بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Apalah lagi yang kita kejari dalam hidup ini, jika bekalan persediaan kita menghadapi hari yang benar dan pasti, terketepi dengan gelagat kita yang mengejar duniawi. Masih dalam membicarakan hal-hal demikian, Ustaz menegaskan betapa nafsu itu perlu ditundukkan. Meskipun hari ini, melihat di sana-sini , orang-orang yang hampir dan dah pencen pun menjalani kehidupan bagai nak hidup seribu tahun lagi. Rumah-rumah besar di dirikan, duit EPF habis pada perkara yang melalaikan, bagai nak pulun habis tentang dunia yang akan di tinggalkan. Sementara akhirat jauh persediaannya di tinggalkan ke belakang. Meskipun tidak salah kita pandai dalam urusan dunia, tapi nak kemana kita sebenarnya?.
Tegas ustaz, orang yang cerdik adalah orang yang mengatur nasib mereka di akhirat. Jika hendak melancung atau berkelah, kita boleh menyedia bekalan sebaik-baik dan selengkapnya, tapi pelayaran kita ke alam akhirat di mana keperihatinan dan kesungguhan kita dalam penyediaannya.
Beramal janganlah tunggu akhirat. Satu kisah benar diceritakan oleh ustaz yang berlaku di kedah sewaktu kubur hendak dipindahkan. 2 mayat yang telah dikebumikan bertahun lamanya, kelihatan seolah baru seminggu aje di kebumikan. masih baik dan menghairankan. seorang lelaki dan seorang perempuan. Ahli keluarga mejelaskan bahawa lelaki tersebut seorang AJK masjid dan ahli masjid sewaktu hidupnya. Manakala yang perempuan adalah seorang yang rajin membaca Quran dan mengajar al-Quran sewaktu hayatnya. Nah... inilah petunjuk kebesaran Allah, bahawa di kubur juga telah diberi balasan bagi orang-orang yang bertaqwa.
يُدَبِّرُ الأَمْرَ يُفَصِّلُ الآيَاتِ لَعَلَّكُم بِلِقَاء رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ
Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan). (Ar-Ra'd:2)
Perkara benar ini pastinya menaikkan semangat orang sekelilingnya agar berlumba-lumba menjadi orang yang taqwa. Berlumba-lumba membina kepatuhan pada Allah s.w.t.
عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اَلْكَيِّسُ مَنْ دَانَ
نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَاْلعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا
وَتَمَنَّى عَلَى اللهِ
“Dari Syaddad bin Aus, Nabi SAW bersabda, “Orang yang cerdik adalah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya dan menyiapkan diri untuk hari akhirat. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berandai-andai kepada Allah.” [Hadis Hasan riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah]
Anjuran Nabi ini untuk menjadi orang yang cerdik, maka hendaklah pandai mengelola kepribadian diri dengan mengendalikan hawa nafsu untuk mendapatkan kualiti kemuliaan hidup baik di dunia maupun di akhirat. Allah SWT menyerukan kepada kita untuk mempersiapkan hari esok, Allah juga menyebut di dalam firmannya berbunyi :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Surah al-Hashr : 18
Jadi soalnya, apa persiapan yang perlu dipersiapkan. Islam telah menceritakan keadaan di alam barzakh, mahsyar, syurga dan neraka maka insafkanlah diri dengan beramal soleh. Janganlah menuruti hawa nafsu, ambil usaha untuk mendapat rahmat Allah. Balasan apa yang kita hendak di akhirat, sedangkan amal kita tidak pernah mencukupi, dosa pula tidak dapat dibilang. Ikhlaskan diri beramal soleh, tiada perkara yang lebih selamat melainkan kembali kepada Allah dalam keadaan jiwa yang tenang.
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي
Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hambaKu, masuklah ke dalam syurga-Ku. Surah al-Fajr : 27-30
Redha adalah level paling tinggi bagi seseorang. Jiwa yang tenang adalah jiwa yang redha dengan Allah. Buat apa yang Allah suruh. Tinggal apa yang dilarang. Cinta seseorang yang paling tinggi sekali jadikan diri sebagai level hamba. Maknanya di sini tidak ada lagi menafaat harta dan anak diakhirat nanti melainkan datang dengan jiwa yang tenang.
Kenapa hati /jiwa yang Allah sebut? tidak lain kerana hati di iktiraf untuk mendapat pandangan Allah. Bukan untuk menjaga imej luaran. Maka bertaqwalah pada Allah dengan beramal seikhlas-ikhlasnya. Tempat iman di hati, sebagai penyelamat dan sebagai di sebut bertemu Allah dengan hati yang tenteram. Syaratnya kita harus redha sebagai hamba dengan sebenar-benar hamba. Walaupun manusia memandang rendah pada pengangkat sampah, tapi tidak di sisi Allah, Allah tidak memandang apa yang manusia pandang. Allah tidak melihat pangkat seseorang baik Doktor, Profesor dan sebagainya. Mereka yang bergelar hamba kepada Allah adalah taraf yang paling mulia di sisi Allah sebagaimana disebutkan dalam memperjalankan hambanya (Nabi s.a.w.) .
Semuga Allah memberkati pertemuan kita denganNya di akhirat nanti dengan hati yang penuh kesejahteraan dalam iman dan ketaqwaan yang sebenar-benarnya. Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment