Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Friday, October 08, 2010

HUTANG

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, Sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.” [Riwayat al-Baihaqi ]

Islam tidak menghalang seseorang memiliki harta dengan berhutang. Bahkan kadang-kadang tanpa hutang tidak dapatlah seseorang untuk memperbaiki keadaan kehidupan bahkan lebih menyukarkan mereka untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Persoalannya, hutang bagaimana yang dibenar dan sebaliknya hutang bagaimana yang perlu dielakkan. Tidak di nafikan dengan hutang, maka ketenteraman kehidupan sudah hilang. Hidup pula penuh dengan tekanan. Pantang tersilap sikit, anak isteri jadi mangsa sepak dan terajang. Ramai pula yang membunuh diri kerana hutang.

Hutang yang membelit pinggang kerana sikap seseorang itu sendiri. Keterlaluan dalam berlumba-lumba memperaga menyebabkan akhirnya terseksa. Ramai yang berbuat demikian, masih ada kenderaan yang sepadan dengan kemampuan dan keperluan, bila melihat di kiri kanan, jiran dan taulan, saudara dan rakan, jiwa yang membuak-buak membuatkan sanggup mengambil hutang lagi. Bahkan hutang lama masih dalam kawalan dan aturan pengurusan pihak yang diberi kepercayaan. Tidak serik, guna nama lain membuat hutang. Memang inilah sikap yang paling di takutkan.

Mungkin sesetengah boleh mengatakan, punyai kerja tetap dan pertolongan isteri dalam mencari perbelanjaan. Kata-kata ini, hanya boleh di pakai jika anda tidak diberhentikan. Jika anda tidak punyai masalah kesihatan. Jika isteri anda masih boleh memberi bantuan. Tiba-tiba.. jika sakit datang.., berlaku sesuatu di luar dugaan..., anda pasti teraba-raba mencari haluan. Sedangkan bila setahun sekali insuran dan roadtax perlu di hidupkan, keadaan sudah sangat menekan. Hutang bank yang melibatkan tanah di cagarkan, dan sering kali menjadi tunggakkan, sungguh merimaskan.

Jika ini yang di hadapi oleh kalian, soal diri , tanya diri adakah anda sebenar layak untuk membuat hutang..?. Hutang yang dibuat bukan yang berpadanan. Apakah hutang sebelumnya telah di selesaikan..? Tidakkah anda takut mati meninggalkan hutang..??

Ibubapa kita menghidupkan kita, tidak banyak mereka berhutang. Jika berhutang sekalipun mereka mampu membayarnya. Mereka hanya pesawah, penoreh getah, pekebun, pemesin rumput, penebang pokok,pemanjat kelapa mungkin penebas rimba. Semua mereka lakukan. Asalnya, hanya berbasikal, bermotor tapi berbelas anak mereka boleh besarkan. Tidak mereka punyai kenderaan besar dengan alasan anak ramai perlu membeli kenderaan besar. Bahkan kalian pula yang mengharap bantuan kewangan dari mereka. Sedang pangkat anda ada. Tetapi maruah anda tercampak kemana..?

Tetapi.. perangai kita..? Anak baru dua tiga orang, kita katakan perlu kereta yang besar. Maka perlulah buat hutang yang besar. Rumah perlu besar, kereta besar, hutang juga besar. Saat sihat bolehlah kita bertahan. Dalam pada itu, dalam masa yang kita katakan sihat, solat di lalaikan, rumah Allah jarang jadi tempat tujuan. Dalam perjalanan, solat.., mudah-mudah untuk di tinggalkan. Inikah di katakan mereka yang mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Masa habis mengumpul kewangan, baik siang juga malam. Bahkan ada yang berani membuat perkara salah. Al-maklum, hutang sudah membelit sekeliling pinggang. Kewangan yang besar perlu di dapatkan. Jika boleh dalam masa yang pintas, yang penting lepas.

Justeru itulah hakikatnya, hari ini keadaan sangat menakutkan. Mereka yang hilang kewarasan hasil keadaan demikian semakin hari semakin bertambah -tambahan. Sihat walafiat, hanya yang keluar dari mulut, tatkala hutang di tuntut, hanya mengatakan "saya dah tak kerja, macam mana nak bayar hutang.."

Jangan sampai anda menghadapi situasi demikian. Atur-aturlah perbelanjaan. Jika anda terus terusan mengejar persaingan, hidup anda pasti tidak akan tenang, sekiranya anda semakin jauh dari Allah s.w.t. Semakin jauh dari pengibadatan, semakin jauh..jauh sejauh-jauhnya dari hidup berkumpulan dengan mereka-mereka yang merasa nikmat dan keindahan mempasrahkan diri dengan ketawadukan yang tinggi pada Allah yang menjanjikan rezeki yang berterusan pada mereka-mereka yang bertaqwa dengan sebenar-benar ketaqwaan. Maka fikir-fikirkan mulai sekarang..

Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment