Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Saturday, February 12, 2011

BUKAN PERKARA KECIL

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Kebersihan hati sangat dituntut dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari. Sayangnya masih ramai lagi yang suka melihat dan mendengar khabar-khabar yang entah kan ia, entahkan tidak. Masih!.. Keseronokan menyebut hal orang itu dan ini, bahkan membuat kesimpulan begini dan begitu terhadap seseorang. Itulah satu sikap yang tidak patut ada pada sesiapa jua.

Lebih-lebih perkara yang dicerita itu tidak pernah kita tahu, tidak pernah kita tonton. Keaiban saudara kita, memang ramai yang suka mendengarnya. Namun bagaimana jika keaiban kita yang terbuka atau diketahui orang.

Manusia tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Orang yang paling baik ialah orang yang menyedari telah melakukan kesilapan, lantas segera melakukan taubat kepada Allah.


"Seluruh kalian adalah pembuat salah dan dosa, dan orang yang berdosa yang paling baik adalah mereka yang sering bertaubat". Hadits ini diriwayatkan oleh Ahmad dan lainnya dari Anas.


Sayangnya perkara yang dipandang besar disisi Allah di pandang kecil dengan mudah. Dosa mengata orang, adalah sangat besar disisi Tuhan. Tidak tertebus dosa tersebut melainkan Allah menyerahkan kepada mereka yang dizalimkan. Ini adalah dosa terhadap anak adam. Takuti lah doa orang-orang yang dizalimkan. Dalam membicarakan hadith-hadith Nabi s.a.w. sering kita diingatkan oleh Ustaz bahawa,

"Takutlah olehmu akan doa orang - orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah swt tiada hijab ( halangan)"


Mengata orang, mengaibkan orang, dan mengumpat orang adalah dosa besar yang tidak mudah terlepas begitu sahaja kerana ianya melibatkan kezaliman pada seseorang anak adam. Namun begitu sedap pada sesetengah orang untuk mengatakan.

Rata-rata ianya melibatkan hati insan. Bila hati seseorang suka melihat kejatuhan orang lain, melihat keaiban orang, itu tandanya hati itu ada masalah. Bila bertambah suka bila ianya diketahui orang banyak dan diwar-warkan lagi, itu menandakan hati itu tersangat bermasalah dan ianya dikategorikan hati yang ada penyakit.

Hiduplah dengan hati yang putih bersih. Hati yang dipenuhi dengan nilai mazmumah perlu dihindari sejauh-jauhnya, dimana hati tersebut, memang tidak akan senang melihat orang senang. Dan suka melihat orang susah. Namun sebaliknya pula, hati ini telah hilang sebuah nilai ketenangan. Melainkan ianya digantikan dengan hati yang bersifat mahmudah. Sayangi saudara seislam kita sebagaimana kita menyanyangi diri kita sendiri. Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment