Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Sunday, February 13, 2011

BERGADAI FIKRAH KERANA MEREKA..?

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Pergaulan yang tidak ditapis akan menyebabkan seseorang bergaul dengan orang yang salah. Jika rakan-rakan yang dipilih adalah rakan-rakan yang tidak menjaga solat, pengaruh maksiat tersebut kemungkinan akan menyebabkan terikut dengan ajakan dan kemahuan mereka kesana kemari dengan melalai atau meninggalkan solat. Mungkin juga melakukan kejahatan yang lain. Secara tak langsung mereka akan melakukannya kerana tidak mahu dikatakan tidak sehaluan dengan mereka. Sangat mendukacitakan jika terpaksa dipasangkan dengan mereka jika melibatkan urusan kerja.

Ramai yang sanggup dan rela, demi orang lain sanggup mengorbankan dan mengotori urusan akhiratnya. Sungguh berdosa sikap seperti ini. Jika tidak mengikut mereka, mereka akan membenci dan menganggunya. Malah mereka akan mengata kepadanya. Mereka mencemuh dirinya, hingga terganggu urusan dunianya. Semua ini akan menghilangkan ketenteraman. Lantaran, bila sudah berkawan dengan mereka, terpaksakah mengikut rentak mereka..?

Sebaliknya, perkara ini pula akan menimbulkan masalah baru dan dia akan jatuh ke kancah kejahatan. Apalah diharap pada kawan sebegini. Kalau mereka memujipun, bukan layak bagi manusia menerima pujian, bahkan akan mendatangkan rasa bangga diri dan sombong. Walhal orang-orang sebegini, di depan biasa memuji, sedang di belakang bersikap mengeji.

Seandainya mereka menghina secara terang-terangan pula, pasti dia akan bersedih dan berduka cita. Kemungkinan sekurang-kurang akan marah, tetapi marah bukan kerana Allah. Marahnya kerana nafsu. Semua reaksi ini sangat membinasakan.

Perlulah di ingat, bila kita mati, orang-orang sebegini akan melupakan kita, berlainan jika mempunyai sahabat yang soleh. Meskipun dulu mereka baik, kemungkinan atas satu-satu sebab yang memberi kepentingan kepada mereka. Perlu di sedari, yang sentiasa berhadapan dengan mereka dan kita adalah Allah s.w.t. Allah tetap bersama dan sentiasa bersama kita. Adalah merupakan satu kerugian bagi mereka yang menghabiskan masa pada yang lagha dan kawan-kawan yang melaghakan. Lebih-lebih mereka meninggalkan ibadat kepada Allah. Mereka tidak menjaga pakaian yang sebetulnya, mereka tidak menjaga waktu solat sebaiknya, malahan merasa biasa sahaja meninggalkan solat sedangkan waktu solat itu berlalu begitu sahaja tanpa disusuli rasa salah pada mereka. Masih ketawa.

Segala urusan adalah semata kepada Allah. Keperluan kita semua juga datang dari pada Allah. Bukan dari manusia. Seharusnya dalam setiap perkara kita berserah diri dan menunaikan hak-hak Allah. Demikian juga segala perlindungan dan rezeki dari Allah bukan dari manusia. Sayangnya ada yang sanggup meninggalkan segala-gala hak Allah demi kerana orang lain.

Inilah yang sebenarnya berlaku, dan memang nyata berlaku. Sedih melihat ada yang sanggup meninggalkan solat semata-mata urusan dunia yang mengisi perut. Ada yang meninggalkan pakaian menutup aurat yang betul semata-mata dengan alasan mudah melangkah kesana kemari dalam urusan. Sedih suasana ini. Bila mereka merasakan kehadiran kita menganggu mereka, mereka akan mengata kepada kita. Mereka memberi riak muka yang merimaskan pada kita. Namun, inilah yang diibaratkan, untuk mengekalkan diri dalam pengawasan Allah, memang kita perlu bagai mengenggam bara api di akhir zaman ini. Namun, kita perlu istiqamah melakukan, kerana Allah adalah segala-galanya buat kita yang bergelar hambaNya.

Ya .. Allah, berilah kekuatan pada diri kami yang ingin sentiasa berada di jalanMu. Bantulah kami dalam menghadapi suasana yang cukup menguji keupayaan kami. Meskipun kami terpaksa bersendiri dalam menegakkan agamaMu, kami rela.. kerana kami tetap mengharap keredhaanMu ya Allah..
Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment