Alhamdulillah, Allah masih memberi nafas untuk ku terus melalui kehidupan dengan penuh pengharapan dan kasih sayang Allah yang tidak pernah padam. Benarlah, cinta pada bunga.. ia akan layu, cinta pada manusia.. pasti suatu hari dia akan meninggalkanmu, hanya cinta pada Allah, yang kekal dan tidak pernah berlalu. Terlalu banyak nikmat Allah tidak dapat ku hitung, terlalu besar, terlalu.. terlalu segalanya. Tidak sebanding dengan apa yang lakukan untukMu Allah.
Seingatku, apa sahaja yang ku inginkan Allah telah memberikan dengan sepenuh kasih sayangNya. Masih ku ingat, sewaktu kecilku.. hidupku terlalu susah. Berteman air mata sepanjang waktu. Kerumitan, kemiskinan hidupku, mengajakku membantu ibu, turun ke sawah, mengangkat baldi susu getah, menanam padi di sawah, menjaga kambing dan kerbau di seberang sungai yang jauh dan sungguh mendatangkan resah. Resah, di tepi hutan tempat kerbau berkubang, selalu khinzir keluar berderetan dan sangat menakutkan. cuak hati berada di hutan. Pernah air sungai tiba-tiba naik separas leher, sedang tiada hujan. Menangislah aku ketakutan, Syukurlah kebetulan hari itu adik lelaki ku datang untuk meneman. Nyawa jadi pertaruhan, hampir-hampir kami dihanyutkan arus yang sungguh dalam. Ya.. Allah, jika itu yang terjadi, tiadalah lagi aku dan adikku pada hari ini.
Begitulah rutin hidupku setiap hari, Malamnya membantu ibu membuat kuih-muih untuk dijual keesokkannya di sekolah. Sayang sekali, kerja sekolah selalu tidak dapat ku siapi. Cikgu tidak pernah faham masalah ku. Kepala ku sering di ketuki. Namun ku pasrah. Aku selalu di hina bila mana barang-barang keperluan jahitan tidak dapat di adakan oleh ayahku. Apakan daya, aku adalah aku. Aku hanya tahu mengadu terus mengadu pada Allah yang selalu memberi mimpi-mimpi indah dalam tidurku. Aku selalu menginginkan sesuatu, di dalam mimpi aku di beritahu, aku akan mendapatkan, bila tibanya waktu. Temanku dari kecil adalah buku-buku. Banyak buku agama telah ku baca dan sungguh teruja, dari kecilku ku telah mengenal halal dan haram, syariat atau larangan.
Hinggalah perubahan ketara jelas terdampar di depan mataku. Kegagalan ku di sekolah rendah telah bertukar menjadi kejayaan ku di sekolah menengah. Siapa tahu.. setiap kali peperiksaan besar yang ku hadapi, malam itu aku bermimpi ayat-ayat al-Quran yang bakal keluar dalam SRP dan SPM yang akan ku lalui. Ku memberi tahu kawan, namun tiada siapa yang mempercayai. Alhamdulillah, inilah berkat berserah dengan Allah. A1, adalah harapan ku dalam subjek agama. Bukan ku suka untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi apa yang ku sukai, ku suka menguji sejauh mana kefahaman ku terhadap agama yang sangat kucintai. Anugerah dan nikmat agama inilah yang membuat ku mengenal siapa yang patut di cintai. Pangkat 1 dari 4 orang dalam sekolah, pasti membuat ibuku sangat gembira.
Ya.. Allah, terlalu banyak penganugerahanmu. Walaupun berjaya menjejak kaki ke menara gading, namun ku tidak berminat meneruskan melainkan berhenti dan memasuki pula kepada pengajian Islam. Minat ku sungguh mendalam dalam bidang ilmu islam. Walaupun ibu sangat kecewa sekali, akhirnya dia mulai faham. Dalam diam ku pelajari bahasa arab berseorangan. Hinggalah bila ku memasuki mana-mana kelas, pelajar kelas selalu merasakan kehadiran ku tidak layak bersama mereka. Mereka selalu mengatakan aku sudah pandai, tidak boleh satu kelas dengan mereka. Bagi ku, aku masih terlalu lemah dan perlu belajar dari bawah.
Walau ada juga rasa kecewa, namun ada kelucuannya. Kalaulah aku pandai, mana mungkin aku perlu belajar dari bawah. Mungkin hanya pada mereka. Lucu juga.. ye lah.. sampai ustazah menalipon ku, pelajar-pelajar minta aku tidak belajar bersama mereka. Mereka malu katanya.. Ye.. kembali kepada penganugerahan Allah yang sangat banyak. Memang benar, janji Allah, apabila kita semakin menghampiri Allah, Allah akan sentiasa menghampiri kita. Itulah yang sering ku rasa. Apa sahaja permintaanku, pasti Allah tidak menghampakan. Segalanya biarlah menjadi rahsia.. Sungguh banyak pertolongan Allah, sungguh tidak terhingga.
Hanya yang paling ku merasa sungguh tidak terkata, bila mana harapan ku untuk terus menerus sentiasa ke bumi Haramain, Allah selalu menyampaikannya. Banyak yang ku pelajari hikmah dari pengurniaan ini. Benar, bukan wang yang menyampaikan kita ke sana. Hanya panggilan Allah. Sememangnya dengan panggilan Allah. Kadang-kadang, seseorang itu tidak langsung mengeluarkan wang, tiba-tiba sampai ke sana. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Bahagia sungguh menjadi tetamu Allah. Sungguh bahagia..!!. Harapanku pertama kali kesampaian, tatkala ku benar-benar berhajat untuk ke sana. Bila mana wang yang ku kumpul cukup sama sekali. Gembira sungguh kerana waktu itu ku fasih berbahasa arab yang asas kerana baru sahaja habis pengajian Usuluddinku di UM. Apalagi, bila berbahasa arab, barang 20 riyal, dapat ku beli dengan 2 riyal, atas nama hadiah. Alhamdulillah.
Namun, aku bukan seorang yang suka membeli belah. Kerana tempat yang paling ku benci adalah pasaraya. Maka rutinnya, tidaklah ku terpedaya dengan benda-benda. Nikmat yang ku rasa berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sungguh tidak terkata. 2002 merupakan sejarah kali pertama ku menjejaki kaki ke sana. Benarlah janji Allah, wang yang kita gunakan ke sana akan di gantikan semula. Bila sekali ke sana, pastinya kita ingin terus menerus ke sana. Jika boleh mati pun di sana. Itulah hajatku yang terakhir dalam hidup ini. Justeru itulah ku berusaha dan terus berusaha untuk ke sana. Allah sangat pemurah. Janji Allah sangat benar.
Benar, sungguh benar, wang yang ku keluarkan, Allah ganti semula, bahkan berganda. Maka 2005 ku membawa ibu bersama. Alangkah gembira ibuku kerana buat pertama kali menjejak kaki ke sana. Peliknya, saat itu ku mengndung anak pertama dengan suami ku sekarang, sedikit pun tidak terhalang untuk ke sana. Mudah sahaja jalannya. Juga siapa yang menyangka, bayi ini bakal lahir di sana, bahkan Allah menjanjikan ajalnya di sana, juga syurga tempatnya. Ku hanya redha, bayi ini di kebumikan di perkuburan ma'la , bersama isteri Nabi s.a.w. Khadijah yang sangat mulia. Syukurlah, Mohd Naim.. terpilih di sana. Tidak pernah ku terduga, bahawa.. semua ini ketentuan yang maha Esa. Cuma diriku, perlu menjadi taqwa. Untuk bersama-sama anakku di sana. Syurga yang dijanjikan Allah bagi insan-insan bertaqwa.
Pastinya, terlebih ingin ku ke sana, al maklum anakku ada di sana. Mungkin kerana itu jua, Allah tidak mengizinkan ku mendapat zuriat lagi, kerana sehingga ke hari ini, 7 ke 8 kali anak ku jantungnya berhenti, ketika masih bermula untuk terjadi. Rezeki yang Allah beri tidak kunjung putus, sehingga kedua orang tuaku dapat ku hantari ke sana pada 2006, haji Akbar. Pelik sungguh pertolongan Allah, dari wang langsung tiada, tiba-tiba khairat yang dapat membolehkan kedua orang tuaku ke sana. Oh Tuhan, besar sungguh kurniaanmu, anakku ke syurga, rezekinya turun kepada orang tuaku. Bahkan saat-saat akhir di panggil, untuk ke sana, tahun haji akbar pula. Berbahagianya dengan rahmatmu.
Benarlah.. memang benar, bila bersyukur, Allah akan tambah, bila kufur azabNya sangat pedih. Siapa sangka, tiba-tiba sebaik ku mendaftar 2007, nenek saudara yang begitu lama, bertahun tidak berjumpa, bertanya samada boleh menemankannya. Sudah berkali-kali di tolaknya untuk ke sana. Tiada siapa yang sudi menemannya. Lantas, itulah rupanya bahagianku untuk ke sana dengan mudahnya. Wang belum ku isi, hanya di panggil Allah atas jalan ini. Maka rezeki datang lagi melalui suami. MasyaAllah.. inilah janji Allah. Pemurah dia, maka Allah memanggilnya sama untuk ke sana sebagai mahram kami. Inilah kehebatan janji Allah bagi yang benar-benar yakin dengan pertolonganNya. Allahlah yang memudahkan, Allah jualah yang memayahkan.
Banyak perkara pelik yang di alami, sungguh pelik. Alhamdulillah, kami di tempatkan di tempat yang paling dekat dengan masjid. Masih teringat, lawak ustaz masa kursus haji, namanya pun muasasah, kenalah susah. Alhamdulillah, kami tidak merasa susah. Bahkan sangat mudah. Nenek pula sangat sihat walafiat. Bahkan untuk ke masjid, boleh pergi dan balik sendiri. Subahanallah...
Baik ke Arafah, Mudzalifah dan Mina, semua mudah. Alhamdulillah. Sungguh teruja buat kami. Allah sangat penyanyang. Sangat pelik sekali, bagai tidak percaya apa yang terjadi. Tanya sahaja bas di Mudzalifah, tempat kami di turunkan, dalam pada yang lain beratur dari malam hingga ke pagi berdiri di sebelah sana untuk ke mina, pemandu bas terus menjemput, " tafadhal..tafadal".. haiya bina ila mina.., alhamdulillah, ku terus memanggil suami dan nenekku, dan beberapa jemaah di sekitarku. MasyaAllah, inilah kehendak Allah namanya.
Sungguh terlalu banyak nikmat Allah tidak dapat untuk di cerita. Inilah janji Allah, balik dari sana, Allah mengantikan lagi berganda-ganda, wang yang ku kumpul sekian lama untuk anak-anak ku yang 3 orang sebelum ini, memungkinkan 2009 ku bawa pula mereka ke sana. Ini yang di katakan janji Allah itu sangat benar. Anakku terpinga-pinga, tidak mengeluar wang sedikitpun di panggil ke sana. Itulah janji Allah bagi orang-orang yang ingin bertaqwa.
Gembira sungguh ku dengan pemberian demi pemberian yang tiada hentinya dari Allah. Pastinya coretan ini, ana ingin menjemput semua pembaca menanam sepenuh keyakinan pada yang Esa atas janji bagi mereka-mereka yang memilih jalan taqwa. Janji Allah sangat benar. Bila ku balik dari membawa anak-anak ke sana, anak ku pula menanam hasrat untuk ke sana semula. Akhirnya Allah menjadikan kenyataan lagi, bila mana tidak semena-mena wang simpanan KWSP ku dapat di keluarkan semua. MasyaAllah. Orang lain, mungkin kena tunggu umur pencen, mungkin 55. Rezekiku, umur sebegini, bila ku menukar semula ke skim pencen. itulah pertolongan Allah, namanya. Janji Allah akan kembalikan wang-wang yang kita belanjakan di sana. Di bumi Haramain yang sangat mulia.
Lantas hujung 2009 ku membelanjakan wang untuk kursus intensif kembara di Jordon, syria dan Lubnan mempelajari bahasa Arab. Kemudian ku ke Haramain lagi bersama anakku 2010. Alhamdulillah... moga kami akan terus ke sana dan terus dengan izin Allah. Semoga satu hari ku dapat menetap atau mungkin mengakhiri hayatku di Haramain. Moga hajat terakhir ini, menjadi kenyataan. Moga Allah perkenankan.
Bagi saudara Islam yang di kasihi, yakinlah , percayalah, Allah tidak pernah mensia-siakan doa hamba-hambanya. Allah tidak memungkiri janji-janjiNya. Koreksi diri kita bersama, di mana lagi kekurangan pengabdian kita kepadaNya. Di mana lagi kekurangan kepasrahan kita kepadaNya. Moga-moga semua kita umat Islam mendapat kasih sayang Allah. Allah sangat pemurah. Pemurah, sentiasa menjamin rezeki bagi kita. Sehinggalah bila rezeki kita sudah tiada lagi maka saat itu, kita perlu kembali kepadaNya, yang menjadikan kita. Moga kembalinya kita dengan iman dan Taqwa. Semua kita adalah calon-calon janazah. Baik atau buruk kesudahan, adalah pilihan kita. Kita di beri akal yang sempurna untuk memilih jalan-jalan taqwa.
Apa yang baik di ilhamkan oleh Allah s.w.t. dengan bantuanNya. Apa yang buruk adalah dari kelemahan diri ana sendiri. Moga yang baik buat tauladan, dan yang buruk di tinggalkan.
Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment