Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Thursday, July 22, 2010

USTAZ MAZLAN : Penyakit Manusia

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dari Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w, bersabda: “Anak Adam membesar dan turut membesar bersamanya dua perkara: Sayangkan harta dan inginkan panjang umurnya. (Bukhari).

Kita disuruh berusaha membendung penyakit sayangkan harta yang sangat tidak menguntungkan kita di akhirat nanti. Jika kita tidak memperbanyakkan ibadah dan menjauhkan diri dari maksiat, tiadalah beruntung keadaan demikian. Meskipun tidak dinafikan bahawa fitrah manusia suka kepada perkara demikian, namun janganlah kita cinta sangat pada harta yang akan membawa kerosakkan di akhirat. Semua perkara ini sepatutnya dipergunakan dan jadikan keuntungan yang akan dibawa ke akhirat.

Sebagaimana yang pernah ustaz sentuh dulu, kalau wang RM tidak laku di Negara lain, wang Dollar tak laku juga di Negara lain, begitu jugalah di akhirat semua tidak laku melainkan dengan pahala.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: “Hati orang tua sentiasa muda dalam dua keadaan. Dalam keadaan kasihkan dunia dan dalam keadaan panjang angan-angan.” (Bukhari dan Muslim) .

Rasulullah s.a.w telah memberi ingatan apabila seseorang berada di depan harta, maka susah seseorang itu untuk ingat akan kematian.

“apabila datang ajal tidak tercepat atau terlambat sesaat” itu adalah sunatullah.

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاء أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ

Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya. Surah al-a'raf:34

Kita perlu menunaikan tugas kita pada Allah, ada tugas dengan keluarga, dengan orang miskin, maka kita hayati jalan-jalan yang ditunjukkan bahawa ianya adalah jalan ibadah. Ada 2 perkara lagi yang merugikan jika kita tidak menjaga diri dari nya , iaitu kasihkan dunia dan panjang cita-cita. 2 perkara ini membuat kita lalai bahawa kita sebenarnya sudah tua. Lalai kita tentang kedatangan akhirat dan kematian yang akan datang tiba-tiba. Tiada seorang yang dapat menjamin boleh hidup pada esok hari, apatah sebentar lagi. Kalaulah dah tua, masih tidak berubah kedekutnya, tidak berubah bergelumang dengan maksiat dan sibuk mencari harta hingga tinggal solatnya, bahkan semakin tua semakinlah tidak ingat asal usulnya, kubur pun sudah dekat kepadanya dibimbangi bila ajal tiba, sesalan sudah tidak berguna.

Dari Jabir r.a., Nabi s.a.w, bersabda: “Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku bimbangkan terhadap umatku ialah hawa nafsu dan panjang angan-angan, kerana hawa nafsu itu menghalang daripada menerima kebenaran dan panjang angan-angan pula melengahkan amalan akhirat. Dan ingatlah dunia ini pada setiap saatnya berjalan pergi, dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang, sedang tiap-tiap satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya: Oleh itu kalau kamu dapat menahan diri daripada menjadi orang-orang yang kasih dan setia kepada dunia maka buatlah, kerana kamu pada hari ini berada di kampung yang ada padanya peluang untuk kamu beramal dan belum ada sebarang hisab dan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tidak ada peluang bagi sebarang amal.”(Al-Baihaqi)

Sekiranya manusia yang dikurniakan akal fikiran tidak mengunakan akalnya untuk menundukkan nafsunya, maka ia lebih hina dari binatang. Hawa nafsu yang tidak dikawal akan menghalang untuk terima kebenaran.

Janganlah kita hairan dengan umat Islam yang kini walaupun mereka sembahyang, namun pada hakikatnya mereka juga telah menganut fahaman bertuhankan akal pada konsep hidup dan bertuhankan hawa nafsu . Jadi selalulah berdoa kepada Allah, “Ya Allah engkau tunjukkanlah yang benar itu benar dan yang bathil itu bathil”Orang yang bertuhankan hawa nafsu suka menolak kebenaran. Suka sangat mereka mencari alasan yang boleh membenarkan perbuatan mereka.

An-Naziat [40] Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; [41] Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.

Ustaz sekali lagi menyeru, agar sentiasalah berdamping dan membaca al-Quran. Umar al Khattab yang keras dan tegas juga lembut dengan ayat-ayat al-Quran.. sebagaimana yang sering kita dengar saban hari, dunia ini adalah tempat untuk kita di uji. Sejauh mana kita mengaplikasikan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. bersumberkan kepatuhan yang mendalam dengan mewadahkan ketaatan dalam bentuk amalan. Bila kita kata menyakini, maka tuntutan –tuntutan akhirat berjalan datang seiring dengan pengucapan. Dunia ini kampung tempat kita beramal. Hasilnya akan kita tuai di akhirat nanti. Hitung dan koreksi diri, sejauh mana masa kita habiskan untuk melakukan ketaatan, sebanyak mana kita membina benteng-benteng yang boleh melalaikan jalan kita untuk mengingati Allah. Berazam dan perbaikilah dari sekarang. Rasulullah mengingatkan, jadikan dunia sebagai kejayaan di akhirat. Mahu tidak mahu kita akan berhadapan dengan Allah, tentang apa yang kita buat. Saat itu kesal sudah tidak berguna lagi.. Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment