Menjadi tetamu Allah...melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Sunday, October 10, 2010

KISAH DI HARAMAIN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Masih segar jiwa ini untuk menyebut tentang Haramain. Tak sangka pula kuliah subuh pagi tadi ustaz banyak menyentuh cerita-cerita yang patut di jadikan iktibar pada kita. Cerita-cerita begini mengingatkan akan diri kita agar mempunyai ciri peribadi mulia bahkan bersih sebersihnya hati dan niat kita untuk ke sana. Tujuan ke sana semata-mata merebut nikmat dan rahmat yang di janjikan Allah buat insan-insan yang bertaqwa. Jika terpesonglah niat, maka natijahnya juga sangat buruk. Buruk bukan setakat di sana, bahkan menjadi-jadi keburukan bila sampai kembali ke tanah air kita, juga di akhirat sana.

Cerita begini, melahirkan keinsafan di hati. Mana mungkin kejahatan akan bertahan selesa selama-lama. Pasti suatu hari ianya akan mendapat balasannya. Baik di dunia, maupun di akhirat sana. Cerita Ustaz, sewaktu beliau menunaikan haji 4 tahun lepas, rakan sebiliknya suka memaki-hamun isterinya. Juga mengarah-arah isterinya meskipun pada hal-hal yang remeh. Isteri yang diherdik demikian, sentiasa bersabar. Lelaki ini juga kurang amalan dan suka sangat bernyanyi-nyanyi hingga ke tengah malam. Suatu hari, sewaktu dia ke Masjidil Haram, dia tidak nampak Kaabah. Hanya nampak orang yang berjalan sahaja. Mulalah keresahan menyelubungi jiwanya. Bila Ustaz suruh beliau buat solat taubat, setelah beberapa ketika, barulah beliau nampak Kaabah mula nampak dan naik sedikit demi sedikit dari bawah. SubahanAllah. Di situ juga Allah menunjukkan keajaiban perkara tersebut terhadap mereka yang mempunyai sikap yang begini.

Sebaliknya di masa yang lain, kata Ustaz, isteri seorang yang lain pula suka mengherdik-herdik dan berkasar suara dengan suaminya. Bagai budak tadika di lakukan terhadap suaminya. Lancang sungguh mulutnya pada suami. Puas rakan sebilik menasihatkannya, dia langsung tidak ambil kisah. Terus menerus memperlakukan suaminya. Hingga tiba saat untuk ke Arafah, beliau mengeletar sakit atas katil, maka tiadalah dia dapat berbuat ibadah. Bila si suami di minta memaafkannya, suami tadi kata, biarlah dulu dia merasa akibat perbuatannya. Sudah 33 tahun dia diperlakukan begitu. Sungguh...., terluka sungguh hati suami tadi rupanya. Sewaktu ingin berangkat ke Madinah, rakan-rakan sebilik isteri tadi masih memujuk wanita tadi bermohon maaf pada suaminya, maka beliau menalipon suaminya memohon maaf sambil menangis-nangis dan sedar akan perbuatannya. Maka, sebaik suaminya berkata, memaafkannya; alangkah ajaibnya kuasa Allah, wanita tadi terus pulih sepenuhnya. Jadilah wanita tadi seorang yang kuat ibadah di Madinah.

Begitu juga pernah di beritahukan beberapa orang nampak api ketika bertawaf dan tidak boleh untuk bertawaf. Semua perkara ini sangat-sangat menakutkan. Namun tidak kurang pula Allah mengurniakan kemudahan dan kebahagiaan pada mereka-mereka yang di beri nikmat dan rahmat oleh Allah. InsyaAllah, bumi yang mulia ini, ramai yang dimuliakan. Bahkan bila Allah yang memanggil, maknanya Allah akan memberi berbagai kebaikkan pada tetamunya. InsyaAllah.

Subhanallah, Hebatnya kuasa Allah dalam memberi pembalasan pada siapa-siapa yang di kehendakinya. Begitulah hendaknya, pastinya kita melihat ramai yang suka menyakiti orang lain, memfitnah, menjatuhkan dan mengaibkan orang lain, mengambil hak orang lain, menginiayai dan mengumpat orang dan berbagai perbuatan keji lagi telah di lakukan. Bahkan sikap-sikap begini perlu hati-hati dan bermohon maaf sebaik-sebaik pada mereka-mereka yang di zalimi. Dosa menzalimi anak adam yang lain, Allah serahkan kepada manusia. Jadi dalam memulakan perjalanan ke Haramain, moga-moga semua ini telah di selesaikan terlebih dahulu oleh kita-kita semua. Bimbang berbagai perkara yang tidak terduga sepertimana cerita-cerita benar yang pernah kita dengar dan diberitakan kepada kita.

Sayangnya hari ini, ramai yang pergi di sana bagai pergi melancung. Ramai yang dilihat tidak menjaga pergaulan, bahkan tidak lagi menjaga aurat bila saat lepas dari Ihram dan sewaktu pulang. Tabaruj juga sudah jelas di wajah dalam perjalanan pulang. Tudung juga sudah tidak menutupi bentuk dada. Begitulah seadanya. Beginilah situasi yang kita selalu lihat dan ramai yang tidak peka, bahawa bentuk mematuhi perintah Allah bukan setakat di dalam Masjid sahaja. Bahkan ketaatan sebenar kepada Allah s.w.t adalah setiap ketika juga di mana sahaja kita berada.

Untuk mengapai nilai sebuah Haji yang mabrur di sisi Allah s.w.t. yang ganjarannya tiada lain melainkan dengan rahmat syurga Allah, maka persediaan yang padu dan jitu serta mantap perlu ada. Ketaatan yang sebenar-benar dengan perintah Allah harus digilap sebaik-baiknya, agar perginya seseorang ke Haramain, berbekalkan iman dan taqwa. Moga semua kita mendapt kurniaan Haji dan Umrah yang mabrur dan mabrurah.

Selamat perjalanan, dan selamat para jemaah untuk mendapat Haji dan Umrah yang di terima Allah dengan sebaik-baik penerimaan. Ameen.

Allahu a'lam,.

Friday, October 08, 2010

PANGGILAN HARAMAIN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillah, Allah masih memberi nafas untuk ku terus melalui kehidupan dengan penuh pengharapan dan kasih sayang Allah yang tidak pernah padam. Benarlah, cinta pada bunga.. ia akan layu, cinta pada manusia.. pasti suatu hari dia akan meninggalkanmu, hanya cinta pada Allah, yang kekal dan tidak pernah berlalu. Terlalu banyak nikmat Allah tidak dapat ku hitung, terlalu besar, terlalu.. terlalu segalanya. Tidak sebanding dengan apa yang lakukan untukMu Allah.

Seingatku, apa sahaja yang ku inginkan Allah telah memberikan dengan sepenuh kasih sayangNya. Masih ku ingat, sewaktu kecilku.. hidupku terlalu susah. Berteman air mata sepanjang waktu. Kerumitan, kemiskinan hidupku, mengajakku membantu ibu, turun ke sawah, mengangkat baldi susu getah, menanam padi di sawah, menjaga kambing dan kerbau di seberang sungai yang jauh dan sungguh mendatangkan resah. Resah, di tepi hutan tempat kerbau berkubang, selalu khinzir keluar berderetan dan sangat menakutkan. cuak hati berada di hutan. Pernah air sungai tiba-tiba naik separas leher, sedang tiada hujan. Menangislah aku ketakutan, Syukurlah kebetulan hari itu adik lelaki ku datang untuk meneman. Nyawa jadi pertaruhan, hampir-hampir kami dihanyutkan arus yang sungguh dalam. Ya.. Allah, jika itu yang terjadi, tiadalah lagi aku dan adikku pada hari ini.

Begitulah rutin hidupku setiap hari, Malamnya membantu ibu membuat kuih-muih untuk dijual keesokkannya di sekolah. Sayang sekali, kerja sekolah selalu tidak dapat ku siapi. Cikgu tidak pernah faham masalah ku. Kepala ku sering di ketuki. Namun ku pasrah. Aku selalu di hina bila mana barang-barang keperluan jahitan tidak dapat di adakan oleh ayahku. Apakan daya, aku adalah aku. Aku hanya tahu mengadu terus mengadu pada Allah yang selalu memberi mimpi-mimpi indah dalam tidurku. Aku selalu menginginkan sesuatu, di dalam mimpi aku di beritahu, aku akan mendapatkan, bila tibanya waktu. Temanku dari kecil adalah buku-buku. Banyak buku agama telah ku baca dan sungguh teruja, dari kecilku ku telah mengenal halal dan haram, syariat atau larangan.

Hinggalah perubahan ketara jelas terdampar di depan mataku. Kegagalan ku di sekolah rendah telah bertukar menjadi kejayaan ku di sekolah menengah. Siapa tahu.. setiap kali peperiksaan besar yang ku hadapi, malam itu aku bermimpi ayat-ayat al-Quran yang bakal keluar dalam SRP dan SPM yang akan ku lalui. Ku memberi tahu kawan, namun tiada siapa yang mempercayai. Alhamdulillah, inilah berkat berserah dengan Allah. A1, adalah harapan ku dalam subjek agama. Bukan ku suka untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi apa yang ku sukai, ku suka menguji sejauh mana kefahaman ku terhadap agama yang sangat kucintai. Anugerah dan nikmat agama inilah yang membuat ku mengenal siapa yang patut di cintai. Pangkat 1 dari 4 orang dalam sekolah, pasti membuat ibuku sangat gembira.

Ya.. Allah, terlalu banyak penganugerahanmu. Walaupun berjaya menjejak kaki ke menara gading, namun ku tidak berminat meneruskan melainkan berhenti dan memasuki pula kepada pengajian Islam. Minat ku sungguh mendalam dalam bidang ilmu islam. Walaupun ibu sangat kecewa sekali, akhirnya dia mulai faham. Dalam diam ku pelajari bahasa arab berseorangan. Hinggalah bila ku memasuki mana-mana kelas, pelajar kelas selalu merasakan kehadiran ku tidak layak bersama mereka. Mereka selalu mengatakan aku sudah pandai, tidak boleh satu kelas dengan mereka. Bagi ku, aku masih terlalu lemah dan perlu belajar dari bawah.

Walau ada juga rasa kecewa, namun ada kelucuannya. Kalaulah aku pandai, mana mungkin aku perlu belajar dari bawah. Mungkin hanya pada mereka. Lucu juga.. ye lah.. sampai ustazah menalipon ku, pelajar-pelajar minta aku tidak belajar bersama mereka. Mereka malu katanya.. Ye.. kembali kepada penganugerahan Allah yang sangat banyak. Memang benar, janji Allah, apabila kita semakin menghampiri Allah, Allah akan sentiasa menghampiri kita. Itulah yang sering ku rasa. Apa sahaja permintaanku, pasti Allah tidak menghampakan. Segalanya biarlah menjadi rahsia.. Sungguh banyak pertolongan Allah, sungguh tidak terhingga.

Hanya yang paling ku merasa sungguh tidak terkata, bila mana harapan ku untuk terus menerus sentiasa ke bumi Haramain, Allah selalu menyampaikannya. Banyak yang ku pelajari hikmah dari pengurniaan ini. Benar, bukan wang yang menyampaikan kita ke sana. Hanya panggilan Allah. Sememangnya dengan panggilan Allah. Kadang-kadang, seseorang itu tidak langsung mengeluarkan wang, tiba-tiba sampai ke sana. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Bahagia sungguh menjadi tetamu Allah. Sungguh bahagia..!!. Harapanku pertama kali kesampaian, tatkala ku benar-benar berhajat untuk ke sana. Bila mana wang yang ku kumpul cukup sama sekali. Gembira sungguh kerana waktu itu ku fasih berbahasa arab yang asas kerana baru sahaja habis pengajian Usuluddinku di UM. Apalagi, bila berbahasa arab, barang 20 riyal, dapat ku beli dengan 2 riyal, atas nama hadiah. Alhamdulillah.

Namun, aku bukan seorang yang suka membeli belah. Kerana tempat yang paling ku benci adalah pasaraya. Maka rutinnya, tidaklah ku terpedaya dengan benda-benda. Nikmat yang ku rasa berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sungguh tidak terkata. 2002 merupakan sejarah kali pertama ku menjejaki kaki ke sana. Benarlah janji Allah, wang yang kita gunakan ke sana akan di gantikan semula. Bila sekali ke sana, pastinya kita ingin terus menerus ke sana. Jika boleh mati pun di sana. Itulah hajatku yang terakhir dalam hidup ini. Justeru itulah ku berusaha dan terus berusaha untuk ke sana. Allah sangat pemurah. Janji Allah sangat benar.

Benar, sungguh benar, wang yang ku keluarkan, Allah ganti semula, bahkan berganda. Maka 2005 ku membawa ibu bersama. Alangkah gembira ibuku kerana buat pertama kali menjejak kaki ke sana. Peliknya, saat itu ku mengndung anak pertama dengan suami ku sekarang, sedikit pun tidak terhalang untuk ke sana. Mudah sahaja jalannya. Juga siapa yang menyangka, bayi ini bakal lahir di sana, bahkan Allah menjanjikan ajalnya di sana, juga syurga tempatnya. Ku hanya redha, bayi ini di kebumikan di perkuburan ma'la , bersama isteri Nabi s.a.w. Khadijah yang sangat mulia. Syukurlah, Mohd Naim.. terpilih di sana. Tidak pernah ku terduga, bahawa.. semua ini ketentuan yang maha Esa. Cuma diriku, perlu menjadi taqwa. Untuk bersama-sama anakku di sana. Syurga yang dijanjikan Allah bagi insan-insan bertaqwa.

Pastinya, terlebih ingin ku ke sana, al maklum anakku ada di sana. Mungkin kerana itu jua, Allah tidak mengizinkan ku mendapat zuriat lagi, kerana sehingga ke hari ini, 7 ke 8 kali anak ku jantungnya berhenti, ketika masih bermula untuk terjadi. Rezeki yang Allah beri tidak kunjung putus, sehingga kedua orang tuaku dapat ku hantari ke sana pada 2006, haji Akbar. Pelik sungguh pertolongan Allah, dari wang langsung tiada, tiba-tiba khairat yang dapat membolehkan kedua orang tuaku ke sana. Oh Tuhan, besar sungguh kurniaanmu, anakku ke syurga, rezekinya turun kepada orang tuaku. Bahkan saat-saat akhir di panggil, untuk ke sana, tahun haji akbar pula. Berbahagianya dengan rahmatmu.

Benarlah.. memang benar, bila bersyukur, Allah akan tambah, bila kufur azabNya sangat pedih. Siapa sangka, tiba-tiba sebaik ku mendaftar 2007, nenek saudara yang begitu lama, bertahun tidak berjumpa, bertanya samada boleh menemankannya. Sudah berkali-kali di tolaknya untuk ke sana. Tiada siapa yang sudi menemannya. Lantas, itulah rupanya bahagianku untuk ke sana dengan mudahnya. Wang belum ku isi, hanya di panggil Allah atas jalan ini. Maka rezeki datang lagi melalui suami. MasyaAllah.. inilah janji Allah. Pemurah dia, maka Allah memanggilnya sama untuk ke sana sebagai mahram kami. Inilah kehebatan janji Allah bagi yang benar-benar yakin dengan pertolonganNya. Allahlah yang memudahkan, Allah jualah yang memayahkan.

Banyak perkara pelik yang di alami, sungguh pelik. Alhamdulillah, kami di tempatkan di tempat yang paling dekat dengan masjid. Masih teringat, lawak ustaz masa kursus haji, namanya pun muasasah, kenalah susah. Alhamdulillah, kami tidak merasa susah. Bahkan sangat mudah. Nenek pula sangat sihat walafiat. Bahkan untuk ke masjid, boleh pergi dan balik sendiri. Subahanallah...

Baik ke Arafah, Mudzalifah dan Mina, semua mudah. Alhamdulillah. Sungguh teruja buat kami. Allah sangat penyanyang. Sangat pelik sekali, bagai tidak percaya apa yang terjadi. Tanya sahaja bas di Mudzalifah, tempat kami di turunkan, dalam pada yang lain beratur dari malam hingga ke pagi berdiri di sebelah sana untuk ke mina, pemandu bas terus menjemput, " tafadhal..tafadal".. haiya bina ila mina.., alhamdulillah, ku terus memanggil suami dan nenekku, dan beberapa jemaah di sekitarku. MasyaAllah, inilah kehendak Allah namanya.

Sungguh terlalu banyak nikmat Allah tidak dapat untuk di cerita. Inilah janji Allah, balik dari sana, Allah mengantikan lagi berganda-ganda, wang yang ku kumpul sekian lama untuk anak-anak ku yang 3 orang sebelum ini, memungkinkan 2009 ku bawa pula mereka ke sana. Ini yang di katakan janji Allah itu sangat benar. Anakku terpinga-pinga, tidak mengeluar wang sedikitpun di panggil ke sana. Itulah janji Allah bagi orang-orang yang ingin bertaqwa.

Gembira sungguh ku dengan pemberian demi pemberian yang tiada hentinya dari Allah. Pastinya coretan ini, ana ingin menjemput semua pembaca menanam sepenuh keyakinan pada yang Esa atas janji bagi mereka-mereka yang memilih jalan taqwa. Janji Allah sangat benar. Bila ku balik dari membawa anak-anak ke sana, anak ku pula menanam hasrat untuk ke sana semula. Akhirnya Allah menjadikan kenyataan lagi, bila mana tidak semena-mena wang simpanan KWSP ku dapat di keluarkan semua. MasyaAllah. Orang lain, mungkin kena tunggu umur pencen, mungkin 55. Rezekiku, umur sebegini, bila ku menukar semula ke skim pencen. itulah pertolongan Allah, namanya. Janji Allah akan kembalikan wang-wang yang kita belanjakan di sana. Di bumi Haramain yang sangat mulia.

Lantas hujung 2009 ku membelanjakan wang untuk kursus intensif kembara di Jordon, syria dan Lubnan mempelajari bahasa Arab. Kemudian ku ke Haramain lagi bersama anakku 2010. Alhamdulillah... moga kami akan terus ke sana dan terus dengan izin Allah. Semoga satu hari ku dapat menetap atau mungkin mengakhiri hayatku di Haramain. Moga hajat terakhir ini, menjadi kenyataan. Moga Allah perkenankan.

Bagi saudara Islam yang di kasihi, yakinlah , percayalah, Allah tidak pernah mensia-siakan doa hamba-hambanya. Allah tidak memungkiri janji-janjiNya. Koreksi diri kita bersama, di mana lagi kekurangan pengabdian kita kepadaNya. Di mana lagi kekurangan kepasrahan kita kepadaNya. Moga-moga semua kita umat Islam mendapat kasih sayang Allah. Allah sangat pemurah. Pemurah, sentiasa menjamin rezeki bagi kita. Sehinggalah bila rezeki kita sudah tiada lagi maka saat itu, kita perlu kembali kepadaNya, yang menjadikan kita. Moga kembalinya kita dengan iman dan Taqwa. Semua kita adalah calon-calon janazah. Baik atau buruk kesudahan, adalah pilihan kita. Kita di beri akal yang sempurna untuk memilih jalan-jalan taqwa.

Apa yang baik di ilhamkan oleh Allah s.w.t. dengan bantuanNya. Apa yang buruk adalah dari kelemahan diri ana sendiri. Moga yang baik buat tauladan, dan yang buruk di tinggalkan.

Allahu a'lam.

HUTANG

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, Sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.” [Riwayat al-Baihaqi ]

Islam tidak menghalang seseorang memiliki harta dengan berhutang. Bahkan kadang-kadang tanpa hutang tidak dapatlah seseorang untuk memperbaiki keadaan kehidupan bahkan lebih menyukarkan mereka untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Persoalannya, hutang bagaimana yang dibenar dan sebaliknya hutang bagaimana yang perlu dielakkan. Tidak di nafikan dengan hutang, maka ketenteraman kehidupan sudah hilang. Hidup pula penuh dengan tekanan. Pantang tersilap sikit, anak isteri jadi mangsa sepak dan terajang. Ramai pula yang membunuh diri kerana hutang.

Hutang yang membelit pinggang kerana sikap seseorang itu sendiri. Keterlaluan dalam berlumba-lumba memperaga menyebabkan akhirnya terseksa. Ramai yang berbuat demikian, masih ada kenderaan yang sepadan dengan kemampuan dan keperluan, bila melihat di kiri kanan, jiran dan taulan, saudara dan rakan, jiwa yang membuak-buak membuatkan sanggup mengambil hutang lagi. Bahkan hutang lama masih dalam kawalan dan aturan pengurusan pihak yang diberi kepercayaan. Tidak serik, guna nama lain membuat hutang. Memang inilah sikap yang paling di takutkan.

Mungkin sesetengah boleh mengatakan, punyai kerja tetap dan pertolongan isteri dalam mencari perbelanjaan. Kata-kata ini, hanya boleh di pakai jika anda tidak diberhentikan. Jika anda tidak punyai masalah kesihatan. Jika isteri anda masih boleh memberi bantuan. Tiba-tiba.. jika sakit datang.., berlaku sesuatu di luar dugaan..., anda pasti teraba-raba mencari haluan. Sedangkan bila setahun sekali insuran dan roadtax perlu di hidupkan, keadaan sudah sangat menekan. Hutang bank yang melibatkan tanah di cagarkan, dan sering kali menjadi tunggakkan, sungguh merimaskan.

Jika ini yang di hadapi oleh kalian, soal diri , tanya diri adakah anda sebenar layak untuk membuat hutang..?. Hutang yang dibuat bukan yang berpadanan. Apakah hutang sebelumnya telah di selesaikan..? Tidakkah anda takut mati meninggalkan hutang..??

Ibubapa kita menghidupkan kita, tidak banyak mereka berhutang. Jika berhutang sekalipun mereka mampu membayarnya. Mereka hanya pesawah, penoreh getah, pekebun, pemesin rumput, penebang pokok,pemanjat kelapa mungkin penebas rimba. Semua mereka lakukan. Asalnya, hanya berbasikal, bermotor tapi berbelas anak mereka boleh besarkan. Tidak mereka punyai kenderaan besar dengan alasan anak ramai perlu membeli kenderaan besar. Bahkan kalian pula yang mengharap bantuan kewangan dari mereka. Sedang pangkat anda ada. Tetapi maruah anda tercampak kemana..?

Tetapi.. perangai kita..? Anak baru dua tiga orang, kita katakan perlu kereta yang besar. Maka perlulah buat hutang yang besar. Rumah perlu besar, kereta besar, hutang juga besar. Saat sihat bolehlah kita bertahan. Dalam pada itu, dalam masa yang kita katakan sihat, solat di lalaikan, rumah Allah jarang jadi tempat tujuan. Dalam perjalanan, solat.., mudah-mudah untuk di tinggalkan. Inikah di katakan mereka yang mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Masa habis mengumpul kewangan, baik siang juga malam. Bahkan ada yang berani membuat perkara salah. Al-maklum, hutang sudah membelit sekeliling pinggang. Kewangan yang besar perlu di dapatkan. Jika boleh dalam masa yang pintas, yang penting lepas.

Justeru itulah hakikatnya, hari ini keadaan sangat menakutkan. Mereka yang hilang kewarasan hasil keadaan demikian semakin hari semakin bertambah -tambahan. Sihat walafiat, hanya yang keluar dari mulut, tatkala hutang di tuntut, hanya mengatakan "saya dah tak kerja, macam mana nak bayar hutang.."

Jangan sampai anda menghadapi situasi demikian. Atur-aturlah perbelanjaan. Jika anda terus terusan mengejar persaingan, hidup anda pasti tidak akan tenang, sekiranya anda semakin jauh dari Allah s.w.t. Semakin jauh dari pengibadatan, semakin jauh..jauh sejauh-jauhnya dari hidup berkumpulan dengan mereka-mereka yang merasa nikmat dan keindahan mempasrahkan diri dengan ketawadukan yang tinggi pada Allah yang menjanjikan rezeki yang berterusan pada mereka-mereka yang bertaqwa dengan sebenar-benar ketaqwaan. Maka fikir-fikirkan mulai sekarang..

Allahu a'lam.

MENZALIMI

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Samada sedar atau tidak, paling tidak rasa marah akan wujud di dalam hati meski pun seseorang itu tidak melenting bila haknya di zalimi. Sememangnya, tidak terasa bila terkena kepada orang lain. Namun bila terkena kepada diri sendiri sangat sukar kita menerimanya. Begitu juga, saat menzalimi orang kita tidak terasa, sebaliknya bila diri terzalim, baru kita dapat merasai azabnya.

Perjalanan kehidupan, kezaliman biasa berlaku. Baik di pejabat, antara orang berpolitik, antara keluarga dan sebagainya. Manusia mudah dan melulu dalam melakukan sesuatu, tetapi tidak sanggup untuk menghadapi kesilapan sendiri. Tanpa di sedari, ada diantara kita menyebut sesuatu perkara berat pada seseorang juga, tidak pula mendatangkan 4 orang saksi. Maka kita telah menzalimi orang tersebut. Sedangkan kita memandang ringan sahaja persoalan demikian. Begitu juga menfitnah seseorang apa yang tidak dilakukannya. Saat demikian kita telah menjatuhkan maruah orang tersebut dan menzaliminya.

Nabi s.a.w bersabda: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tidak ada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Memang seronok melihat keaiban dan menjatuhkan seseorang, lebih-lebih lagi kedengkian bersarang di hati. Namun, apakah keseronokan ini akan kekal, sedangkan azab menanti atas perbuatan tersebut. Meskipun seorang itu di kira jahat di mata manusia, belum tentu kejahatan mereka itu berkait dengan manusia. Itu antara mereka dengan Allah s.w.t. Sekiranya mereka bertaubat, terhapus dosa mereka, jika Allah mengkehendaki. Namun, kezaliman manusia ke atas manusia yang lain, tidak hilang begitu sahaja. Sehinggalah diminta ampun kepada orang tersebut, di samping mengembalikan hak mereka jika telah di ambil dan digunakan. Tidak selesai memandang mudah dan memaksa seseorang mengampunkan dengan ayat "sedangkan nabi ampunkan umat". Ramai yang suka bermain dengan kalimah ini, sedangkan mudah sahaja melakukan sesuatu fitnah dan kezaliman pada seseorang. Bila hati tidak tenteram, maka seolah-olah mengelak dari kesalahan yang sering di lakukan, maka ayat ini yang selalu di gunakan. Semudah itu kah..?

Dalam riwayat Ahmad “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah: 767)

Dalam riwayat Ahmad yang lain: “Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya) . (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani/ al-Sahihah: 767).

Bukan semudah itu Allah membiarkan kita berbuat sesuka hati dibumi Allah ini. Buat ikut rasa selesa dan kehendak kita, tanpa di sandarkan sebenar-benar dengan garis syarak. Selesa kepada kita, belum tentu selesa pada orang lain.

Apakah orang-orang yang suka melakukan kezaliman bebas dan lepas begitu sahaja. Orang-orang yang mengambil dan menguna hak orang boleh selesa dan berlapang dada begitu sahaja. Di mana keadilan Allah, jika membiarkan orang yang di zalimi menderita, sedangkan orang-orang yang melaku bebas begitu sahaja. Pastinya dengan sifat keadilan Allah, maka semua kita akan di kembalikan kepada Allah dan akan menerima akibat dari laku kita di dunia.

Firman Allah:
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثاً وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ # فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

(maksudnya) maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Maha Benar; tiada yang diabdikan diri melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘arasy yang mulia (Surah al-Mukminun ayat: 115-116).


PENGERTIAN ADIL

Terdapat beberapa pengertian yang di buat oleh Ulama' tentang adil:

1. Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya.
2. Adil bererti menerima hak tanpa lebih dan memberikan hak orang lain tanpa kurang.
3. Adil bererti memberi hak setiap orang yang berhak tanpa lebih dan tanpa kurang sesama orang yang berhak dan menghukum orang yang jahat atau melanggar hukum setara dengan kesalahannya.

Daripada ketiga-tiga pengertian yang tersebut dapatlah dirumuskan bahawa keadilan itu:

1. Menjamin hak individu (diri sendiri dan orang lain).
2. Menghapuskan kezaliman.
3. Melaksanakan hukum dengan saksama.
4. Memastikan orang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa dan orang yang lemah tidak teraniaya.

Keadilan sangat penting ditegakkan. Bila berlaku ketidakadilan, pastinya akan berlaku perselisihan, kedengkian dan sebagainya. Pada yang benar, menuntut hak, pasti akan juga menerima akibat kemarahan, ke salah sangkaan, seolah mereka juga berdengki. Namun untuk mengelak keadaan lebih buruk, mereka selalu mengalah. Mereka sedar, Allah tetap ada dan pasti Allah tidak menyia-yiakan pahala orang-orang yang bersabar. Tidak selamanya mereka terluka. Mereka yakin dengan petunjuk dan janji-janji Allah. Firman Allah -

وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْياً بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللّهُ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Ertinya:
Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci yang tersebut itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, ( Mereka berselisih ) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman kearah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinnya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahnya kepada sesiapa yang dikehendakinya ke jalan yang betul dan lurus (mengikut undang-undang peraturannya). (Surah Al-Baqarah ayat 213)

Mereka yang di zalimi tidak perlu khuatir. Meskipun menuntut hak tiada dosa dan salah. Namun bersabar lebih baik. Manusia yang suka mendapat sesuatu di dunia, tidak sebanding dahsyatnya apa yang mereka dapat di akhirat jika mereka mengambil hak orang lain serta menzalimi mereka. Begitu juga, apa yang tidak di dapatkan oleh orang yang di zalimi, mereka juga akan mendapat ganjaran jauh lebih baik atas keredhaan dan kesabaran mereka atas kezaliman yang berlaku pada diri mereka. Mereka yang menzalimi lengah dan lalai sedang tidak bagi Allah s.w.t.

Firman Allah:

وَلاَ تَحْسَبَنَّ اللّهَ غَافِلاً عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الأَبْصَارُ # مُهْطِعِينَ مُقْنِعِي رُءُوسِهِمْ لاَ يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ وَأَفْئِدَتُهُمْ هَوَاء

(maksudnya) Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan Yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).

Bersamalah kita bermahasabah diri, andaikata kita pernah menzalimi orang lain, kembalikan hak mereka semula, sebelum nafas kita semua terhenti. Semoga kesedaran demikian menyelamatkan kita semua kembali kepada Allah dalam keadaan yang sejahtera.

Allahu a’lam.

Thursday, October 07, 2010

SEKEPING HATI

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Membicarakan tentang hati, sangat luas persoalannya. Dari hatilah terbit segala perkara. Hati itu umpama raja. Hati jugalah yang menjadi bahan ukur keikhlasan seseorang dengan Allah s.w.t . Justeru itulah hati sangat perlu di jaga. Hati juga membuatkan seorang mengasihi sesuatu, hati jua mendatangkan rasa tawar terhadap sesuatu.

Waktu hati dipenuhi rasa kasih, mampu mengerakan seluruh badan melakukan apa jua. Semangat yang diterbitkan oleh hati tadi, membuat semua perkara rasa mudah di kerja. Namun bila hati telah terluka, kecewa, maka semua perkara jadi tidak tentu hala. Minat terhadap sesuatu hilang semena-mena. Jika asalnya seorang yang sangat rajin bekerja, dengan permasalahan hati, maka kerja yang dibuat tidak lagi ceria dan disuka. Maka, hasilnya tidaklah seperti biasa.

Begitu jugalah cita rasa terhadap sesuatu perkara pastinya sudah berbeza. Bila rasa tawar hati telah menguasai, kelazatan sesuatu perkara tidak lagi dirasai. Begitulah hebatnya peranan hati. Ia mampu menguasai diri dia juga mampu mencetuskan perkara-perkara yang tidak di sangkai.

Bahkan, Islam juga memandang hati mempunyai peranan besar di mana ia mempengaruhi keseluruhan pembentukan peribadi dan akal seseorang. Peranan hati di dalam tubuh jasad anak adam telah diterangkan dalam sabda Rasulullah S.A.W :Rasulullah bersabda

ان في الجسد مضغة اذا صلحت صلح الجسد كله واذا فسدت فسد الجسد كله , الا وهى القلب

yang maksudnya: Sesungguhnya didalam tubuh jasad anak adam ini ada seketul daging bila baik ia maka baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya ketahuilah iaitulah qalbu (hati). (Hadis riwayat Bukhari)

Hati yang baik, akan melahirkan tindakan dan kata-kata yang baik. Keikhlasan hati akan terpancar di wajah. Sebaliknya hati yang rosak tidak dapat tidak pastinya akan terserlah. Lambat laun nilai sebuah hati akan diketahui dari hasil tindak tanduk seseorang. Begitulah.. dalam masa yang singkat pastinya kita sukar mengenali hati budi seseorang. Sebaliknya dalam beberapa tempoh kita akan dapat mengenalinya. Persoalan hati ini, walau di sembunyi sekalipun akhirnya tetap akan terkeluar dengan hasil tindakkannya.

Hatta perpecahan rumah tangga hari ini, di sebabkan hati. Hati yang kotor akan keluar kekotorannya. Waktu bercinta, semua indah belaka. Perkara buruk pun sanggup di telan, memandangkan banyak kelibat kebaikan yang pura-pura masih di lakunkan. Namun dalam beberapa tempoh keburukan hati mulai keluar sedikit demi sedikit. Hati yang kotor, tidak dapat di sembunyikan selamanya. Ia pasti akan keluar dari tubuh badan manusia melalui tindak tanduknya. Akhirnya rumah tangga yang dibina menuju kepada keruntuhannya. Terkeluarlah kekotoran hati yang bermaharajalela.

Mungkin satu kejutan, bila selama ini seseorang yang di sangkakan baik, tiba-tiba di dengari seorang yang sangat jahat. Ada kalanya bagai tidak percaya, apa yang tertera di depan mata. Diikuti sifat zalim, tamak haloba, sungguh diluar batasan manusia, timbul pada diri seseorang. Timbulnya perkara sebegini, bukan satu masa yang singkat. Melainkan telah bersarang kejahatan yang cukup padat dalam hati seseorang tersebut. Meskipun ia di tutupi dengan laku dan dikelabui dengan perbuatan kebaikan, hati yang jahat, tetap akan keluar kejahatannya.

Begitu jua.., alangkah jahat hati manusia yang sanggup melanggar perintah Allah. Sedangkan banyak perkara telah dihadap dan diberi iktibar oleh Allah s.w.t. Banyak contoh-contoh kebinasaan yang diberi pengajaran oleh Allah. Agar di perhatikan dengan ketajaman fikiran yang di anugerahkan. Agar manusia tidak melakukan sesuatu di luar batasan keimanan. Sifat taqwa dan takutkan Allah yang tinggi perlu di perteguhkan. Agar tindakan selari mengikut ajaran al-quran yang menjadi panduan untuk keselamatan hidup sepanjang perjalanan.


Firman Allah:

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

(maksudnya) "maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada. "(Surah al-Hajj: 46).

Ramai yang mata celik, tapi hati buta dari melihat kebesaran Allah s.w.t. Buta dari melihat kebaikan suruhan Allah dan rasul. Buta membezakan perkara baik atau buruk dalam satu-satu perkara. Maka terus menerus dalam kehidupan yang jauh dari saranan agama. Bila jauh dari saranan agama, maka kemusnahan dan kebinasaan terus menerus berlaku dan bermaharaja lela. Pokok pangkalnya hati yang seumpama raja. Jika hati tidak bersedia menerima kebaikan, maka tidak mungkin seluruh tindakan akan membuat kebaikan. Jika hati tidak mahu mengikut jalan agama sebagai penyuluh perjalanan kehidupan, maka hidup mereka terus menerus dalam kejahilan yang mengundang satu kebinasaan. Nauzubillah.

Dengan demikian, buangkan sifat mazmumah yang bersarang dalam hati. Gantikan dengan sifat mahmudah(terpuji) agar kehidupan berperibadi dijadikan contoh yang tinggi. Akhlak yang mulia pasti lahir dari hati yang suci. Sesungguhnya hati adalah sesuatu yang akan di nilai oleh Allah di akhirat nanti dalam menentukan satu-satu tindakan hamba yang mengaku sebagai hamba yang sejati. Rasulullah SAW bersabda
إن الله لا ينظرُ إلى أجسامكم، ولا إلى صوركم، ولكن ينظرُ إلى قلوبكم وأعمالكم

yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk dan rupa kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu.”

Allahu a'lam.

Wednesday, October 06, 2010

MENCARI KEBENARAN BUKAN KEMENANGAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Pedih, pilu, sedih, terluka itulah perasaan yang di alami tatkala diperlekehkan. Lebih-lebih berlaku salah tanggapan. Dalam sesetengah mencari kebenaran, timbul pada sesetengah yang lain mencari kemenangan. Hingga tanpa di sedari, berlaku pertikaman lidah yang sangat melukakan. Pastinya dalam salah, ada yang benar. Apa yang lebih penting, kembali bermohon kepada Tuhan, berdoa dengan penuh ketawadukkan meminta pertolongan Allah menunjukkan jalan. Pastinya, doa yang penuh keikhlasan dan pengharapan, mampu menamatkan sebuah perselisihan.

Meskipun, berhujah jika mencari kebenaran tiada salahnya. Namun tidak semua yang boleh menerima kebenaran pada pihak yang lain, sekira merasakan diri sendiri yang betul dan benar. Ibarat gelas yang penuh berisi air, tanpa di tuangkan sebahagian, mana mungkin air boleh di masukkan lagi, melainkan air yang dimasukkan tetap melimpahi keluar gelas. Amat sukar untuk memahamkan jika begini keadaan seseorang. Tidak mahu mengosongkan sebahagian ruang, untuk menempatkan satu penerangan.

Pada seorang yang lemah, pastinya lebih memilih tangisan apabila cuba melindungi sebuah kelukakan. Tidak ramai yang memberi ruang dan peluang untuk membukti sebuah kebenaran, namun alangkah mulia jika masing-masing dapat menahan kemarahan, meskipun jika diikutkan kemarahan di hati masih bersarang. Sebuah hadis juga menyebutkan, bermaksud :-

Siapa yang menahan marah, padahal ia boleh melepaskan kemarahannya, maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di depan sekalian makhluk. Kemudian, disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." (HR. Abu Dawud - At-Tirmidzi)

Sebak di dada pasti memilukan. Namun, bagi mereka yang bersabar atas ujian tersebut, di samping dapat berlapang dada, alangkah indah dan mulia hatinya. Ini sebutkan dalam satu kisah yang dinukilkan, bahawasanya,

Dari Abdullah bin Shamit, Rasulullah saw. bersabda, "Apakah tiada lebih baik saya memberitahu tentang sesuatu yang dengannya Allah meninggikan gedung-gedung dan mengangkat derajat seseorang?" Para sahabat menjawab, "Baik, ya Rasulullah. Rasulullah saw bersabda, "Berlapang dadalah kamu terhadap orang yang membodohi kamu. Engkau suka memberi maaf kepada orang yang telah menganiaya kamu. Engkau suka memberi kepada orang yang tidak pernah memberikan sesuatu kepadamu. Dan, engkau mau bersilaturahim kepada orang yang telah memutuskan hubungan dengan engkau." (HR. Thabrani)

Sabdanya juga, "Bahwasanya seorang hamba apabila mengutuk kepada sesuatu, naiklah kutukan itu ke langit. Lalu, dikunci pintu langit-langit itu buatnya. Kemudian, turunlah kutukan itu ke bumi, lalu dikunci pula pintu-pintu bumi itu baginya.Kemudian, berkeliaranlah ia kekanan dan kekiri. Maka, apabila tidak mendapat tempat baru, ia pergi kepada yang dilaknat. Bila layak dilaknat (artinya kalau benar ia berhak mendapat laknat), tetapi apabila tidak layak, maka kembali kepada orang yang mengutuk (kembali ke alamat si pengutuk)." (HR. Abu Dawud)

Allahu a'lam.

TAUBATAN NASUHA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Rindu rasanya untuk menukilkan sebuah coretan di blog ini. Namun keutamaan untuk pulang ke desa untuk meringankan bebanan ibu yang uzur dalam mengurus diri dan abah yang kini kurang upaya dari biasa, membuatkan cukup terhad untuk membuka komputer. Alhamdulillah, sebaik berpeluang, rasa ingin melihat e-mel pejabat sekira-kira ada yang penting mengesa ana terus berbuat demikian.

Alangkah tersentuh hati ana, bila memandang e-mel seorang sahabat yang mendorong ana memilih untuk terus membaca e-melnya sahaja. Lantaran demikian cukup membuatkan ana rasa kagum atas jiwanya yang sangat halus dan penuh dengan seribu rahsia yang seakan mengajak ana untuk lebih memahami erti sebuah ketulusan hati.

Tidak semua insan boleh mengakui kelemahan, kedhaifan malahan kesalahan diri sendiri. Kebanyakkan boleh melihat dan memandang kesalahan orang lain, namun untuk mengakui dan merasa diri bersalah sangat berat sekali. Tidak juga di nafikan masih ada insan-insan yang tidak angkuh dan sombong kepada Allah s.w.t. Sedar berbuat dosa dan sanggup mengakuinya bahkan berusaha untuk kembali mengharap belas ihsan Allah untuk mengarap kasih sayang Allah setinggi-tingginya. Alangkah mulia seorang yang pernah berbuat silap, lantas mengakui kesilapan dan lebih bersungguh-sungguh memohon keampunan Allah. Berbanding dengan mereka yang merasa selesa dengan amalan, bahkan memandang orang lain kurangnya berbuat amalan sepertinya. Lantas merasa diri hebat dan kesombongan timbul tanpa di sedari. Ini sangat bahaya sekali.

Manusia tidak sunyi dari berbuat dosa. Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyebut mengenainya. Diantaranya..

"Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan/dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah mereka yang bertaubat (dari kesalahan tersebut).

Begitulah penyayangnya Allah dan rasul kepada kita semua. Meskipun setinggi gunung dosa yang dilakukan tetap di sediakan keampunan. Penyayangnya Allah menjemput kita kembali mengakui dan menyesali akan salah silap yang pernah kita lakukan. Apa yang perlu di elakkan ialah kesombongan seperti Iblis. Walaupun Allah memberi peluang Iblis bertaubat agar sujud di kubur Nabi Adam a.s; dengan sombong Iblis menolaknya. Begitulah perangai iblis, rasa angkuh, kalau semasa hayat Nabi Adam dia sudah sombong, apatah lagi bila di suruh oleh Allah setelah kematian Nabi Adam a.s.

Bagi orang bertaqwa, pastinya tidak bertangguh bila di beri ruang dan peluang oleh Allah, selagi hayat di kandung badan, selagi matahari tidak bertukar tempat terbitan, selagi nyawa tidak dicabutkan. Ayuh, bersegeralah kembali dengan penuh penyesalan kepada Allah yang sangat penyayang. Firman Allah :-

وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, Surah Ali Imran : 133.

Pastinya orang yang pernah melakukan kesalahan, mempunyai sekeping hati dan perasaan yang sangat kesal, lantas kembali kepada Allah dengan penuh pengharapan. Mengharap keampunan Allah dengan penuh keyakinan. Kembali beramal dengan penuh ketulusan.

Indah nian hati seorang insan yang menyedari kesilapan. Sebagai tanda rahmat Tuhan, maka ia ditemukan dengan petunjuk jalan. PemurahnyaMu wahai Allah, Tuhan sekelian alam. Meskipun kemurkaanMu ya Allah pada sebahagian mereka yang melanggari perintahMu, namun sebahagiannya yang mendapat kasih sayangMu tetap di beri keampunan oleh Mu Wahai Allah. sebagaimana di sebutkan dalam firmanMu :-

إِلاَّ الَّذِينَ تَابُواْ وَأَصْلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَـئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ


kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang." Surah al-Baqarah : 160

Begitulah kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya. Kita semua tidak lepas dari melakukan kesalahan. Namun sebaik-baik insan, sanggup kembali kepangkal jalan. Mengakui setiap kesilapan dan bersedia memohon keampunan. InsyaAllah rahmat Allah pasti datang. Namun, apabila telah insaf dan kembali ke pangkal jalan, lakukan kebaikan yang berterusan, taubatlah dengan taubat yang penuh keinsafan. Tinggalkan terus menerus perkara-perkara dosa yang telah pernah dikotakan. Yakinlah dengan rahmat dari Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyanyang.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحاً عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mu'min yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." Surah At-Tahrim : 8

Allahu a'lam.