Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Sunday, January 09, 2011

KITA PERLUKAN MEREKA


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Di awal pagi penuh kesyukuran dengan Allah s.w.t., tatkala membuka tirai pagi, terisi di corong telinga santapan rohani dari seorang Ustaz di radio IKIM. Apa yang disentuh ialah persoalan hati.

Betapa penting kita mempunyai hati yang baik. Hanya hati yang baik akan melahirkan segala tindakan yang baik.

Merenung kepada sabda Rasulullah s.a.w.:

إن الله لا ينظرُ إلى أجسامكم، ولا إلى صوركم، ولكن ينظرُ إلى قلوبكم وأعمالكم


“ Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk dan rupa kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu.” .

Hidup kita sememangnya memerlukan orang lain. Kita tidak boleh hidup bersendirian dalam apa bentuk sekali pun. Begitulah hakikatnya, tidak telepas seorang pun, kita tetap memerlukan orang lain. Tidak boleh kita katakan bila kita punyai kereta, kita boleh melakukan apa sahaja seorang diri. Bila kereta kita rosak, orang lain juga membaiki. Paling tidak kita panggil teksi dan membayar mereka apabila menghantar kita. Atau mungkin kita naik bas, juga memerlukan orang lain membawa kita.

Memandang kepada baju dan kasut yang kita pakai juga, merupakan hasil dari buatan dan jahitan orang lain. Jelaslah kita tidak terlepas dari memerlukan orang lain terlibat sama dengan hidup kita. Maka tidaklah patut kita menyombong diri. Hatta tandas kita juga dibuat oleh orang lain. Jika kita kata, kita hendak buat sendiri, tak mahu pertolongan orang lain, ambil cangkul, pergi ke semak. Cangkul itu juga buatan orang lain.

Maka bersihkan lah hati kita, muliakan hati kita, bahawa kita tidak boleh melakukan apa jua dengan bersendirian. Maka kita perlukan hati yang baik, untuk menghasilkan amalan yang baik untuk kita berinteraksi dengan manusia lainnya.

Hidup kita tidak boleh lari dari manusia. Kita perlukan ruang untuk berbuat baik, hati yang bersih dan dengan orang lain kita melakukan kebaikan. Sayangnya masyarakat kita hari ini, suka tengok orang lain, susah, sengsara dan menderita. Kadang-kadang rumah tangga orang itu sudah elok dan bahagia, ada sahaja yang mencari jalan untuk meruntuhkan. Dengan cacian dan berbagai di lakukan. Bila tengok anak-anak mereka berjaya, sengaja mencari pasal, dengki dan memburuk-burukkan mereka.

Beginilah hakikat yang berlaku. Maka perlulah hati itu dibersihkan sungguh-sungguh. Hidup kita memerlukan semua mereka. Maka kita perlu beringat setiap rezeki yang dianugerahkan oleh Allah ada hak orang lain di situ.

Umpama contoh, seorang yang suka meminjam pada orang lain. Bila diperingatkan, bersedekahlah, moga-moga rezeki kamu pula yang bertambah. Apa yang dijawabnya.. 'tunggulah aku kaya sedikit dulu'. Bila Allah beri dia senang sedikit, bila diminta dia bersedekah, katanya, ..'ini baru sikit... Tunggulah kaya betul..'. Bak kata orang hari ini, tunggulah 'kaya gila' dulu. Kehendak Allah bila dia buat berniaga, perniagaan meletup keuntungan, dah senang.... bila di minta.. bila nak bayar hutang balik, bila nak sedekah.., jawabnya... 'relaxlah brother... lambat lagi nak mati...

Inilah jawapan sebenarnya dari seorang yang sememangnya punyai jiwa dan hati yang kotor, hati yang kedekut. Orang yang miskin, jika mulia hatinya, mereka tetap ingin bersedekah apa sahaja yang ada, apa sahaja yang boleh disedekahkan. Mungkin sekurang-kurang dengan senyuman dan bantuan tenaga.

Jika hati baik, orang itu pastinya jadi manusia yang baik. Namun disebabkan hati jahat, orang lain yang berniaga dah elok, macam-macam dibuat untuk dilingkupkan. Mereka lupa, bahawa Allah telah menyediakan rezeki masing-masing. Umpama ada satu kedai sahaja dalam kariah tersebut. Tetapi kurang sangat dikunjungi orang. Dan di suatu tempat lain, berderetan kedai, namun satu juga jadi tumpuan orang, ramai yang mengunjunginya. Maknanya disini, Allah yang berkehendak rezeki itu diturunkan untuk siapa. Bukan dengan marahkan orang lain, kenapa berniaga dekat-dekat dengan kita. Rezeki bukan ditangan manusia.

Maka janganlah kita mendengki saudara islam kita yang lain. Mendengki manusia yang lain. Rezeki itu adalah dari Allah, Allah yang tahu pada siapa yang patut diberikannya. Kita hanya perlu pastikan kita punyai hati yang baik. Kekadang kita mendapat rezeki, sebenarnya itu adalah rezeki melalui, suami, isteri, anak dan ibubapa kita. Mungkin orang baik dengan kita, disebabkan dan kerana mereka itu. Tak semesti kita yang baik. Begitu juga bila orang jahat dengan kita, bukan kerana orang itu yang jahat, tetapi sebenarnya kita yang jahat. Cermin diri kita.

Maka lihat sebenar hati kita. Renungi hakikat hati kita. Apa yang buruk kita buangkan. Segala yang baik kita kekal dan gilapkan agar bersinar kebaikan tersebut, untuk menghadapi kehidupan.

Bersamalah kita membersihkan hati kita semua dengan menanamkan segala sifat mahmudah dengan membuang segera sifat-sifat mazmumah. Moga Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang punyai sekeping hati yang mulia. Ameen.

Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment