Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Saturday, May 07, 2011

KETENTUAN ILLAHI..

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ



Kehendak Allah akan menyampaikan sesuatu perkara. Kehendak Allah juga akan menghalang sesuatu perkara. Namun semua itu ada kebaikan yang tidak kita tahu. Hanya Allah yang tahu sebab musababnya.

9 kali bukan sedikit jika anda keguguran. Namun di sebalik itu, dapat ana rasakan betapa banyaknya rahmat Allah tersebut.

Sebagai manusia pasti terlalu banyak harapan dan permintaan kita. Pastinya pemurahnya Allah akan menyampaikan maksud-maksud kita. Jika 2 perkara bertentangan dalam satu masa, pasti mendatangkan masalah kepada kita.

Benar, jiwa bercita-cita untuk setiap tahun ke tanah suci, di sampaikan oleh Allah hajat tersebut. Dalam masa yang sama, ana Nampak hikmahnya, jikalah kita mempunyai bayi, pastinya berat hati untuk meninggalkannya…

12 kali mengandung… banyak perkara yang dapat di ambil pengalaman… Setiap tahun ke Haramain banyak yang di rasa kenikmatan iman ..

Ya Allah… betapa pemurahnya Engkau hai Tuhan…

Friday, April 22, 2011

KELEKAAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ




Firman Allah dalam ayat 97-99 surah al-A’araf :





أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ ﴿٩٨﴾ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّـهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّـهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩٩﴾





Maksudnya : Patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97) Atau patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98) Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi (99)




Bersukaria adalah satu sifat manusia yang memandang tidak ada apa yang menanti di kemudian nanti. Sekiranya mereka tahu bahawa azab itu sangat pedih, pasti mereka sangat berhati-hati dalam menjalani hidup seperti ini.





'Ini yang kita mahu...." jeritan seseorang bila terdengar muzik mula dipasang kuat. Selama ini mereka merasakan sepi tanpa kunjungan orang adalah kerana tiada muzik. Tiada program yang grand-grand hingga tidak kiralah program tersebut bertentangan atau tidak pada syarak.





Masih berani, meninggalkan solat Jumaat bagi kaum lelaki dengan santai-santai di restoran, di kompleks-kompleks, sehingga tidak diambil iktibar Tsunami, gempa bumi, ribut taufan berlaku secara tiba-tiba di mana-mana sekarang ini.





Perjalanan yang lebih panjang selepas kita mati yang tiada penghujungnya, menuntut kita memilih jalan mana yang ingin kita tempuh. Sekiranya kita serius memikirkan tentang akhirat, betapa kita akan sedar dan insaf, masa sudah terlalu suntuk untuk kita menebus masa yang berlalu dengan penuh sia-sia.



Sekiranya kita masih leka sukar untuk kita rasa besedia. Namun bagi seorang yang taqwa, rasa takut dan cemas terbayang menekan kita. Ketakutan meliputi seluruh alam dan mencemaskan jiwa serta menggoncang dada. Malah, ketakutan mencengkam seluruh bumi dan langit yang digerakkan lagi oleh ketakutan dan digentarkan pula oleh firman-Allah s.w.t.

Allah berfirman yang bermaksud:



“Apabila terjadi hari kiamat, tidak seorang pun dapat berdusta mengenai kejadiannya. Kejadian itu merendahkan satu golongan dan meninggikan golongan yang lain. Apabila bumi digoncang sedasyatnya dan gunung dihancur luluhkan sehancurnya, maka jadilah debu yang berterbangan." (Sural al-Waqiah, ayat 1-6)



Insafilah, sebelum tiba hari yang dijanjikan, pastikan kita bersedia dengan amalan, bagi meraih kerahmatan dari Tuhan semesta alam. Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang.



Allahu a'lam.


Sunday, April 10, 2011

PERINGATAN YANG DIABAIKAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Sedih melihat keadaan ummah akhir zaman ini. Walaupun peringatan demi peringatan datang dari Allah s.w.t, mereka masih tetap terus menerus melakukan perkara-perkara yang di larang Allah. Mereka mengambil mudah dalam soal hukum hakam Allah. Mereka berani melakukan perkara yang terang-terang mungkar di depan khalayak tanpa rasa salah.

Keadaan ini meluas hingga masuk meyelinap ke setiap sekolah-sekolah. Poco-poco contohnya, tak boleh tidak di anggap baik dan tidak bertentangan dengan hukum. Mana mungkin perkara yang Allah larang itu boleh di benarkan. Pergaulan bebas, beraksi di depan yang lelaki yang ajnabi, semua itu di larang. Wanita bukan untuk dipertontonkan. Mana mungkin manusia yang menjamin kesihatan. Untuk program kesihatan, boleh dijalankan yang mana bagi wanita di dewan tertutup tanpa seorang lelaki pun. Masalahnya atas dasar apa ianya dibuat dikhalayak?

Tidak solat Jumaat, menjadi-jadi di kalangan kaum lelaki. Lebih merimaskan, mereka ‘rilex’ membeli makanan bersama anak isteri, duduk-duduk makan. Bagi peniaga yang tidak tahu azan atau khutbah, elok saja menghisap rokok, berbual-bual dengan rakan sewaktu khutbah berkumandang. Elok saja turut sama membantu isteri menjual makananan. Sedangkan semua yang diberi Allah itu adalah milik Allah, berupa pinjaman. Baik kesihatan maupun tubuh badan.

Bila saat membayar hutang, membayar sewa, merekalah orang yang paling bising tidak dapat untuk membayar hutang dan sewa. Alasan kedai tidak berapa maju. Orang tidak berapa ramai mejadi alasan menyokong tindakan tidak membayar hutang. Jika menurut logik akal, banyaklah duit yang mereka dapat. Ramailah orang yang makan minum dan membeli di kedai. Apa tidaknya, sampai tak sempat pergi solat Jumaat.

Inilah perangai umat islam. Umat islam ramai yang gagal dalam perniagaan walaupun bukan semua. Namun mereka gagal kerana meraka gagal berniaga dalam ketaqwaan. Waktu seruan azan memanggil, mereka pekakkan telinga. Mereka leka. Aurat tidak dijaga. Seolah-olah usaha mereka yang mendatangkan keuntungan. Rezeki adalah dari Allah. Allah boleh memberi pada yang dikehendaki, Allah juga boleh menarik kembali apa yang telah diberi olehNya.

Wajarlah jika majoriti dalam suatu bangunan yang hampir 100% islam, baik pekerja atau berniaga, jika gologanan inilah yang merunggut, biasanya peniagaan malap di tempat-tempat begini, berbanding tempat perniagaan yang tidak sepenuhnya islam yang Nampak lebih laris. Semua ini menjadi peringatan buat umat bergelar Islam, bahawa jika kamu itu islam, kamu perlu laksanakan islam. Jika kamu mempermain-mainkan islam, jika kamu ambil mudah soal hukum hakam islam, ingatlah azab Allah itu sangat pedih.

Janganlah kamu lupa, bahawa, dunia adalah syurga orang kafir. Syurga kita di sana, di akhirat sana. Dunia ini, tempat ujian bagi kita. Jika dalam kerja, dalam berniaga, kita merasa kan , tidak apa melakukan perkara-perkara yang boleh menarik orang ramai walaupun ianya bertentangan dengan hukum Allah, demi menarik pelanggan, anda sebenarnya silap. Anda sebenarnya tewas apabila di uji Allah. Allah yang menjamin rezeki kita. Allah juga yang menurunkan hukum hakamNya. Mana mungkin, perkara maksiat boleh menjamin rezeki anda. Mana mungkin manual Nokia di guna dalam Motorolla. Mana mungkin manual Toyotta diguna dalam Produa. Itulah sebahagian dari contohnya.

Selagi ada yang memberi peringatan, InsyaAllah, dengan anda-anda yang mengambil mudah soal hukum hakam Allah masih selamatkan. Namun jangan kita semua lupa, bala Allah, peringatan Allah telah mencetus di sana sini. Supaya di buat iktibar. Tentera Allah, ribut, taufan, api, air dan sebagainya adalah maklhluk yang patuh pada perintah Allah. Bila-bila sahaja ianya melaksanakan apa yang diperintahkan Allah. Cuma beringat… jangan kerana perbuatan kamu… mereka-mereka yang masih tidak mahu berhenti dari kemungkaran, menjadi penyebab kemurkaan Allah s.w.t.

Berhentilah… jika kamu mengaku kamu semua adalah ‘HAMBA ALLAH’..

Itulah nilai seorang hamba… taat dan patuh dengan perintah Allah. Tinggal dan jauh segala larangan Allah.

Allahu a’lam.

Friday, April 08, 2011

TERSELAMAT DARI FITNAH DAJAL

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Tidak termampu rasanya untuk ku kejar masa yang terlalu pantas berlalu. Baru selesai tugas perbincangan. Beginilah sibuknya tugas sejak ditukarkan ke sini. Sebelum ini, masih ku sempat menjengak blog hari-hari. Paling tidak ku mampu bertahan sampai tengah malam untuk menulis blog. Namun, kini, lepas Isyak, rasa sangat letih...


Itulah kelemahan insan bergelar manusia. Sangat lemah...! Badan serasa sakit sana sini.. semua itu mengingatkan betapa hampirnya MATI..!!!. Mati adalah satu kepastian yang tidak boleh di tolak lagi. Subuh tadi, dapat berita lagi, ibu kawan anak ku meninggal dunia jam 2.30 pagi tadi. Terkedu sejenak, bila ku memikirkan ujian Allah pada keluarga tersebut. Namun bila kita memandang baik ketentuan Allah, kita akan jumpa hikmahNya.


Anak ku sering menyambut hari lahir di rumah kawannya, kerana tarikh lahirnya adalah sama. Kemungkinan juga bersebelahan semasa di wad HKL ketika mereka dilahirkan. Namun waktu itu tidak tahu mereka akan menjadi kawan. Di sebabkan ku tidak menjadikan sambutan hari lahir sebagai upacara rasmi seperti ibu-ibu yang lain.. berbetulan tarikh lahir anakku sama dengan kawannya yang sama sekolah, sama tempat tinggal sebelum ini yang tidak jauh dari rumah, maka biasanya hari lahirnya di sambut bersekali di situ. Hingga anakku menjadi sebahagaian dari anggota keluarga mereka.


Taqdir Allah tidak dapat di tolak, bermula kematian bapa kawan anakku di bulan Ramadhan, di ikuti, Datuk, dan kemudian kawan anakku.. sendiri... sedihnya... bersambung ke nenek dan malam tadi ibunya...


Berita yang didengari dari anakku bertali arus, menyentak perasaan terharu kerana mengenangkan hubungan akrab anakku dan keluarganya. Kini, kami telah berpindah jauh juga dari sana, mendengar kematian tersebut, dalam keadaan anakku tengah menjalani praktikal. Sedih juga.. Itu lah taqdir Allah. Namun, apa yang ku lihat... keluarga tersebut terselamat dari FITNAH DAJAL....


Itulah kelebihan mereka. Mereka telah meninggalkan dunia sebelum di datangkan Dajal. Selamat mereka, selamat aqidah mereka.


Kita... bila lagi bahagian kita. Semoga Allah memberi taqdir yang baik untuk kita semua. Semoga kita semua dimatikan dalam keadaan yang baik, dalam tempat yang baik dan dalam perbuatan yang baik.


Mati itu pasti, maka bersedialah kita untuk istiqamahkan diri, dalam keredhaan Illahi...


Allahu a'lam.

Tuesday, March 22, 2011

TIDAK REDHA PENYEBAB TIDAK TENANG

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Tidak banyak orang yang melakukan muhasabah diri. Sedangkan bila berbuat demikian akan menghasilkan ketenangan jiwa. Jiwa yang tenang itu akan memancarkan gelombang-gelombang emosi positif yang akan diterima oleh orang sekeliling. Hasilnya ketenangan jiwa kita tadi mampu membuat orang lain mencapai keharmonian fikiran serta beremosi positif. Jika sebaliknya, keadaan ketidak tenangan tersebut boleh membuat orang lain juga tidak tenang. Bahkan mengancam ketenangan orang lain.

Perlu diketahui ketenangan minda dan ketenangan jiwa adalah dua perkara yang berbeza. Jika seseorang itu mengalami ketenangan minda dia belum tentu mencapai ketenangan jiwa. Namun jika di mengecapi ketenangan jiwa sudah pasti mindanya tenang.

Persoalannya kenapa jiwa tidak tenang?. Jiwa yang tidak tenang adalah jiwa yang tidak dapat menerima ketentuan Allah s.w.t. dengan baik. Sentiasa melihat keadaan terjadi di sebabkan oleh orang lain. Sedangkan ia terlupa bahawa manusia hanya mampu merancang, dan Tuhan yang menentukan.

Jika perancangan itu gagal, kita harus melakukan muhasabah diri dan berfikiran positif dan bertindak secara positif. Tidak boleh bertindak membabi buta sahaja. Kesannya ia akan mempamerkan akhlak kita yang sebenarnya.

Akhlak yang berselindung disebalik sesuatu yang zahir akhirnya akan terkeluar bila kita diuji dengan sedikit kesusahan atau kesulitan. Saat itu, terbongkarlah kebenaran nilai diri kita. Lantaran demikian kita akan melontar untuk menyalahkan orang lain. Mencari kesilapan orang hasil dari akhlak realiti dan ketidakan tenangan kita menerima ketentuan Allah s.w.t.

Sebenarnya orang demikian, adalah seorang yang bermasalah. Untuk mengelak dari di ketahui keadaan demikian, mereka akan mula mencari kesilapan demi kesilapan orang lain. Sehingga ia terlupa manusia hanya mampu merancang, yang memberi ketentuan adalah Allah s.w.t

Belajarlah menerima ujian dengan penuh keredhaan, agar jiwa menjadi tenang.

Allahu a’lam.

Monday, March 21, 2011

NIKMAT KESIHATAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Betapa bila difikirkan, selain nikmat iman dan islam, nikmat yang agak besar kurniaan Allah adalah nikmat kesihatan. Bila sakit datang, saat itu longgokan wang, harta, makanan semua sudah tidak dihiraukan. Semua itu tidak ada makna. Semua itu juga tidak boleh mengembalikan kesihatan yang telah ditarik oleh Allah s.w.t.

Ada juga yang dipulihkan oleh Allah, namun sebanyak mana pula kesyukuran atas perkara tersebut. Masih ada yang melupai, sehingga hidup tidak sudah-sudah mengejar duniawi. Dalam mengejar duniawi yang perkara dikejar boleh ada dan boleh juga tidak, ada waktu kesihatan jadi terganggu atas keletihan teramat yang ditanggung tanpa rehat. Mencari dan terus mencari wang untuk memenuhi keadaan yang diwujudkan. Sedangkan, jika perkara demikian tidak ada pun, tidak mendatangkan kemudaratan.

Nikmat kesihatan yang diberi Allah dibumi Haramain, setiap ke sana, sungguh menimbulkan keinsafan. Allah juga boleh menguji dengan ditarik sedikit kesihatan tersebut, sebagai ingatan, betapa deritanya nikmat yang ada ditarik sedikit oleh Allah. Ya.. Allah, menjejak kaki di tanah air semula, serasa seluruh sendi menjadi lemah, tiada upaya melainkan dengan pertolongan Mu. Sekejap dapat menjaga abah, kesihatan ku sudah mula terganggu. Hampir diriku juga di masukkan ke wad. Lemahnya diriku. Untuk bangun pun tidak berdaya, sehingga ku diuji lagi, dengan kesakitan lainnya bila hampir jatuh.

Ya..Allah, namun ku redha dengan ujianmu. Ku dapat rasakan kemanisan nikmat iman sekembalinya dari Haramain. Semua ini, membuat ku banyak membisu mengenang kebesaranMu. Berbagai perkara telah Engkau bentangkan di depanku. Sungguh kebesaranMu ya Allah. Sukar untuk diucapkan dan di olah dalam bahasa percakapan. Sungguh kerinduan yang pasti tidak kunjung padam. Serasa tidak boleh ku tinggalkan bumi Haramain lagi...

Pastinya atas keizinanMu, ku akan menjejak lagi bumi suci yang sangat dicintai..

Allahu a'lam.

Friday, March 18, 2011

BESARNYA KURNIAANMU YA ALLAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillah. Kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah yang masih menjemputku dan anak-anakku ke bumi suci Makkah dan Madinah untuk kesekianan kalinya. Rindu yang tersangat mendalam rasa terubat sebaik mejejak kaki dibumi Haramain ketika menjelang fajar 2 Mac lalu.

Bermula menziarahi Rasulullah s.a.w, sungguh tidak dapat untuk diluahkan betapa bahagia berada dibumi tercinta tersebut. Rindu yang tersangat, membuatkan segalanya menjadi sangat bermakna. Kecintaan yang mendalam membuat semuanya indah belaka. Bahkan segalanya dirasakan sangat mudah untuk dilaksana, atas dasar rasa yang penuh cinta.

Hanya mereka yang mengerti erti dan nilai cinta yang memahaminya. 2 minggu di bumi Haramain serasa sekejap sahaja. Namun begitulah, berbagai perkara dapat dibuat iktibar dan dipandang penuh mempunyai hikmah. Macam-macam hikmah yang ana nampak atas segala aturan Allah s.w.t, bermula dari berdaftar tahun lepas lagi. Dari situ semakin meningkatkan keimanan, bahawa Allah sangat sayang dengan hamba-hambaNya. Banyak perkara yang diluar pengetahuan kita.

Bila abah jatuh sakit, ana nampak betapa perlu adik-beradik lelaki menjaganya. Jika isterinya pergi bersama ana, pasti urusan persekolahan anaknya terganggu bila kes demikian. itulah hikmah atas ketentuan tersebut. Dengan berada di sana dapatlah ana berada ditempat-tempat yang tersangat makbul doa bagi mendoakan abah yang dikatakan tidak mengenal ahli keluarga. Alhamdulillah...berita yang didengar berubah-rubah sehinggalah abah dapat mengenali semua. Ya Allah, benar janjimu, engkau sentiasa mengabulkan doa hamba-hambaMu. Ada masa tersangat cepat dan ada masanya lambat. Semua itu sangat mempunyai hikmah. Alhamdulillah.. besar sungguh kurniaanMu ya Allah, bila Engkau sentiasa menjemput aku ke sana...

Pasti ku akan berusaha ya Allah, untuk terus menerus ke sana, sehinggalah kembalinya aku kepadaMu. Itulah nekad yang tertanam dilubuk sanubariku..