بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Selama menjalani kehidupan di bumi Allah ini, kita disibukkan dengan perkara-perkara yang menjauhkan kita dari Allah. Dalam mengejar kehidupan di dunia, kita bukannya semakin hampir kepada Allah, bahkan jauh sejauh-jauhnya. Berapa peratus peruntukkan kita kepada Allah. Jika kematian datang, matinya kita dalam banyak masa kita habiskan dengan tidur atau mencari kesenangan hidup di dunia, hingga kan perkara demikian lebih banyak kita buat dari solat, bagaimana hasil tuaian kita di akhirat jika itu yang kita tanam di dunia.
Sebanyak mana kita pergi menuntut ilmu, sedangkan tidurnya orang yang berilmu jauh bermenafaat dari tidur orang yang jahil, tidur mereka kosong. Maka carilah ilmu makrifat Allah. Untuk mendapat ilmu perlu ke rumah Allah. Bila ke rumah Allah, tidak lain kita bersama-sama dengan malaikat, 2 jam berada di rumah Allah, 2 jam lah kita bersama malaikat yang sentiasa mendoakan kita. Berapa lama kita mampu menadah tangan kepada Allah berbanding dengan perkara lain yang kita buat. Israk Mikraj memberi petanda masjid itu simbol tempat berkumpul, tempat dosa-dosa diampunkan, tempat bersatu, mungkin menjadi tempat jenazah kita diusung sebelum dikebumikan di kubur untuk kita bertemu Allah di akhirat nanti. Begitulah komentar ustaz dalam kuliah subuh yang ana dengar pada 18hb. Julai, 2010 tempoh hari. Ustaz ini ana kenali dengan nama Ustaz Izat.
Namun kita jarang ke rumah Allah. Kita lebih pentingkan penat kita, letih kita, sibuk kita, mengantuk kita. Bukankah tertidur di majlis ilmu itu jauh lebih baik dari duduk di rumah sahaja. Kita mampu duduk meeting mencari 'income' lebih. Tapi mendapatkan 'income' untuk akhirat yang memberi balasan yang berpanjangan tidak kita hiraukan samada suka atau duka kita, senang atau susah di akhirat nanti. Bukankah di rumah Allah, di Majlis ilmu kita diselubungi rahmat, doa para malaikat, kerana itulah, bagi orang yang susah, jiwanya tenang, tidak resah kerana adanya rahmat Allah. Mungkin diuji dengan mematikan orang yang paling disayangi, pun rasa pasrah kepada Allah atas rahmat yang di dapat dari ilmu yang kita kecapi sebelumnya. Untuk mendapatkannya, ayuh datanglah ke rumah Allah, pasti di turunkan ketenangan yang tiada tolok bandingannya.
Kedua, bila kita menghadiri majlis ilmu, Allah akan menyebut nama kita di hadapan malaikat, anbiya; nama kita di sebut satu-satu. Sayangnya kita jarang hendak menyebut nama Allah. Kurang sangat beristiqfar. Kebanyakkan amal kita hari ini, macam amal orang sakit. Terlalu sedikit sangat. Masa kita kepada Allah tidak banyak mana. Tidak boleh kita hendak berlama-lama menghadap Allah. Dalam kita di seru mengingati 5 perkara sebelum datang 5 perkara, yang paling banyak kita lupai adalah nikmat kesihatan sebelum sakit dan nikmat lapang sebelum sibuk.
Meninggalkan perkara-perkara sunat dalam solat wajib dibilangkan makruh. Jika dalam sunat tidak mengapa. Seorang sahabat sering mengulangi membaca surah al-ikhlas dalam solatnya. Bila ditanya, rupanya dia jatuh cinta dengan surah tersebut. sebagaimana yang di riwayatkan dalam hadis,
Ketika seorang daripada tentera yang dihantar Rasulullah SAW ke medan perang, beliau sentiasa mengulangi bacaan surah al Ikhlas dalam setiap rakaat solatnya. Sahabat lain kehairanan lalu ditanya halnya itu kepada Rasulullah SAW. Setelah ditanya oleh Rasulullah SAW, lelaki itu menyatakan bahawa dia melakukan demikian kerana cintakan surah al Ikhlas. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘cintamu pada surah itu memasukkan kamu ke syurga’. (al Bukhari, no. 774)
Kecintaan hamba terhadap sifat-sifat Allah yang mulia. Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW telah mengutuskan seorang lelaki di kalangan sekumpulan tentera. Lelaki itu ditugaskan untuk menjadi imam solat dan dia diminta untuk membaca surah al-Ikhlas dalam setiap rakaat kedua solatnya. Apabila kumpulan tentera tersebut kembali ke Madinah, mereka telah mengadukan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu baginda menyatakan : “ Tanyalah kepada lelaki tersebut mengapakah beliau berbuat demikian?”. Lalu mereka menemui lelaki tersebut dan bertanya kepadanya mengenai perkara tersebut. Lelaki itu menjawab: “Aku suka membaca surah al-Ikhlas tersebut” (kerana di dalamnya banyak memaparkan sifat-sifat Allah). Apabila para sahabat memberitahu Rasululah tentang jawapan lelaki tersebut, maka Rasulullah bersabda: “ Beritahu lelaki tersebut bahawa Allah mengasihinya.”
Kebanyakkan kita, selesai solat tidak mahu berdoa dan terus bangun. itu tandanya orang yang sombong. Ego. Disebut juga oleh sesetengah mereka itu munafik. Walau sibuk macammana sekalipun, jangan kita lupa Allah. sekurang- kurang berdoalah, dengan doa yang nabi tidak pernah tinggal.
رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka." (QS. Al Baqarah: 201)
Janganlah kita terlalu banyak alasan, sekurang-kurang kita ada adap berdoa dengan Allah seringkas-ringkasnya, Mula-mula memuji Allah, Selawat ke atas nabi dan berdoalah apa sahaja dan doa tadi melengkapi dunia dan akhirat. kemudian tutuplah dengan selawat dan memuji Allah semula.
Bila mendapat kebaikan di dunia, dapat keluarga, isteri, anak, sahabat-sahabat masing-masing berperanan menegur untuk membetul kesilapan. Kebaikan dunia kita dapat, akhirat kita selamat. Itu tandanya Allah rahmat kita. Tidak guna kita kerja kalau tidak pernah ingat pada Allah. Biarlah miskin harta, tapi kita ada keluarga yang soleh dan solehah. Ada sahabat yang mampu tegur kita. Bukan setakat berjaya di dunia, di akhirat kita terlepas dari azab. Maka bersama kita minta dijauhkan dari dihumban ke neraka Allah.
Allah menyebut nama kita satu persatu. kalau pergi masjidil haram 100,000 kali ganda ganjarannya. Berbeza dengan masjid biasa. Allah sebut nama kita depan ribuan malaikat, Allah kenalkan kita, bila kita datang ke rumah Allah bukan malaikat sahaja kenal, bahkan seluruh anbiya'. Alangkah sukanya nabi kita bila umatnya di sebut. Semua orang-orang soleh yang telah pergi dulu, mendengar nama kita di sebut oleh Allah s.w.t. Begitu juga jika mak ayah kita telah pergi dulu sedang mereka itu soleh, mereka juga mendengar nama kita di sebut.
Abu Dzar melangkah duduk di sisi rasulullah. Nabi s.a.w memberitahu, Allah kirim salam kepadanya. Abu Dzar tertunduk malu. Dia merasa terlalu kerdil, gerangan apa perbuatannya yang menyebabkan Allah minta nabi sampaikan salam kepadanya. Seolah dia tidak percaya dan bertanya berkali-kali pada rasulullah. Allah sampaikan salam padaku....., menangis Abu Dzar. Jika dibandingkan dirinya dengan Saidina Ali, jauh lebih baik Saidina Ali yang sanggup tidur di tempat nabi. Kalau di bandingkan dengan Abu Bakr, tidak setimpal pengorbanan Abu Bakr orang pertama berhijrah dengan nabi sehelai sepinggang, bila dibandingkan dengan Umar al khattab, Umar mampu mengistiharkan dengan lantang keislamannya. Melihat kepada Saidina Othman, dia tidak seberani Othman di medan tempur, Jadi.. bila Allah sebut demikian, satu penghormatan besar baginya, sedang dia merasa tidak sehebat dan seistimewa sahabat.
Bayangkan bila kita duduk bersama dengan makam rasul Allah, semua orang soleh kenal kita, ini yang digambarkan rentetan peristiwa israk mikraj. Asal solat diterima secara langsung oleh nabi kita. Dalam sebuah hadis Qudsi disebutkan bahawa Nabi Muhammad di utuskan dengan surah 7 ayat, yang tidak pernah di beri pada umat terdahulu kecuali umat Muhammad, itulah surah al-Fatihah. Menurut sebahagian ulama' merupakan surah paling istimewa, khusus pada Nabi. Sebagai syariat solat.
Telah diberitahukan kepada kita oleh Nabi kita, siapa kata 1 huruf ayat Allah, ganjaran Quran 1 huruf itu ayat Allah bagai cahaya dalam hati, kembali waktu bertemu Allah. 138 huruf dalam al-fatihah dilipat kali ganda dengan 10 gandaan. cuba di darab dengan 17 rakaat. Pahala yang kita dapat apabila membacanya. Bayangkan pula baca dalam keadaan berwuduk. Dalam solat 100 kali ganda. MasyaAllah, Tabarakallah.
Semoga barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan Allah dengan sejahteraan, kembalilah ke jalan Allah dengan sebaik-baiknya. Moga mendapat keredhaan Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment