Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Thursday, July 29, 2010

BERSABARLAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Mudah berkata, namun payah menghadapinya. Senang menasihati namun tidak mudah menerimanya. Itulah hakikatnya kehidupan. Waktu orang lain menerima ujian dan musibah baik berupa kekurangan, kesedihan, kehilangan kita masih mampu menyuruh mereka bersabar. Kita senang menasihati agar mereka itu perlu tabah menghadapi ujian tersebut. Namun hakikatnya, cuba letakkan pada diri kita pastinya kita dapat merasa betapa berat penanggungannya.

Namun begitulah lumrah hidupnya manusia, pastinya akan menempuh berbagai perkara suka dan duka. Ujian datang tak siapa terduga, mungkin tengah terleka, tengah bersuka atau tengah apa-apa aje. Namun bagi orang bertaqwa sentiasa berwaspada, kerana sedar bahawa bila-bila masa Allah akan datangkan ujiannya.

Bagi yang mampu bersabar itulah sebaik-baik taqwa di sisi Allah s.w.t. Samada kita mampu atau tidak, kita perlu bersabar; kerana inilah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Bersabar dalam erti kata penuh penyerahan kepada Allah dalam keadaan redha. Barang siapa yang melepasi ujiannya akan merasa nikmatnya. Ini disebutkan dalam sebuah hadis , di mana Rasulullah s.a.w. bersabda yang demikian maksudnya,


Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” (Hadis riwayat Thobrani)

Ada yang berjaya dan ada yang tewas dengan ujian. Bila Allah memelihara seseorang setelah di uji, Allah kekalkan ia dijalan kebaikan. Barang siapa yang tewas dan tidak redha dengan ujian Allah, maka mereka itu pastinya tercampak keluar dari menjadi insan pilihan, bagai emas hitam tadi. Allah tahu kenapa ia memilih dan menolak sesuatu. Ini mengingatkan kita kembali pengorbanan Habil dah Qabil, Ada yang Allah terima dan ada yang Allah tolak.

وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Dan aku jadikan bagi kamu sekalian keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian) dan kepada Aku-lah kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Anbia’, ayat 35)

Ada masa kita akan merasa benci dengan apa yang di hadapan kita, kita menjadi terlalu berduka cita, namun percayalah.. pandangan Allah tidak sama dengan pandangan manusia. Kadang-kadang Allah memberi musibah yang demikian pada kita, untuk mengelakkan musibah yang lebih besar lagi. Semua itu dalam pengetahuan Allah s.w.t.


وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ



Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Pastinya kita tidak tertahan dengan apa yang berlaku. Kita harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan yang mendatang saat-saat tengahari yang terbentang. Kita mengharapkan anak menjadi insan gemilang di sisi Tuhan, rupanya ia menjadi racun yang menghancurkan jiwa yang gersang. Ya.. Allah, begini rupanya kehidupan yang lari jauh dari acuan yang disediakan.

Moga Allah mengantikan sesuatu kenikmatan mencari erti sebuah kehidupan dengan penuh ketaqwaan. Moga segalanya kembali menjadi satu pengharapan yang menghasilkan kejayaan. Hidup mulia di sisi tuhan. Meskipun kita sedar dan terus sedar bahawa Allah berfirman,

وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian bahawa sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment