Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Saturday, February 26, 2011

PRINSIP MANUSIA HEBAT

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Banyak nasihat yang kita dengar tentang bagaimana ingin menjadi seorang yang Berjaya atau hebat. Ramai juga pakar-pakar bersedia mengongsikan ilmu mereka untuk diperdengarkan. Semua ini, perlu kita kongsikan bersama.

Semua insan inginkan kejayaan. Sayangnya bila kita melihat di sekeliling kita, lebih ramai mereka yang gagal dari yang Berjaya. Persoalannya , ‘Kenapa mereka gagal?.

Manusia boleh dibahagi kepada beberapa kategori. Manusia yang gagal, manusia yang biasa dan manusia yang hebat. Manusia yang gagal adalah mereka yang sentiasa mensia-siakan peluang yang ada dalam tangan mereka. Manusia biasa pula adalah manusia yang melihat peluang berlalu begitu sahaja. Sebaliknya manusia yang Berjaya adalah mereka yang sentiasa mencari peluang untuk menambahkan kejayaan mereka, menambah ilmu mereka, bahkan menambahkan pahala dan mencari ganjaran yang besar di akhirat kelak.

Manusia yang hebat adalah manusia yang tidak mensia-siakan peluang bahkan tidak melihat sahaja peluang berlalu begitu sahaja. Bukan setakat mereka mencari peluang sahaja, bahkan mereka mencipta peluang. Peluang yang dicipta pula bukan sahaja untuk kegunaan dirinya, malahan mereka sanggup berkongsi kemenafaatan dengan orang lain. Mereka boleh berkongsi dengan keluarga, dengan masyarakat dan semua orang boleh menumpang dan berkongsi sama peluang tersebut.

Dari perkataan HEBAT itu sendiri boleh diterjemahkan kepada intipati perkara yang perlu ada untuk menjadi seorang yang hebat.

H- Hasrat yang sungguh-sungguh
E- Emosi yang sentiasa terkawal
B- Berani bertindak
A- Attitute atau Sikap
T- Tindakan diambil dan Tawakal

Ramai yang berkata ingin menjadi kepada yang lebih baik, mempunyai kedudukan yang sempurna, mempunyai gaji yang besar. Sayangnya cuma sekadar berkata sahaja. Tidak pula mempunyai hasrat yang sungguh-sungguh. Ibarat menanam tebu ditepi bibir.

Orang yang hebat punyai Hasrat yang begitu sungguh-sungguh untuk Berjaya. Mereka tidak akan mengalah sebelum bertindak. Sebaliknya ada yang ingin Berjaya, tetapi mempunyai jangkaan kegagalan dari mejangkakan untuk Berjaya. Jika mejangkakan kegagalan, bagaimana mungkin mereka hendak berusaha bersungguh-sungguh sebab mereka punyai sangkaan akan gagal.

Ekoran demikian, tindakan yang akan mereka buat adalah secara main-main, sambil lewa, buang masa, acuh tak acuh dalam setiap perkara. Untuk Berjaya kita perlu melihat seolah kejayaan menanti, maka kita perlu meletak hasrat yang sungguh-sungguh, berusaha gigih dan jangan berundur. Meskipun berundur tidak beerti kalah. Namun ramai yang tidak belajar dari apa-apa kegagalan. Mereka juga terus mengikut jalan yang gagal.

Orang yang Berjaya tahu ada sesuatu yang diperolehi dari pengalaman-pengalaman kegagalan dan seterusnya melakukan perancangan-perancangan yang lebih baik secara fleksibel. Jika jalan A tidak Berjaya, mereka cuba jalan B dan seterusnya. Jalan yang dicari bukan alasan yang diberi. Mereka sanggup melakukan apa sahaja pengorbanan dari segi masa, tenaga dan idea. Itulah sebabnya bila ada hasrat yang sungguh-sungguh, mereka terus-menerus bergerak kedepan dengan penuh semangat.

Perkara kedua penting untuk menjadi seorang yang hebat, mempunyai Emosi yang terkawal. Tidak dinafikan kita sebagai manusia ada rasa malas, kecil hati dan rasa tertekan. Namun bagi seorang yang hebat, mereka sentiasa mengawal emosi tersebut. Mereka faham tanggapan itu suatu perkara yang kita rasa melalui keadaan diri kita sendiri, bukan keadaan yang sebenar. Kita hendaklah berbaik sangka dengan semua orang dan berbaik sangka dengan apa sahaja yang berlaku ke atas kita. Hindarkan dari memikirkan keburukan-keburukan bahkan fikirlah apa hikmahnya dari ujian Allah tersebut. Apa hikmahnya di sebalik kejadian-kejadian yang berlaku yang menimpa kita ini. Dengan ini, kita dapat mengawal emosi kita.

Ketiganya, manusia hebat Berani bertindak, berani menanggung risiko dan berani untuk mengeluar idea bahkan berani berhujah. Mereka adalah manusia-manusia yang berani menegak kebenaran dengan kata-kata mereka. Jadi.. janganlah jadi manusia-manusia yang akhirnya dihina dengan ketakutan sendiri.

Manusia yang hebat punyai satu ‘Attitute’ atau sikap yang positif. Apabila mereka lakukan sesuatu mereka akan melakukan sebaik mungkin. Bila mereka lakukan satu-satu pekerjaan, mereka akan lakukan sebaiknya dengan menyerahkan hasil kerja yang berkualiti. Mereka sentiasa bersikap positif, meskipun didatangi masalah. Mereka menganggap masalah itu adalah ujian Allah. Orang yang hebat sangat redha tentang ujian Allah dan apa yang berlaku pada dirinya.

Dengan hal yang demikian mereka akan lakukan Tindakan. Ramai disekeliling kita yang boleh berkata nak Berjaya, boleh mengeluar idea yang cukup bernas, tetapi soalnya berapa ramai yang sanggup bertindak sungguh-sungguh melakukan usaha tersebut supaya hal tersebut menjadi reality. Tidak ramai yang sanggup bertindak. Meskipun mereka boleh bercakap, berkata, berhujah, namun tindakan adalah “0”. Dalam keadaan demikian, bagaimana jadi dengan penhujung hidup kita. Tindakkan perlu disertai tawakal ala Allah. Itu sahaja jalan mencapai kejayaan.

Meskipun dalam melakukan satu-satu tindakan ada yang keterlaluan. Jika demikian halnya pastinya lantunan kritikan akan diterima. Namun itulah perlunya berlapang dada. Walaupun kritikan tersebut memang ada niat jahat yang ingin menjatuhkan atau menjahanamkan kita. Sebagai orang yang hebat, kita tetap mencari nilai-nilai murni dan perkara-perkara yang boleh disaring dari berbagai perkara buruk yang datang kepada kita.

Dengan melakukan mahasabah diri, nilai dimana silapnya dan dimana silapnya perancangan kita. Buka mata seluas-luasnya memulai dengan mencari idea, matlamat baru dan memulakan hasrat yang sungguh-sungguh sebab adanya perancangan-perancangan baru yang telah kita gubal semula.

Meskipun sukar, namun tidak mustahil kita akan menjadi lebih baik dari semalam. Esok pula kita bertambah baik dan menjanjikan sesuatu yang lebih tinggi peratusnya hasil dari kesungguhan kita. Semakin hari semakin baik dan cemerlang. Maka teruslah melangkah ke depan dengan penuh kesungguhan. InsyaAllah.

Allahu a’lam.

Thursday, February 24, 2011

BENARKAH KAMU MENCINTAI NABI S.A.W?

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Bila tiba sambutan maulidur rasul, dimana-mana sahaja tempat tidak melepas peluang mengadakan sambutan, baik berupa perhimpunan, perarakkan, ceramah, persembahan anak-anak dan sebagainya. Persoalannya, mungkin ada ditimbulkan “Penting atau tidak mengadakan sambutan Maulidur Rasul tersebut?

Pastinya jawapan adalah sangat penting. Ini kerana sekurang-kurang dengan sambutan itu mengeratkan silaturrahim umat islam. Paling tidak kata Ustaz, mereka dapat makan dan yang memberinya mendapat pahala dari Tuhan. Namun yang sangat penting adalah kita dapat berkenalan dengan nabi kita. Siapa nabi kita. Apabila sudah kenal baru datangnya cinta.

Hadith riwayat Anas bin Malik r.a. ia berkata:Rasulullah bersabda: Seorang hamba (dalam hadis Abdul Warits, seorang laki-laki) tidak beriman sebelum aku lebih dicintainya dari keluarganya, hartanya dan semua orang. (HR Muslim)

Anas r.a mengatakan bahwa Nabi SAW bersabda, “Salah seorang di antaramu tidak beriman sehingga saya lebih dicintai olehnya daripada orang tuanya, anaknya, dan semua manusia.” (HR Bukhari)

Seorang ustaz mengemukakan pantun bila menyebut tentang perkara sayang ke Nabi s.a.w. Pantunnya lebih kurang begini maksudnya :

Bila ayam jantan berkokok
Tanda hari hendak siang
Kena berhenti hisap rokok
Kalau Nabi s.a.w. awak sayang

Timbul persoalan lagi, Apa pula faedah mencintai Nabi s.a.w. ? Tidak dapat disangkal lagi, faedahnya terlalu dan tersangat besar. Bagi sesiapa yang mencintai Rasulullah s.a.w, akan dibangkitkan bersebelahan Rasulullah s.a.w. di Mahsyar. Maka letakkanlah cinta hati pada yang boleh menolong kita di akhirat nanti. Jika memberi cinta kepada orang, akan dibangkitkan dengan orang yang dicinta pada hari akhirat. Maka tidak rugi kita sangat mencintai Rasulullah s.a.w, manusia yang mulia diciptakan oleh Allah buat kita, kerana kita akan dibangkitkan besebelahan dengan baginda di akhirat kelak.

Menyebut tentang mahsyar, ada yang dibangkitkan dengan jalan atas muka kerana terlalu jahat sangat, jalan atas perut kerana suka sangat makan yang haram dan berbagailah keadaan. Suasana yang sangat menakutkan. Kerisauan yang teramat duduk di mahsyar. Maka bagi sesiapa yang sayang dan cinta pada Nabi s.a.w. maka nabi akan datang disebelahnya. Persoalannya, betul ker cinta kepada Nabi s.a.w?

Tanya diri kita, Adakah masih kita menyokong dan memakai barang-barang yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menghina nabi kita?. Ramai lagi yang menyebut cinta pada nabi, rokok pun tidak mahu tinggal. Sen yang dibayar membeli rokok, membedil umat Rasulullah s.a.w. yang memperjuangkan islam. Umat Nabi s.a.w saudara seislam kita yang perlu dipertahankan jika benar cinta kita kepada rasul kita. Untuk kenal Nabi s.a.w, kena dengan ilmu. Soalnya berapa ramai hari ini yang suka ke majlis ilmu. Memang kita nampak ramai yang pergi menuntut ilmu. Sebaliknya ramai lagi yang tidak pergi mendengar dan menuntut ilmu agama. Orang islam jahil tentang agama sendiri.

Kejahilan agama menjadi-jadi. Sebuah hadith mengambarkan perkara berikut :-

بَادِرُوا فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْي

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Bersegeralah beramal sebelum datangnya rangkaian fitnah seperti sepenggalan malam yang gelap gulita, seorang lelaki di waktu pagi mukmin dan di waktu petang telah kafir, dan di waktu petang beriman dan pagi menjadi kafir, ia menjual agamanya dengan kesenangan dunia." (HR. Ahmad No. 8493)

Adalah sangat dituntut agar semua kita merisaukan keislaman diri dan keluarga hari ini. Langkah segera perlu dilakukan agar memberi ilmu-ilmu agama pada keluarga. Hayati agama sebaiknya. Contohi Nabi kita, dimana baginda adalah suami dan ayah yang sangat baik. Satu benda haram pun dia tidak mahu ada dirumah. Kita pula, bagaimana kita dapat mengenal halal dan haram tanpa ilmu agama. Betapa banyak perkara haram dalam rumah kita. Tepuk dada tanyalah jiwa. Sungguhkan kita benar-benar mencintai Nabi kita..?

Allahu a’lam.

Sunday, February 13, 2011

BERGADAI FIKRAH KERANA MEREKA..?

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Pergaulan yang tidak ditapis akan menyebabkan seseorang bergaul dengan orang yang salah. Jika rakan-rakan yang dipilih adalah rakan-rakan yang tidak menjaga solat, pengaruh maksiat tersebut kemungkinan akan menyebabkan terikut dengan ajakan dan kemahuan mereka kesana kemari dengan melalai atau meninggalkan solat. Mungkin juga melakukan kejahatan yang lain. Secara tak langsung mereka akan melakukannya kerana tidak mahu dikatakan tidak sehaluan dengan mereka. Sangat mendukacitakan jika terpaksa dipasangkan dengan mereka jika melibatkan urusan kerja.

Ramai yang sanggup dan rela, demi orang lain sanggup mengorbankan dan mengotori urusan akhiratnya. Sungguh berdosa sikap seperti ini. Jika tidak mengikut mereka, mereka akan membenci dan menganggunya. Malah mereka akan mengata kepadanya. Mereka mencemuh dirinya, hingga terganggu urusan dunianya. Semua ini akan menghilangkan ketenteraman. Lantaran, bila sudah berkawan dengan mereka, terpaksakah mengikut rentak mereka..?

Sebaliknya, perkara ini pula akan menimbulkan masalah baru dan dia akan jatuh ke kancah kejahatan. Apalah diharap pada kawan sebegini. Kalau mereka memujipun, bukan layak bagi manusia menerima pujian, bahkan akan mendatangkan rasa bangga diri dan sombong. Walhal orang-orang sebegini, di depan biasa memuji, sedang di belakang bersikap mengeji.

Seandainya mereka menghina secara terang-terangan pula, pasti dia akan bersedih dan berduka cita. Kemungkinan sekurang-kurang akan marah, tetapi marah bukan kerana Allah. Marahnya kerana nafsu. Semua reaksi ini sangat membinasakan.

Perlulah di ingat, bila kita mati, orang-orang sebegini akan melupakan kita, berlainan jika mempunyai sahabat yang soleh. Meskipun dulu mereka baik, kemungkinan atas satu-satu sebab yang memberi kepentingan kepada mereka. Perlu di sedari, yang sentiasa berhadapan dengan mereka dan kita adalah Allah s.w.t. Allah tetap bersama dan sentiasa bersama kita. Adalah merupakan satu kerugian bagi mereka yang menghabiskan masa pada yang lagha dan kawan-kawan yang melaghakan. Lebih-lebih mereka meninggalkan ibadat kepada Allah. Mereka tidak menjaga pakaian yang sebetulnya, mereka tidak menjaga waktu solat sebaiknya, malahan merasa biasa sahaja meninggalkan solat sedangkan waktu solat itu berlalu begitu sahaja tanpa disusuli rasa salah pada mereka. Masih ketawa.

Segala urusan adalah semata kepada Allah. Keperluan kita semua juga datang dari pada Allah. Bukan dari manusia. Seharusnya dalam setiap perkara kita berserah diri dan menunaikan hak-hak Allah. Demikian juga segala perlindungan dan rezeki dari Allah bukan dari manusia. Sayangnya ada yang sanggup meninggalkan segala-gala hak Allah demi kerana orang lain.

Inilah yang sebenarnya berlaku, dan memang nyata berlaku. Sedih melihat ada yang sanggup meninggalkan solat semata-mata urusan dunia yang mengisi perut. Ada yang meninggalkan pakaian menutup aurat yang betul semata-mata dengan alasan mudah melangkah kesana kemari dalam urusan. Sedih suasana ini. Bila mereka merasakan kehadiran kita menganggu mereka, mereka akan mengata kepada kita. Mereka memberi riak muka yang merimaskan pada kita. Namun, inilah yang diibaratkan, untuk mengekalkan diri dalam pengawasan Allah, memang kita perlu bagai mengenggam bara api di akhir zaman ini. Namun, kita perlu istiqamah melakukan, kerana Allah adalah segala-galanya buat kita yang bergelar hambaNya.

Ya .. Allah, berilah kekuatan pada diri kami yang ingin sentiasa berada di jalanMu. Bantulah kami dalam menghadapi suasana yang cukup menguji keupayaan kami. Meskipun kami terpaksa bersendiri dalam menegakkan agamaMu, kami rela.. kerana kami tetap mengharap keredhaanMu ya Allah..
Allahu a'lam.

Saturday, February 12, 2011

TEKNIK SEKAWAN ANGSA



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Tidaklah ana faham kenapa setiap kali bergambar, selalu sahaja melihat ada yang menunjukkan 2 jari berbentuk V. Ana sendiri kurang pasti samada yang berbuat demikian bermaksud atau tidak. Namun setelah mengkaji tips yang diberi oleh Penceramah Motivasi yang muda belia, Saudara Amin Idris pada kursus di Pulau Pinang tempoh hari, dengan mencontohkan kerja berpasukan dari sekawan angsa, sangat teruja dan mecuit kesebakan didada dengan cerita angsa dan keadaan kerja mereka terbang bersama yang telah menjadi ketentuan oleh yang maha Kuasa agar dapat difikirkan bersama. Bukan setakat fikir, malah perlu dijadikan contoh untuk meneruskan tugas-tugas yang diamanahkan kepada kita dalam sesebuah pusat.

Apa yang dapat dipetik dari kisah tersebut seperti berikut :-


Fakta (1) :
Kepakan sayap angsa di depan, memberi “daya dukung” bagi angsa dibelakangnya. Angsa di belakang tidak perlu susah-payah menembus ‘airwall’ di depannya. Hasilnya, seluruh kawanan angsa dapat menempuh jarak terbang 71 % lebih Jauh dari pada kalau setiap angsa harus terbang secara sendiri-sendiri.

Pelajaran yang boleh kita ambil dari keadaan ini, ialah bila arah dan tujuan kita sama, dan kita bersedia untuk saling boleh mengagihkan tugas, maka pencapaian tujuan kita akan menjadi lebih cepat dan lebih mudah. Persoalannya, Mampukah kita untuk saling dorong mendorong dan saling dukung mendukung antara satu sama lain dalam pencapaian tujuan bersama ?. Jika angsa boleh, sudah tentu kita boleh!. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Fakta (2) :
Kalau seekor angsa terbang keluar dari formasi rombongan, ia akan merasa berat dan sukar untuk terbang sendirian. Dengan cepat ia akan kembali ke dalam formasi untuk mengambil keuntungan dari daya dukung yang diberikan angsa di depannya.

Pelajaran yang boleh kita ambil dari keadaan ini, Secara logik, kita akan tetap berada dalam pasukan bersama ahli lain dan pengelolanya. Kita membuka diri untuk menerima dan memberi bantuan dari dan kepada ahli lainnya. Lebih sulit untuk melakukan sesuatu seorang diri daripada melakukannya bersama-sama dalam pasukan yang akan menjadi milik kita bersama.

Fakta (3) :
Ketika angsa pemimpin yang terbang di depan menjadi lelah, ia terbang memutar ke belakang formasi, dan angsa lain akan terbang menggantikan posisinya.

Pelajaran yang boleh kita ambil dari keadaan ini, Adalah masuk akal untuk melakukan tugas-tugas yang sulit dan penuh tuntutan secara bergantian dan memimpin secara bersama. Kita yakin keupayaan dan potensi semua ahli. Tapi, manusia saling bergantung satu sama lain dalam pengetahuan, keterampilan, kemahuan, kekuatan, kurnia lain dan kelebihan yang unik dari Allah s.w.t., serta tandingan atau sumber daya lainnya.

Fakta (4) :
Angsa-angsa yang terbang dalam formasi mengeluarkan suara riuh-rendah dari belakang memberi semangat kepada angsa yang terbang di depan sehingga kecepatan terbang dapat dijaga.

Pelajaran yang boleh kita ambil dari keadaan ini, Kita harus memastikan bahwa ucapan kita akan memberi dukungan kekuatan, bukan melemahkan. Semua ahli dalam pasukan kita dan akan saling memperkuat, sehingga hasil yang dicapai akan menjadi lebih besar. Dukungan dalam satu kesatuan hati dilandasi nilai-nilai luhur adalah kualiti suara dan ucapan ahli yang diharapkan bersama oleh semua ahli dalam pasukan .

Fakta (5) :
Ketika seekor angsa menjadi sakit, terluka, atau ditembak jatuh, dua angsa lain akan ikut keluar dari formasi bersama angsa tersebut dan mengikutinya terbang turun untuk membantu dan melindungi. Mereka tinggal dengan angsa yang jatuh dan berusaha untuk mendorongnya agar dapat terbang lagi, tidak sampai mati. Setelah itu mereka akan terbang dengan kekuatan mereka sendiri atau dengan membentuk formasi lain untuk mengejar rombongan mereka.

Pelajaran yang boleh kita ambil dari keadaan ini, Kalau saja kita berperasaan seperti seekor angsa, kita akan tinggal bersama ahli yang berada dalam kesulitan, seperti ketika segalanya baik, dan berusaha untuk mendorongnya agar dapat bangkit kembali.

Ini adalah cerita angsa yang menyentuh hati. Kita percaya setiap perkara yang dijadikan oleh Allah agar kita turut fikir bersama. Terciptanya helikopter, hasil pemerhatian kepada pepatung. Terciptanya keretapi pastinya dari lipan atau gonggok, terciptanya kapal selam, adalah dari pemerhatian ikan lumba dilaut. Berbagai lagi lah yang Allah jadikan supaya kita turut berfikir dan terus berfikir tentang kejadian alam. Berfikir seminit itu adalah kebaikan yang dianjurkan. Bahkan pahalanya sangat besar di sisi Tuhan.

Allahu a'lam.

BUKAN PERKARA KECIL

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Kebersihan hati sangat dituntut dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari. Sayangnya masih ramai lagi yang suka melihat dan mendengar khabar-khabar yang entah kan ia, entahkan tidak. Masih!.. Keseronokan menyebut hal orang itu dan ini, bahkan membuat kesimpulan begini dan begitu terhadap seseorang. Itulah satu sikap yang tidak patut ada pada sesiapa jua.

Lebih-lebih perkara yang dicerita itu tidak pernah kita tahu, tidak pernah kita tonton. Keaiban saudara kita, memang ramai yang suka mendengarnya. Namun bagaimana jika keaiban kita yang terbuka atau diketahui orang.

Manusia tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Orang yang paling baik ialah orang yang menyedari telah melakukan kesilapan, lantas segera melakukan taubat kepada Allah.


"Seluruh kalian adalah pembuat salah dan dosa, dan orang yang berdosa yang paling baik adalah mereka yang sering bertaubat". Hadits ini diriwayatkan oleh Ahmad dan lainnya dari Anas.


Sayangnya perkara yang dipandang besar disisi Allah di pandang kecil dengan mudah. Dosa mengata orang, adalah sangat besar disisi Tuhan. Tidak tertebus dosa tersebut melainkan Allah menyerahkan kepada mereka yang dizalimkan. Ini adalah dosa terhadap anak adam. Takuti lah doa orang-orang yang dizalimkan. Dalam membicarakan hadith-hadith Nabi s.a.w. sering kita diingatkan oleh Ustaz bahawa,

"Takutlah olehmu akan doa orang - orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah swt tiada hijab ( halangan)"


Mengata orang, mengaibkan orang, dan mengumpat orang adalah dosa besar yang tidak mudah terlepas begitu sahaja kerana ianya melibatkan kezaliman pada seseorang anak adam. Namun begitu sedap pada sesetengah orang untuk mengatakan.

Rata-rata ianya melibatkan hati insan. Bila hati seseorang suka melihat kejatuhan orang lain, melihat keaiban orang, itu tandanya hati itu ada masalah. Bila bertambah suka bila ianya diketahui orang banyak dan diwar-warkan lagi, itu menandakan hati itu tersangat bermasalah dan ianya dikategorikan hati yang ada penyakit.

Hiduplah dengan hati yang putih bersih. Hati yang dipenuhi dengan nilai mazmumah perlu dihindari sejauh-jauhnya, dimana hati tersebut, memang tidak akan senang melihat orang senang. Dan suka melihat orang susah. Namun sebaliknya pula, hati ini telah hilang sebuah nilai ketenangan. Melainkan ianya digantikan dengan hati yang bersifat mahmudah. Sayangi saudara seislam kita sebagaimana kita menyanyangi diri kita sendiri. Allahu a'lam.

Sunday, February 06, 2011

HIDUPLAH DENGAN MULIA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Biasa kita mendapati ayat-ayat al-Quran dimulai dengan sumpah oleh Allah swt. Tidak terkurang juga di dalam hadits, ternyata terdapat juga sumpah Nabi Muhammad Saw sehingga apa yang menjadi sumpahnya itu sangat penting untuk kita perhatikan agar kita semakin yakin dengan akibat-akibat pesanan baginda Rasululllah s.a.w.

“Tiga hal yang aku bersumpah atas ketiganya: tidak berkurang harta karena shadaqah, tidak teraniaya seorang hamba dengan aniaya yang ia sabar atasnya melainkan Allah Azza Wa Jalla menambahinya kemuliaan dan tidak membuka seorang hamba pintu permintaan melainkan Allah membuka atasnya pintu kefakiran”
(HR. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah) *) Al Jamiush Shagier Jil-2, hal.392

1. HARTA TIDAK BERKURANG KERANA SEDEKAH

Nabi s.a.w. juga bersumpah siapa bersedekah tak akan miskin. Secara logiknya bila berderma, duit akan kurang. Tapi bersedekah duit tidak pula kurang. Bila kita memerhati dan tanya orang yang derma darah, tak pernah kering darahnya. Semakin dia menderma semakin lagi dia sihat. Allah ganti dengan darah yang segar dan sihat. Demikian bandingan dengan orang yang derma harta benda atau duit. Sahabat Nabi s.a.w. bernama Talhah al Judj, sifatnya suka berderma. Gelaran tersebut kerana beliau tidak boleh tengok orang susah, pasti akan ditolongnya. Jika dia tidak boleh bagi banyak dia akan bagi sikit.

Maka di sinilah kenapa Nabi s.a.w. bersumpah 3 perkara tersebut. Bagi mereka yang bersedekah harta bendanya , pasti harta itu tidak akan kurang. Ini dalam dilihat dalam ayat al-Quran dimana Allah Swt berfirman:



مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ


“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir. Pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa saja yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) dan Maha Mengetahui.
“(QS Al-Baqarah:261).

2. PENGANIAYAAN MEMBAWA KEMULIAAN.

Ada banyak contoh tentang orang yang dianiaya, manakala mereka tetap sabar dan istiqamah dalam mempertahankan kebenaran yang diyakininya akan membawa pada kemuliaan dirinya dan si penganiaya yang merasa sebagai orang yang jauh lebih mulia menjadi manusia dengan segala kerendahan martabat kepribadian yang disandangkan kepadanya.

Orang yang kena zalim dengan orang, apabila dia tahan dan bersabar, maka kesabaran dia akan diganti oleh Allah dengan bertambah kemuliaan pada dia. Menyebut Ujian semua kena ujian dari Allah s.w.t., ada kena ujian yang berat ada sedikit. Barangsiapa sabar menghadapinya, maka Allah ganti dengan Izzah, yakni kemuliaanlah yang Allah ganti.


3. MENGEMIS BERTAMBAH FAKIR.

Seorang muslim sangat dituntut untuk mencari rezeki dengan jalan yang halal dan terhormat. Apabila Nabi s.a.w. bersumpah dan tidaklah satu hamba sekiranya dia buka pintu minta tolong, ia akan jadi tabiat minta tolong, Nabi berpesan di sini, kurangkan tabiat minta tolong. Kalau boleh buat dan usahalah sendiri.

Satu cerita seorang sahabat Nabi s.a.w., dia sudah tua, suatu hari tongkat dia terlepas jatuh, dia tak minta tolong pada sesiapa, bahkan di ambilnya sendiri . Sudahlah seorang yang ‘ajuz’ , yakni lemah, kerana dia ingat Nabi s.a.w. berpesan… “orang islam jangan suka minta tolong”. Seorang hamba yang buka pintu masalah (minta tolong) Allah akan buka pada dia, pintu kefakiran. Lumrahnya seumur hidup dia akan harap ditolong orang.

Menyentuh tentang ini, Nabi s.a.w. berpesan lagi, dalam hadith.. yang lain disebutkan “dunia ada 4 macam manusia. Pertama, manusia yang Allah bagi dia harta dan ilmu. Yakni senang lenang, duit ringgit dan ilmu, dia bertaqwa kepada Allah s.w.t. cantik Allah bagi ke dia. Dia pula jadi manusia yang bagus. Duit ringgit yang ada, dia hubung silaturrahim. Allah bagi dia kelapangan hidup dia tahu dalam harta dan ilmu yang Allah bagi ada hak Allah. Zakat dia tak pernah mungkir. Ilmu di sebarkan maka dia pun menyampaikan. Dengan harta dan ilmu dia guna dengan jalan Allah. Ini orang paling bagus dan bertuah dalam dunia ini.

Kedua, golongan yang Allah bagi ilmu, harta Allah tak bagi. Allah jadi dia seorang yang tempat rujuk. Tempat orang mengadu masalah. Marjij (tempat rujuk) Orang balik selepas bertemu dengannya, akan merasa lega. Dia dapat merungkai masalah orang, dan orang rasa lega. Sahabat bila dengar pesan nabi, dia ingat. Ini yang dia kata jangan banyak bergantung dengan orang. Sahabat nabi bukan minta tolong duit, dia ajuz, dia ambil tongkat dia sendiri. Sedangkan orang yang sihat walafiat hari ini, suka sangat meminta bantuan orang.

Inilah yang perlu di ambil iktibar dan ingatan bahawa apabila Nabi s,a,w, bersumpah, orang yang suka minta tolong dan selalu minta duit orang, dia akan kena fakir, bahkan sentiasa mengharap tolong orang. Bila Nabi s.a.w. berpesan, satu hadith, naka menjadi tugas kita lah memelihara hadith ini.

Allahu a’lam.

Wednesday, February 02, 2011

MENGAMIT LAGI....

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Tabarakallah... subhanAllah... benarnya janji Allah. Allah lah yang menjanjikan kecukupan dan menambah lagi nikmatnya, menganti pula yang telah diguna untuk jalanNya.. Benarlah Allah. Haramain mengamit lagi. Sentiasa di hati ini, terlekat, terpanggil ke sana. Ya .. Allah sentiasanya engkau memberi peluang kepada hambaMu ini. JanjiMu sangat benar. Berkali-kali engkau mengantikan wang yang keluar untuk memenuhi panggilan untuk menjadi TetamuMu ya Allah.

Berkali juga engkau menunaikan segala yang dihajati. Ya Allah, kekalkan diriku sentiasa bersamaMu ya Allah. Sesungguhnya hidup ini rasa terisi dan terpenuh dan sentiasa ditemani. Engkaulah ya Allah. Melonjak-lonjak rasa dijiwa untuk menjejak kaki di bumi suci lagi. Bumi Haramain yang sentiasa mengamit kerinduan. Bumi yang Allah janjikan dengan timbunan ganjaran yang tidak dapat untuk dihitungkan.

Rindu hati ini ya Allah. Tiada nilai apa yang ada di sini dengan bandingan di sana. Kerahmatan yang sentiasa. Bumi yang tidak akan di masuki dajal yang durjana. Bumi Nabi tercinta Rasulullah s.a. w. yang mulia.

Selagi diri ini diundang oleh Mu ya Allah selagi itu, ku berpeluang untuk ke sana lagi. Panggilah ku berkali-kali ke sana ya Allah. Serasa ku ingin terus menetap di sana. Dengan izin Mu ya Allah ku ingin datang menyahut panggilanmu lagi....


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ
لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّ يكَ
إِنَّ الحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ
لَكَ وَالمُلْكُ لاَشَرِيْكَ لَكَ


"Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu"


Terima kasih ya Allah..

ALLAH YANG MENCUKUPKAN KITA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Hari ini ramai yang sanggup melakukan berbagai-bagai kezaliman kepada orang lain kerana sifat rakus dan tamak. Manusia tidak pernah merasa cukup kerana ramai di antaranya yang telah di serang dengan kuman tamak. Namun Allah berkuasa untuk mencukupkan segalanya. Allah juga berkuasa menahan rezeki seseorang. Begitulah.. Allah yang berkuasa mengatur kehidupan kita. Allah jualah yang memberi ketentuan pada diri kita. Allah sahaja. Tuhan kita adalah Tuhan yang sama yang membantu Nabi Ibrahim. Api yang mempunyai sifat panas dan membakar, menjadi sejuk dengan perintah Allah untuk menyatakan Allah yang memberi pertolongan kepada hamba-hambaNya yang dikehendaki. Jadi.. mintalah pada Allah, nescaya Allah akan perkenankan. Itu janji Allah.

Terharu juga mendengar cerita ustaz dalam kuliah Zohor tadi, sewaktu beliau dan beberapa sahabat ke Pakistan untuk membantu saudara islam yang di landa Tsunami sedikit masa dulu, sewaktu pulang, wang sudah tiada di saku. Penerbangan di batalkan atas masalah tertentu. Namun kehadiran seseorang yang entah dari mana datang menyewakan hotel, memberi makan dan membeli tiket pernerbangan pada keesokkannya melalui negeri lain. Hebat pertolongan Allah di saat-saat kesusahan ada jalan keluar. Begitulah.. sebenarnya begitulah, kehendak Allah bagi mereka yang bertaqwa, selalu ingat pada Allah setiap ketika, sentiasa memohon pertolongan Allah, sentiasa menjaga hukum hakam Allah. Saat kesusahan, Allah beri dan datangkan pertolongan dalam berbagai rupa dan bentuk. Sehingga terlupa ustaz dan kawan-kawannya meminta nombor telefon saudara yang memberi pertolongan tersebut.

Begitulah perjalanan hidup kita, kita tidak sempurna. Banyak perkara yang orang lain ada, tiada pada kita. Begitu pula sebaliknya. Kadang-kadang keperluan cukup, kasih sayang pula tiada. Kita ok, anak pula tidak ok. Berbagailah.. Maka bermohonlah kepada Allah memberi kita kecukupan. Kerana bila Allah memberi kecukupan kita akan sentiasa rasa cukup. Bila Allah tidak mahu memberi kecukupan itu yang kita rasa tidak cukup-cukup. Janji Allah itu, ada didunia dan ada juga di akhirat. Allah berfirman

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ آمَنُواْ وَاتَّقَوْاْ لَكَفَّرْنَا عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخَلْنَاهُمْ جَنَّاتِ النَّعِيمِ

Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertakwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka kedalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan. Dalam surah al-Maidah ayat 65

Benar janji Allah, siapa yang bertaqwa pasti ada jalan keluar. Sebesar mana masalah bila ada jalan keluar, masalah jadi kecil. Sebaliknya sekecil-kecil masalah, bila tiada jalan keluar, maka ianya akan menjadi besar. Ustaz mencontohkan daging kecil yang teselit di gigi. Bila ditarik-tarik tak keluar, tak menimbulkan rasa selesa, ditarik-tarik, bukan gusi sahaja sakit, tangan juga sakit. Bila gusi membengkak.. lagi sakit. Maka ianya jadi masalah besar bila terpaksa mencari doktor pula. Disitulah kita dapat melihat, masalah yang besar sekalipun, bila ada jalan keluar, kita akan rasa tenang. Sebaliknya masalah kecil yang tiada jalan keluar sangat memberatkan.

Bila mana seseorang yang suka mencuaikan hak Allah, bila dia menghadapi kesusahan.. maka Allah akan biarkan. Sedangkan bagi orang-orang bertaqwa, bila di timpa kesusahan, maka ada sahaja didatangkan bantuan oleh Allah s.w.t. Allah menjaganya. Ini yang sering kita dengar, dalam al-Quran juga disebutkan bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar.

Sabar berbeza dengan pasrah. Pasrah lebih menuju kepada putus asa. Pasrah ini, di hari pertama diuji tidak pernah bersabar. Sabar adalah kematangan hati dan pemikiran yang sering mengakui bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ini yang membuat dia akan semakin tenang. Dia yakin ada, walaupun masih belum nampak hikmah itu. mungkin dalam sehari dua, mungkin memakan bulan dan tahun. Apa sahaja yang berlaku bukan kebetulan. Ianya dalam pengetahuan dan ketentuan Allah s.w.t. Manalah tahu kata ustaz.. suatu hari kita ditaqdirkan jadi orang besar, sedang kita pernah di uji, diaibkan, ditentang, maka tatkala berlaku disaat itu kita akan menjadi orang yang tenang. Mungkin pernah suatu ketika kita ke tempat yang tidak pernah kita lalui, kita tersesat dan mundar mandir di situ. Suatu hari, kita ada urusan penting, ke suatu tempat, rupanya kita sudah mula teringat itulah tempat yang kita sesat 6 bulan dulu. Begitulah hikmah suatu perkara... mungkin dia akan datang 6 bulan kemudian.

Bila dosa banyak, kadang-kadang Allah beri penyakit yang berpanjangan, maka bila dia sabar, maka ianya menjadi penghapus dosa. Bila saat dia meninggal dia tersenyum. Rupa-rupanya dia nampak syurga yang ditontonkan oleh Allah s.w.t. Allahlah yang maha menyempurna dan mencukupkan. Lebih-lebih lagi kita sebagai manusia sangat mudah mendapat rezeki dari makhluk lain. Nyamuk contohnya, untuk mendapat makanan terpaksa menghadapi risiko mati di tangan kita atau semburan racun. Kadang-kadang tengah makan, di tepuk orang.. mati. Kadang-kadang dah kenyang, diburu hingga ke lubang silling yang terakhir.

Namun manusia jugalah yang mudah rasa tamak. Bila tamak... rezeki Allah tahan. Sedangkan bagi mereka yang bersyukur, Allah akan tambah rezekinya. Apa yang kita pakai hari ini, inilah rezeki kita hari ini. Apa yang kita makan hari ini, inilah rezeki kita hari ini. Ingatlah.. orang yang mulakan dengan tamak maka dia tidak akan merasa cukup. Allah lah yang tunaikan hajat pada apa yang kita kehendaki. Maka banyakkan minta pada Allah. Khususkan permintaan. Doa yang umum adalah baik. Namun yang khusus lagi baik. Bila kita telah memulakan minta dengan Allah, maka barulah kita beralih pada manusia dengan menyatakan hasrat tersebut. Namun kebanyakkan kita hari ini, mencari manusia terlebih dahulu. Seolah manusia itu yang akan menunaikan hajatnya. Sedangkan Allah lah sebenar-benar yang menunaikan hajat seseorang hamba itu.

Sebagai insan yang besyukur atas segala nikmat dan kurniaan Allah, maka yakinlah dengan taqwa kita akan sentiasa bersama Allah. Allah menjanjikan kebaikan yang tersangat banyak bagi mereka-mereka yang bertaqwa. Allah lah yang menyempurnakan segala kehendak dan hajat kita. Dengan kata lain, Allah lah yang mencukupkan kita.

Allahu a'lam.