Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Thursday, November 18, 2010

PERTEMUAN DI DALAM KOMUTER

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Kali pertama naik komuter pulang kerja pada 16hb. Nov, sejak mula bertugas di Shah Alam 8 November, 2010 lepas sangat-sangat menguji kesabaran. Sebaik di hantar adik ke stesyen di Seksyen 19, waktu itu jam menunjukkan 5.30 petang, boss beri balik awal sikit, sempena raya eidil Adha esoknya, dapat ana melihat suasana mereka yang baru balik kerja. Dengan berbagai telatah. Makin lama, makin ramai yang menanti komuter. Apa yang ana perhatikan, ada nampak kegusaran beberapa orang, tak kurang yang menalipon mungkin orang yang menunggu mereka di stesyen lain. sebaik pengumuman bahawa komuter masih belum bergerak dari Pelabuhan kelang, barulah ana faham, hari tersebut adalah hari di mana jadual perjalanan komuter terganggu.

3 komuter berlepas ke Pelabuhan Kelang, namun komuter menghala Batu Caves, masih tak sampai-sampai. Penumpang sudah cukup ramai, pastinya bertambah ramai di setiap stesyen. Sebaik komuter sampai 6.39 petang, masing-masing meluru masuk. Bersesak-sesak sekali. Dari setiap stesyen ke satu stesyen, ramai yang tidak dapat masuk. Berbagai runggutan dan jeritan di dengar. Masing-masing melepas marah, minta yang dalam masuk dengan mengatakan mereka dah tunggu cukup lama. Begitulah...., nak bergerak pun tidak boleh. Memang sesak sungguh.

Ana serik dengan suasana tersebut, kerana waktu maghrib telah masuk. Ana sangat gusar sekali. Jangkaan ana, paling lewat, jam 7.15 dah sampai ke Sentul. Ana gelisah, kerana jarang sekali ana solat lewat. Sebaik azan, ana pasti solat. Mahu tidak mahu, dalam diam ana solat menghormati waktu. Syukurlah ana masuk ruang tengah komuter, yang telah diumumkan di khaskan pada perempuan. Namun adalah beberapa lelaki yang sempat menyelit di ruangan pintu tersebut.

Satu peristiwa yang membuat ana terkenang-kenang, sebaik ramai yang turun di stesyen KL central, ana dapat tempat duduk. Kemudian, duduk seorang perempuan India di sebelah ana. Dia berbahasa Inggeris menegur ana. Ana bertanya, boleh berbahasa Malaysia. Dia pun fasih berbahasa Malaysia. Lantas, cerita punya cerita, beliau percaya, bahawa Tuhan adalah satu. Dia percaya, selalu mengharap Tuhan tolong. Beliau juga bercerita pernah ke India dengan ibunya, sewaktu ibunya belum meninggal dunia, pergi ke tempat orang Islam sembahyang. Dia kata ada bawa Quran balik.

Bila dia bertanya ana, kenapa ana nampak cemas, ana kata ana memikirkan tentang solat. Lantas dia berkata, di Sentul banyak Masjid. Saya rasa awak sempat sembahyang. Begitu banyak pengetahuan dia, ana berkata padanya, di mana ana mengharapkan suatu hari dia benar-benar boleh menerima hakikat Tuhan kita adalah Allah. Cukup dengan berkata " Tiada Tuhan melainkan Allah" ana sebut dalam lafaz arab, sekiranya di taqdirkan mati, maka tiada dosa, putih bersih seperti kapas. Dosa-dosa sebelumnya di ampunkan Allah. Ana juga berpesan, carilah, kajilah islam melalui kajian dan maklumat yang benar. Jika melihat, bangsa melayu hari ini, pasti anda tidak dapat melihat kecantikan dan kebenaran islam. Ramai orang melayu tidak mengikut ajaran islam. Tetapi, islam adalah sangat indah, islam adalah agama untuk semua bangsa.

Beliau mengakui, katanya, perangai orang melayu sekarang banyak yang teruk. Pertemuan sebentar di dalam komuter, meninggalkan kesan di hati ana. Sewaktu ana ingin turun di komuter sentul, beliau menghulur tangan bersalaman. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya untuk mengenali islam yang suci dan penyelamat umat manusia. Tiada Tuhan melainkan Allah.

PENGORBANAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Pengorbanan perasaan oleh Nabi Ibrahim a.s dan pengorbanan Nabi Ismail a.s, membuktikan kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada Allah. Sayangnya hari ini, anak-anak tidak lagi patuh dengan suruhan baik ibubapa, apatah lagi perintah Allah. Contoh mereka adalah puak-puak kufar iaitu puak yang dijanjikan neraka berkekalan oleh Allah.

Sedih bila mereka tidak merasa malu mengikut gaya dan kehidupan orang-orang barat. Bahkan banyak di keliling mereka contoh-contoh yang baik dari pakaian sunnah walaupun tidak keseluruhan. Inikah umat yang di katakan menyintai Rasululullah s.a.w. Mereka yang mengaku cinta, tetapi adalah dusta.

Nilai cinta mudah di mengerti. Secara mudah, seseorang yang mencintai seseorang akan berbuat apa sahaja untuk orang yang dicintai. Namun kecintaan umat manusia hari ini terhadap Rasulullah s.a.w adalah dusta sama sekali. Apa yang di sarankan oleh Nabi s.a.w. tidak di ikuti. Sebaliknya mereka mengikut contoh-contoh orang glamour dari puak kufar dan juga puak-puak yang banyak menentang hukum Allah. Model mereka adalah orang barat dan artis-artis yang tidak pun dapat menjaga aurat.

Memang benar, kesudahan mereka kita tidak tahu. Tapi sekarang kita tahu, perbuatan itu adalah bertentangan dengan hukum Allah, maka sekarang jangan ikut. Jika suatu hari mereka insaf dan kembali bertaubat dan memulakan hidup sepenuhnya dengan cara hidup islam, saat itu boleh di ikut.

Orang beriman seharusnya malu untuk melanggar hukum Allah dan ajaran dari Rasulullah s.a.w. Akhlak yang baik dalam keperibadian muslim tidak banyak yang dapat mempertahankan. Sayang sekali sukar kita melihat kepatuhan seperti Khadijah r.a.h. bilal, dan sahabat Nabi s.a.w. yang lain juga ketaatan yang tidak berbelah bagi seperti Nabi Ismail a.s. Sedangkan tidak kira siapa anda, ada lah hamba Allah yang sepatutnya taat kepada perintah Allah dan rasul.

Allahu a'lam.

Saturday, November 13, 2010

RAHMAT ALLAH

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Membahaskan kitab Bahrul mazi jilid 18, ms 109. Ustaz Shamsuri menerangkan bahawa orang yang beriman akan masuk syurga walau sedikit iman sekalipun. Kita sekarang beriman kepada Allah s.w.t. Kita juga mengetahui bahawa Rukun iman ada 6. Sekiranya seseorang menolak satu sahaja bermakna tidak beriman lah ia. Rukun iman Tidak lah ianya mengikut kaedah kira-kira atau matematik. Mesti tidak boleh tidak seseorang itu beriman kepada ke enam-enam rukun tersebut. Jadi, Kalau ada sedikit sahaja iman, akan masuk syurga lah seseorang itu. Walau seberat zarah sekalipun. Pokok pangkalnya harus Percaya, tapi sekiranya seseorang itu meninggalkan solat. Kalau di Tanya tak takut ker dengan siksa Allah. Jawapannya Takut…. tapi tak dapat kawal diri, sebab malas. Selagi mana beriman dengan Allah ada rahmat Allah. Akhirnya masuk syurga setelah di balas dengan siksa neraka. Namun janganlah sewenang-wenang meninggalkan solat. Dosanya tersangat besar, azab Allah tersangat pedih.

Dalil yang mengatakan seorang itu pasti masuk syurga akhirnya walau ada sebesar zarah iman, di petik dari sebuah hadis Nabi s.a.w.

Hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Said Al- Khudri juga ada menyebut bahawa mereka yang ke syurga dan neraka akan kesana apabila sampai waktunya. Tapi mereka yang ke neraka dan kemudiannya dinilai mempunyai keimanan walau sebesar zarah sekalipun maka Allah akan mengeluarkannya dari neraka dan memaasukkannya ke syurga. [Shahih Bukhari, V1 Buku 1, hadis 21]

Jelas di sini bahawa sekiranya, dalam hati ada sebesar zarah dari iman. Setelah di siksa dalam api neraka, ada peluang seseorang yang beriman itu untuk masuk syurga. Sahabat keluarkan dalil, bahawasanya Allah tidak zalim, walau sebesar zarah. ALLAH tidak zalim kepada hamba-hambaNya. Yang beramal soleh dijanjikan kebaikan. Yang beramal kejahatan dijanjikan pembalasan atas keburukan.

“ Dan barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung”
Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.

Sudah tentu tidak kekal orang yang ada iman di dalam neraka Allah, Walau pun ada sedikit sahaja iman. Itu janji Allah dalam quran. Nabi, ulangi dalam hadis,

Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.” (Riwayat Muslim)

Maka ketahuilah oleh kita, bahawa masuknya seseorang dalam syurga dengan rahmat Tuhan. Masuk syurga dengan semata-mata dengan rahmat dan belas kasihan Allah. Bukan dengan amalan kita semata-mata. Bukan kerana rajinnya seseorang itu solat, puasa sunat, umrah, haji, sedekah, tapi adalah semata-mata kerana rahmat dan belas kasihan dari Allah. Namun untuk mendapat rahmat tersebut, Allah tengok amalan seseorang. Untuk dapat belas kasihanNya. Maka amalan dan rahmat itu ada kaitan.

Sekiranya seseorang itu berkata untuk masuk syurga adalah semata kerana amalan… tak boleh kata macam tu. Tidak boleh berIktikad demikian, Pendapat ini tidak benar. Kita adalah hamba Allah. Kita berada di bawah naungan limpah rahmatNya. Belas kasihan Tuhan. Seorang yang mengerjakan solat jika di suruh masuk dalam neraka. Maka tidak boleh berkata mengapa. Tak boleh dipertikai. Mesti Allah yang mengetahui sebab musababnya. Kalau solat, masuk neraka, itu telah di sebut oleh Al-Quran. Neraka wil orang yang sembahyang. Ada di cerita sebab kenapa solat masuk neraka. Ada orang solat masuk neraka. Maknanya solat yang dibuat tidak menepati solat yang dikehendaki oleh Allah. Maknanya amal ibadat kita buat belum menjamin masuk syurga , hanya sebab musabab sahaja masuk syurga dengan rahmat Allah. Jadi oleh kerana kita hamba, ikut suka Allah lah ... Kita tidak boleh Tanya kenapa. Hanya Allah yang maha adil menentukan sebaik-baik pembalasan pada hamba-hambaNya. Allahu a’lam.

Friday, November 12, 2010

ORANG YANG BERAKAL

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Al-Quran adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Barang siapa yang tidak bertaqwa sukar untuk mendapat petunjuk dari al-Quran. Bahkan sifat munafik selalunya melakukan sesuatu tidak ikhlas, seboleh-boleh ingin orang lain mengetahui segala apa yang dia ada baik dari segi harta, anak-anak dan kehebatannya meskipun, ianya telah berlalu di masa lampau.

Sifat ikhlas sangat penting bagi mengawal diri dari sikap demikian, menunjuk-nunjuk dan ingin orang lain tahu serba serbi tentang kelebihan yang di milikinya. Itulah sebahagian tanda mereka yang munafik. Hendaklah kita berusaha menghindari bersahabat dengan golongan-golongan yang boleh mencederakan nilai pegangan keagamaan kita.

Lukman Al Hakim berkata pada puteranya;"Hai anak siapa yang bersahabat dengan orang jahat tidak selamat.Siapa yang masuk tempat yang jelek tertuduh.Siapa yang tidak dapat menahan lidahnya menyesal".

Perbanyakkan membaca al-Quran lebih-lebih di rumah begitu memberi makna dalam rumah tersebut. Rumah yang tiada di bacakan Quran di dalamnya, pastinya tidak tenteram. Itu yang menyebabkan hari ini ramai anak-anak yang suka berada di luar rumah. Itu yang hari ini macam-macam perkara mereka berani melakukan, sehingga lah dosa besar. Tindakan kebanyakkan manusia hari ini, bagai orang yang tidak berakal.

Berlainan dengan orang yang berakal, sebelum melakukan sesuatu mereka akan saring dulu. Mereka akan berkata-kata di dalam hati. Hati orang beriman akan rasa jika sesuai di teruskan, jika tidak akan ditinggalkan. Hatta untuk mengeluar kata-kata dengan orang lain juga, mereka berhati-hati. Mereka akan tapis dulu, jika kita sendiri yang di kata begini, bagaimana perasaan kita. Begitulah orang yang mengunakan akalnya.

Namun yang lebih ramai ialah mereka yang tamak, lidah tiada insuran, menurut orang hari ini. Cakap ikut sedap rasa. Allah telah memberi panduan bagaimana kita harus berinteraksi dengan masyarakat. Akhlak bagaimana yang harus diamalkan. Bukan setakat tehadap orang islam, terhadap non muslim juga ada panduannya.

Dengan akhlak yang baik, InsyaAllah mereka mudah tertarik dengan Islam. Bukan bermakna kita boleh sewenang-wenang berkawan dengan mereka, hingga mengiktiraf kongsiraya dan sebagainya. Itu tidak betul. Namun dengan akhlak yang baik, mudah-mudahan mereka mengerti betapa mulianya ajaran islam tersebut.

ABUL-Laits meriwayat dengan sanad daripada Ali Abi Talib yang mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Seharusnya seorang yang berakal itu tidak tekun kecuali dalam tiga perkara, iaitu berusaha untuk keperluan hidup, beramal untuk hari kemudian (akhirat) dan bersuka-suka yang tidak haram. Juga berkata, “Seseorang harus dapat mempergunakan siang kepada empat waktu, iaitu, waktu untuk bermunajat kepada Allah; waktu untuk memperbaiki diri; waktu untuk mengajar ilmu dan melayani kehidupan yang baik dan halal. Sumber Abullaits Assamarqandi, Tanbihul Ghafilin

Kita di beri masa 24 jam sehari semalam. Bagaimana kita mengunakan dan mengagih-agihkan masa tersebut untuk perkara-perkara demikian. Bagaimana masa yang kita luang untuk mahasabah diri. Bagaimana pula masa untuk mempelajari ilmu, juga bagaimana masa kita peruntukkan untuk memupuk kasih-sayang dan menghalakan nafsu pada yang halal dan baik kata ustaz di kuliah zohor semalam di PKNS. Jika kita dapat melakukan ianya dengan terbaik, itulah orang yang mengunakan akalnya.

Hati yang tiada kasih sayang, penuh rasa benci. Mudah hendak marah. Bahkan suka sangat buruk sangka. Jadi biarlah kita sentiasa merasa berkecukupan. Kalau ada banyak tetapi tak cukup-cukup juga, apa faedahnya. Apa yang penting kita sentiasa berusaha untuk taat kepada Allah. Itu yang Allah ingin lihat.

Islam adalah agama untuk manusia. Kebaikannya pasti kembali kepada manusia. Semua itu kita boleh lihat indahnya islam. Bahkan sambutan kita hariraya eidil Adha itu dimana korban itu sendiri menyatukan semua manusia. Allahu a’lam.

Thursday, November 11, 2010

NIKMAT YANG DI RASA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Menjadi lumrah dalam kehidupan, tatkala sedang memiliki sesuatu, kita rasakan yang lain adalah lebih baik. Ada kereta yang kecil, bercadang pula untuk membeli kereta yang sedang, bila melihat ada yang membeli yang lebih besar, kita bercadang pula membeli yang lebih besar. Dalam besar itu, keluar lagi yang bejenama, bekejar-kejar pula mencari kereta yang bejenama. Ramai yang memegang prinsip biar papa asal bergaya.

Tak kurang, yang memakai kereta besar, jarang sangat digunakan. Melainkan perjalanan jauh untuk balik kampung atau seumpamanya. Baru terasa, kereta besar, bayaran besar, wang untuk minyak juga besar jika di guna hari-hari. Alat gantinya juga besar bila berlaku kerosakkan, saat itu baru terasa nikmatnya ada kereta kecil. Lantas, kereta kecil juga di cari. Minyak murah, parking senang saja menyelit sana-sini.

Begitu jugalah, kita akan merasa nikmat sesuatu perkara bila perkara itu sudah tiada. Menurut ustaz di PKNS semalam, saat di rumah, kita mungkin rimas dengan leteran isteri. Namun bila isteri tiada seminggu dua, kelam kabut di buatnya. Rasa lumpuh segala perkara. Tidak tahu nak capai apa. Begitulah lumrahnya kehidupan.

Ana juga tidak lari dari keadaan demikian, sesekali ada juga rasa nak berubah angin. Bila di beri Allah kerja di tempat lain, di negeri lain, berjawatan lain, baru terasa nikmat berkerja di hantar dan di ambil suami setiap hari, baru rasa nikmatnya tinggal sebumbung dengan suami dan anak, walau kadang-kadang hilang sabar juga dengan perangai anak-anak. Baru terasa nikmatnya berada di tempat lama dan berjawatan lama. Tidak sama suami dan anak-anak, dengan kawan-kawan serumah walaupun mereka ramai, kita tetap merasa sepi. Senyuman kawan-kawan, tidak sama dengan senyuman suami dan anak-anak.

Pastinya, dalam keadaan demikian, istiqamah yang akan memudahkan segala perkara. Istiqamah akan mengembalikan segalanya. Ana dapat melihat, istiqamah suami yang sentiasa berkorban, 3 hari mencari tempat tinggal ana, Allah memberikan yang terbaik kepada ana. Start aje motor, 3 minit, sampailah ke pejabat. Alhamdulillah. Istiqamahnya suami untuk menentukan dan memastikan ana tidak jauh dari rumah Allah, Masjid betul-betul di belakang rumah. Masyaallah. Begitu jua, atas rasa istiqamah untuk mencari ilmu, mengikuti pengajian seperti di pejabat lama dulu, akhirnya bila bertanya kawan, dapat juga ana mengikuti pengajian kuliah berhampiran di pejabat. Ya.. Allah, besarnya pertolonganmu ya Allah. Pastinya benar janji dan jaminanmu bagi mereka yang ingin mendekatkan diri pada mu.

Di pejabat baru pula, langsung tiada tekanan, bahkan pendek kata, semua dah besar-besar belaka, pandai-pandailah fikir sendiri. Begitulah, nikmat yang hilang, pasti di rasa, namun nikmat yang datang hanya di rasa apabila ada pertolongan Allah yang maha kuasa.

Hanya Allah yang mengetahui apa yang baik dan buruk untuk diri kita semua. Allahu a'lam.


Friday, November 05, 2010

PERTOLONGAN ALLAH SANGAT DEKAT

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Pertolongan Allah sentiasa hadir dengan cara yang tidak terbatas. Boleh jadi hadirnya pertolongan Allah itu dalam bentuk halangan di peringkat permulaan, sedikit kesusahan, kepenatan, nasihat, tulisan, pujian, makian, bantuan, guncangan, senyuman, tangisan, atau dalam bentuk yang lain.

Namun kita tidak dapat mengandaikan kenapa demikian, sehinggalah kita benar-benar meraih kehendak tersebut. Bila sudah mendapatnya, barulah kita faham sebenar-benarnya kenapa dan mengapa ianya demikian.

Begitulah.. dalam masa permulaan dan sekejap, sukar kita mengandaikan ketentuan Allah. Bila kita telah mendapat jawapan dari permasalahan demikian, baru kita mengerti. Pertolongan Allah sangat dekat. Pemberian Allah adalah sangat terbaik bagi hamba-hamba yang sentiasa berserah kepada Allah. Ya.. Allah, terlalu tinggi nikmat yang engkau berikan dari sedikit ujian kesusahan. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah.

firman Allah.
أَلا إِنَّ نَصْرَ اللّهِ قَرِيبٌ

‘Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat.’ (QS. al-Baqarah: 214)

Allahu a'lam.

Thursday, November 04, 2010

SENJATA ORANG MUKMIN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Banyak petanda dan peringatan Allah dari sehari ke sehari. Namun tidak juga memberi kesedaran pada mereka yang mempunyai mata tetapi buta melihat, mempunyai telinga, tuli untuk mendengar. Bahkan, apa sahaja perkara dosa yang dibuat kerana terpaksa menjadi alasan. Sedangkan keimanan Bilal patut dijadikan tauladan. Walau nyawa jadi pertaruhan, namun untuk menarik kata dari mengakui Allah yang Maha Esa, tidak bergoyang walau di siksa. Apakah kalian di siksa untuk melakukan kejahatan?

Firman Allah :-
مَنْ عَمِلَ صَالِحاً فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاء فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (Surah Fussilat:46)

Kita tidak dapat lari dari kesilapan, namun tidak lah boleh dijadikan alasan untuk membuat dosa. Orang mukmin berdosa, yang mengakui beriman kepada yang Esa, pastinya bersegera memohon keampunan dari Allah. Pasti bersegera bertaubat dengan taubatan nasuha. Maka berdoalah kepada Allah dalam mencari kebaikan yang banyak dalam hidup ini, agar selamat di kemudian hari.

hadith Qudsi yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa;kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa-doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Riwayat Tirmizi)

Doa adalah senjata orang mukmin. Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Mafhumnya: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakan amal kebajikan”. (Riwayat Tirmizi)


Allahu a'lam.