Masih segar jiwa ini untuk menyebut tentang Haramain. Tak sangka pula kuliah subuh pagi tadi ustaz banyak menyentuh cerita-cerita yang patut di jadikan iktibar pada kita. Cerita-cerita begini mengingatkan akan diri kita agar mempunyai ciri peribadi mulia bahkan bersih sebersihnya hati dan niat kita untuk ke sana. Tujuan ke sana semata-mata merebut nikmat dan rahmat yang di janjikan Allah buat insan-insan yang bertaqwa. Jika terpesonglah niat, maka natijahnya juga sangat buruk. Buruk bukan setakat di sana, bahkan menjadi-jadi keburukan bila sampai kembali ke tanah air kita, juga di akhirat sana.
Cerita begini, melahirkan keinsafan di hati. Mana mungkin kejahatan akan bertahan selesa selama-lama. Pasti suatu hari ianya akan mendapat balasannya. Baik di dunia, maupun di akhirat sana. Cerita Ustaz, sewaktu beliau menunaikan haji 4 tahun lepas, rakan sebiliknya suka memaki-hamun isterinya. Juga mengarah-arah isterinya meskipun pada hal-hal yang remeh. Isteri yang diherdik demikian, sentiasa bersabar. Lelaki ini juga kurang amalan dan suka sangat bernyanyi-nyanyi hingga ke tengah malam. Suatu hari, sewaktu dia ke Masjidil Haram, dia tidak nampak Kaabah. Hanya nampak orang yang berjalan sahaja. Mulalah keresahan menyelubungi jiwanya. Bila Ustaz suruh beliau buat solat taubat, setelah beberapa ketika, barulah beliau nampak Kaabah mula nampak dan naik sedikit demi sedikit dari bawah. SubahanAllah. Di situ juga Allah menunjukkan keajaiban perkara tersebut terhadap mereka yang mempunyai sikap yang begini.
Sebaliknya di masa yang lain, kata Ustaz, isteri seorang yang lain pula suka mengherdik-herdik dan berkasar suara dengan suaminya. Bagai budak tadika di lakukan terhadap suaminya. Lancang sungguh mulutnya pada suami. Puas rakan sebilik menasihatkannya, dia langsung tidak ambil kisah. Terus menerus memperlakukan suaminya. Hingga tiba saat untuk ke Arafah, beliau mengeletar sakit atas katil, maka tiadalah dia dapat berbuat ibadah. Bila si suami di minta memaafkannya, suami tadi kata, biarlah dulu dia merasa akibat perbuatannya. Sudah 33 tahun dia diperlakukan begitu. Sungguh...., terluka sungguh hati suami tadi rupanya. Sewaktu ingin berangkat ke Madinah, rakan-rakan sebilik isteri tadi masih memujuk wanita tadi bermohon maaf pada suaminya, maka beliau menalipon suaminya memohon maaf sambil menangis-nangis dan sedar akan perbuatannya. Maka, sebaik suaminya berkata, memaafkannya; alangkah ajaibnya kuasa Allah, wanita tadi terus pulih sepenuhnya. Jadilah wanita tadi seorang yang kuat ibadah di Madinah.
Begitu juga pernah di beritahukan beberapa orang nampak api ketika bertawaf dan tidak boleh untuk bertawaf. Semua perkara ini sangat-sangat menakutkan. Namun tidak kurang pula Allah mengurniakan kemudahan dan kebahagiaan pada mereka-mereka yang di beri nikmat dan rahmat oleh Allah. InsyaAllah, bumi yang mulia ini, ramai yang dimuliakan. Bahkan bila Allah yang memanggil, maknanya Allah akan memberi berbagai kebaikkan pada tetamunya. InsyaAllah.
Subhanallah, Hebatnya kuasa Allah dalam memberi pembalasan pada siapa-siapa yang di kehendakinya. Begitulah hendaknya, pastinya kita melihat ramai yang suka menyakiti orang lain, memfitnah, menjatuhkan dan mengaibkan orang lain, mengambil hak orang lain, menginiayai dan mengumpat orang dan berbagai perbuatan keji lagi telah di lakukan. Bahkan sikap-sikap begini perlu hati-hati dan bermohon maaf sebaik-sebaik pada mereka-mereka yang di zalimi. Dosa menzalimi anak adam yang lain, Allah serahkan kepada manusia. Jadi dalam memulakan perjalanan ke Haramain, moga-moga semua ini telah di selesaikan terlebih dahulu oleh kita-kita semua. Bimbang berbagai perkara yang tidak terduga sepertimana cerita-cerita benar yang pernah kita dengar dan diberitakan kepada kita.
Sayangnya hari ini, ramai yang pergi di sana bagai pergi melancung. Ramai yang dilihat tidak menjaga pergaulan, bahkan tidak lagi menjaga aurat bila saat lepas dari Ihram dan sewaktu pulang. Tabaruj juga sudah jelas di wajah dalam perjalanan pulang. Tudung juga sudah tidak menutupi bentuk dada. Begitulah seadanya. Beginilah situasi yang kita selalu lihat dan ramai yang tidak peka, bahawa bentuk mematuhi perintah Allah bukan setakat di dalam Masjid sahaja. Bahkan ketaatan sebenar kepada Allah s.w.t adalah setiap ketika juga di mana sahaja kita berada.
Untuk mengapai nilai sebuah Haji yang mabrur di sisi Allah s.w.t. yang ganjarannya tiada lain melainkan dengan rahmat syurga Allah, maka persediaan yang padu dan jitu serta mantap perlu ada. Ketaatan yang sebenar-benar dengan perintah Allah harus digilap sebaik-baiknya, agar perginya seseorang ke Haramain, berbekalkan iman dan taqwa. Moga semua kita mendapt kurniaan Haji dan Umrah yang mabrur dan mabrurah.
Selamat perjalanan, dan selamat para jemaah untuk mendapat Haji dan Umrah yang di terima Allah dengan sebaik-baik penerimaan. Ameen.
Allahu a'lam,.
No comments:
Post a Comment