فَذَكِّرْ إِن نَّفَعَتِ الذِّكْرَى
Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna);Surah al-a'la : 9
Teringat satu ketika seorang peminjam marah-marah apabila diingatkan tentang kematian juga tentang hadis-hadis nabi. Melenting dengan kata-kata, "awak kerja, buat kerja awak ikut arahan, jangan pandai-pandai nak masukkan agama dalam kerja awak. kalau saya ada sakit jantung, saya terkejut siapa yang akan bertanggung jawab, ingat baik-baik..!. Bentak seorang peminjam apabila menerima surat peringatan tentang hutang yang tidak dibayar ratusan ribu dengan harapan dapat dihapuskan.
Dengan nada yang baik, ana menasihatkan bahawa hidup kita tidak terpisah dari agama. Lebih-lebih bila kita mengaku islam. Dengan ayat-ayat Allah dan hadis-hadis nabi lah, jiwa kita akan menjadi tenang dan tenteram. Dengannya, kita sentiasa beringat, bahawa suatu hari kita akan mati. Jika meninggalnya kita, meninggalkan hutang pula, itu yang kita perlu elakkan, kerana belum tentu waris yang ada akan menunaikan kewajiban kita tersebut.
Namun jawabnya," jangan awak nak berkhutbah pula dekat saya, cukuplah khutbah jumaat tu kat masjid. Awak kerja buat kerja awak. Jangan nak menasihatkan orang pula". Inilah jawaban segelintir penghutang-penghutang tegar. Setiap kali merayu akan membentangkan senarai sakit yang dialaminya. Bila kita membuat lawatan di kediamannya, rasa tak tersenarai harta dan kereta yang dimiliki di halaman rumah yang tersergam indah macam istana. Mungkin tidak semua, namun sebahagian besar tidak ramai yang menyedari, hutang adalah milik orang. ia patut dibayar.
Ana bukan ingin menyentuh persoalan hutang lagi kali ini. Apa yang ana ingin sentuh, adalah sikap penolakkan tentang peringatan-peringatan dari ayat-ayat Allah dan hadis-hadis nabi. Seandainya kita takut kepada kematian, terkejut menerima peringatan, sepatutnya ia menjadi petanda baik, agar segera membuat perubahan. Takut-takut, kalau ada sakit jantung, kejutan kematian datang sedang kita banyak menentang hukum Tuhan, banyak menolak ayat-ayat peringatan, bahkan kita persenda-sendakan khutbah-khutbah, ceramah-ceramah yang sering diperdengarkan.
Apakah pandangan demikian, hingga memandang hina dengan ayat-ayat Allah. Bukan lah ayat-ayat Allah itu bagai ayat sihir seperti perumpamaan orang kafir. Ayat Allah adalah mukjizat. Ia bukan menambah kesakitan, tetapi adalah penyembuh kepada penyakit. Lebih-lebih penyakit hati yang bersangatan. Sedih bila pernah melihat, seseorang mengoyak-goyak peringatan yang diiringi hadis-hadis nabi dengan mengatakan, ini semua ayat-ayat yang mengarut.
Samada kita mahu atau tidak, itulah manual kehidupan kita, yang patut kita jadikan panduan, samada ilmu itu datang secara didengarkan, melalui pembacaan, melalui pengajian dan sebagainnya. Itulah dia, sumber al-Quran dan hadis, yang tidak dapat tidak panduan lengkap yang perlu di perturutkan untuk keselamatan seluruh umat untuk berhadap dengan Allah di hari kemudian.
Kita sedar, ramai yang menjadi penentang-penentang agama Allah, musuh-musuh Allah bukan sahaja terdiri dari puak-puak kafir, namun ia datang dari dalam yang bertopengkan islam. Jiwa orang-orang yang tidak suka ayat-ayat Allah, hadis-hadis nabi sentiasa berantakan dan berperang. Mereka kepanasan, dan tidak boleh menerima peringatan-peringatan dari al-Quran. Ini yang sangat di takuti. Moga terjauh dari sifat Abdullah bin Ubai, yang mana sikap amalan yang ditunjukkan hebat, walau tentangannya tersembunyi di dada. Dialah dikalangan orang yang terawal bersolat bersama Rasulullah s.a.w. Namun kekafiran hatinya membuat dia membenci ayat-ayat Allah. Membenci apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Sehingga dia sanggup memfitnah isteri Nabi s.a.w sehingga pedih luka hati baginda sekeluarga.
Semoga semua kita dijauhkan dari membenci peringatan-peringatan dari ayat-ayat Allah juga hadis-hadis rasulullah s.a.w. kerana kita sangat menyedari, Allah tetap menyempurnakan ianya sampai kepada kita semua melalui para rasul dan pewaris-pewarisnya. Allah berfirman
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Maksud As-Saff:8)
Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment