Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Sunday, October 24, 2010

KELUARGA SAKINAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Keluarga adalah asas sebuah kehidupan. Umat yang baik berasas dan datangnya dari keluarga yang baik. Jika keluarga rosak, bayangkan bagaimana jadinya umat dalam dalam sesebuah masyarakat.

Menyebut tentang “Keluarga Sakinah”, dalam kuliah subuh pagi tadi, Ustaz Prof. Sidek Baba, mengajak semua berfikir bagaimana dan apa akan jadi jika ianya, yakni keluarga sakinah ini tiada. Bermacam perkara boleh jadi, tambahan hari ini, keadaan masyarakat sangat merisaukan sekali. Hari ini terlalu jauh jurang antara golongan tua dan generasi muda hari ini. Anak-anak hari ini, ramai yang sudah tidak mendengar cakap, degil, payah untuk melakukan solat. Inilah yang kita hadapi hari-hari. Disinilah titik tolaknya, iaitu semua ini berasal dari sebuah keluarga, dari sepasang suami isteri. Keluarga itu tempat bermulanya tauladan anak-anak.

Jika sebuah keluarga tiada kasih sayang, tidak tenang, tidak ceria, tidak bahagia, maka anak-anak akan porak poranda. Bila rumah tangga sudah porak poranda maka masyarakat dan umat akan turut sama. Keluarga itu asas permulaan masyarakat. Maka tumpuan yang banyak perlu di beri pada anak-anak;. Gambaran yang diberi oleh Saidina Ali, jika ingin melihat masyarakat masa depan, lihat corak anak-anak. Jika mereka beriman, anak yang soleh, berakhlak, insyaAllah keadaan masyarakat akan baik. Jika tidak begitu keadaannya, bayangkan keadaan sesebuah masyarakat itu.

Keluarga sakinah, adalah keluarga yang berkeadaan tenang, tidak banyak cabaran dan huru hara, tiada permusuhan dan pergaduhan. Sebaliknya, keluarga yang tidak demikian, menyebabkan cerai berai, fitnah terhadap masyarakat, huru hara, masing-masing menegak keegoan, dan sungguh tidak memberi kebahagiaan.

Untuk mendapat keluarga sakinah ini, maka perkara paling utama di lakukan ialah, setiap perkara itu di buat semata-mata ‘kerana Allah’. Itulah ‘Ikhlas’. Hikmah 'ikhlas kerana Allah' ini akan memberi kebaikan dan kembali balik pada pelaku tersebut. Tujuan perkahwinan dalam Islam, tujuan utama agar kenal mengenal, berkasih sayang, berkongsi suka dan duka dan kehidupan bersama.

Dengan jelas sekali Allah SWT. Menerangkan hal ini di dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal" (Q.S. Al-Hujarat:13)

Penegasan Allah di akhir ayat ini, ialah Allah memandang orang yang berjiwa ‘muttaqiin” yakni yang terbaik di sisi Allah itu, adalah yang bertaqwa. Di situlah kaitannya setiap di laku itu kerana Allah.

Apakah bila kita tidak solat, berzakat dan melakukan ibadat yang lain Allah akan rugi, akan kurang atau akan tidak sempurna?. Maha suci Allah tidak terkurang dengan keingkaran manusia. Allah maha sempurna. Allah yang menjadi dan mengatur alam. Pengawal kepada alam cakerawala dan sekelian makhluknya. Allah jualah pemberi rezeki kepada kita semua.

Bila kita ikhlas beragama, bayangkan makam di sisi Allah dengan sifat ‘mukhlisiin’. Tidak mudah untuk membina sifat ini, lebih-lebih bagi yang tiada keikhlasan. Tiada rasa ketuhanan. Ramai yang lupa, cuai, lalai dan tidak terpedoman untuk bercakap benar. Maka susah untuk mencapai tahap muttaqiin jika tiada keikhlasan.

Apa kaitan dan maksud ‘ikhlas’ untuk membina satu perkongsian hidup yang ‘sakinah’?. Bagi lelaki, sedari lah bahawa isteri dan anak-anak itu adalah amanah dari Allah. Isteri itu harta yang benilai bagi seorang suami. Dialah yang mengurus rumah tangga, melahirkan anak, menjaga anak, berjaga malam, kesusahannya bersangatan dalam hal demikian. Bila kita kenal isteri kita, pasti kita dapat melihat kelemahan dan kekurangannya. Bertitik tolak dari inilah, kita dapat membantu dia. Apa makna perkongsian hidup jika seorang suami tidak dapat menjadi pelengkap bagi isteri?. Dengan semangat begini, membuka jalan ‘sakinah- ketenangan’ dalam keluarga. Isteri rasa di hargai, lebih-lebih bila suami dapat membantui.

Sebaliknya jika suami lepas tangan, tidak ikhlas, tidak boleh berkorban, sedang isteri ada keterbatasan, ada limit, bagaimana halnya untuk mencapai sebuah ketenangan. Bila berkahwin kerana Allah, lebih-lebih di rezekikan dengan anak, maka mereka adalah amanah.

Ibu mithali yang terpilih baru-baru ini, mendidik anak-anak di peringat permulaan adalah dengan agama, menjaga solatnya. Pendidikan akademik kemudiannya adalah nombor dua. Jadi bila inginkan keluarga yang sakinah, bermula memilih bakal pasangan adalah yang beragama. Kecantikan itu nombor dua. Boleh memilih yang cantik, tetapi hati juga kena cantik. Jika cantik tidak menenangkan hati, umpama bila kahwin, isteri asyik ingin membeli belah, bertukar perabut, hati suami akan merasa gundah, tidak tenteram. Berlainan dengan isteri yang memakai apa yang ada. Terima ketidak mampuan suaminya seadanya. Tenang suami begitu.

Bila melakukan sesuatu kerana Allah, hikmah faedahnya kembali kepada kita semula. Bahasa suami isteri yang lembut, bergelar-gelar, seperti orang tua-tua kampung memanggil ‘bapaknya.. mak nya..’ atau hari ini memanggil ‘sayang’.. semua itu mempertautkan kasih sayang. Bahasa memainkan peranan memupuk hati memberi rasa tenang di hati. Jadi lakukanlah kerana Allah. Bila berselisih, cepat-cepat bermaafan, bimbang jika tiba-tiba kematian datang, tidak sempat bermaafan. Sekurang-kurang jika berlaku sesuatu, pasangan kita pergi dengan tenang.

Bina rasa saling menghormati, berkasih sayang. Bila melahirkan zuriat kerana Allah, kita tidak akan menyalahkan yang lain, seperti TV, Internet, Majalah atau rakan sebaya yang merosakkan anak kita. Anak kita telah dibentengi dengan agama hasil didikan kita. Kitalah guru awal di rumah. Cikgu di sekolah. Ini di sebutkan

Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Bila mengahwinkan anak-anak, pastikan anak-anak telah ada persiapan dari segi agama. Bila niat tidak betul, maka itu yang hari ini kita berhadapan dengan kes cerai bila rumah tangga tunggang langgang, anak-anak yang menjadi mangsanya. Jadi peranan ibubapa sangat penting mendidik anak sejak kecil agar watak dan kelakuan serta peribadinya sebagai contoh apabila mereka membina rumah tangga pula. Pembinaan yang kukuh sejak kecil dengan di contohi teladan dari kita sebagai ibubapa, insyaAllah, mereka juga dapat meneruskan sebuah keluarga yang sakinah.

Asas yang penting juga dalam memiliki keluarga yang sakinah ialah, sumber rezeki yang halal. Bila seseorang mencari rezeki kerana Allah, pastinya untuk menyuap ke mulut isteri dan anak-anak, adalah rezeki yang jelas bersih dari segala sumber haram atau sebahagiannya haram. Jika seorang yang putar belit dalam kerja di lakukan, mengambil harta yang haram, baik melalui jalan rasuah, atau kecurangan dalam berjual beli, mana mungkin perkara salah dan haram begini bila mendarah daging dalam tubuh anak isteri dapat menghasilkan anak-anak yang baik dan bertaqwa. Jadi kita sendiri tahu, apa watak yang akan lahir dari pembentukan darah daging yang demikian.

Anak-anak yang degil, peribadi buruk, tingkah laku tidak elok, adalah hasil makanan yang tidak betul masuk ke tubuh mereka. Ramai ibubapa mengeluh, telah membelikan dan mengadakan macam-macam untuk anak, tapi anak masih tidak mendengar cakap juga. Pasti dan tentu ada puncanya. Sebab itulah Nabi s.a.w. sering memesankan, cari rezeki yang halal. Punca rezeki mesti di jaga. Wajib di jaga, agar jiwa menjadi tenang. Mana mungkin orang berbuat dosa jiwa akan tenang. Sebaliknya gelisah sentiasa. Umpama seorang peniaga mengatakan barang yang tak asli, itu asli. Barang yang tidak elok itu elok. Berapa ramai yang membeli. Bagaimana mungkin untuk meminta maaf kembali. Pastinya tiada ketenangan dalam hidup yang di jalani.

Itulah sebab, bila rezeki itu sudah jadi tidak halal, anak-anak akan menengking balik. Tidak terbentuk anak-anak yang berjiwa rukuk dan sujud, tentu ada puncanya. Hari ini, buang bayi, zina sudah tidak terkawal lagi, pasti ada puncanya. Jadi bila mencari rezeki kerana Allah, pastinya kita tidak menipu majikan. Peniaga tidak menipu dalam jualan. Yang memberi khidmat membayar atas keredhaan. Barulah hadirnya tenang, yakni ‘sakinah’ yang sangat kita harap-harapkan.

Semua ini diselesaikan dengan proses mendidik yang betul dan berhikmah. Rasul junjungan kita yang mulia juga mendidik isteri, anak, cucu dan masyarakatnya, dengan contoh teladan yang baik dari diri baginda. Baginda adalah ‘uswatun Hasanah’ , contoh terbaik. Jadi pada diri ibubapa itu adalah contoh pada anak-anaknya. Maka serulah dengan kebijaksanaan. Firman Allah:

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. Surah an-Nahl : 125

Penting pekerti dan tauladan yang baik. Rasul-rasul di utus kepada manusia kenapa? . Tidak lain menyempurnakan akhlak manusia. Nabi Lut di utus oleh Allah untuk mengatasi umat Nabi Nuh yang melampaui batas, mengajak kepada ‘sakinah’. Jadi sangat penting kita ingatkan anak-anak lelaki dan perempuan, lebih-lebih di asrama-asrama, jangan buat kerja-kerja berdosa besar seperti umat sebelum ini. Jangan melampaui batas. Bila melakukan perkara di luar fitrah manusia, buruk padahnya.

Anak-anak hari ini suka keluar rumah. Jika ibubapa tidak ambil kisah, bagi mereka itu satu kepastian perbuatan mereka betul. Bila orang lain tegur, mereka ada jawapan, bahawa ibubapa mereka sendiri tidak kisah. Keikhlasan kita membentuk anak, akan melahirkan ihsan dalam diri mereka. Mereka akan sentiasa takutkan Allah kerana merasa Allah ada melihat mereka.

Itulah pedomannya, bila terbentuk sebuah keluarga sakinah, guru yang sakinah, masyarakat seterusnya melahirkan umat yang sakinah. Bahkan umara’ dan ulama’ yang sakinah. Kita semua akan ditanyai oleh Allah atas didikan terhadap anak-anak ini, kerana ianya merupakan satu amanah buat diri kita semua sebagai ibubapa.

Sayangnya ramai yang tidak datang menuntut majlis ilmu, baik di masjid dan sebagainya. Jadi yang tidak tahu, tetap tidak tahu. Jika kekebalan beragama ini tidak dibina pada anak-anak, maka anak-anak akan keliru, cair, celaru, mengikut jalan-jalan salah. Jadi peranan kita sangat penting dalam hal ini. Sayangi mereka, mereka adalah harta yang sangat berguna kita tinggalkan di dunia bila hayat kita sudah berakhir. Anak yang soleh sahaja yang dapat mendoakan bagi kedua ibubapanya. Jadi, apa yang kalian hendak tinggalkan di dunia ini? Harta tanpa anak-anak yang soleh, bolehkah mendatangkan menafaat jika tanpa ilmu dan didikan dari jiwa yang sakinah?. Jiwa yang sakinah adalah asas untuk mereka memilih jalan-jalan benar dalam hidup mereka.

Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment