Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Thursday, October 07, 2010

SEKEPING HATI

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Membicarakan tentang hati, sangat luas persoalannya. Dari hatilah terbit segala perkara. Hati itu umpama raja. Hati jugalah yang menjadi bahan ukur keikhlasan seseorang dengan Allah s.w.t . Justeru itulah hati sangat perlu di jaga. Hati juga membuatkan seorang mengasihi sesuatu, hati jua mendatangkan rasa tawar terhadap sesuatu.

Waktu hati dipenuhi rasa kasih, mampu mengerakan seluruh badan melakukan apa jua. Semangat yang diterbitkan oleh hati tadi, membuat semua perkara rasa mudah di kerja. Namun bila hati telah terluka, kecewa, maka semua perkara jadi tidak tentu hala. Minat terhadap sesuatu hilang semena-mena. Jika asalnya seorang yang sangat rajin bekerja, dengan permasalahan hati, maka kerja yang dibuat tidak lagi ceria dan disuka. Maka, hasilnya tidaklah seperti biasa.

Begitu jugalah cita rasa terhadap sesuatu perkara pastinya sudah berbeza. Bila rasa tawar hati telah menguasai, kelazatan sesuatu perkara tidak lagi dirasai. Begitulah hebatnya peranan hati. Ia mampu menguasai diri dia juga mampu mencetuskan perkara-perkara yang tidak di sangkai.

Bahkan, Islam juga memandang hati mempunyai peranan besar di mana ia mempengaruhi keseluruhan pembentukan peribadi dan akal seseorang. Peranan hati di dalam tubuh jasad anak adam telah diterangkan dalam sabda Rasulullah S.A.W :Rasulullah bersabda

ان في الجسد مضغة اذا صلحت صلح الجسد كله واذا فسدت فسد الجسد كله , الا وهى القلب

yang maksudnya: Sesungguhnya didalam tubuh jasad anak adam ini ada seketul daging bila baik ia maka baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya ketahuilah iaitulah qalbu (hati). (Hadis riwayat Bukhari)

Hati yang baik, akan melahirkan tindakan dan kata-kata yang baik. Keikhlasan hati akan terpancar di wajah. Sebaliknya hati yang rosak tidak dapat tidak pastinya akan terserlah. Lambat laun nilai sebuah hati akan diketahui dari hasil tindak tanduk seseorang. Begitulah.. dalam masa yang singkat pastinya kita sukar mengenali hati budi seseorang. Sebaliknya dalam beberapa tempoh kita akan dapat mengenalinya. Persoalan hati ini, walau di sembunyi sekalipun akhirnya tetap akan terkeluar dengan hasil tindakkannya.

Hatta perpecahan rumah tangga hari ini, di sebabkan hati. Hati yang kotor akan keluar kekotorannya. Waktu bercinta, semua indah belaka. Perkara buruk pun sanggup di telan, memandangkan banyak kelibat kebaikan yang pura-pura masih di lakunkan. Namun dalam beberapa tempoh keburukan hati mulai keluar sedikit demi sedikit. Hati yang kotor, tidak dapat di sembunyikan selamanya. Ia pasti akan keluar dari tubuh badan manusia melalui tindak tanduknya. Akhirnya rumah tangga yang dibina menuju kepada keruntuhannya. Terkeluarlah kekotoran hati yang bermaharajalela.

Mungkin satu kejutan, bila selama ini seseorang yang di sangkakan baik, tiba-tiba di dengari seorang yang sangat jahat. Ada kalanya bagai tidak percaya, apa yang tertera di depan mata. Diikuti sifat zalim, tamak haloba, sungguh diluar batasan manusia, timbul pada diri seseorang. Timbulnya perkara sebegini, bukan satu masa yang singkat. Melainkan telah bersarang kejahatan yang cukup padat dalam hati seseorang tersebut. Meskipun ia di tutupi dengan laku dan dikelabui dengan perbuatan kebaikan, hati yang jahat, tetap akan keluar kejahatannya.

Begitu jua.., alangkah jahat hati manusia yang sanggup melanggar perintah Allah. Sedangkan banyak perkara telah dihadap dan diberi iktibar oleh Allah s.w.t. Banyak contoh-contoh kebinasaan yang diberi pengajaran oleh Allah. Agar di perhatikan dengan ketajaman fikiran yang di anugerahkan. Agar manusia tidak melakukan sesuatu di luar batasan keimanan. Sifat taqwa dan takutkan Allah yang tinggi perlu di perteguhkan. Agar tindakan selari mengikut ajaran al-quran yang menjadi panduan untuk keselamatan hidup sepanjang perjalanan.


Firman Allah:

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

(maksudnya) "maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada. "(Surah al-Hajj: 46).

Ramai yang mata celik, tapi hati buta dari melihat kebesaran Allah s.w.t. Buta dari melihat kebaikan suruhan Allah dan rasul. Buta membezakan perkara baik atau buruk dalam satu-satu perkara. Maka terus menerus dalam kehidupan yang jauh dari saranan agama. Bila jauh dari saranan agama, maka kemusnahan dan kebinasaan terus menerus berlaku dan bermaharaja lela. Pokok pangkalnya hati yang seumpama raja. Jika hati tidak bersedia menerima kebaikan, maka tidak mungkin seluruh tindakan akan membuat kebaikan. Jika hati tidak mahu mengikut jalan agama sebagai penyuluh perjalanan kehidupan, maka hidup mereka terus menerus dalam kejahilan yang mengundang satu kebinasaan. Nauzubillah.

Dengan demikian, buangkan sifat mazmumah yang bersarang dalam hati. Gantikan dengan sifat mahmudah(terpuji) agar kehidupan berperibadi dijadikan contoh yang tinggi. Akhlak yang mulia pasti lahir dari hati yang suci. Sesungguhnya hati adalah sesuatu yang akan di nilai oleh Allah di akhirat nanti dalam menentukan satu-satu tindakan hamba yang mengaku sebagai hamba yang sejati. Rasulullah SAW bersabda
إن الله لا ينظرُ إلى أجسامكم، ولا إلى صوركم، ولكن ينظرُ إلى قلوبكم وأعمالكم

yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk dan rupa kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu.”

Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment