Memulai pagi dengan ucapan alhamdulillah.. kerana Allah masih menghidupkan semula setelah mematikan sementara di malam hari memberi seribu makna untuk kita bersama teruskan lagi perjalanan hidup ini mencari redhaNya. Samada kita ke tempat kerja, ke kuliah, memulai rutin kerja-kerja di rumah, kita tidak lepas dari pemerhatian Allah.
Lantas, bagaimana mungkin kita mendapat redhaNya, jika tidak memulai setiap kerja dengan niat semata-mata menunaikan amanah kehidupan ini, kerana Allah semata. Ada yang melakukan kerja kerana dijanjikan pulangan di akhir bulannya. Ada yang melakukan kerana inginkan mendapat pangkat dan nama. Ada yang melakukan suka dikatakan rajin berkerja, dan mengimpikan dianugerahkan sesuatu di akhirnya. Berbagai kemungkinan boleh dikata dan dirasa.
Justeru itu, bagaimana dengan diri kita. Apakan sama begitu juga. Satu kepuasan dapat di rasa tatkala kita dapat melakukan amanah kerja dengan penuh ketawadukan kepada Allah yang maha Esa. Mengerti dalam bicara bahawa Allah sentiasa memerhati kita, Allah sentiasa menghitung setiap perkara, tidak terlepas satu apa pun dari pemerhatian dan perhitungan Allah yang maha Kuasa. Dalam pada membicara demikian, ana suka menuding kediri ana. Bagaimana matlamat ana sendiri dalam melakukan setiap perkara. Mungkin taqdir Allah kerja ana membolehkan ana terus menerus menyampaikan peringatan demi peringatan membuatkan hidup ana rasa satu kepuasan yang tidak terucapkan dengan perkataan.
Bilamana kesan-kesan dari tindakan demikian menampakkan impak yang memberangsangkan, ana bertambah keyakinan, tiada satu yang lebih baik dari memperingatkan setiap insan kepada yang mendekatkan diri mereka kepada Tuhan. Itulah yang sering di sebutkan, hanya mengingati Allah hati menjadi tenang dan tenteram. Baik yang mendengar, lebih-lebih yang mengingatkan. Akan terkesan sungguh pertolongan Tuhan yang tidak kunjung padam.
Kepuasan... adalah satu impian setiap insan. Sering kita mendengar, kepuasan hati pelanggan satu keutamaan dalam setiap visi dan misi sesebuah Jabatan. Agar ianya mendatangkan ketenteraman setiap kali berurusan. Bahkan yang membuat manusia tidak kunjung henti mengejar duniawi kerana masih belum merasa satu kepuasan yang sebenar. Sudah ada satu lembah mencari pula lembah kedua, sudah ada lembah kedua, mengintai-gintai lembah ketiga. Ini yang sering kita dengar dalam pesanan agama, yang memberi makna manusia tidak akan puas dengan satu perkara. Pasti mengejar terus mengejar untuk memenuhi selera.
Lantaran demikian, kepuasan bekerja kerana Allah semata, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Nikmat ketenteraman yang di rasa, tidak dapat dipamerkan dengan pembentangan apa jua.. Masyaallah, hebat terkesannya kalimah-kalimah Allah dalam kehidupan setiap manusia.
Moga Allah sentiasa merahmati setiap perjalanan hidup kita semua... In Sya Allah...
Allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment