بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Hari ini ramai yang sanggup melakukan berbagai-bagai kezaliman kepada orang lain kerana sifat rakus dan tamak. Manusia tidak pernah merasa cukup kerana ramai di antaranya yang telah di serang dengan kuman tamak. Namun Allah berkuasa untuk mencukupkan segalanya. Allah juga berkuasa menahan rezeki seseorang. Begitulah.. Allah yang berkuasa mengatur kehidupan kita. Allah jualah yang memberi ketentuan pada diri kita. Allah sahaja. Tuhan kita adalah Tuhan yang sama yang membantu Nabi Ibrahim. Api yang mempunyai sifat panas dan membakar, menjadi sejuk dengan perintah Allah untuk menyatakan Allah yang memberi pertolongan kepada hamba-hambaNya yang dikehendaki. Jadi.. mintalah pada Allah, nescaya Allah akan perkenankan. Itu janji Allah.
Terharu juga mendengar cerita ustaz dalam kuliah Zohor tadi, sewaktu beliau dan beberapa sahabat ke Pakistan untuk membantu saudara islam yang di landa Tsunami sedikit masa dulu, sewaktu pulang, wang sudah tiada di saku. Penerbangan di batalkan atas masalah tertentu. Namun kehadiran seseorang yang entah dari mana datang menyewakan hotel, memberi makan dan membeli tiket pernerbangan pada keesokkannya melalui negeri lain. Hebat pertolongan Allah di saat-saat kesusahan ada jalan keluar. Begitulah.. sebenarnya begitulah, kehendak Allah bagi mereka yang bertaqwa, selalu ingat pada Allah setiap ketika, sentiasa memohon pertolongan Allah, sentiasa menjaga hukum hakam Allah. Saat kesusahan, Allah beri dan datangkan pertolongan dalam berbagai rupa dan bentuk. Sehingga terlupa ustaz dan kawan-kawannya meminta nombor telefon saudara yang memberi pertolongan tersebut.
Begitulah perjalanan hidup kita, kita tidak sempurna. Banyak perkara yang orang lain ada, tiada pada kita. Begitu pula sebaliknya. Kadang-kadang keperluan cukup, kasih sayang pula tiada. Kita ok, anak pula tidak ok. Berbagailah.. Maka bermohonlah kepada Allah memberi kita kecukupan. Kerana bila Allah memberi kecukupan kita akan sentiasa rasa cukup. Bila Allah tidak mahu memberi kecukupan itu yang kita rasa tidak cukup-cukup. Janji Allah itu, ada didunia dan ada juga di akhirat. Allah berfirman
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ آمَنُواْ وَاتَّقَوْاْ لَكَفَّرْنَا عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخَلْنَاهُمْ جَنَّاتِ النَّعِيمِ
Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertakwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka kedalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan. Dalam surah al-Maidah ayat 65
Benar janji Allah, siapa yang bertaqwa pasti ada jalan keluar. Sebesar mana masalah bila ada jalan keluar, masalah jadi kecil. Sebaliknya sekecil-kecil masalah, bila tiada jalan keluar, maka ianya akan menjadi besar. Ustaz mencontohkan daging kecil yang teselit di gigi. Bila ditarik-tarik tak keluar, tak menimbulkan rasa selesa, ditarik-tarik, bukan gusi sahaja sakit, tangan juga sakit. Bila gusi membengkak.. lagi sakit. Maka ianya jadi masalah besar bila terpaksa mencari doktor pula. Disitulah kita dapat melihat, masalah yang besar sekalipun, bila ada jalan keluar, kita akan rasa tenang. Sebaliknya masalah kecil yang tiada jalan keluar sangat memberatkan.
Bila mana seseorang yang suka mencuaikan hak Allah, bila dia menghadapi kesusahan.. maka Allah akan biarkan. Sedangkan bagi orang-orang bertaqwa, bila di timpa kesusahan, maka ada sahaja didatangkan bantuan oleh Allah s.w.t. Allah menjaganya. Ini yang sering kita dengar, dalam al-Quran juga disebutkan bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar.
Sabar berbeza dengan pasrah. Pasrah lebih menuju kepada putus asa. Pasrah ini, di hari pertama diuji tidak pernah bersabar. Sabar adalah kematangan hati dan pemikiran yang sering mengakui bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ini yang membuat dia akan semakin tenang. Dia yakin ada, walaupun masih belum nampak hikmah itu. mungkin dalam sehari dua, mungkin memakan bulan dan tahun. Apa sahaja yang berlaku bukan kebetulan. Ianya dalam pengetahuan dan ketentuan Allah s.w.t. Manalah tahu kata ustaz.. suatu hari kita ditaqdirkan jadi orang besar, sedang kita pernah di uji, diaibkan, ditentang, maka tatkala berlaku disaat itu kita akan menjadi orang yang tenang. Mungkin pernah suatu ketika kita ke tempat yang tidak pernah kita lalui, kita tersesat dan mundar mandir di situ. Suatu hari, kita ada urusan penting, ke suatu tempat, rupanya kita sudah mula teringat itulah tempat yang kita sesat 6 bulan dulu. Begitulah hikmah suatu perkara... mungkin dia akan datang 6 bulan kemudian.
Bila dosa banyak, kadang-kadang Allah beri penyakit yang berpanjangan, maka bila dia sabar, maka ianya menjadi penghapus dosa. Bila saat dia meninggal dia tersenyum. Rupa-rupanya dia nampak syurga yang ditontonkan oleh Allah s.w.t. Allahlah yang maha menyempurna dan mencukupkan. Lebih-lebih lagi kita sebagai manusia sangat mudah mendapat rezeki dari makhluk lain. Nyamuk contohnya, untuk mendapat makanan terpaksa menghadapi risiko mati di tangan kita atau semburan racun. Kadang-kadang tengah makan, di tepuk orang.. mati. Kadang-kadang dah kenyang, diburu hingga ke lubang silling yang terakhir.
Namun manusia jugalah yang mudah rasa tamak. Bila tamak... rezeki Allah tahan. Sedangkan bagi mereka yang bersyukur, Allah akan tambah rezekinya. Apa yang kita pakai hari ini, inilah rezeki kita hari ini. Apa yang kita makan hari ini, inilah rezeki kita hari ini. Ingatlah.. orang yang mulakan dengan tamak maka dia tidak akan merasa cukup. Allah lah yang tunaikan hajat pada apa yang kita kehendaki. Maka banyakkan minta pada Allah. Khususkan permintaan. Doa yang umum adalah baik. Namun yang khusus lagi baik. Bila kita telah memulakan minta dengan Allah, maka barulah kita beralih pada manusia dengan menyatakan hasrat tersebut. Namun kebanyakkan kita hari ini, mencari manusia terlebih dahulu. Seolah manusia itu yang akan menunaikan hajatnya. Sedangkan Allah lah sebenar-benar yang menunaikan hajat seseorang hamba itu.
Sebagai insan yang besyukur atas segala nikmat dan kurniaan Allah, maka yakinlah dengan taqwa kita akan sentiasa bersama Allah. Allah menjanjikan kebaikan yang tersangat banyak bagi mereka-mereka yang bertaqwa. Allah lah yang menyempurnakan segala kehendak dan hajat kita. Dengan kata lain, Allah lah yang mencukupkan kita.
Allahu a'lam.