawan lelaki dan perempuan, bahkan yang menutup aurat tidak seperti sebagaimana yang digaris pandukan oleh syarak, memegang kalimah, "asal menutup kepala" , biarpun pakaian tersebut jelas membentuk mengikut perhiasan badan wanita yang dijadikan. Bahkan anak-anak remaja hari ini, bebas berbincang berkumpulan lelaki dan perempuan walaupun berada di depan ibubapa. Baik isteri-isteri kalian masih lagi bertudung.. yang bila dijatuhkan ke dada masih membentuk mengikut alunan dada tersebut, juga masih bertabaruj bila keluar dari rumah.

Personaliti beginikah yang dikatakan menjulang islam di tempat yang tinggi...? Kita menuding jari ke pihak yang tidak menegakkan hukum islam di muka bumi. Agar kita yang perasan dan penuh semangat boleh menegakkan nya bila di beri ke tangan kita, sedangkan dalam masa yang sama, perkara dan pimpinan kecil juga kita gagal melaksanakannya. Bagaimana mungkin orang-orang sebegini mampu memegang tampuk yang lebih besar.

Sedarilah... kerana kelalaian beginilah islam masih tidak diberi oleh Allah pada tangan-tangan orang yang lebih perasan dan hanya bersemangat tinggi. Walaupun tidak di nafikan masih ada dan agak ramai jugalah yang benar-benar memegang islam dan mempunyai ciri peribadi yang tinggi, juga kepimpinan yang tinggi dalam keluarga dan sanak saudara, namun masih tidak dapat mengatasi mereka yang tidak mempunyai ciri kepimpinan ini. Bahkan gagal sama sekali mendaulahkan hukum islam dalam keluarga sendiri.

Mungkin ramai yang melenting bila di katakan begini, kerana kita biasa memandang kesilapan orang, tetapi tidak pernah cermin diri dan memandang kesilapan sendiri. Kita memandang besar silapnya orang lain, ibarat pepatah, kuman diseberang laut nampak sedang gajah dibibir mata tidak kelihatan. Ya.. benar, kalau gajah diletak di bibir mata, mana kita nak nampak. Pandangan yang terlalu besar.

Ana memperkatakan begini, kerana kita sendiri boleh menilai, hari ini, mereka yang bergelar Ustazah, memperkatakan hal agama, namun masih bertabaruj yang jelas, masih beraksi di depan khalayak yang sepatutnya boleh dilakukan oleh kaum muslimin/lelaki penyampaian tersebut. Bahkan mereka yang model islam, seperti imam-imam bila kenduri kahwin anak-anak, boleh memasang lagu-lagu artis yang biasa beraksi di pentas bahkan mempromosi lagu artis yang mendedahkan aurat, meskipun di selang seli dengan nasyid sekali sekala, namun ianya tidak sepatutnya berlaku.

Begitu juga, kita adalah penganjur, kita tuan rumah, kita boleh membuat peraturan bahawa kenduri kita tidak melibatkan waktu solat. Kita kena fikir, kita suami isteri yang biasa solat awal waktu kita perlu terus istiqamah begitu. Pasti. Kita boleh syaratkan bahawa tetamu yang hadir mesti menutup aurat. Boleh, kerana kita perlukan kehadiran orang-orang beriman bagi keberkatan kenduri kita. Itu suruhan Allah, apa mungkin kita tidak mahu mempertegakkan di dalam kehidupan kita. Kita yang patut mulakan. Selama mana kita hendak bertangguh... kiamat datang secara tiba-tiba.. Ayuh segera kita melaksanakan suruhan Allah dan rasul kita, kerana kita menerima al-Quran telah sempurna bukan lagi sepotong demi sepotong ayat. Syumul al-Quran menuntut kita mensyumulkannya dalam kehidupan. Bahkan kita juga boleh menghapus terus konsep bersanding dan merenjis dalam Islam. Jika anak menantu kita ingin sangat bergambar, sandingkan mereka di dalam bilik mereka, dengan gambar di ambil oleh adiknya atau kita sebagai ayah ibunya. Kenapa tidak boleh... Apa tujuan kita buat diluar, tepuk dada tanya iman. Bukankah kita ingin mempamerkan pengantin yang ditabarujkan di depan orang ramai. Untuk apa sebenarnya. Tidak salah, mereka turun memperkenalkan diri pada saudara mara. Namun kenapa perlu di adakan upacara merenjis...?? Kekadang yang bukan mahram turut bersalaman, seperti sepupu, rakan-rakan dan sebagainya. Di mana keberkatan yang kita inginkan dalam rumah tangga.

Begitu jugalah dalam masa yang sama, baik yang berkefahaman agama atau tidak, bila ada majlis kenduri, kebanyakkan yang tidak tinggal solat jemaah, tidak lagi melakukan bahkan sudahlah meninggalkan masjid, yang mana program tersebut boleh di atur tidak melibatkan waktu solat, kerana kita yang menganjur program tersebut, kerana pastinya kita tidak mampu berbuat demikian atas alasan menyambut tetamu..., tetapi apakah mungkin sebagai ibu bapa pengantin boleh solat lewat dan di akhir waktu dengan alasan menyambut tetamu tersebut...?

Apakah mungkin kita boleh memberi jaminan umur kita kekal beberapa detik lepas masuknya waktu solat?... Bagaimana pula pekerja-pekerja yang menghidang makanan untuk bersegera bersolat..? Kita akan di pertanggungjawabkan dalam soal ini. Sepatutnya, tuan rumah, penghidang makanan, baik tetamu yang hadir, berada di tikar sembahyang bila masuknya waktu sembahyang. Itulah mukmin sejati. Berlainanlah jika program tersebut adalah program ilmu yang merupakan satu tuntutan kefardhuannya ada. Sedangkan program makan-makan ini harus aje. Banyak waktu yang boleh di pilih yang tidak melibatkan waktu solat.

Inilah kelemahan-kelemahan kita yang selalunya terlepas pandang. Kita masih ada waktu memperbaiki, selagi nyawa dikandung badan, selagi nafas belum terhenti. Janganlah kita bersemangat tinggi untuk menegakkan islam, sedang dalam masa yang sama peranan kita sebagai pimpinan keluarga yang kecil , gagal kita laksanakan. Bayangkan jika peratus yang besar berkeadaan begini, apakah satu kepimpinan islam yang teguh mantap dapat di bina. Pastinya kesannya agak buruk dari apa yang dijangkakan.

Maka, persiapkan diri, dan yakinlah, bila kita semua telah benar-benar berperanan sebagai seorang pemimpin, masa islam akan naik tetap tiba. Kerana itu janji Allah. Islam pasti tertegak di muka bumi sebelum berakhirnya zaman ini. InsyaAllah. Allahu a'lam.

Saturday, September 25, 2010

ZIKIR HARIAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Mari kita berzikir 1000 x setiap hari...

JUMAAT

يَا الله

SABTU

لاَ اِلَـٰـهَ اِلاَّ الله

AHAD

يَا حَيُّ يَا قَيُّوم

ISNIN

لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ


SELASA

اللهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
وَعَلَىٰ اٰلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدْ

RABU

اَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمِ

KHAMIS

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ / سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ

BAHAYA FITNAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Bersangka baik sangat di ajarkan oleh agama agar tidak tertimpa suatu penginiayaan pada seseorang. Lebih baik melepaskan orang bersalah dari menghukum orang yang tidak bersalah. itulah yang di ajar oleh agama kita. Namun amatlah menyedihkan bagi mereka-mereka yang terfitnah tidak dapat membukti kan diri tidak bersalah. Paling tidak, ianya telah disindir, dicerca, dijauhi dan dipandang serong. Itulah masyarakat yang tidak memakai saranan yang diajarkan oleh agama.

Tidak di nafikan sangat sukar untuk membuktikan diri tidak bersalah. Mungkin juga seorang itu teriniaya apabila sedang tidur tidak tahu perempuan tidur di sebelahnya lalu ia di katakan berbuat serong. Terpinga-pingalah ia. Ada juga yang membawa kenderaan awam, tiba-tiba ada benda salah dalam bonet keretanya, tidak tahu siapa yang punya lantas dirinya yang di tuduh memilikinya. Berbagai lagilah, kekadang dalam menyelesaikan masalah orang lain, beliau pula di tuduh melakukan.. itulah ujian yang semua pastinya tidak sanggup menghadapi fitnah sebegini. Bagi yang melalui keadaan ini, moga Allah memberi kekuatan kepada mereka menghadapi dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Betapa perit sekalipun keadaannya, pastinya jiwa orang yang benar, orang yang beriman tenang menghadapi semua ini. Apa yang perlu digusarkan jika sebetulnya mereka tidak bersalah. Allah itu sangat adil terhadap hamba-hambaNya. Memang perkara ini pasti berlaku pada segelintir orang di dunia ini, kerana dunia itu tiada nilai, hanya tempat ujian untuk kita membuat pilihan jalan baik atau sebaliknya.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah." (Hadis riwayat Muslim)

Demikianlah bahaya fitnah yang boleh menyebabkan penginiayaan pada yang tidak bersalah. Perihal demikianlah kenapa dosa membuat fitnah menjauhkan diri seseorang dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Layaklah Allah meletakan pembalasan demikian kerana bahayanya sangat besar, boleh membunuh jiwa seseorang. Meninggalkan kesan tekanan yang cukup hebat sepanjang penghidupan seseorang. Di sebutkan oleh Allah di dalam Firman-Nya :-
وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

yang bermaksud: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya."(Surah al-Baqarah, ayat 191)

Sifat pengampun dan penyanyang Allah, memberi ruang kepada manusia supaya bertaubat agar dosa-dosa yang pernah di lakukan selain dari syirik untuk di ampunkan. Namun bagi dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Inilah ilmu yang telah kita ketahui banyak dari penyampaian ulama'-ulama' .. jadi bukan setakat tahu dan belajar sahaja, maka kita perlu menghindarkan terus dari terjebak dan mendekati amalan buruk tersebut. Moga-moga kita terpelihara dari perkara-perkara yang mendedahkan kita dengan azab Allah. Nauzubillah.

Friday, September 24, 2010

BERINGATLAH...

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Pernahkah anda terfikir dan merenungi .... andaikata...

Sedang anda berkata-kata tiba-tiba terkelu
Sedang anda berjalan tiba-tiba terjatuh
Sedang anda berdiri tiba-tiba rebah
Sedang anda berlari tiba-tiba terlayang
sedang anda menaiki motosikal tiba-tiba terpelanting
sedang anda menaiki kereta tiba-tiba berlanggar
sedang anda bernafas tiba-tiba terhenti..!!

Saat itu, adakah anda masih boleh memikirkan harta, anak, suami atau isteri..? Saat demikian siapa agaknya yang anda fikirkan.. kesudahan apa yang anda harapkan, kesalan apa yang tidak terucapkan.. apa yang anda perlukan?

Apakah persediaan anda berjalan lancar untuk menghadapi semua ini... Beringatlah..!!

PASTI BERLAKU..!!!

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Tidak dapat tidak, kita pasti akan melalui mati. Samada kita suka atau tidak, pasti...!! . Alam Kubur atau Alam barzakh bukanlah bermakna hanya orang yang ditanam di dalam kubur sahaja akan menempuh alam Barzakh dan merasai nikmat atau azab di alam tersebut. Panggilan dengan nama alam kubur adalah merujuk kepada kebiasaan sahaja iaitu biasanya orang yang telah mati akan ditanam di dalam kubur. Tidak juga kita boleh menolak, bahawasanya banyak juga orang mati yang tidak ditanam di dalam kubur kerana mayatnya tidak dijumpai, mati terbakar kemudian menjadi abu, atau mungkin dimakan binatang buas dan sebagainya. Jadi, sama ada mayat tersebut di tanam di dalam kubur atau tidak, pada hakikatnya telah berada di alam Barzakh dan berhadapan dengan segala peristiwa yang berlaku di alam Barzakh seperti menghadapi persoalan munkar dan nakir, nikmat dan bahagia bagi orang yang taat dan azab bagi orang munafik, kafir dan ingkar dan sebagainya lagi.

Cukup takut bila mengenangkan azab di dalam kubur. Maka perlulah kita menghindari perkara-perkara yang menyebabkan di azab. Renungi dan takuti dengan perkara tersebut, kerana azab adalah suatu yang sangat menyiksakan.

Azab Kubur, di antaranya ialah;


1. Penghuni kubur didedahkan kepada bahang api neraka setiap hari iaitu di waktu pagi dan petang.

2. Dihampari kubur dengan hamparan dari api neraka

3. Kubur disempitkan hingga saling bersilang tulang-tulang rusuk

4. Didatangkan 99 ekor ular yang berbisa dan menggerunkan

5. Didatangi seorang lelaki yang buruk wajahnya dan berbau busuk (iaitulah jelmaan kepada amalan-amalan kejahatan di dunia dulu)

Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda: “(Allah) akan memberi kuasa untuk menyiksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuk/menyengatnya hingga berdirinya kiamat. Jika sekiranya seekor sahaja dari ular-ular itu meniupkan bisanya ke bumi nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi)”. (Riwayat Imam Ahmad dari Abi Said al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu-)

Kemudian semua kita pasti akan menempuh alam akhirat yakni kiamat yang pasti berlaku. Mereka-mereka yang di dalam kubur baik yang bahagia atau sebaliknya akan di bangkitkan semula. Pasti semua perkara ini akan berlaku.

Firman Allah
وَأَنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ لَّا رَيْبَ فِيهَا وَأَنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ مَن فِي الْقُبُورِ


"Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang, tidak ada syak padanya, dan sesungguhnya Allah menghidupkan semula orang yang di dalam kubur.” (Surah al-Hajj, ayat 7).

Justeru itu, bagaimana kita ingin menghadapi kebenaran ini. Apakah kita masih bertangguh-tangguh?. Apakah kita boleh menjamin dengan amalan kita ini sudah cukup membebaskan kita dari semua azab yang dijanjikan bagi yang ingkar?. Apakah kita telah menghitung apakah amal kita hari ini lebih baik dari semalam, atau sama seperti semalam atau lebih buruk dari semalam?? Tepuk dada, tanyalah iman... hala tuju mana kita sekarang... Allahu a'lam.

Wednesday, September 22, 2010

KEMBALI KEPADA HUKUM ALLAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Sedih sungguh hati ana, tatkala mula memahami apa yang di perbincangkan oleh rakan-rakan di pejabat, al maklum ana selalu ketinggalan dari berita terkini kerana 6 tahun ana tidak menonton TV, melainkan TV di pejabat terbuka waktu ana lalu, seimbas itulah ana lihat. Walaupun ana tidak turut serta perbincangan mereka, tetapi paling tidak, jelas juga kedengaran kerana meja-meja mereka di sekeliling meja ana. Ana duduk paling tengah, maka apa sahaja yang mereka bualkan, walaupun ana cuba menumpu sepenuh perhatian terdengar juga di telinga.

Bukanlah perkara yang dibualkan membuat ana rasa sedih dan pilu, tetapi bila merenungi betapa degilnya mereka-mereka yang diberi kuasa oleh Allah s.w.t untuk mendaulahkan hukum Allah di muka bumi, sewenang-wenang mencadangkan sesuatu yang jauh dari petunjuk al-Quran dan Hadis nabi s.a.w. Bahkan apa yang di canangkan tersebut, ramai pula yang menyokongnya.. sedih sungguh!!

Allah telah memberi panduan yang telah di sampaikan oleh Rasul junjungan, sekiranya berlaku sesuatu perkara, lebih-lebih telah sampai tahap yang sangat kritikal, kembali kepada hukum al-Quran. Namun bila zina berleluasa, untuk... berbalik kepada hukum Allah langsung tidak. Lantas bagaimana mungkin kita boleh menerima dengan akal yang sihat, seorang yang beragama Islam serta memegang suatu kepimpinan boleh memilih jalan dan kaedah lain dari berbalik kepada Islam. Susah sangat ker kita hendak berbalik kepada panduan tulin yang turunkan oleh Pencipta kita sendiri.

Jika manusia cipta apa sekali pun, ada panduan dan cara untuk mengunakannya. Jika rosak, pakar-pakar bahagian itu juga yang dapat membaikinya. Apatah lagi kita sebagai manusia. Pencipta kita adalah Allah s.w.t. maka panduan yang betul untuk membaiki kerosakkan manusia adalah dari panduan Allah sendiri. Dimana ketaatan kita semua?. Apakah sekolah mengandung boleh menyelesai masalah zina?

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالاً مُّبِيناً

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul- Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”(Al-Ahzab 33: 36)

Sifat mukmin sejati adalah dengar dan taat, tunduk dan patuh serta menerima dan melaksana ketentuan Allah Yang Maha Esa. Jika beginilah perangai dan penolakan demi penolakan yang dibuat, benar-benarlah mendedahkan kepada kemurkaan Allah s.w.t. Beginikah sikap mereka yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. Beginikah yang dikatakan sebuah nilai ketaatan?? Firman Allah :-
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat; dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (An-Nur 24: 51)

Kembalilah kepada hukum Allah. Telah jelas terpampang di depan mata berbagai perkara yang berlaku sudah terbukti tidak masuk dek akal manusia perbuatan-perbuatan yang cela, hina dina melata di muka bumi Allah ini. Perangai kesyaitanan dan nafsu gila merasuk hebat di kalangan manusia hari ini. Tidakkah kisah-kisah kaum terdahulu yang di azab Allah atas kedurhakaan dan kedurjanaan perangai yang mereka lakukan. Sedarlah wahai insan, kalian semua akan bertemu dengan Allah s.w.t. Janganlah terus menerus mededahkan keadaan dengan kemurkaan Allah. Kembalilah bersama mencari keredhaan Allah. Ingatlah azab Allah itu sangat pedih..!!!

Allahu a'lam.

Tuesday, September 21, 2010

BUKU DAFTAR NAMA AHLI SYURGA DAN NERAKA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Hadis ini dibacakan oleh Ustaz ketika kuliah zohor di pejabat ana tadi, Begini bunyinya....

Diriwayatkan oleh Ahmad bin Hanbal dalam Musnad Ahmad 2/167 no 6563

حدثنا عبد الله حدثني أبي ثنا هاشم بن القاسم ثنا ليث حدثني أبو قبيل المعافري عن شفى الأصبحي عن عبد الله بن عمرو عن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال خرج علينا رسول الله صلى الله عليه و سلم وفي يده كتابان فقال أتدرون ما هذان الكتابان قال قلنا لا الا أن تخبرنا يا رسول الله قال للذي في يده اليمنى هذا كتاب من رب العالمين تبارك وتعالى بأسماء أهل الجنة وأسماء آبائهم وقبائلهم ثم أجمل على آخرهم لا يزاد فيهم ولا ينقص منهم أبدا ثم قال للذي في يساره هذا كتاب أهل النار بأسمائهم وأسماء آبائهم وقبائلهم ثم أجمل على آخرهم لا يزاد فيهم ولا ينقص منهم أبدا فقال أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم فلأي شيء إذا نعمل ان كان هذا أمر قد فرغ منه قال رسول الله صلى الله عليه و سلم سددوا وقاربوا فإن صاحب الجنة يختم له بعمل أهل الجنة وان عمل أي عمل وان صاحب النار ليختم له بعمل أهل النار وان عمل أي عمل ثم قال بيده فقبضها ثم قال فرغ ربكم عز و جل من العباد ثم قال باليمني فنبذ بها فقال فريق في الجنة ونبذ باليسرى فقال فريق في السعير

Telah menceritakan kepada kami Abdullah yang berkata telah menceritakan kepadaku Ayahku yang berkata telah menceritakan kepada kami Hasyim bin Qasim yang berkata telah menceritakan kepada kami Laits yang berkata telah menceritakan kepadaku Abu Qabil Al Ma’afiri dari Syafi’ Al Asbahi dari Abdullah bin Amr dari Rasulullah SAW, Abdullah berkata:

“Rasulullah SAW keluar menemui kami dengan kedua kitab di tangan Beliau. Kemudian Beliau bertanya “Apakah kalian mengetahui kedua kitab ini?. Kami menjawab “Tidak wahai Rasulullah kecuali Anda mengabarkan kepada kami”.

Kemudian Beliau bersabda mengenai kitab di tangan kanannya “Ini adalah Kitab yang berasal dari Rabb semesta Alam, di dalamnya terdapat nama-nama penduduk syurga dan nama-nama orang tua mereka serta kabilah mereka. Jumlahnya telah ditutup dengan orang terakhir dari mereka dan tidak akan ditambah dan tidak pula dikurangi”.

Kemudian Beliau bersabda tentang kitab di tangan kirinya “Adapun ini adalah Kitab dari Rabb semesta Alam, di dalamnya terdapat nama-nama penghuni neraka dan nama-nama orang tua serta kabilah mereka. Jumlahnya telah ditutup dengan terakhir dari mereka sehingga tidak akan bertambah ataupun berkurang untuk selama-lamanya.Kemudian para sahabat berkata “Kalau begitu di mana amalan wahai Rasulullah SAW jika semuanya sudah ditetapkan?”.

Beliau menjawab “Berusahalah dan mendekatlah karena sesungguhnya penduduk syurga akan ditutup dengan amalan penduduk ahli syurga meskipun ia mengamalkan apa saja. Dan sesungguhnya penduduk neraka akan ditutup dengan amalan penduduk neraka meskipun ia mengamalkan apa saja. Kemudian Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Allah SWT telah selesai terhadap para hambanya”.

Beliau berkata sambil mengarahkan tangan kanannya “Satu kelompok di dalam syurga” kemudian mengarahkan tangan kirinya seraya berkata “Kelompok yang lain di dalam neraka”.
Syaikh Ahmad Syakir dalam Syarah Musnad Ahmad nombor 6563 menyatakan bahawa hadis ini sanadnya Shahih. Hadis ini juga diriwayatkan dalam Sunan Tirmidzi 4/449 nombor 2141 di mana Imam Tirmidzi berkata “hadis hasan shahih gharib”.

Syaikh Al Albani memasukkannya dalam Shahih Sunan Tirmidzi nombor 2141 dan berkata “hadis hasan”. Kemudian Syaikh Al Albani juga memasukkan hadis ini dalam Shahih Jami’ As Shaghir nombor 88 dan berkata “hadis shahih”.

.............
Mungkin ada yang ego akan berkata, kalau begitu, apa guna beramal, kalau ahli syurga ..syurgalah jawabnya, kalau ahli neraka, nerekalah.... contoh-contoh yang biasa kita dengar kata ustaz. Kefahaman seseorang yang cetek tentang ilmu Allah menyebabkan mereka berkata demikian. Sedangkan Allah yang menjadikan kita, pastinya Allah tahu sudah kesudahan kita. Lantaran itulah kita hidup di dunia ini, agar kita dapat menilai samada kita ini ahli syurga atau ahli neraka berdasarkan amalan kita. Kita tidak tahu kesudahan kita, maka kita teruskan mengikut perintah Allah dan tinggalkan segala larangan Allah.

Allah tidak berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. Kita sebenarnya yang perlu mejalani ujian ini, jika baik yang kita pilih hingga akhirnya, maka baiklah kesudahannya, sebaliknya bagi mereka-mereka yang memilih jalan ingkar, tanpa kembali bertaubat kepada Allah di akhir hidupnya, maka itu adalah pilihannya sendiri. Masuknya syurga bagi seseorang itu adalah dengan rahmat Allah. Maka bila Allah memutuskan demikian, maka akhirnya di sanalah tempatnya.

Semoga nama-nama kita semua umat yang menjunjung titah perintah Allah dengan sesungguhnya , maka kita tersenarai di kalangan ahli-ahli yang dijanjikan syurga oleh Allah dengan rahmatNya. Ya Allah.. hidupkan kami dengan iman, matikan kami dengan iman dan masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama dengan iman. Amiin ya rabbal alamin.

Saturday, September 18, 2010

UMUR DAN HARTA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Kita sedia maklum masa yang diperuntukkan oleh Allah ada 3 sahaja. Semalam, esok dan hari ini. , semalam pastinya sudah tiada, esok belum tentu ada. Masa yang tentu ada adalah sekarang. Maka kita gunakanlah masa yang sangat sedikit ini untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Tidak di nafikan memang ramai yang rasa nak hidup lama. Semua orang mahu. Tetapi Allah maha mengetahui hikmah di sebalik hidup atau mati. Di percepatkan atau ditangguh Apa hikmah di segera dan ditangguh kita tak tahu. Dari segi zahir kita nampak bila panjang umur maka boleh tambah ibadah. Ringkasnya, jangan buat maksiat. Kadang-kadang ramai orang bertangguh ibadat. Sebab di rasa masa untuk hidup lama lagi. Mati itu boleh datang antara pejam dan celik. Waktu celik bimbang tak sempat nak pejam. Sebaliknya waktu pejam takut tak sempat nak celik. Mati mencelah. Nafas pun begitu. Nafas yang dah berlalu tadi sudah tidak tak ada. Begitulah umur kita dengan masa yang berlalu. Komentar Ustaz Ismail Kamus yang dapat ana olahkan serba sedikit sebagai perkongsian ilmu.

Tambah Ustaz lagi, Kadang-kadang bila cermin muka, rasa lambat lagi nak mati. Muka masih merah. Doktor pun kata lambat lagi mati. Ada orang kata tak pernah minta lahir ke dunia. Itu sombong namanya. Kalau suruh masuk dalam perut ibu semula tak mahu pula. Kita tak tahu kenapa kita datang ke dunia. Saidina Ali kata, dunia dan agama boleh tegak bila ada 4 perkara.

Pertama, Selama mana orang kaya tidak bakhil, tak kedekut. Selagi harta di kurniakan pada mereka. Mereka ada tugas dan tanggung jawab dan urusannya bagi yang di kurnia rezeki lebih. Ada hak orang lain di dalam harta tersebut. Tidak kiralah Zakat, sedekah, ataupun derma. Ada juga orang rasa wang itu dia rasa kesemua dia punya. Nabi Daud pernah berdoa, “ya Allah aku berlindung kepada mu dari harta yang mengenyangkan orang lain. Hisabnya aku yang menanggung dalam kubur” Maksudnya supaya Allah lindung harta yang beliau cari yang kenyang orang lain. Ini memberi maksud harta yang di kumpul bila kita mati bukan lagi milik kita.

Hari ini, banyak baju simpan, pakainya tidak, sedekah pun tidak. Kaya itu pun tak tahu sebenarnya siapa punya harta itu nanti. Sebuah cerita seorang Musafir menumpang di istana raja. Untuk menumpang tidur. Bertanyalah Orang musafir tersebut, sebelum ini harta ini milik siapa, sebelum itu siapa, dan sebelum dari itu siapa dan sekarang siapa. Tuanku itu kata dialah punya. Kalau tuanku mati siapa punya, anaknya, kalau anaknya mati dan seterusnya. Baru perasan harta bukan dia punya, bukan juga milik siapa-siapa. Masing-masing mati bukan dia punya sebenarnya. Orang kaya anggap harta yang dia punya sebenarnya bukan dia punya. Paling banyak berapa banyak orang kaya boleh makan nasi. Semua benda bila banyak penyakit dah tidak boleh makan. Wang yang kita simpan belum tentu kita punya; yang di sedekah itulah sebetulnya kita punya.

Kedua, Selama mana ulama mengamalkan apa yang dia tahu. Dulu jahil bila mengaji hilang kejahilan. Lepas berilmu kenalah beramal. Kemudian menjadi kewajipan pula menyampaikan pada orang lain. Jangan sorok ilmu. Sorok ilmu ada dua sebab, pertama sengaja tak mahu mengajar. Berhasrat sembunyikan kebenaran. Tak berani mengatakan yang hak. Nak cakap haram ke halal susah. Tak berani nak cakap. Ulama mesti menyampaikan yang sebenar-benarnya. Dan ulama sepatutnya tidak takut cercaan orang yang mencerca. Yang takutkan kepada Allah orang yang bersifat ulama. Ciri-ciri ulama’ pewaris nabi ialah yang pertama bersifat takutkan Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 28 surah Fathir :

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Sesungguhnya golongan yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya ialah para ulama’. Sesungguhya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun

Hari ini ulama yang di takutkannya adalah kepada manusia. Sebab tu manusia tak takut kepada ulama, dan boleh berbuat apa sahaja kepada ulama. Tak berani nak kata yang benar. Zaman umar Abdul Aziz, 20 orang islam di tangkap. Raja menawarkan tugas menjadi gabenor di tempat yang subur dengan tumbuhan. Syaratnya mesti masuk Kristian. Hukumannya ‘Pancung’ kalau tak masuk. Ulama pertama dan kedua yang ditanya tetap pendirian dengan islam. Maka mereka di pancung. Tanya sorang-sorang. Mereka tidak sanggup untuk menjual agama. Pancung juga. Ulama Ketiga, mahu jadi gabenor. Maka dia setuju masuk kristian. Sebelum sain kontrak, dia di uji dulu samada betul atau tidak pendiriannya. Supaya orang di sebelahnya ikut sama, dia pun di pancung. Maka dunia pun tak dapat, akhirat pun tak dapat. Sebab bila sudah ingin murtad, hukumnya murtad. 3 perkara tak sungguh pun sungguh. Salah satunya persoalan Aqidah. Sudah kata, jadi betul .Itulah rupa ulama yang boleh di beli. Sejarah Imam Ahmad bin Hanbal. Keluarkan fatwa yang bercanggah dengan Kerajaan. Hukuman yang dikenakan rotan kalau tak tarik balik. Datang ulama sebelah Khalifah, pujuk Iman Ahmad bin Hanbal supaya tak kena rotan tarik balik kata-katanya. Tak mahu tarik balik. Dulu pun ramai ulama yang mengampu. Sebelahnya yang kena rotan adalah pencuri, pencuri itu pun nasihat dia jangan tarik balik. Saya pencuri pun tak tarik balik. Perompak kata, tuan kalau tak tarik tuan akan masuk syurga. Perompak yang kata tu. Kalau orang sekarang mengampu lebih teruk dari perompaklah… lawak Ustaz. Kemudian petugas yang bertugas memukul kepala.

Bila raja tersebut sudah mati, dia di bebaskan Imam Ahmad mengajar balik. Orang yang rotan ada pula dengar ceramahnya. Lalu bila Imam Ahmad tanya, kenapa dulu dia pukul kepalanya. Tugas dia rotan sahaja. Kata orang itu, supaya Iman Ahmad cepat mati agar tak tarik balik kata-katanya. Rupanya hatinya beriman walaupun bertugas dengan orang yang zalim. Apa yang perlu kita ambil iktibar, seorang Imam pun kena siksa bila mengatakan kebenaran. Ini kita kena tukar kerja pun takut. Ulama-ulama dulu nak sampaikan kebenaran pun sanggup kena siksa. Imam Ahmad Hanbal tercabut kain. Dia pesan jangan sampai Nampak aurat dia, nak rotan, rotan sahaja. Apa yang kita lihat, nak sampai kebenaran sangat menakutkan. Ulama itu merupakan pelita, lampu suluh kepada bumi ini. Mesti diletakkan di tempat yang sebenar. Salah tempat hancur jadinya . Macam Harimau kalau duduk dalam zoo, orang baling kacang, orang buat main, mana ada orang takut. Harimau tempatnya di hutan. Mesti di letak tempat sebenar, baru orang takut. Kalau tak orang acah je dia aje, kata Ustaz.

Ibnu Abbas berkata : Sesiapa yang takutkan Allah maka dia adalah orang alim

Ketiga, Selama mana orang jahil tidak sombong mengenai apa yang dia tidak tahu. Tak tahu tanyalah . Di masjid kena ada kelas. Kena bawa kitab. Silapnya tuan guru bawa kitab anak murid tak bawa. Nasihat Ustaz, Belajarlah kitab tua, ada keberkatan di sana.

Keempat, Selama mana orang miskin tidak menjual agama. Zaman pemerintahan Saidina Umar, beliau bertanya seorang budak kulit hitam yang miskin mengembala kambing. Umar uji keimanan dia, minta di jual seekor kambing kepadanya dengan alasan tuan kambing bukan tahu pun kalau dia jualkan. Dia menyuruh katakan kambing itu sudah mati kalau di Tanya tuannya. Maka budak itu menjawab ‘walaupun tuan dia tak ada dan tidak tahu, tetapi Tuhan ada dan tahu. Lihatlah betapa putih hati budak tersebut walaupun kulitnya hitam. Iman yang tinggi menyebabkan dia tidak menjual agama dengan harga yang sedikit. Sebaliknya ramai yang memandang dunia. Dunia itu ibarat bola, cuba tengok orang main bola, dah dapat bola, sepatut bawalah balik, tapi di tendang balik. Lawak ustaz lagi.

Begitulah kita, sejauh mana kita menghargai masa dan harta yang di anugerahkan oleh Allah kepada kita dengan sebaiknya bagi meraih keredhaan Allah s.w.t. Tiadalah keuntungan bagi yang mensia-siakan pemberian Allah ini, sekiranya tidak dapat membantu kehidupan akhirat kita nanti. Apa yang baik itu, adalah dari Allah s.w.t. dan yang tidak itu adalah kekurangan dan kelemahan ana dalam memanjangkan ilmu ini seadanya. Allahu a’lam.

RAHMAT ALLAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Kuat beramal bukan menandakan seseorang itu di jamin dengan syurga Allah. Masuknya seseorang ke dalam syurga Allah semata-mata atas rahmat Allah. Belas kasihan Allah. Selagi sesorang itu beriman dengan Allah, walau sebesar zarah akhirnya dia akan di masukkan oleh Allah ke dalam syurga Allah. Begitulah pemurahnya Allah. Namun demikian, untuk mendapat rahmat dan belas kasihan Allah, kita perlu beramal. Beramal dengan sepenuh keikhlasan mengharap redha Allah.

Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.” (Riwayat Muslim)

Balasan neraka sebagai penebus segala dosa. Namun akhirnya bagi mereka yang beriman, akan dapat memasuki syurga dengan rahmat Allah. Namun, neraka adalah suatu tempat yang tidak tergambar azabnya, walau sesaat sekalipun jangan sampai kita menjerumuskan diri ke dalamnya. Maka, beramallah kita, agar tidak tersentuh oleh api neraka. Ini kerana telah di sebutkan di dalam al-Quran, bahawa orang-orang yang bersolat juga tidak terkecuali dari memasuki api neraka. Sebagaimana firman Allah berbunyi :-

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ # الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya (Surah al-Ma'un : 4-5)

Sebagaimana yang telah di sebutkan, Allah sekali-kali tidak menzalimi hambanya. Meskipun ada iman sebesar zarah di dalam hatinya, yakni mempercayai ke enam-enam rukun iman maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga bila tiba masanya meskipun ia banyak melakukan dosa. Begitulah sebaliknya, bagi mereka yang mengaku beriman, namun cukup menolak satu sahaja dari rukun iman, maka tidak lah ia di katakan beriman.

إِنَّ اللّهَ لاَ يَظْلِمُ النَّاسَ شَيْئاً وَلَـكِنَّ النَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri. (Surah Yunus : 44)

“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebajikan sebesar zarah niscaya Allah akan melipatgandakan dan memberikan dari sisi-Nya pahala yg besar.” . Kalau kita membaca dan mengamati ayat ini betapa Allah Maha Adil pada hamba-Nya sehingga tidak ada kesia-siaan amal baik dari hamba jika dikerjakan dgn ikhlas dan tidak bertentangan dgn syariat. Amal yg baik itu akan mendapat kebaikan walaupun sebesar zarrah. Ayat ini berkaitan dgn suatu hadis yg panjang dalam beberapa kitab hadis. Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri ra. Di dalam hadis tersebut, di penghujungnya di olah bahawasanya " Allah berfirman: Kembalilah, sesiapa saja yang kamu temukan di dalam hatinya terdapat kebaikan meskipun hanya seberat zarah, maka keluarkanlah. Bertambah ramai lagi yang dapat dikeluarkan. Kemudian mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami tidak tahu adakah di sana masih ada pemilik kebaikan.

Sesungguhnya Abu Said Al-Khudriy berkata: Jika kamu tidak mempercayaiku mengenai Hadis ini, maka bacalah firman Allah ayat 40 surah An-Nisa'

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِنْ لَدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya serta memberikan dari sisiNya pahala yang besar.

Begitulah kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya. Jadi bagaimana kita memperlakukan terhadap diri kita atas meraih kerahmatan Allah yang dijanjikan bagi setiap hamba-hambaNya?. Berusahalah memelihara iman kita, jangan sekali-kali kita meremehkan setiap perkara hukum dan hakam Allah yang telah diturunkan kepada kita sebagai panduannya.

Semoga kita sentiasa di dalam rahmat dan keampunan Allah. Amin ya rabbal alamin.

Allahu a'lam.

Friday, September 17, 2010

PANGGILAN HARAMAIN : Tetamu Allah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Bacaan Talbiah:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ
لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّ يكَ
إِنَّ الحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ
لَكَ وَالمُلْكُ لاَشَرِيْكَ لَكَ

Musim haji kian tiba, semua orang berkeinginan untuk ke sana. Tidak kira muda atau tua. Berbagai persiapan di buat samada berusaha dari segi kewangan, memenuhi dengan ilmu dengan mengikuti kursus dan sebagainya. Tidak kurang yang gembira dan ada juga yang berduka. Gembira kerana boleh pergi awal dari tempoh di jangka. Berduka cita kerana banyak sangat halangannya.

Apa yang penting, kita perlu menyedari, yang menyampaikan kita ke sana bukan kehendak kita. Untuk menjadi Tetamu Allah yang istemewa adalah kerja Allah. Walaupun kita rasa itu perancangan kita. Ada yang punyai wang berjuta, namun belum pernah melangkah kaki ke sana. Tempat lain di luar Negara telah banyak di jelajahi. Namun Haramain masih tidak di jejaki. Ada yang punyai wang, kesihatan, hati pula tidak terbuka untuk pergi. Ada yang punyai hati yang melonjak untuk ke sana, kewangan pula tidak mencukupi. Ada yang punyai kewangan, kehendak hati, namun kesihatan pula tidak mengizinkannya untuk pergi. Ada yang telah semuanya sempurna, tiba di airport, di Jeddah, balik semula dengan tiba-tiba, ada sahaja sebab dia meronta nak pulang semula. Sebab musabab ini adalah perancangan Allah yang menunjukkan kita masih belum di panggil untuk menjadi TetamuNya.

Tidak di nafikan juga, ramai yang terlepas pergi ke sana, namun balik ke kampung halaman, masih bagai orang yang tidak pernah pergi lakukan ibadah yang sangat besar maknanya ini, bahkan makin menjadi-jadi mengingkari hukum Allah. Baik dari segi pakaian, amalan dan pergaulan. Inilah yang perlu kita ambil perhatian, bahawa perginya kita ke sana dengan hati dan akhlak yang baik dan bersih berserta niat yang suci di ikuti amal yang mulia. Ilmu perlu ada agar syarat dan rukun kita dapat sempurnakan dengan tepat bagi melahirkan haji yang tidak sia-sia. Jika akhlak tidak di jaga, bagaimana kita berhadapan dengan Allah di tempat yang di jamin suci ini. Bahkan di jamin dengan ke 'mabruran' dan ke 'mabrurahan' haji dan Umrah tersebut.

Di tanah haram banyak pantang dan larangan yang perlu di jaga. Sayangnya ramai kaum perempuan sebaik bertahalul yang pertama telah merosakkan haji nya. Rasa takut tidak dibawa berkekalan bila ada yang berani membuka aurat, hanya meletak sekeping tuala di kepala, beratur di tandas bersebelahan tandas lelaki di Mina. Itu yang ana perhatikan akhlak ramai kaum wanita. Dengan baju kelawarnya, bahkan yang tidak solat boleh menyepahkan tuala wanita dengan meninggalkan di luar tandas berlonggok bahkan menguna tandas lelaki dengan alasan perempuan lebih perlu banyak tandas. Meninggalkan bekas-bekas kewanitaan di dalamnya yang sangat memalukan. Itulah yang berlaku sewaktu ana bertugas di musim haji 2 tahun lepas.

Selesai haji dan umrah ada di kalangan wanita yang sudah tidak menjaga bab aurat, bahkah ramai yang mula bertabaruj, bahkan ke masjid dengan seluar ketat, jika tidak ketat sekalipun memakai telekung dengan seluar yang sangat menampakkan pinggul sewaktu bersujud. Sedang lelaki asing ada yang bersolat di belakangnya. Di hotel keluar makan atau mengambil makan minum dengan aurat yang sudah tidak di jaga sesempurnanya. Ini kerana ramainya ke sana tidak faham peraturan percampuran dan aurat yang sebenar. Menutup aurat bukannya hanya ketika menunaikan haji atau umrah atau sesetengahnya memikirkan hanya di dalam Ihram. Menutup aurat di dalam dan di luar solat adalah sama bagi wanita. Begitu juga bukan setakat ketika Ihram, menutup aurat adalah sama keadaannya bila berhadapan dengan lelaki yang ajnabi.

Haji dan Umrah yang mabrur dan mabrurah menjanjikan pembersihan jiwa bagai kapas yang putih. Namun tidak semua yang ke sana mendapat makam yang tinggi ini. Ini jelas kita lihat, bila pulang ke tanah air, ramai yang mula mendedah aurat semula. Ramai yang naik ke pentas semula. Ramai juga yang sanggup berlakon sama dengan percampuran yang tidak di jaga. Ramai yang berani menghulur tangan bersalaman tidak mengira jantina. Ramai juga yang mula berkata-kata yang tidak sepatutnya. Ramai juga yang meninggalkan solat semula. Bahkan yang berjudi tetap dengan judinya.


Inikah hasil yang kita inginkan dengan ribuan wang yang kita kumpulkan semata-mata untuk ke tempat yang mulia tersebut. Jadi apa NIAT kita sebenarnya untuk ke sana?. Sebaliknya mereka yang sememangnya bercita-cita suci dan murni mencari keredhaan Allah s.w.t pastinya tidak mensia-siakan peluang yang diberi Allah, di panggil menjadi tetamunya yang mulia. Bahkan kembalinya ke tanah air makin mulia akhlaknya. Makin tinggi ketaqwaannya, bahkan ada yang kembali kepada Allah dalam keadaan yang sangat mulia. MasyaAllah, hebat janji Allah bagi yang mabrur haji dan Umrahnya. Maka bagaimana kita…?

Thursday, September 16, 2010

KEIKHLASAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Keikhlasan seseorang tidak dapat diukur hanya dengan penglihatan mata kasar. Ianya bergantung kepada niat seseorang dalam melakukan satu-satu perkerjaan.

Ilmu Hadith.


عن أمير المؤمنين أبى حفص عمر ابن الخطاب رضى الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: “انما الأعمال بالنيات وانما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها او امرأة ينكحها فهجرته الى ما هاجر اليه”. البخارى ومسلم.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a. katanya: Aku mendengar Rasul Allah s.a.w. bersabda: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala berdasarkan kepada apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.

Kepentingan Hadith:
Hadith ini amat penting menjadi paksi putaran Islam, ia adalah asas kepada Islam atasnya bersandar segala hukum Islam, ini berdasarkan kata Ulamak; Abu Daud mengatakan hadith ini separuh dari Islam kerana agama terdiri dari lahir dan batin, niat adalah perkara batin. Kata Imam Ahmad dan al-Syafi’i; hadith ini satu pertiga dari agama, sebab kerja manusia terdiri dari hati, lidah dan anggota, maka niat salah satu darinya. Sebab itu ulamak memulakan karangan kitab mereka dengan meletakkan hadith ini dipermulaannya, al-Bukhari memulakan dalam Kitab Sahihnya, Imam Nawawi memulakan hadith ini dalam kitab-kitabnya Riyadzu Salihin, al-Azkar dan hadith empat puluh. Gunanya dimulakan dengan hadith ini untuk meperingati kepada setiap penuntut ilmu agar mengikhlaskan hati kerana Allah ketika menuntut ilmu dan beramal soleh.


Setiap tindakan perlu kepada keikhlasan sebagaimana ibadat-ibadat lain yang dikerjakan kerana keikhlasan hati dalam mengerjakan ibadah adalah menjadi syarat penerimaan ibadah itu oleh Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu, Dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu."

Melihat zahir yang baik belum tentu membuktikan isi hati dan keikhlasan yang baik. Sebaliknya hati yang baik akan menzahirkan yang baik. Memberi makna setiap perkara baik itu di sisi Allah berdasarkan niat hati seseorang mengerjakan amalam baik tersebut.

Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amalan. Sesungguhnya sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima. Sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredhaanNya".

Keikhlasan niat seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Saad bin Muaz yang tidak mempunyai rupa kecantikan telah di jamin oleh Rasulullah s.a.w. yang mana beliau adalah penghuni syurga. Tatkala mendengar seruan jihad dari Rasulullah s.a.w “Wahai pemuda-pemuda Islam bersiap sedia segera kerana musuh sedang datang untuk menyerang kita”. Lalu Saad menukar fikiran dengan membeli kelengkapan perang dan siap sedia dengan baju perisai dan kuda untuk berperang walaupun asalnya dengan bantuan sahabat lain beliau ingin membeli keperluan perkahwinannya. Saad dengan segera pergi berbaris paling hadapan dengan sahabat-sahabat lain dengan siap berpakaian perisai perang. Kerana baju perisai yang lengkap, Saad tidak dikenali oleh sahabat-sahabat lain. Takdir Allah Saad telah syahid dalam peperangan tersebut.

Selepas perang jihad tersebut, sahabat-sahabat terkejut kerana tidak menyangka orang yang berperisai lengkap tersebut adalah Saad. Mereka sedih dan tidak menyangka kerana Saad sedang bersiap sedia untuk perkahwinannya yang pada asalnya di tolak oleh bapa si perempuan kerana rupanya. Berita syahidnya Saad ini segera disampaikan kepada Rasulullah dan Rasulullah berkata, “di saat kematian Saad, bergegar arash Allah dan menangis para malaikat di langit dan di bumi”. Saad Bin Muaz dimuliakan oleh Allah di saat kematiannya adalah seorang yang hanya 6 tahun jangka hayatnya dalam Islam.

Demikianlah kita, bagaimana keikhlasan kita dalam melakukan sesuatu agar mendapat jaminan Allah menghuni syurga dengan rahmatnya tanpa niat suci bersih melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah s.w.t. Ramai yang melakukan kebaikkan hari ini, namun dapatkah kita menjamin kebaikan tersebut ada nilainya di sisi Allah s.w.t. Bersama lah kita membuang sifat mazmumah dan mengantikan dengan mahmudah, kerana sifat mazmumah adalah sifat buruk yang banyak menghalang keikhlasan seseorang berhadapan dengan perhitungan Allah s.w.t.

Sifat ikhlas meninggalkan kepuasan dan ketenangan pada pelakunya. Mana kala sebaliknya akan membuat jiwa tidak tenteram, tidak puas hati, serasa dia sahaja yang perlu buat demikian, bahkan suatu hari mahu orang akhirnya tahu apa yang telah di lakukan. Kepuasan orang tahu dan menyebut sebenarnya tidak akan mendatangkan ketenangan, bahkan meninggalkan azab kepedihan dan kegelisahan di hati yang tiada kesudahan. Maka, hari ini ramai yang di lihat masih tidak senang dan masih tidak puas hati bilamana masih ada yang mengomen akan keterampilan dirinya.

Sering di lihat, dari bergurau jadi bertengkar bila tersentuh tentang pakaian, keterampilan, saiz badan biarpun dalam suasana hari raya yang masih terasa erti sebuah kemaafan. Pemerhatian ini, biasa berlaku di mana pun. Mengambarkan nilai sebuah keikhlasan melakukan sesuatu pekerjaan, " niat" apa sebenarnya menjadi keutamaan.

Allahu a'lam.

BAHAYA WANITA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Sering kita mendengar bahaya 3 "ta". Harta, tahta dan wanita. Paling melenturkan kelelakian seseorang adalah wanita. Dengan helah wanita ramai yang kecundang. Wanita yang tidak beriman sentiasa mencari-cari peluang untuk menonjol-nonjolkan diri pada lelaki lain dengan harapan diberi puji-pujian, di layani dengan penuh perhatian. Sikap inilah yang merosakkan nilai diri seorang wanita, tidak kiralah mereka telah menjadi isteri atau ibu seseorang.

Sikap suka memperaga, kini sudah menjadi amalan. Bermacam vitamin, pencuci muka, cream-cream kecantikan yang di ambil untuk tujuan tersebut. Tidak kurang yang tidak mahu bersembahyang, semata-mata rasa kerugian make up yang di tempek berjam-jam dimuka dengan nilai harga yang agak mahal, di rasakan rugi jika terkena air sembahyang. Inilah sikap yang bertuhankan hawa nafsu yang perlu di buang. Tidak cukup demikian, sebarang yang dipakai bukan lagi bertujuan menutup aurat mengikut yang di syariatkan. Selagi di laku oleh ramai orang, selagi itu mereka tidak merasa berdosa untuk turut sama melakukan. Maka lahirlah insan-insan, perempuan-perempuan yang suka memperagakan kerana masih ada yang tidak menjaga pandangan, masih ada yang suka memberi pujian.

Berkata Imam Qurthubi: ALLAH SWT memulai dengan wanita kerana kebanyakan manusia menginginkannya, juga kerana mereka merupakan jerat-jerat syaitan yang menjadi fitnah bagi kaum lelaki
, sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

Tiadalah aku tinggalkan setelahku selain fitnah yang lebih berbahaya bagi lelaki daripada wanita. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah)

Hal ini jelas diperihat di dalam facebook semakin ramai yang mempamir berbagai-bagai gambar yang jelas bertentangan dengan apa yang di gariskan oleh syarak. Tepuk dada dan tanyai iman, atas dasar apa berbuat demikian..??

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am ayat : 32:

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ

ertinya:
”Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir.”

Sungguh ramai yang telah di lalaikan dengan perkara-perkara lagha yang sebetulnya boleh di elakkan. Justeru kerana sikap ingin menonjol dan mempamirkan inilah yang membuatkan semakin ramai yang tidak dapat mejaga hukum hakam, lebih-lebih di musim perayaan. Aurat tidak dijagakan, pergaulan tidak di kawalkan. Pakaian tidak lagi menutup aurat yang dijadikan pegangan, melainkan ingin menonjolkan bentuk-bentuk di badan.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23:

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً
ertinya:

”Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.”

Ramai yang mempunyai mata, tetapi buta melihat kebaikan agama. Ramai yang mempunyai telinga tetapi di tulikan dari mendengar nasihat yang berguna, dan ramai yang mempunyai hati namun di matikan dari kejernihan iman dan taqwa. Dunia itu sendiri adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan itu ialah kesolehan para wanitanya. sebagaimana yang disabdakan oleh rasul junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w, maksudnya :

Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. (Hadis Riwayat Muslim, NasaI, Ibnu Majah, Ahmad, Baihaqi)

Allahu a'lam.

REZEKI YANG DI JAMIN ALLAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Imam Al Ghazali menjelaskan bahwa sesungguhnya rezeki itu terdiri dari 4 macam rezeki, yaitu pertama rezeki yang dijamin; kedua, rezeki yang diterima; ketiga, rezeki yang dibagi dan keempat rezeki yang dijanjikan. Rezeki yang dijamin adalah umur kita, kesehatan kita, air yang kita minum, udara yang kita hirup semua orang akan memperolehnya. Rezeki yang diterima adalah rezeki yang kita peroleh dari apa yang kita usahakan. Rezeki tidak akan datang dengan sendirinya tanpa usaha. Rezeki yang dibagi yaitu dalam rezeki yang kita peroleh ada rezeki orang lain, yang harus kita bagi baik melalui zakat maupun sedekah.

Sedangkan rezeki yang dijanjikan hanya akan diperoleh bila dipenuhi persyaratannya. Apa persyaratannya ? Di dalam Al Qur’an Allah SWT berfirman :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa pastilah Kami limpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami itu, maka Kami akan siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (QS. Al- A’raaf, 96 ).

Di depan mata kita, berbagai perkara dapat kita membuat nilaian. Ada waktunya kita lihat mereka yang punyai dan di rezekikan dengan wang berjuta, namun tidak selamat mereka dan akhirnya menjadi mangsa pembunuhan. Ada kecantikan yang di kurniai Allah, mereka tambah lagi dengan berbagai keadaan dan kurangnya mereka beriman pula dengan Allah dengan melakukan pelbagai maksiat di jalan Allah baik hiburan, lakonan yang bebas percampuran, melanggan jantan-jantan yang jalang tanpa menjadikan syarak sebagai ikatan. Berapa banyak Allah memberi balasan atas demikiannya perbuatan. Namun masih lagi mereka tidak menjadikan sebagai sempadan.

Di sebalik itu, tidak kurang juga ada yang memilih jalan taqwa dengan menuntut ilmu al-Quran, mempelajari kitab-kitab agama di pondok-pondok dan pusat-pusat pengajian. Berbekalkan harapan, juga ada yang dalam kemiskinan. Namun, rezeki Allah selalu datang tanpa di sangka-sangka kan. Mereka tidak perlu membuat pinjaman, maknanya mereka tidak terikat dengan hutang. Rezekinya Allah datangkan dari berbagai cabang. Benar sungguh janji mu Tuhan. Sewaktu anak-anak Tahfiz, berhenti di kedai makan juga, sudah ada yang membayarkan. Hebat anugerah Tuhan. Begitulah halnya bila seorang insan yang berhasrat mendalami ilmu Tuhan, pada awalnya tidak berkecukupan, lantaran demikian tidak sampai 24 jam, ia mendapat limpahan rezeki yang sungguh tidak di sangkakan. SubahanAllah.. Firman Allah :-

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً # وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka; dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya ” ( QS Ath-Thalaq; 2-3).

Sungguh menakjubkan, kecukupan yang di beri dapat menampung jauh dari yang diharapkan. MasyaAllah. Itulah janji Allah, bagi mereka-mereka yang yakin dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Semua makhluk sudah ditentukan rezekinya masing-masing. Cuma mungkin cara mendapatkannya berbeza-beza dan berbagai jalan. Biasanya orang-orang bertaqwa akan mendapatnya dengan jalan taqwa juga. Allah SWT berfirman :
إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ

” Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi Rezeki ” (QS Adz Dzariyat ; 58 ).

Mungkin sebelum ini kita selalu mendengar ada yang berkata, 'nak makan apa anak kamu nanti kalau belajar pondok.... kelulusan apa yang dia ada nak dapat kerja'. Sedangkan terbukti hari ini, ramainya penganggur dan sering mengeluh tidak bekerja, adalah mereka-mereka yang punyai diploma, ijazah mungkin juga master. Bahkan mereka punyai hutang ribuan dan ada yang berjuta. Sedang penuntut-penuntut ilmu Allah ini, kebanyakkan tidak berhutang, bahkan menjadi orang yang sangat bertaqwa. Paling tidak mereka akan mengajar semula. Hidup mereka sentiasa ceria. Tawa mereka penuh makna. Itulah limpahan yang maha Kuasa. Yang memandang juga sejuk di mata. Bahkan di hati rasa sungguh redha. SubahanaAllah.... Limpahan kurniaanMU hai Tuhan yang maha Kuasa sungguh tidak terhingga.....

Wednesday, September 15, 2010

MASIH RAMAI YANG BERHATI MULIA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Sebaik dapat meseg dari Ustaz Yunus semalam, ana tanpa berlengah terus forwardkan 'sms' tersebut kepada kawan-kawan dan Melalui e-mel juga ana cuba usahakan, seperti ini...

"MESEG INI DI TERIMA jam 1.28 p.m 14/9/2010 DARI :- USTAZ YUNUS KAMARUDDIN

"Salam, iedulfitri, dalam kegembiraan kita merayakan iedulfitri, ada seorang sahabat saya yang berkhidmat sebagai guru hafiz di al-Kholidi sedang dalam kesusahan, beliau Ustaz Mohd Rafiq Nordin al Hafiz akan berangkat Esok 15/9/2010 ke Darul Musthofa, sebuah Pusat pengajian di Hadramawt Yaman bagi menyambung pengajian di sana, No flight : Qatar airways (QR) 625 Depart: KLIA (20.35) bantuan yang di cari sejak ramadhan dapat membeli tiket dan sebahagian dari yuran pengajian dan Terkini penuntut ilmu Allah ini masih kekurangan RM4,300.00 untuk menjelaskan yuran pengajian tahunan di sana, syukur kita ke hadrat Allah yang menyampaikan message ini kepada kita dan berpeluang merebut kelebihan yang amat besar kerana membantu penuntut ilmu, salurkan saham akhirat tuan/puan ke akaun Maybank 1622-7267-3836 atas nama MOHD RAFIQ NORDIN dan maklumat lanjut hubungi beliau 019-2004935 , semoga Allah mempermudahkan urusan ini. InsyaAllah dan wassalam. "

Ana terus melakukan ini, semata-mata memikirkan seorang penuntut yang sanggup bermusafir mendalami ilmu Allah. Ustaz Rafiq, sempat memberi tahu ana, bahawa beliau InsyaAllah akan meneruskan berkhidmat di al-Kholidi apabila pulang dari Yaman nanti. Sungguh ana tidak menyangka, ramainya sahabat-sahabat yang segera menghulur tangan menyumbang dengan kadar yang agak segera. Sehingga hari ini, ana sangat terharu mendapat berita dari Ustaz Yunus bahawa sumbangan untuk pengajian Ustaz ini sangat mengembirakan. Inilah janji Allah, bahawa Allah menjamin rezeki bagi yang berada di jalan taqwa.

InsyaAllah, bagi mereka yang terlibat secara langsung atau tidak, semuanya ada pahala di sisi Allah. Inilah harta yang sebenar yang benar-benar milik kita. Iaitu harta yang telah kita infakkan, sudah tentu menjadi milik kita. Harta yang ada belum tentu milik kita, mungkin ia adalah milik orang lain. Kita tidak tahu. Namun mana-mana yang kita gunakan untuk jalan Allah, baik nafkah, Infak, sedekah, semua itu adalah harta dan ganjaran yang benar-benar menanti di akhirat nanti.

Bagi yang tidak berkesempatan menghulur bantuan pada Ustaz Mohd Rafiq, memandangkan perbelanjaan menghadapi suasana raya yang baru bermula, masih ada peluang dan masih boleh berbuat demikian, kerana Ustaz Mohd Rafiq telah membuka akaun BSN yang mana beliau boleh mengeluarkan di Yaman untuk kegunaan sepanjang pengajian beliau.

Ini no akaun bank Ustaz Rafiq yang boleh di menafaatkan nya di Yaman nanti. Sahabat2 yang bermurah hati , di dahului dengan ucapan terima kasih. Harap dapat panjangkan kepada kawan2 yang lain. BSN : 10100-41-00008088-6 : MUHAMAD RAFIQ BIN NORDIN

Jazakumullah khairan kathira atas segala sumbangan yang di hulurkan buat membantu saudara islam kita. Semoga usaha dan jariah kalian mendapat balasan yang setimpal dari Allah yang maha kuasa. InsyaAllah.

Siang tadi, Ustaz Rafiq mengirimkan ucapan terima kasih pada semua yang memberi sumbangan dan perihatin kepada beliau. Dan sewaktu telah menaiki pesawat jam 8.00 malam beliau sempat berpesan di dalam 'sms' agar mendoakan beliau dalam perjalanannya. Mari bersama kita doakan beliau, Moga beliau di permudahkan oleh Allah s.w.t. di dalam niat murni beliau untuk mendalami ilmu Allah, moga memberi kebaikan kepada generasi yang akan datang dalam mendalami ilmu Al-Quran. InsyaAllah.

Jika kita ingin menghubungi Ustaz Mohd Rafiq dan mengikuti perkembangan beliau sama-sama kita boleh berhubung dengan beliau di alamat e-mel : rafiq_maahad@yahoo.com dan Facebook: Rafiq Naqshabandiy.

Beliau akan melihat e-mel jika masa mengizinkan di waktu lapang beliau. InsyaAllah. Moga semua kita di rahmati Allah dengan iman dan taqwa. Allahu a'lam.

BERBUAT BAIK KEPADA IBUBAPA


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


“Seorang Ibu mampu membesarkan anak yang ramai, namun anak yang ramai belum tentu mampu menjaga seorang ibu.” ISLAM mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita dilahirkan begitu besar dan tidak ternilai.


Allah SWT berfirman


وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً * وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً


yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).


Abdullah bin ‘Amr pula meriwayatkan:


جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يبايعه على الهجرة وترك أبويه يبكيان فقال: ارجع إليهما وأضحكهما كما أبكيتهما


Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi saw hendak berbaiah untuk berhijrah, dia meninggalkan ibu-bapanya dalam keadaan mereka berdua menangis, lalu Nabi S.A.W. bersabda: “Pulang kepada mereka berdua, dan ketawakanlah mereka semula sebagaimana kamu telah menjadikan mereka menangis.”


Daripada Abdullah bin ‘Amr juga katanya:


جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم يريد الجهاد فقال: أحي والداك؟ قال: نعم, فقال: ففيهما فجاهِد:


Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi S.A.W. hendak menyertai jihad, sabda baginda: “Apakah dua ibu-bapamu masih hidup? Jawab lelaki itu: “Ya”, sabda Nabi S.A.W.: Terhadap mereka berdua laksanakanlah jihad (untuk keredhaan mereka berdua).”


Sementara ibubapa kita masih hidup, berbaktilah kepada mereka. Gembirakan hati mereka, sayangi mereka. Pengorbanan mereka terlalu besar dalam menjaga dan mendidik kita. Masa kecil kita, mereka mengalami bebagai kepayahan. Menternak ayam itik di reban. Menjaga kerbau di bendang, berjual dan berjaja di kampung dan pekan, berperang nyamuk memotong getah di ladang. Menanam sayur di kebun di sebelah petang. Masa rehat mereka di korban, mengantuk mereka di tahan, letih mereka di selindungkan. Demi membesarkan kita semua. Bahkan air telaga buat siraman. Lampu minyak tanah yang menjadi penerang.


Kini kita bekerja di pejabat, berhawa dingin dan berpangkat. Kereta masing-masing berkilat. Anak masing-masing hebat dengan berbagai kemudahan yang lebat. Sedih memikirkan orang tua kita yang kini masih kuat bekerja. Walaupun mereka tidak terdaya, mereka masih berupaya menyambut anak-anak yang pulang raya. Dengan senyum dan tawa. Tapi kita... kebanyakkan tawa pura-pura. Kerana hutang berputar di kepala....


Beringatlah kita, kebanyakkan kita semua, selalu lupa. Kebahagiaan yang kita kejar, kita selalu leka. Leka dengan kesibukkan kota. Memutar keringat sekadar membayar sesuatu yang belum tentu dapat menolong kita di akhirat sana. Justeru tertinggalnya banyak pahala, yang boleh meraih rahmat dan redha. Ayuh, kembali kan ingatan kita, bagaimana kita bermula.


Maka janganlah kalian lupa, doa untuk kedua orang tua...

Monday, September 13, 2010

MUFLIS

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Saat pokok roselle menghijau hidup subur setelah di bajai dengan baik, terbayanglah betapa nanti pokok yang semakin membesar dan tinggi ini akan menghasilkan buah roselle yang baik. Sayang sekali, tanggapan demikian sangat meleset sehinggalah benih yang sama yang di tabur di kampung agak terkemudian jauh dari yang di tanam di rumah sendiri, baru setinggi lutut telah menampakkan hasilnya dengan buah-buah yang keluar lebat dari celahan dedaunnya. Agak terkejut juga, pokok roselle di tanam di rumah di kota yang terkenal sebagai ibu negara, tinggi dari kita, namun tiada seulas hasilnya. Termenung ana sejenak, memikirkan kehendak Allah.. SubahanAllah. Tiadalah terjadi sesuatu perkara tanpa kehendak Allah.

Begitulah hendaknya nilaian diri kita, jangan lah kita perasan bahawa amal ibadah yang kita pulun sentiasa, kita sudah merasa cukup hebat, sehingga akhirnya tanpa kita sedari, bila hasilnya di lihat di akhirat, hampa... kosong, tidak bernilai dan MUFLIS..... Nauzubillah. Apatah lagi dalam beriya memenuhi diri kita dengan pelbagai ilmu, diingatkan agar bertanggungjawab terhadap amanah keluarga iaitu isteri dan anak-anak. Lantaran sangat dibimbangi di akhirat kelak, anak isteri akan menuntut segala pertanggungjawaban yang tidak kita tunaikan kepada mereka. Samada tanggungjawab memberi mereka ilmu, pendidikan, perlindungan, makanan, kesihatan dan sebagainya akan dipersoalkan kepada kita sama ada kita laksanakan, terabai atau bagaimana keadaannya. Jika kita perhatikan realiti hari ini, tidak sedikit ibu bapa yang selalu solat berjemaah di masjid, mendengar berbagai kuliah agama, menghadiri kelas pengajian agama dan melakukan pelbagai amal kebajikan, sedangkan anak mereka terbiar tanpa mendapat pendidikan agama sempurna, bergaul bebas, tidak menutup aurat, terbabit dengan jenayah, gejala sosial, berpeleseran antara lelaki perempuan dengan bermaksiat dan kegiatan kemungkaran? Golongan ibu bapa seperti ini mengerjakan amal ibadat dengan penuh ketekunan dan kesungguhan, tetapi mereka beribadah dalam situasi yang tidak menjaga ahli keluarganya dari api neraka.

Firman Allah,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً

Bermaksud :"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka... (Surah at-Tahrim :6)

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?” Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?” Lantas Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. “Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebagaimana pohon roselle tadi, kesinambungan pula dari hadis di atas, Berdasarkan hadis itu, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis pada akhirat adalah berasal daripada orang yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadat mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati, dihina, dibunuh atau dizaliminya atau sebagainya. Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang mereka kumpul sekian lama, dengan mengerjakan bermacam kebajikan dan ibadat, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu mereka bayar disebabkan kesalahan mereka terhadap orang lain. Juga atas tuntutan-tuntutan ahli keluarga yang berbagai atas kegagalan kita menunaikan tanggung jawab mengheret kita ke tempat yang tiada kita sangkakan.

Alangkah sedihnya jika seseorang muflis di akhirat nanti. Sedangkan ketika di dunia, kita merasakan kita adalah orang yang hebat ibadahnya. Sayang sekali, ibadah tanpa ilmu, tanpa redha Allah, tanpa keikhlasan, hanya hampas sahaja yang di hasilkan. Jikalah muflis di dunia, ramai yang sudah merasa begitu hina dan malu, hingga ada yang tidak mahu keluarganya tahu, namun ianya tidak lah seteruk mana, kerana boleh mengusaha untuk sesuatu yang lain. Sedang di akhirat, tiada tukaran yang mampu di buat, kerana apa yang perlu di bawa adalah hasil pengumpulan pahala dan amalan ketika hidup di dunia. Dengan rahmat Allah, maka selamat lah kita. Namun bagi yang tidak mendapatnya.... maka kembalilah mereka dalam keadaan yang Muflis yang akan di tempatkan di tempat yang sehina-hinanya. Nauzubillah min zalik.

Allahu a'lam.

PANAHAN PANDANGAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Didalam Kitab Hadith Sahih al Bukhari ~ # 72. Kitab Izin – Halaman 968 – Bab 5. (Apa yang dikatakan mengenai penzinaan anggota tubuh badan selain alat kelamin?)

Hadith # 2061. Di riwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu (diatas perwakilan Abu Huraira Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam telah bersabda : ” Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menulis untuk anak Adam bahagian penzinaan yang ia lakukan secara sedar ataupun tidak. Penzinaan mata adalah pandangan (memandang sesuatu yang diharamkan), penzinaan lidah adalah percakapan (yang mendorong kepada maksiat) dan nafsu dalaman dan keghairahan didalam jiwa yang di perakui atau dibantah alat kelamin seseorang!”

Dari huraian hadith tersebut di atas, jelaslah sudah bahawa perbuatan manusia yang memandang sesuatu yang diharamkan bagi kita menurut garis panduan dilarang kita memandang aurat mereka yang tidak halal bagi kita.

Melihat dari kaca mata al-Quran dan Sunnah, zina bermula dengan panahan pandangan mata yang tidak dikawal oleh iman dan takwa. Bermula dengan melihat aurat wanita, ia membawa seseorang lelaki terbayang-bayang dan melayan baik seseorang serta berasa ingin berkenalan dengan lebih rapat, menjalin hubungan, seterusnya berlaku perzinaan dan berakhir dengan pembuangan bayi. Syaitan pula memainkan peranan siang dan malam mengelorakan jiwa anak Adam dan menanti peluang menghanyutkan mereka ke lembah dosa.

Semua ini telah di tegaskan di dalam Islam dengan menyediakan garis panduan untuk umat manusia agar mereka dapat menyelamatkan diri daripada terjerumus ke kancah yang menjuruskan kepada perzinaan. Dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan kaum lelaki menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang haram. Firman Allah SWT

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.. (Surah An-Nur : 30-31).

Diikuti pula suruhan supaya memelihara kemaluan daripada melakukan perbuatan yang terkutuk iaitu zina. Oleh kerana itulah setiap ayat al-Quran yang memerintahkan lelaki memelihara kemaluan bertujuan menyuruh mereka menjauhi zina. Kesan dari pandangan akan mengelelorakan perasaan si lelaki. Bahkan lelaki tersebut tidak segan silu melihat perkara yang lain, bahkan boleh terus memandang sehingga tahu barang apa dan berapa yang di bawa di tangan wanita dengan terus melihatnya. Tahu wanita memakai baju apa, warna apa, mengenakan barang kemas ker , bahkan matanya mengekori wanita tersebut, dan tanpa di sedari wanita itu bercerita ketawa, tersenyum, dalam diam dan tanpa perasan oleh diri mereka sendiri, mereka turut terikut dengan senyum tawa tersebut. Mungkin tanpa di sedari, namun pasti di sedari oleh mereka-mereka yang sangat beringat dan takutkan peringatan-peringatan Allah. Malahan kesan ini sangat memalukan, hasil dari panahan pandangan tersebut, hati akan berkata-kata. Biasalah yang kita dengar tentang kalimah 'cinta pandang pertama', ' dari mata turun ke hati'. untuk menjelaskan lagi, betapa panahan mata itu meruntunkan jiwa, hingga akhirnya peringatan Allah, perlunya menjaga kemaluan seseorang. Dahsyat sekali, kerana panahan mata itu adalah panahan syaitan, jika tidak di gunakan dengan penuh ketaqwaan.


Beberapa panduan nabawi juga ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk kaum lelaki. Dalam sebuah hadis, daripada Jabir bin Abdillah berkata:
“Aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai hukum melihat wanita ajnabi (bukan mahram), lalu baginda mengarahkanku mengalihkan pandangan.” (hadis riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menyebut tidak menjadi kesalahan bagi lelaki Muslim melihat wajah wanita jika tidak disengajakan tetapi pandangan kali kedua dan seterusnya tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan yang dibenarkan seperti meminang wanita, menjadi saksi perbicaraan dan urusan jual beli.

Lelaki biasanya di kaitkan dengan kuat. Namun lelaki akan menjadi lemah dengan wanita. Tidak hairannya seseorang wanita jika tujuannya untuk memperaga akan mencapai maksudnya. kerana mereka sedar kelemahan lelaki tersebut. Yang penting mereka rasa kepuasan bila di pandang, di puji bahkan diakui akan kecantikan yang ingin di tonjolkan. Mereka sedar, kelemahan lelaki demikian akan membuatkan mereka di layan dengan kelembutan, itulah kepuasan bagi insan-insan yang mendahagakan demikian.

Atas dasar yang demikian lah kita sering mendengar lelaki keluar pintu depan, perempuan ikut pintu belakang. Biasalah hari ini kita mendengar kes khalwat bukan setakat membabitkan yang bujang. Bahkan isteri dan suami orang. Masing-masing berlumba-lumba mencari kepuasan tanpa memikirkan akibat dari perbuatan. Bila terperangkap, tidak tergambar pun kesalan atas perbuatan yang meninggalkan dosa di sisi Tuhan. Apa yang mereka pentingkan mereka berjaya membuat pasangan merasa marah dan geram.

Tidak di nafikan, ada di kalangan isteri yang bila di nasihat menutup aurat mereka tidak mahu sama sekali, atas alasan, selagi suaminya memandang perempuan lain, memuji perempuan lain dia tidak ingin menutup aurat. Bagi nya dia ingin tonjolkan pula aurat dan bentuk badannya kepada lelaki lain. Biar suami dia rasakan. Itulah hujahnya yang tanpa di dasarkan oleh al-Quran.

Jelas di sini, ramai melakukan sesuatu kerana terikat dengan jiwa yang tidak tenteram. Bukan melakukan sesuatu atas dasar hukum Tuhan. Tergamakkah kita memilih jalan-jalan ke neraka semata-mata atas dasar geram?. Apakah kita melakukan sesuatu untuk orang atau sebetulnya mencari redha Tuhan..? Beginilah kekalutan yang berlaku dalam kehidupan. Masing-masing berlumba-lumba mencari kepuasan. Kerana tindakan, baik lelaki atau perempuan tidak istiqamah dalam pegangan keimanan.

Selagi ada perempuan yang ingin mempamirkan, dan selagi ada lelaki yang tidak menjaga pandangan, sememangnya berbagai maksiat tidak dapat di elakkan. Justeru kerana itu jua lah, maka al-Quran telah di turunkan sebagai panduan, segala perkara tidak tertinggal pun telah di sebutkan, dan dilengkapi lagi dengan rahmat seluruh alam, ajaran dari rasul junjungan yang menjadi Uswatun Hasanah bagi setiap yang merindukan mencari redha Tuhan. Allah sangat pengasih lagi penyanyang, sayangnya panduan-panduan ini sering kali di lupakan.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Ali: “Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain. Sesungguhnya untukmu pandangan yang pertama dan bukan untukmu pandangan kali kedua.” (hadis riwayat Abu Daud, dinilai Hasan oleh Albani)

Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian anak Adam untuk terjadinya zina, tiada siapa yang dapat mengelak daripadanya. Zina kedua-dua mata ialah penglihatan dan zina lidah ialah kata-kata dan hati berkehendak dan ingin merasai (zina). Maka kemaluanlah yang menjayakannya atau mengelak daripadanya”. (hadis riwayat Abu Dawud, dinilai sahih oleh Albani)

Inilah punca dan sebab musabab bersepahnya bayi-bayi yang terbuang, isteri-isteri yang curang dan suami-suami yang kecundang. Semua berpunca dari pandangan yang tidak dipelihara dengan keimanan. Ingatlah pesan Allah di dalam al-Quran,

يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتاً لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْراً يَرَهُ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرّاً يَرَهُ

Pada hari itu manusia ke luar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka, Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Surah al-Zalzalah : 6-8)


Bersamalah kita renungi dan mengawal diri, supaya tidak terjebak dalam situasi begini. Tanpa di sedari, kita adalah penyumbang kepada perkara-perkara sebegini. Nauzubillah min zalik. Semoga Allah memberi kekuatan kepada pencinta-pencinta keimanan untuk terus teguh dan istiqamah di jalan ketaqwaan. Semoga segalanya di dalam redha dan rahmat Allah. In sya Allah.
Allahu a'lam.

Sunday, September 12, 2010

MATI ADALAH PERMULAAN KEHIDUPAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Allah berfirman:
قُلْ مَتَاعُ الدَّنْيَا قَلِيلٌ وَالآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَى وَلاَ تُظْلَمُونَ فَتِيلاً أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ

Maksudnya:-
“Katakanlah: "Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun. Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh.”[An-Nisaa, ayat :77-78]

Ada yang semakin hari semakin jauh dari rumah Allah. Masih di sibukkan dengan kerja yang bukan setakat siang, bahkan malam. Jika boleh di elakkan kurang sangat yang mengelakkan bila dijanjikan dengan nilai "WANG". Hari ini orang memandang wang itu lebih bernilai dari amalan yang boleh medatangkan kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t terhadap dirinya. Apa bila sudah keletihan mengumpul wang, maka akan tinggalkan perkara-perkara tuntutan yang telah di garis pandukan untuk kita mengapainya bagi meraih keredhaan Allah s.w.t.

Paling tidak alasan keletihan akan menular ke dalam diri dan solat semakin di lewatkan, langkahan ke rumah Allah semakin di kurangkan. Bahkan alasan demi alasan keletihan akan sentiasa di tegakkan, walaupun masih ada peluang untuk ke rumah Allah, maka tidur pula menjadi pilihan. Wahai hati, sangat dukacitanya .... jika begini pilihan. Sesuatu yang tidak menjanjikan dengan impian permulaan sebuah kehidupan yang kekal abadi..

Imam Ahmad mencatat riwayat dari Abu Dharda as,:
"Andai saja kamu mengetahui, apa yang engkau akan lihat saat kematianmu, tentulah engkau tidak akan memakai segigitpun hidangan idamanmu, dan pula engkau tidak akan meminum lagi minuman lazat untuk memuaskan rasa dahaga mu yang tak terpuaskan"

Andai saja kaum Muslim menyadari bahwa kematian bukanlah akhir, namun sebuah permulaan, disitu tempat keadilan yang penuh rahmat dengan gambaran siksaan yang berat atau pahala yang indah. Tentulah keadaan kita yang menyedihkan ini akan berubah. Percaya adalah percaya sepenuhnya sebagaimana janji-janji yang telah dipandukan oleh Al-Quran dan Rasul junjungan. Ngeri bila mengamati sebuah permulaan kehidupan bermula kematian... kerana kita tidak tahu apakah nasib kita seterusnya jika kita masih terleka dan menangguh-nangguhkan perubahan untuk menghampirkan diri sehampir-hampir dengan Tuhan pencipta alam, Allah yang maha pengasih lagi maha penyanyang yang tetap menerima hamba-hambanya meskipun berbagai kesalahan yang telah di lakukan. Jika kita tidak mahu menghampirkan diri kepada Allah, ada lagi janji Allah sesuatu yang lebih hampir dengan kita.. iaitu kematian.... yang pasti datang....
Sayangnya kita lupa dan terus menerus mencari dunia yang lagha. Ramainya yang terleka dan beriya-iya memenuhi dunianya dengan berbagai cara sehingga melampaui batas-batas agama.

"Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya," Apakah karena jumlah kami yang sedikit pada hari itu?" Nabi saw, menjawab,"Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut 'rasa gentar' terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu."Seorang sahabat bertanya, 'Apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?' Rasulullah saw, menjawab, "Cinta dunia dan takut mati."
(Hr Abu Dawud dan Ahmad)

Maka ubat daripada penyakit wahn ini tidak lain adalah kezuhudan kita kepada dunia. Namun tidak ramai yang boleh menerima keadaan cukup apa ada. Semakin hari, semakin tinggi angan-angannya. Bukanlah tidak boleh mencari kebahagiaan di dunia, namun kebahagiaan sebenar ialah apabila kita tidak meninggalkan hubungan akrab kita dengan pencipta. Sebaliknya, mereka yang mengejar dunia, semakin melupa tanggung jawab terhadap Allah yang maha kuasa dan pesanan junjungan Nabi s.a.w. yang mulia yang mana baginda s.a.w telah mengajarkan kita ummatnya untuk berlaku zuhud dan sentiasa bermahasabah diri agar lebih mengutamakan kehidupan ukhrawi dari dunia yang sia-sia.

Rasulullah saw bersabda :" zuhudlah di dunia maka ALLAH akan mencintai kalian, dan zuhudlah atas apa-apa yang ada di sebagian manusia, maka kamu akan dicintai oleh mereka " ( HR.ibnu majah dalam kitan zuhud ).

Allahu a'lam.