Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Tuesday, November 23, 2010

KEINGKARAN YANG BESAR

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Tidak solat adalah satu keingkaran besar yang di pandang kecil oleh sesetengah orang. Hidup orang yang tidak solat sentiasa gelisah tidak keruan. Segala yang dibuat tidak menjadi. Bahkan yang di nampak sentiasa adalah silap orang. Kerap pula menyalahkan keadaan. Hanya yang di keluh kesahkan, kenapa... kenapa..kenapa...

Untuk mencermin diri, mengkaji diri, tidak sekali. Tidak nampak bala Allah yang sedang berlaku dalam diri. Tatkala segala dibuat tidak menjadi. Itulah yang sering berlaku dewasa ini. Banyak Orang tidak lagi memandang solat satu tanggung jawab yang perlu di pikul oleh orang yang beriman. Alasan sibuk, tiada masa, nak layan pelangan atau penumpang sering digunakan untuk membenarkan diri melakukan kemungkaran dan kemaksiatan besar tersebut.

Bukanlah solat itu jika tidak didirikan akan merugikan Allah. Tidak sama sekali. Allah tidak terjejas dengan keingkaran demikian. Solat yang khusyuk meraih nilai sebuah ketaqwaan yang hakiki. Orang yang taqwa sering mendapat pertolongan dan rezeki dari Allah dari arah yang tidak di sangka-sangka.

Ramai yang merasa dengan usaha mereka, sudah cukup untuk mereka menjana keuntungan yang berlipat ganda. Walhal kejatuhan yang sering sampai terlebih dahulu, tidak juga menyedarkan mereka yang buta hati , dari memandang betapa penting nilai sebuah ketaqwaan untuk mendapat peliharaan Allah dalam segala hal. Baik di bidang pekerjaan atau perniagaan, baik memperoleh kesihatan dan berbagai perkara yang berkaitan dengan kehidupan.

Solat adalah tiang agama. Tanpa tiang rumah akan runtuh bila-bila masa..
Allahu a'lam.

Monday, November 22, 2010

ADUHAI ANAK.... SEDAR LAH !

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Betapa pedihnya hati seorang ibu atau ayah, bila mana anak yang dididik dengan sepenuh kasih sayang dan rasa tanggung jawab, sanggup melukakan dan menghancurkan harapan murni kedua orang tuanya. Bila mereka sanggup berkasar, menengking, buat tak tahu bila di perintahkan kepada perkara-perkara baik, alangkah hancur hati seorang yang telah membesar dan mendidik mereka hinggalah mereka seperti adanya sekarang.

Bila ini yang dilakukan bermakna anak tersebut telah mendurhakai ibu bapanya, bahkan telah melakukan maksiat yang merupakan dosa besar. Anak yang menderhakai ibu bapanya akan ditolak segala amalannya selagi anak itu tidak meminta ampun dan keredhaan dari ibu bapa mereka.

Sabda Rasulullah SAW di atas jelas membuktikan bahawa menderhakai ibu bapa adalah amalan yang dimurkai oleh Allah SWT. Allah tidak akan merestui anak-anak yang derhaka.


Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Thabrani :

“Dua kejahatan yang dibalas oleh Allah di dunia ini iaitu zina dan derhaka kepada ibu bapa.”

Bayangkan betapa hancur hati seorang ibu atau ayah, bila mana sedari kecil anak itu di didik dan di asuh dengan penuh rasa tanggung jawab, bila mereka besar mereka di harapkan mengikut jalan-jalan agama, lantas atas pengaruh jahat anasir buruk hari ini, anak sanggup menolak berada di jalan agama. Sanggup memilih kehidupan lagha yang tidak langsung menjamin keredhaan Allah, kerana jalan-jalan tersebut sangat melalaikan, bahkan mendorong melakukan perkara-perkara yang haram seperti percampuran lelaki perempuan, berseluar dan berbaju ketat bagi perempuan, berambut tegak bagi lelaki, berantai leher dan sebagainya. Semua anasir buruk ini membarah menular pantas dalam perjalanan hidup yang mereka pilih.

Aduhai anak... betapa kamu sanggup menentang seorang ayah atau ibu yang inginkan kamu menjaga waktu solat, menginginkan kamu istiqamah dalam jalan dan perbuatan sunnah Rasulullah s.a.w., kerana Rasulullah s.a.w. itulah "Uswatun Hasanah" contoh terbaik bagi setiap umat. Sayang sekali, mata kamu di butakan oleh tarikan dunia, yang pasti jauh sekali dari sifat mereka yang menyintai Rasul yang mulia.

Kamu sanggup menitiskan air mata orang tua, kamu sanggup menghiris-hiris pedih hatinya, kamu sanggup menengkingnya, kamu sanggup bertengkar dengannya, kamu sanggup membiar dia berbicara berseorang sedang kamu buat pekak teliga. Beginikah nilai seorang anak yang dilahir dan dijagai dari tapak kaki sekecil dan kurang dari 2 jari. Pedih hati ibu dan ayah mu, atas perbuatan kamu..

Bila kamu sakit mereka bergegas mencari ubat, berdoa mengharap kamu sembuh. Bila kamu jauh datang mereka menjengah kamu, dengan kewangan yang usah ceritalah banyaknya yang perlu di keluarkan, bila resah berganda resah mereka. Namun ini balasan kamu wahai anak-anak. ..

Cubalah kamu tanya diri kamu, bercakap dengan hati kecil kamu, kemana kamu hendak pergi selepas ini. Adakah kawan-kawan kamu yang hidup 'happy go lucky' itu akan 'happy' juga di sana nanti. Tidakkan kamu anak-anak, tergambar sakitnya siksa kubur, azab neraka...? Tidakkan kamu takut, di masukkan dalam kubur dalam keadaan berdosa.. Apakah kamu tidak rasa yang kamu itu akan mati...!!!

Dan tahukah kamu, mereka yang berdosa dengan orang tua, jiwa tidak pernah tenang, azab di jiwa pun tidak tertahan, jalan-jalan kehidupan melalui kesukaran.. apakah masih kamu nafikan dan menolak dengan berbagai andaian... silap kamu... sebenarnya kamu menipu diri kamu sendiri.. jiwa kamu tidak tenang. Kegelapan hati kamu merimaskan. Fikiran kamu bekecamukkan. Padah... padah yang berat jika ini berterusan hinggalah nyawa kamu kian di keluarkan dari jasad dan badan.

Aduhai anak... carilah jalan-jalan keredhaan Allah. Ruang taubat terbuka luas. Tak ke mananya kamu mengilai suasana tipu daya yang dilakukan oleh banyak remaja. Kamu perlu ada jati diri , jati diri yang kukuh dan tak berganjak lagi di hati... itulah nilai iman dan ketaqwaan yang hakiki.

Kembalilah aduhai anak... kembali ke jalan Tuhan mu yang menjadikan, yang memberi rezeki dan kehidupan.. kembalilah ke dalam kasih sayang Allah yang maha Tinggi, kembalilah wahai anak-anak yang di kasihi...

Pasti suatu hari kamu akan merasa nikmatnya kehidupan ini, dalam kerahmatan Allah yang maha pengasih lagi maha penyanyang.

Allahu a'lam.

Sunday, November 21, 2010

TIDAK SERIK

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Banyak sudah kita mendengar tragedi yang mengeri dan menakutkan. Tidak kurang yang berkata, bagai kiamat yang di rasa. Baik Tsunami yang mengorbankan ribuan jiwa, ribut taufan, banjir besar hingga tenggelam rumah. Saat itu derita sungguh bagi yang merasa. Terasa nikmat hilang serta merta. Baik yang mengalami atau yang melihat sama.

Kesedaran yang sebentar, konsert-konsert hiburan di batalkan, keinsafan kian datang. Sayang sekali, ianya tidak lama. Sebaik ianya kian di lupakan, segala pentas dunia mereka bermula semula. Hiburan melata, kelab malam tumbuh bagai cendawan, anak sampah, anak longkang, anak tandas kian bersepah membawa panah kemungkaran.

Sayang sekali, masih lagi ramai ibubapa yang boleh senyum apabila anak gadis di cium tunang di depan rumah, anak gadis diusung ke sana kemari oleh lelaki di depan mata sendiri, anak gadis pakaian bagi dibalut nangka, padat melekat. Anak gadis di sandingkan bergambar bersama di majlis pertunangan.. sang isteri bergaya di majlis-majlis dengan sewenang-wenang mendedahkan dada di depan khalayak, beraninya ibubapa dan suami begini ye..

Tidak kurang ibubapa merasa 'tension' apabila anak gagal dalam peperiksaan, ibubapa sanggup bercuti memberi sepenuh sokongan anak menghadapi peperiksaan, yang baginya demi masa depan. Apakah pandangan masa depan pada pemikiran kalian..?. Hanya cukup bila berjawatan yang diidamkan..? Sedangkan anak tewas di bidang keagamaan.. Sedang anak-anak yang dididik dengan agama pun kecundang dibelakang ibubapa. Inikan anak-anak yang di didik semata-mata mengutamakan perkara-perkara demikian.

Ibubapa seolah memberi lesen, anak belajar lelaki perempuan, asalkan di depan mereka. Selama mana, mereka sentiasa di depan kalian. Pakaian menutup aurat pula, menurut prasangka hari ini sangat keterlaluan. Bukan mengikut apa yang ditetapkan oleh al-Quran. Mereka bebas berjalan di depan ibubapa dengan pakaian demikian. Hanya menutup kepala, sedang terbonjol bentuk "body" nya. Sangat-sangat mendukacitakan.

Bila anak-anak ini bersuami, mereka bebas lagi bekebaya, mempamir bentuk badan, berhias juga apabila ke pejabat atau berjalan. Bebas memakai tudung di atas dada, yang memperlihatkan apa yang ada. Tidak sedikit di rasa, di tanya, samada pakaian tersebut, adakah ini yang dituntut di dalam agama. Apakah pakaian ini, kerana perintah Allah menjaga maruah seorang wanita..?.. Berpunca dari didikan ibubapa, lesen kebenaran dari ibubapa, semakin dewasa , semakin berani mereka..

Merenungi nasihat dibawah, betapa pentingnya adab mulia dari segala-galanya..

Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia." Riwayat At-Termidzi.

Bertitik tolak dari ini, maka setiap ibubapa perlu memainkan peranan seawalnya membimbing anak-anak. Akhlak terpuji perlu di tanamkan mengikut panduan agama yang diajarkan, . Banyak ayat al-Quran dan saranan Rasulullah s.a.w. dalam hadith-hadithnya untuk menjadi panduan kepada kita semua. Setiap perjuangan dalam memperbaiki amalan dengan niat yang sebenar-benar ikhlas mencari ridha Allah, akan di bantu oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya pertolongan Allah itu sentiasa.

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Orang Yang Berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memahami kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (petolongan dan bantuan) Allah bersama orang yang berusaha membaiki amalannya." Surah Al-Ankabut : 69.

Namun apa yang mendukacitakan, ramai yang terleka dengan kehidupan di dunia. Mereka menyangka dan mengharap-harap Allah mengampunkan dan memberi syurga pada mereka, walhal jalan-jalan yang diikuti adalah jalan-jalan yang Allah murka. Bahkan mereka merasa selesa dan tidak serik, semakin hari semakin kuat keingkaran mereka. Sememangnya hari ini, sukar untuk kita menjangka berbagai peringatan di turunkan oleh Allah manusia masih lagi terleka. Sememangnya manusia sangat ramai yang derhaka kepada Allah s.w.t. Akibat perbuatan mereka, berbagai bala bencana dan kejutan yang membinasa yang menimpa kita semua. Firman Allah..

فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُواْ بِمَا أُوتُواْ أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

"Kemudian apabila mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, Kami pun melimpahkan semua pintu kemewahan dan kesenangan kepada mereka sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)." Surah Al-An'am : 44

Sedarlah wahai manusia....

Saturday, November 20, 2010

HARI LAHIR KU..

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Hari ini meningkat lagi usiaku.. begitu cepat masa berlalu. Teringat waktu kecil ku betapa melihat kesusahan ibu. Ya... hari lahir sebenarnya adalah ucapan untuk seorang ibu. Ibu yang melahirkan kita dengan segala susah payahnya. Ibu dan ayahlah yang layak menerima ucapan doa dari anaknya.

Semakin lama hidup, semakin banyak yang dilalui, pasti hidup tidak terlepas dari kelalaian dan kesilapan, mungkin juga dosa yang di undang. Nauzubillah. Ya.. Allah rahmatilah usiaku dengan bertambah baiknya amalanku.

Moga baki umur yang masih ada, mendapat pertolongan Allah untuk sentiasa istiqamah di jalanNya.

Rasulullah SAW:

المؤمن عبد بين مخافتين من ذنب قد مضى لا يدري ما يصنع الله فيه ومن عمر قد بقي لا يدري ماذا يصيب فيه من الهلكات

(Orang Mukmin hamba antara dua yang menakutkan. Antara dosa yang telah berlalu, ia tidak tahu apakah yang akan dilakukan oleh Allah padanya (hukuman). Dan antara umur yang masih berbaki yang ia tidak tahu apakah yang menimpa padanya dari kebinasaan). (Kitab al-Zuhd. Ibn Mubarak. Hal. 102 No. hadith 304)

Ya Allah.. berkatilah usia yang engkau anugerahkan kepadaku. Amiin..

HAI... JIWA YANG TENANG

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ # ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً

Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Surah al-Fajr : 27-28

Hari ini, ramai insan sudah tidak tenang lagi. Walaupun mempunyai jawatan besar, rumah besar, kereta besar.. namun hati tidak juga merasa tenang. Ada sahaja yang tidak kena. Pastinya ada sesuatu yang menganggu jiwa. Tidak di nafikan dosa-dosa yang saban hari dibuat, akan membuatkan ketenangan tersebut sukar di dapat. Ini kerana, setiap dosa itu, pasti meninggalkan kesan kepada pembuatnya. Kerana perkara salah, pasti kita dapat merasakan ianya suatu kesalahan. Namun keegoan yang membuatkan kita buat-buat lupakan, lantas.. hati itu yang tidak tenang..

Melalui e-mel seorang kawan, marilah kita berkongsi serba sedikit yang boleh kita ambil kemenafaatan sebahagian perkara-perkara yang membuat hati kita tidak tenang dan terteram.

9 SEBAB-SEBAB HATI TIDAK BAHAGIA

Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.

2. Pendendam tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung...

3. Hasad dengki - amalannya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat keiblisan.

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya.. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..-derma) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui manusia

5. Tamak orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut...walau berapa banyak yg diminum tetap tak habis jugak...lagipun orang tamak selalu rugi.. ** Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak-banyakanlah bersabar bila hadapi dugaan..

7... Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang.. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

8. Riak terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun-lakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. -Allah marah kalau kita riak..takabbur dengan apa yang kita ada..

9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, ...dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah... Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Kesimpulan dapat kita simpulan bahawa yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dan lain-lainnya. tetapi ialah MAZMUMMAH.

Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak BAHAGIA. Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. maka..sama-samalah kita sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain.... semoga perkongsian ini ada menafaatnya untuk mejadikan jiwa kita tenang tenteram bertemu dengan Allah s.w.t suatu hari nanti.

Allahu a'lam.

Friday, November 19, 2010

DOSA BESAR


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dosa tidak melepaskan seseorang dari azab, baik kecil, apatah lagi dosa besar. Sangat penting kita bersegera dan memperbanyakkan bertaubat dan beristiqfar memandangkan kita sebagai manusia tidak lepas dari melakukan berbagai kesilapan. Kealpaan kita bermohon keampunan dan mendapat rahmat Allah akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat lari dari azab Allah. Nauzubillah.

Azab adalah perkara baik yang telah banyak diceritakan keadaan ngerinya dalam al-Quran dan Hadis. Jika masih lagi seseorang tidak merasa ketakutan dengan ancaman tersebut, di bimbangi Allah telah mengunci mati hati mereka kerana kedegilan mereka untuk kembali kepada kehidupan yang fitrah.

Diantara dosa-dosa besar yang perlu kita tahu, ialah

Pertama : MENINGGALKAN SOLAT LIMA WAKTU

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Solat itu adalah tiang agama. Maka sesiapa yang mendirikannya , sesungguhnya ia menegakkan Agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya ia telah merobohkan Agamanya.”

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud:
“Bermula orang yang meninggalkan solat pada hal ia dalam keadaan sihat, maka Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan rahmat, dan baginya kelak azab yang amat hebat melainkan kalau ia bertaubat dari perbuatannya itu”


Kedua : MENDERHAKA KEPADA KEDUA IBU BAPA :

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredhan), maka sesungguhnya ia membuat redha Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”. (Hadis riyawat Imam Bukhari )

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“ Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”(Hadis riwayat Anas bin Malik)


Ketiga : MEMINUM ARAK

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Empat ( macam manusia) tidak Allah masukkan mereka itu ke Syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak , pemakan riba’ , menzalimi (memakan) harta anak yatim dengan tidak hak dan derhaka pada ibu atau bapa.” (Hadis riwayat Al-Hakim)


Keempat : MELAKUKAN ZINA :

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“ Dan janganlah kamu mendekati zina , sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al- Israa’ ayat 32)”

LUPA DIRI

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Manusia kian lupa mempergunakan segala nikmat yang di anugerahkan oleh Allah pada jalan yang sebenarnya. Bila Allah memberi kurniaan kekayaan dan harta, juga kesihatan, mereka lupa menunaikan bersegera hak Allah. Saat mereka berniaga dan berusaha, mereka lengahkan solat, bahkan ada yang tidak solat. Bila mereka tewas dalam perniagaan, mereka menyalahkan orang lain. Bila mereka di belit hutang, mereka salahkan orang yang tidak memahami keadaan. Dalam saat Allah beri kelapangan, kesihatan mereka lupa Allah. Mereka lalai mengejar harta dan kekayaan. Mereka menyangka, dengan berusaha sekuat tenaga hingga lupa bersegera bermohon pertolongan pada Allah, bertawakal kepada Allah, mengharap rahmat dari Allah, mereka rasa mereka akan Berjaya. Jauh sama sekali, sangat jauh dari pertolongan Allah. Jika mereka Berjaya sekalipun di peringkat awal, pastinya mereka akan gagal akhirnya, bila hak-hak Allah di abaikan.

Walhal, segala pengabdian dan penyerahan seseorang kepada Allah, adalah untuk kepentingan diri mereka sendiri. Manusia sungguh mudah lupa diri. Firman Allah dalam surah al-Balad

8. (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) -

9. Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?

Allah mengingatkan manusia dalam ayat 8 dan 9 dalam surah al balad bahawa segala nikmat yang besar-besar seperti kurniaan dua mata, lidah dan bibir merupakan kurniaan Allah sebagai bukti kekuasaan dan kekayaanNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis qudsi yang maksudnya, “ Allah berfirman: Hai anak Adam, Aku telah memberimu nikmat yang amat banyak, engkau tidak akan dapat menghitungnya dan mensyukurinya. Dua mata untuk engkau melihat dengannya dan aku beri tutup maka gunakan untuk melihat benda yang Aku halalkan dan apabila engkau melihat benda yang Aku haramkan maka tutuplah matamu. Juga Aku beri lidah kepadamu, juga Aku beri alat penutupnya, maka gunakannya untuk mengucapkan apa yang Aku perintahkan dan halalkan bagimu, jika ada sesuatu yang aku haramkan maka tutuplah rapat-rapat lidahmu, juga aku berikan kepadamu kemaluan dan Aku beri tutup, maka pergunakanlah kemaluanmu itu untuk apa yang Aku halalkan dan jika ada sesuatu yang Aku haramkan maka tutuplah. Hai anak Adam, engkau tidak sanggup menanggung murkaKu dan tidak kuat menerima seksa pembalasanKu.”

Allahu a’lam.

Thursday, November 18, 2010

PERTEMUAN DI DALAM KOMUTER

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Kali pertama naik komuter pulang kerja pada 16hb. Nov, sejak mula bertugas di Shah Alam 8 November, 2010 lepas sangat-sangat menguji kesabaran. Sebaik di hantar adik ke stesyen di Seksyen 19, waktu itu jam menunjukkan 5.30 petang, boss beri balik awal sikit, sempena raya eidil Adha esoknya, dapat ana melihat suasana mereka yang baru balik kerja. Dengan berbagai telatah. Makin lama, makin ramai yang menanti komuter. Apa yang ana perhatikan, ada nampak kegusaran beberapa orang, tak kurang yang menalipon mungkin orang yang menunggu mereka di stesyen lain. sebaik pengumuman bahawa komuter masih belum bergerak dari Pelabuhan kelang, barulah ana faham, hari tersebut adalah hari di mana jadual perjalanan komuter terganggu.

3 komuter berlepas ke Pelabuhan Kelang, namun komuter menghala Batu Caves, masih tak sampai-sampai. Penumpang sudah cukup ramai, pastinya bertambah ramai di setiap stesyen. Sebaik komuter sampai 6.39 petang, masing-masing meluru masuk. Bersesak-sesak sekali. Dari setiap stesyen ke satu stesyen, ramai yang tidak dapat masuk. Berbagai runggutan dan jeritan di dengar. Masing-masing melepas marah, minta yang dalam masuk dengan mengatakan mereka dah tunggu cukup lama. Begitulah...., nak bergerak pun tidak boleh. Memang sesak sungguh.

Ana serik dengan suasana tersebut, kerana waktu maghrib telah masuk. Ana sangat gusar sekali. Jangkaan ana, paling lewat, jam 7.15 dah sampai ke Sentul. Ana gelisah, kerana jarang sekali ana solat lewat. Sebaik azan, ana pasti solat. Mahu tidak mahu, dalam diam ana solat menghormati waktu. Syukurlah ana masuk ruang tengah komuter, yang telah diumumkan di khaskan pada perempuan. Namun adalah beberapa lelaki yang sempat menyelit di ruangan pintu tersebut.

Satu peristiwa yang membuat ana terkenang-kenang, sebaik ramai yang turun di stesyen KL central, ana dapat tempat duduk. Kemudian, duduk seorang perempuan India di sebelah ana. Dia berbahasa Inggeris menegur ana. Ana bertanya, boleh berbahasa Malaysia. Dia pun fasih berbahasa Malaysia. Lantas, cerita punya cerita, beliau percaya, bahawa Tuhan adalah satu. Dia percaya, selalu mengharap Tuhan tolong. Beliau juga bercerita pernah ke India dengan ibunya, sewaktu ibunya belum meninggal dunia, pergi ke tempat orang Islam sembahyang. Dia kata ada bawa Quran balik.

Bila dia bertanya ana, kenapa ana nampak cemas, ana kata ana memikirkan tentang solat. Lantas dia berkata, di Sentul banyak Masjid. Saya rasa awak sempat sembahyang. Begitu banyak pengetahuan dia, ana berkata padanya, di mana ana mengharapkan suatu hari dia benar-benar boleh menerima hakikat Tuhan kita adalah Allah. Cukup dengan berkata " Tiada Tuhan melainkan Allah" ana sebut dalam lafaz arab, sekiranya di taqdirkan mati, maka tiada dosa, putih bersih seperti kapas. Dosa-dosa sebelumnya di ampunkan Allah. Ana juga berpesan, carilah, kajilah islam melalui kajian dan maklumat yang benar. Jika melihat, bangsa melayu hari ini, pasti anda tidak dapat melihat kecantikan dan kebenaran islam. Ramai orang melayu tidak mengikut ajaran islam. Tetapi, islam adalah sangat indah, islam adalah agama untuk semua bangsa.

Beliau mengakui, katanya, perangai orang melayu sekarang banyak yang teruk. Pertemuan sebentar di dalam komuter, meninggalkan kesan di hati ana. Sewaktu ana ingin turun di komuter sentul, beliau menghulur tangan bersalaman. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya untuk mengenali islam yang suci dan penyelamat umat manusia. Tiada Tuhan melainkan Allah.

PENGORBANAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Pengorbanan perasaan oleh Nabi Ibrahim a.s dan pengorbanan Nabi Ismail a.s, membuktikan kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada Allah. Sayangnya hari ini, anak-anak tidak lagi patuh dengan suruhan baik ibubapa, apatah lagi perintah Allah. Contoh mereka adalah puak-puak kufar iaitu puak yang dijanjikan neraka berkekalan oleh Allah.

Sedih bila mereka tidak merasa malu mengikut gaya dan kehidupan orang-orang barat. Bahkan banyak di keliling mereka contoh-contoh yang baik dari pakaian sunnah walaupun tidak keseluruhan. Inikah umat yang di katakan menyintai Rasululullah s.a.w. Mereka yang mengaku cinta, tetapi adalah dusta.

Nilai cinta mudah di mengerti. Secara mudah, seseorang yang mencintai seseorang akan berbuat apa sahaja untuk orang yang dicintai. Namun kecintaan umat manusia hari ini terhadap Rasulullah s.a.w adalah dusta sama sekali. Apa yang di sarankan oleh Nabi s.a.w. tidak di ikuti. Sebaliknya mereka mengikut contoh-contoh orang glamour dari puak kufar dan juga puak-puak yang banyak menentang hukum Allah. Model mereka adalah orang barat dan artis-artis yang tidak pun dapat menjaga aurat.

Memang benar, kesudahan mereka kita tidak tahu. Tapi sekarang kita tahu, perbuatan itu adalah bertentangan dengan hukum Allah, maka sekarang jangan ikut. Jika suatu hari mereka insaf dan kembali bertaubat dan memulakan hidup sepenuhnya dengan cara hidup islam, saat itu boleh di ikut.

Orang beriman seharusnya malu untuk melanggar hukum Allah dan ajaran dari Rasulullah s.a.w. Akhlak yang baik dalam keperibadian muslim tidak banyak yang dapat mempertahankan. Sayang sekali sukar kita melihat kepatuhan seperti Khadijah r.a.h. bilal, dan sahabat Nabi s.a.w. yang lain juga ketaatan yang tidak berbelah bagi seperti Nabi Ismail a.s. Sedangkan tidak kira siapa anda, ada lah hamba Allah yang sepatutnya taat kepada perintah Allah dan rasul.

Allahu a'lam.

Saturday, November 13, 2010

RAHMAT ALLAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Membahaskan kitab Bahrul mazi jilid 18, ms 109. Ustaz Shamsuri menerangkan bahawa orang yang beriman akan masuk syurga walau sedikit iman sekalipun. Kita sekarang beriman kepada Allah s.w.t. Kita juga mengetahui bahawa Rukun iman ada 6. Sekiranya seseorang menolak satu sahaja bermakna tidak beriman lah ia. Rukun iman Tidak lah ianya mengikut kaedah kira-kira atau matematik. Mesti tidak boleh tidak seseorang itu beriman kepada ke enam-enam rukun tersebut. Jadi, Kalau ada sedikit sahaja iman, akan masuk syurga lah seseorang itu. Walau seberat zarah sekalipun. Pokok pangkalnya harus Percaya, tapi sekiranya seseorang itu meninggalkan solat. Kalau di Tanya tak takut ker dengan siksa Allah. Jawapannya Takut…. tapi tak dapat kawal diri, sebab malas. Selagi mana beriman dengan Allah ada rahmat Allah. Akhirnya masuk syurga setelah di balas dengan siksa neraka. Namun janganlah sewenang-wenang meninggalkan solat. Dosanya tersangat besar, azab Allah tersangat pedih.

Dalil yang mengatakan seorang itu pasti masuk syurga akhirnya walau ada sebesar zarah iman, di petik dari sebuah hadis Nabi s.a.w.

Hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Said Al- Khudri juga ada menyebut bahawa mereka yang ke syurga dan neraka akan kesana apabila sampai waktunya. Tapi mereka yang ke neraka dan kemudiannya dinilai mempunyai keimanan walau sebesar zarah sekalipun maka Allah akan mengeluarkannya dari neraka dan memaasukkannya ke syurga. [Shahih Bukhari, V1 Buku 1, hadis 21]

Jelas di sini bahawa sekiranya, dalam hati ada sebesar zarah dari iman. Setelah di siksa dalam api neraka, ada peluang seseorang yang beriman itu untuk masuk syurga. Sahabat keluarkan dalil, bahawasanya Allah tidak zalim, walau sebesar zarah. ALLAH tidak zalim kepada hamba-hambaNya. Yang beramal soleh dijanjikan kebaikan. Yang beramal kejahatan dijanjikan pembalasan atas keburukan.

“ Dan barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung”
Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.

Sudah tentu tidak kekal orang yang ada iman di dalam neraka Allah, Walau pun ada sedikit sahaja iman. Itu janji Allah dalam quran. Nabi, ulangi dalam hadis,

Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.” (Riwayat Muslim)

Maka ketahuilah oleh kita, bahawa masuknya seseorang dalam syurga dengan rahmat Tuhan. Masuk syurga dengan semata-mata dengan rahmat dan belas kasihan Allah. Bukan dengan amalan kita semata-mata. Bukan kerana rajinnya seseorang itu solat, puasa sunat, umrah, haji, sedekah, tapi adalah semata-mata kerana rahmat dan belas kasihan dari Allah. Namun untuk mendapat rahmat tersebut, Allah tengok amalan seseorang. Untuk dapat belas kasihanNya. Maka amalan dan rahmat itu ada kaitan.

Sekiranya seseorang itu berkata untuk masuk syurga adalah semata kerana amalan… tak boleh kata macam tu. Tidak boleh berIktikad demikian, Pendapat ini tidak benar. Kita adalah hamba Allah. Kita berada di bawah naungan limpah rahmatNya. Belas kasihan Tuhan. Seorang yang mengerjakan solat jika di suruh masuk dalam neraka. Maka tidak boleh berkata mengapa. Tak boleh dipertikai. Mesti Allah yang mengetahui sebab musababnya. Kalau solat, masuk neraka, itu telah di sebut oleh Al-Quran. Neraka wil orang yang sembahyang. Ada di cerita sebab kenapa solat masuk neraka. Ada orang solat masuk neraka. Maknanya solat yang dibuat tidak menepati solat yang dikehendaki oleh Allah. Maknanya amal ibadat kita buat belum menjamin masuk syurga , hanya sebab musabab sahaja masuk syurga dengan rahmat Allah. Jadi oleh kerana kita hamba, ikut suka Allah lah ... Kita tidak boleh Tanya kenapa. Hanya Allah yang maha adil menentukan sebaik-baik pembalasan pada hamba-hambaNya. Allahu a’lam.

Friday, November 12, 2010

ORANG YANG BERAKAL

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Al-Quran adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Barang siapa yang tidak bertaqwa sukar untuk mendapat petunjuk dari al-Quran. Bahkan sifat munafik selalunya melakukan sesuatu tidak ikhlas, seboleh-boleh ingin orang lain mengetahui segala apa yang dia ada baik dari segi harta, anak-anak dan kehebatannya meskipun, ianya telah berlalu di masa lampau.

Sifat ikhlas sangat penting bagi mengawal diri dari sikap demikian, menunjuk-nunjuk dan ingin orang lain tahu serba serbi tentang kelebihan yang di milikinya. Itulah sebahagian tanda mereka yang munafik. Hendaklah kita berusaha menghindari bersahabat dengan golongan-golongan yang boleh mencederakan nilai pegangan keagamaan kita.

Lukman Al Hakim berkata pada puteranya;"Hai anak siapa yang bersahabat dengan orang jahat tidak selamat.Siapa yang masuk tempat yang jelek tertuduh.Siapa yang tidak dapat menahan lidahnya menyesal".

Perbanyakkan membaca al-Quran lebih-lebih di rumah begitu memberi makna dalam rumah tersebut. Rumah yang tiada di bacakan Quran di dalamnya, pastinya tidak tenteram. Itu yang menyebabkan hari ini ramai anak-anak yang suka berada di luar rumah. Itu yang hari ini macam-macam perkara mereka berani melakukan, sehingga lah dosa besar. Tindakan kebanyakkan manusia hari ini, bagai orang yang tidak berakal.

Berlainan dengan orang yang berakal, sebelum melakukan sesuatu mereka akan saring dulu. Mereka akan berkata-kata di dalam hati. Hati orang beriman akan rasa jika sesuai di teruskan, jika tidak akan ditinggalkan. Hatta untuk mengeluar kata-kata dengan orang lain juga, mereka berhati-hati. Mereka akan tapis dulu, jika kita sendiri yang di kata begini, bagaimana perasaan kita. Begitulah orang yang mengunakan akalnya.

Namun yang lebih ramai ialah mereka yang tamak, lidah tiada insuran, menurut orang hari ini. Cakap ikut sedap rasa. Allah telah memberi panduan bagaimana kita harus berinteraksi dengan masyarakat. Akhlak bagaimana yang harus diamalkan. Bukan setakat tehadap orang islam, terhadap non muslim juga ada panduannya.

Dengan akhlak yang baik, InsyaAllah mereka mudah tertarik dengan Islam. Bukan bermakna kita boleh sewenang-wenang berkawan dengan mereka, hingga mengiktiraf kongsiraya dan sebagainya. Itu tidak betul. Namun dengan akhlak yang baik, mudah-mudahan mereka mengerti betapa mulianya ajaran islam tersebut.

ABUL-Laits meriwayat dengan sanad daripada Ali Abi Talib yang mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Seharusnya seorang yang berakal itu tidak tekun kecuali dalam tiga perkara, iaitu berusaha untuk keperluan hidup, beramal untuk hari kemudian (akhirat) dan bersuka-suka yang tidak haram. Juga berkata, “Seseorang harus dapat mempergunakan siang kepada empat waktu, iaitu, waktu untuk bermunajat kepada Allah; waktu untuk memperbaiki diri; waktu untuk mengajar ilmu dan melayani kehidupan yang baik dan halal. Sumber Abullaits Assamarqandi, Tanbihul Ghafilin

Kita di beri masa 24 jam sehari semalam. Bagaimana kita mengunakan dan mengagih-agihkan masa tersebut untuk perkara-perkara demikian. Bagaimana masa yang kita luang untuk mahasabah diri. Bagaimana pula masa untuk mempelajari ilmu, juga bagaimana masa kita peruntukkan untuk memupuk kasih-sayang dan menghalakan nafsu pada yang halal dan baik kata ustaz di kuliah zohor semalam di PKNS. Jika kita dapat melakukan ianya dengan terbaik, itulah orang yang mengunakan akalnya.

Hati yang tiada kasih sayang, penuh rasa benci. Mudah hendak marah. Bahkan suka sangat buruk sangka. Jadi biarlah kita sentiasa merasa berkecukupan. Kalau ada banyak tetapi tak cukup-cukup juga, apa faedahnya. Apa yang penting kita sentiasa berusaha untuk taat kepada Allah. Itu yang Allah ingin lihat.

Islam adalah agama untuk manusia. Kebaikannya pasti kembali kepada manusia. Semua itu kita boleh lihat indahnya islam. Bahkan sambutan kita hariraya eidil Adha itu dimana korban itu sendiri menyatukan semua manusia. Allahu a’lam.

Thursday, November 11, 2010

NIKMAT YANG DI RASA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Menjadi lumrah dalam kehidupan, tatkala sedang memiliki sesuatu, kita rasakan yang lain adalah lebih baik. Ada kereta yang kecil, bercadang pula untuk membeli kereta yang sedang, bila melihat ada yang membeli yang lebih besar, kita bercadang pula membeli yang lebih besar. Dalam besar itu, keluar lagi yang bejenama, bekejar-kejar pula mencari kereta yang bejenama. Ramai yang memegang prinsip biar papa asal bergaya.

Tak kurang, yang memakai kereta besar, jarang sangat digunakan. Melainkan perjalanan jauh untuk balik kampung atau seumpamanya. Baru terasa, kereta besar, bayaran besar, wang untuk minyak juga besar jika di guna hari-hari. Alat gantinya juga besar bila berlaku kerosakkan, saat itu baru terasa nikmatnya ada kereta kecil. Lantas, kereta kecil juga di cari. Minyak murah, parking senang saja menyelit sana-sini.

Begitu jugalah, kita akan merasa nikmat sesuatu perkara bila perkara itu sudah tiada. Menurut ustaz di PKNS semalam, saat di rumah, kita mungkin rimas dengan leteran isteri. Namun bila isteri tiada seminggu dua, kelam kabut di buatnya. Rasa lumpuh segala perkara. Tidak tahu nak capai apa. Begitulah lumrahnya kehidupan.

Ana juga tidak lari dari keadaan demikian, sesekali ada juga rasa nak berubah angin. Bila di beri Allah kerja di tempat lain, di negeri lain, berjawatan lain, baru terasa nikmat berkerja di hantar dan di ambil suami setiap hari, baru rasa nikmatnya tinggal sebumbung dengan suami dan anak, walau kadang-kadang hilang sabar juga dengan perangai anak-anak. Baru terasa nikmatnya berada di tempat lama dan berjawatan lama. Tidak sama suami dan anak-anak, dengan kawan-kawan serumah walaupun mereka ramai, kita tetap merasa sepi. Senyuman kawan-kawan, tidak sama dengan senyuman suami dan anak-anak.

Pastinya, dalam keadaan demikian, istiqamah yang akan memudahkan segala perkara. Istiqamah akan mengembalikan segalanya. Ana dapat melihat, istiqamah suami yang sentiasa berkorban, 3 hari mencari tempat tinggal ana, Allah memberikan yang terbaik kepada ana. Start aje motor, 3 minit, sampailah ke pejabat. Alhamdulillah. Istiqamahnya suami untuk menentukan dan memastikan ana tidak jauh dari rumah Allah, Masjid betul-betul di belakang rumah. Masyaallah. Begitu jua, atas rasa istiqamah untuk mencari ilmu, mengikuti pengajian seperti di pejabat lama dulu, akhirnya bila bertanya kawan, dapat juga ana mengikuti pengajian kuliah berhampiran di pejabat. Ya.. Allah, besarnya pertolonganmu ya Allah. Pastinya benar janji dan jaminanmu bagi mereka yang ingin mendekatkan diri pada mu.

Di pejabat baru pula, langsung tiada tekanan, bahkan pendek kata, semua dah besar-besar belaka, pandai-pandailah fikir sendiri. Begitulah, nikmat yang hilang, pasti di rasa, namun nikmat yang datang hanya di rasa apabila ada pertolongan Allah yang maha kuasa.

Hanya Allah yang mengetahui apa yang baik dan buruk untuk diri kita semua. Allahu a'lam.


Friday, November 05, 2010

PERTOLONGAN ALLAH SANGAT DEKAT

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Pertolongan Allah sentiasa hadir dengan cara yang tidak terbatas. Boleh jadi hadirnya pertolongan Allah itu dalam bentuk halangan di peringkat permulaan, sedikit kesusahan, kepenatan, nasihat, tulisan, pujian, makian, bantuan, guncangan, senyuman, tangisan, atau dalam bentuk yang lain.

Namun kita tidak dapat mengandaikan kenapa demikian, sehinggalah kita benar-benar meraih kehendak tersebut. Bila sudah mendapatnya, barulah kita faham sebenar-benarnya kenapa dan mengapa ianya demikian.

Begitulah.. dalam masa permulaan dan sekejap, sukar kita mengandaikan ketentuan Allah. Bila kita telah mendapat jawapan dari permasalahan demikian, baru kita mengerti. Pertolongan Allah sangat dekat. Pemberian Allah adalah sangat terbaik bagi hamba-hamba yang sentiasa berserah kepada Allah. Ya.. Allah, terlalu tinggi nikmat yang engkau berikan dari sedikit ujian kesusahan. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah.

firman Allah.
أَلا إِنَّ نَصْرَ اللّهِ قَرِيبٌ

‘Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat.’ (QS. al-Baqarah: 214)

Allahu a'lam.

Thursday, November 04, 2010

SENJATA ORANG MUKMIN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Banyak petanda dan peringatan Allah dari sehari ke sehari. Namun tidak juga memberi kesedaran pada mereka yang mempunyai mata tetapi buta melihat, mempunyai telinga, tuli untuk mendengar. Bahkan, apa sahaja perkara dosa yang dibuat kerana terpaksa menjadi alasan. Sedangkan keimanan Bilal patut dijadikan tauladan. Walau nyawa jadi pertaruhan, namun untuk menarik kata dari mengakui Allah yang Maha Esa, tidak bergoyang walau di siksa. Apakah kalian di siksa untuk melakukan kejahatan?

Firman Allah :-
مَنْ عَمِلَ صَالِحاً فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاء فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (Surah Fussilat:46)

Kita tidak dapat lari dari kesilapan, namun tidak lah boleh dijadikan alasan untuk membuat dosa. Orang mukmin berdosa, yang mengakui beriman kepada yang Esa, pastinya bersegera memohon keampunan dari Allah. Pasti bersegera bertaubat dengan taubatan nasuha. Maka berdoalah kepada Allah dalam mencari kebaikan yang banyak dalam hidup ini, agar selamat di kemudian hari.

hadith Qudsi yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa;kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa-doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Riwayat Tirmizi)

Doa adalah senjata orang mukmin. Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Mafhumnya: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakan amal kebajikan”. (Riwayat Tirmizi)


Allahu a'lam.